Friday, 21 July 2006

BERITA MELAKA : BEKALAN IKAN KURANG DI PASARAN


MELAKA 21 JULAI : Bekalan ikan di negeri ini berkurangan sejak sebulan lalu dan sekali gus menjejaskan pendapatan peniaga ikan di pasar besar Melaka Sentral di sini.

Kekurangan bekalan ikan ini juga turut menjejaskan pengguna kerana harga sudah pasti melambung tinggi.

Seorang pelanggan di Pasar Borong Batu Berendam, Saleh Osman, 50, berkata, beliau terpaksa berbelanja lebih sedikit sekarang kerana harga ikan meningkat sejak beberapa minggu lalu.

Tinjauan wartawan sebuah akhbar harian mendapati kebanyakan penjual ikan merungut mengenai kurangnya pelanggan akibat harga ikan yang mahal.

Penjual ikan, Mahadi Mohamad, 28, berkata, pendapatannya terjejas disebabkan ramai pelanggan yang takut berbelanja selepas mendapati harga ikan mahal.

“Kalau dulu ikan selar kuning dijual pada harga RM3 lebih sekilo tetapi sekarang langsung tidak boleh kerana modal untuk mendapatkan ikan terbabit sudah menjangkau lebih RM5 sekilo dan sudah pasti kami kena jual lebih daripada harga berkenaan.

“Jika harga ikan mahal, pengguna sendiri boleh buat keputusan sama ada nak beli atau tidak...yang teruk kami sebagai penjual kerana sampai tengah hari pun ikan masih banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, kebanyakan peniaga yang ditemui di pasar terbabit mendakwa tindakan kebanyakan pasar raya besar menjual ikan menyebabkan mereka kehilangan pelanggan terutama mereka yang bekerja di pejabat.

Menurut mereka, sebelum wujudnya pasar raya besar, mereka tidak menghadapi persaingan meskipun ada kalanya jumlah bekalan ikan berkurangan.

Penjual ikan, Ismail Hasan, 45, mendakwa kurang pasti punca kekurangan ikan di negeri ini tetapi apa yang diketahui adalah kebanyakan penjual ikan tidak berapa berminat membeli ikan yang diimport dari beberapa negara seperti Thailand dan India disebabkan ikan yang diimport itu mudah rosak.

Setakat tindakan yang sewajarnya belum di ambil oleh pihak berwajib untuk mengatasi masalah ini. Kerajaan negeri melalui exco penggunanya juga tidak mengambil sebarang langkah untuk menyelesaikan masalah ini walaupun ianya telah berlanjutan hampir sebulan.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59