Friday, 28 July 2006

ANNUAR MUSA DAN IMAM AL BADAWI PUCAT 'GIGI' : TEGAH AHLI Umno HADIRI MAJLIS DR. MAHATHIR


KOTA BAHARU 28 JULAI : Badan Perhubungan Umno Kelantan didakwa menegah ahli-ahli parti itu daripada menghadiri Majlis Bersama Tun Dr Mahathir di Kota Bharu esok, demikian menurut penganjur majlis tersebut.

Bagaimanapun jika didasarkan pada poster-poter dan kain pemidang yang memenuhi bandar Kota Bharu, bekas Perdana Menteri itu dijangka akan diberi sambutan hangat oleh rakyat Kelantan.

Tinjauan wartawan malaysiakini di ibu negeri Kelantan itu mendapati jalan dari Pengkalan Chepa ke bandar Kota Bharu dihiasai sepanduk berlatar belakang gambar Dr Mahathir sejak semalam lagi.

Dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra hingga ke pusat bandar Kota Bharu terdapat pelbagai sepanduk yang menyokong dan mengalu-alukan kedatangan Dr. Mahathir bersama isterinya esok.

Di hadapan lapangan terbang terdapat kain pemidag besar berlatar belakangkan potret Dr Mahathir bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang bertulis, 'Tun Teruskan Perjuanganmu Yang Belum Selesai, Rakyat Kelantan Bersamamu'.

Slogan-slogan lain yang tertera di kain-kain pemidang ialah 'Selamat Datang Tun Dr Mahathir ke Kelantan', 'Selamatkan Maruah Agama, Bangsa dan Negara', 'Tun Dr Mahathir Mohamad, Jasamu Tidak Ternilai Ingatan Sepanjang Masa' dan 'Teruskan Perjuangan Tun'.

Poster-poster mengajak orang ramai datang ke program bersama Dr Mahathir di Hotel Perdana, 28 Julai 2006 jam 3 petang pula ditampal di batang-batang pokok di hampir semua jalan-jalan utama.

Risalah menjemput orang ramai hadir ke majlis sambutan Dr Mahathir di lapangan terbang pagi esok juga diedarkan ke merata-rata tempat.

Majlis tersebut dianjurkan bersama Jawatankuasa Penaja Alumni Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang dipengerusikan Tan Sri Abdullah Ahmad. Sebahagian besar ahlinya terdiri daripada ahli-ahli veteran Umno negeri.

Jurucakap penganjur majlis tersebut, Datuk Azhar Rani yakin ramai ahli-ahli Umno akan datang menghadiri majlis bersama bekas Perdana Menteri itu.

Katanya, majlis itu terbuka kepada semua rakyat dan beliau menjangka 5,000 hingga 6,000 orang akan menghadiri majlis tersebut.

Menurutnya, pihak penganjur juga mendapat kelulusan pihak polis bagi menganjurkan majlis tersebut pada jam 3.30 petang di Hotel Perdana serta jamuan makan malam anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) di Hotel Riverview.

“Kami menghantar undangan kepada semua ahli dan pemimpin Umno Kelantan, termasuk Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Annuar Musa.

Ditanya sama ada Annuar (foto) telah memberi jawapan terhadap jemputan tersebut, Azhar berkata, para jemputan tidak perlu membalasnya tetapi hanya perlu kad jemputan ketika datang ke majlis tersebut.

“Malah kami menjangka ahli Umno dari negeri lain, terutama dari Terengganu, akan turut sama menghadirinya ekoran keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi Selasa lalu yang tidak menghalang ahli dan Umno bahagian menganjurkan majlis dengan Tun Dr Mahathir,” katanya.

Menurutnya, Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat (foto) dan beberapa pemimpin PAS negeri itu juga telah menyatakan persetujuan mereka untuk menghadiri majlis tersebut.

“Setakat ini, segala persiapan berjalan lancar. Kami tidak menjang apa-apa masalah atau halangan dari mana-mana pihak.

“Tun Dr Mahathir dijadual tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada kira-kira jam 10.30 pagi. Beliau akan dibawa dengan perarakan kereta dan motosikal oleh anggota badan bukan kerajaan (NGO), menuju ke hotel penginapannya,” katanya.

Sementara itu, kelab penyokong Dr Mahathir (Gen-M) akan menghantar beratus-ratus ahlinya ke Kota Bharu bagi memeriahkan majlis berkenaan.

Jurucakapnya berkata, ahli-ahlinya dari Utara, Selatan dan ibu negara telah bertolak ke Kelantan tengah hari tadi dan dijangka tiba di Kota Bharu malam ini.

Kelab itu juga akan mengedarkan 900 helai baju-T di Kota Bharu esok sempena kunjungan bekas Perdana Menteri ke negeri itu.

Jurucakapnya berkata, 500 helai dibawa dari Kuala Lumpur manakala 400 lagi disediakan oleh kelab Gen-M Kelantan yang baru ditubuhkan.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan, terutama dari Kelantan yang berminat untuk mendapatkan baju-T tersebut.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59