Wednesday, 19 July 2006

ANWAR DAKWA ADA USAHA UNTUK MAHATHIR KEMBALI BERKUASA


Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kritikan berterusan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mungkin satu pakatan untuk membawa Tun Dr Mahathir Mohamad kembali berkuasa.

“Saya tidak menolak kemungkinan wujudnya rancangan bahawa cabaran tersebut adalah untuk membawa balik Dr Mahathir...,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam wawancara ekslusif dengan malaysiakini.

“Ingatlah bahawa semua asas kritikan (Mahathir) bukan satu atau dua dasar sahaja, tetapi (dakwaan bahawa) pucuk pimpinan sudah hilang fokus.

“(Mahathir menegaskan bahawa) orang Melayu tidak merasa selamat di bawah pucuk pimpinan sekarang. Beliau menegaskan(di bawah pucuk pimpinan sekarang) kepentingan kita (orang Melayu) tidak dilindungi dan bahawa kepentingan (negara) telah dijual kepada sebuah negara asing dan khususnya kepada Singapura.

“Sudah tentunya wujud konotasi perkauman atau mesejnya ialah orang Cina (terus menjadi ancaman)....dan kerana itu, anda perlukan pemimpin yang kuat untuk membuat pindaan dan merencanakan satu dasar yang jelas untuk melindungi kepentingan negara ini sebelum diserahkan kepada sesiapa sahaja, dan dalam kes ini (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak),” katanya.

Bagaimanapun, Anwar mengakui bahawa senario ini tidak mungkin wujud kerana tindakan melempar kritikan terhadap Abdullah sekarang, masih belum mencukupi untuk membawa perubahan sedrastik itu.

“Saya bercakap dengan pembantu dan penyokong kuat (Dr Mahathir)... dan mereka nampaknya amat optimistik, ditambah pula dengan sokongan yang diterima, termasuk dari sesetengah pemimpin pembangkang. Tetapi saya rasa tidak begitu realistik yang ahli-ahli Umno, dalam jumlah yang besar, akan bangun menentang Abdullah,” katanya.

‘Pergolakan politik’

Bagaimanapun, katanya, Dr Mahathir mempunyai kemampuan untuk menimbulkan masalah kepada Abdullah. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga meramalkan Abdullah akan berdepan dengan “pergolakan politik” dalam bulan-bulan yang akan datang.

Katanya, Dr Mahathir mempunyai penyokong, bukan sahaja di kalangan veteran Umno, tetapi juga di peringkat akar umbi Umno.

“Dan Dr Mahathir dan para penyokongnnya mempunyai sumber... mereka ada berjuta-juta ringgit...,” dakwa Anwar.

Dr Mahathir yang sedang bercuti di sebarang laut sehingga 22 Julai ini, telah mengkritik keras pentadbiran sekarang berhubung pembatalan projek jambatan indah, pengeluaran AP dan mengenai Proton.

Malah, pada satu ketika, Dr Mahathir pernah menyatakan beliau mungkin tersilap memilih Abdullah sebagai penggantinya.

Beliau bagaimanapun, tidak menjangka Najib akan mencabar kepimpinan Abdullah, dan secara berjenaka berkata: “Mungkin kita juga perlu meminta pandangan (isteri Najib, Datin) Rosmah... tetapi saya tidak nampak ianya (cabaran) akan berlaku...”

Tetapi, katanya, semua kenyataan Najib menyokong Perdana Menteri setakat ini “masih belum meyakinkan”.

Unsur perkauman

Dalam wawancara selama dua jam minggu lalu di pejabat malaysiakini di Bangsar Utama, Anwar juga mendakwa, Umno yang pernah dianggotainya, memiliki wang tunai sebanyak RM8 bilion.

Katanya, wang tersebut dikumpulkan melalui para jutawan dan syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan Umno yang memegangnya bagi pihak parti tersebut.

Anwar juga mendakwa wujud unsur-unsur berkauman dalam kritikan Dr Mahathir terhadap kerajaan Singapura, terutama dalam isu jambatan bengkok.

“Ia adalah Singapura, jiran kita – walaupun ia bukan jiran yang mesra – tetapi pada fikiran saya, unsur-unsur tersebut adalah sesuatu yang dianggap tidak bertanggungjawab di pihaknya (Dr Mahathir),” kata Anwar, yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri selama enam tahun sebelum beliau dipecat oleh Dr Mahathir atas dakwaan salahguna kuasa dan salahlaku seks.

“Bukan sahaja (beliau membangkitkan isu) nasionalisme, tetapi (beliau) juga (bercakap) menentang orang Cina dan Singapura (yang didakwanya) cuba bertindak keras terhadap kepimpinan Melayu dan kerana itu mereka (kepimpinanorang Cina di Singapura) perlu diajar,” katanya.

Sumber : Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59