Friday, 14 July 2006

AWASI TEMPAT-TEMPAT BERLAKUNYA PERAS UGUT - SETIUASAHA DPP KAWASAN BUKIT KATIL


MELAKA 14 JULAI : MELAKA: Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya keatas beberapa kejadian peras ugut yang berlaku di kawasan segi tiga jejantas Gerbang Melaka Sentral, Tesco dan Taman Cempaka di Jalan Tun Razak.

"Kami tidak mahu lebih banyak kejadian jenayah dan ugut berlaku di kawasan tersebut jika ianya tidak dikawal. Ini juga akan menjejaskan nama baik negeri ini di mata pelancong samada pelancong domestik atau luar" demikian kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha DPP Kawasan Khairuddin Ismail pagi ini.

"Selain itu pihak berkuasa juga hendaklah sentiasa memantau tempat-tempat lain yang mungkin juga dijadikan tempat untuk memeras ugut" ujar beliau lagi.

Akhbar harian hari ini melaporkan bahawa sekumpulan remaja dikesan menjadikan kawasan tersebut sebagai markas menjalankan kegiatan memeras ugut sejak beberapa bulan lalu.

Tindakan mereka itu yang gemar berkeliaran dan menjadikan pelajar, warga asing dan remaja sebagai sasaran menimbulkan rasa kurang selamat pengunjung untuk ke kawasan berkenaan.

Beberapa peniaga yang ditemui wakil akhbar itu mendakwa kegiatan remaja berkenaan dijalankan pada waktu petang dan malam secara berkumpulan.

Mereka juga turut berlagak samseng bergaduh dengan kumpulan remaja lain yang melalui kawasan terbabit sekiranya gagal memeras ugut kumpulan berkenaan untuk meminta wang atau barangan berharga.

Dalam kejadian terbaru 16 Jun lalu, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dari Taman Kota Laksamana di sini, kerugian RM150 selepas diugut seorang lelaki ketika melalui kawasan jejantas di kawasan itu kira-kira jam 1 tengah hari.

Menurut laporan, remaja itu baru selesai membeli-belah di pasar raya besar berhampiran sebelum menyeberangi jejantas untuk menaiki bas pulang ke rumahnya di Melaka Sentral.

Ketika itu, mangsa diekori seorang lelaki dan sebaik tiba di atas jejantas, lelaki itu terus menghampiri dan mengugut mangsa.

Kerana takut dicederakan, mangsa menyerahkan RM150 kepada lelaki itu sebelum diarah meninggalkan kawasan berkenaan.

Sementara itu, tinjauan akhbar itu juga mendapati jejantas yang menghubungkan pasar raya Tesco-Taman Cempaka dan Melaka Sentral sejauh kira-kira 700 meter tidak menyediakan perkhidmatan pengawal keselamatan serta kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan keselamatan.

Ini menyebabkan kumpulan berkenaan mudah menjalankan kegiatan mereka berikutan ia tidak dikesan pihak berkuasa.

Seorang peniaga, Suziana Jalil, 32, berkata kegiatan remaja berkenaan banyak dilakukan pada cuti hujung minggu.

Katanya, mereka bertindak terlalu berani sehingga pernah beberapa kali meragut telefon bimbit sedang digunakan warga asing yang melalui kawasan terbabit.

Beliau mendakwa, kumpulan remaja terdiri daripada empat hingga tujuh orang itu turut dilihat menghidu gam secara terbuka bersama rakan mereka.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59