Friday, 30 June 2006

SIAPA YANG KAYA RAYA DAPAT PROJEK RM92.85 JUTA UNTUK PROJEK SG MELAKA FASA KETIGA



Projek pembersihan dan pengindahan Sungai Melaka, yang kini memasuki fasa ketiga, akan dapat menambahkan lagi nilai produk pelancongan negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Menurut Mohd Ali, melalui fasa ketiga itu, sejumlah RM92.85 juta telah diperuntukkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Katanya, projek pembersihan dan pengindahan sungai itu dijangka mengambil masa selama satu tahun untuk disiapkan sepenuhnya dan ia bakal mempunyai beberapa ciri-ciri menarik seperti pembinaan sebuah ‘tidal barrage'.

“Dengan adanya ‘Tidal Barrage’ yang terletak di kawasan muara Sungai Melaka ini, ia akan dapat mengawal paras pasang dan surut air sungai dan secara tidak langsung, akan dapat mengurangkan bau lumpur terutama pada waktu air surut,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pembersihan dan Pengindahan Sungai Melaka Fasa 3 di tapak pasar borong lama, Taman Kota Laksamana.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Pengakutan negeri, Datuk Wira Poh Ah Tiam, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zaini Md Nor.

Sebelum ini, Mohd Ali berkata, projek bagi fasa 1 telah dimulakan pada 1 Julai 2002 dan siap 31 Ogos tahun lalu membabitkan perbelanjaan kira-kira RM91.2 juta dengan menampilkan ciri-ciri seperti tembok penahanan, loji rawatan sisa pembentungan (STP), River Walk, Broad Walk, wakaf, lanskap dan pencahayaan.

Sementara itu, fasa 2 pula dijalankan pada 1 November 2005 dengan kos RM49.5 juta dan dijangka siap pada bulan Jun 2007. Antara lain, projek ini melibatkan kerja-kerja susulan pembinaan untuk tembok penahan ‘Sewer Pipe’, laluan perjalan kaki serta Dataran Hang Tuah.

Persoalannya siapa yang kaya atau bertambah kaya selepas ini?


YB SALAHUDDIN CERAMAH DI BUKIT BARU 2 JULAI


Ketua DPP Pusat YB Salahuddin Ayub akan menghadiri satu jamuan Hi-Tea dan berceramah di Markaz PAS Bukit Baru pada 2 Julai 2006.

Jamuan Hi-Tea akan bermula pada jam 4.00 petang. Selain jamuan beliau juga akan menyampaikan ucapan ringkas dalam majlis tersebut.

Pada sebelah malamnya ceramah perdana akan diadakan dimana penceramahnya ialah YB Salahuddin dan Ketua DPPN Melaka, Us Kamaruddin Sedik.

Seluruh rakyat negeri Melaka di jemput hadir.


Tuesday, 27 June 2006

TRADISI 'YES MAN' AHLI DAN PEMIMPIN Umno DITERUSKAN


Sudah menjadi tradisi pemimpin dan ahli Umno bahawa mereka akan taat setia kepada pemimpin yang berkuasa tanpa usul periksa. Ini adalah kerana mereka berpegang kepada akidah bahawa ketaatan yang tidak berbelah bagi sudah tentu akan 'mengenyangkan' perut mereka dengan habuan pangkat dan kekayaan.

Keadaan lebih ketara sejak pemerintahan Dr Mahathir kerana beliau sendiri mengamalkan politik cantas kepada sesiapa yang tidak taat kepadanya. Inilah yang di alami oleh Anwar Ibrahim dan beberapa bekas pemimpin Umno yang lain.

Tetapi beberapa pemimpin Umno menyangkal dakwaan bekas Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan mereka sebagai ‘Pak Turut’ dalam memberi sokongan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebaliknya mereka menegaskan, tindakan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Presiden Umno itu kerana mamatuhi tradisi parti.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna mereka memberi sokongan secara membuta tuli kepada Abdullah

“Saya dan Ahli Parlimen lain tetap menegur Perdana Menteri dalam pelbagai isu dan beliau (Datuk Seri Abdullah) tidak pernah menyekat sebarang teguran terhadap pentadbirannya,” kata ahli Parlimen Sri Gading Mohamad Aziz.

Menurutnya, ahli parti telah dilatih oleh pemimpin Umno untuk taat setia kepada pucuk pimpinan parti sejak dulu lagi termasuk ketika zaman pemerintahan Dr. Mahathir.

“Ini dapat dilihat ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno, semua ahli memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada beliau.

“Kita menyokong Tun Dr Mahathir kerana beliau menjadi Perdana Menteri dan kini menyokong Abdullah kerana beliau Perdana Menteri kita. Pemimpin tidak menjadi kuat jika tidak ada orang yang menyokong,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini.

Dr. Mahathir pada Sabtu ketika berceramah di satu majlis di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor telah mengkritik ahli-ahli dan pemimpin Umno yang menyatakan sokongan membuta tuli kepada Abdullah berikutan kritikannya terhadap kepimpinan Perdana Menteri itu kebelakangan ini.

Dr. Mahathir juga menempelak ahli-ahli dan pemimpin Umno kerana memberikan ‘sokongan palsu’ kepadanya semasa beliau berkuasa dahulu tetapi kini mengenepikannya kerana menyokong Abdullah.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Azmi Abdul Rahman pula berkata, beliau tidak faham apa yang sebenarnya dicari oleh Dr Mahathir.

Katanya, Dr Mahathir mempunyai saluran untuk berjumpa dengan Abdullah bagi menyampaikan kekeliruan yang dialaminya.

“Saya menyokong Abdullah kerana beliau merupakan pemimpin negara pada waktu ini,” katanya.

Sementara itu, seorang Ahli Parlimen dari Perak yang enggan namanya disiarkan berkata, Dr Mahathir tidak perlu lagi bercakap kerana beliau tidak lagi mempunyai kuasa.

Katanya, Dr Mahathir perlu memberi peluang kepada Abdullah untuk memerintah tanpa sebarang campur tangan dari bekas Perdana Menteri.

“Era Tun Dr Mahathir sudah berlalu dan kerana itu tidak perlu lagi bercakap kerana tidak memberi sebarang makna lagi,” katanya.

Sementara itu malaysiakini juga cuba mendapatkan komen dari Setausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Hilmi Yahya dan bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Shafie Salleh tetapi gagal kerana mereka enggan mengulas.

Sumber : Malaysiakini


Monday, 26 June 2006

Nazri cabar Dr. M jadi 'jantan'


Kuala Lumpur 26 Jun : Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mencabar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohmad bertindak 'jantan' dengan keluar dari Umno secara sukarela.

Dalam sidang media yang hangat selama kira-kira 45 minit di lobi Parlimen hari ini, Nazri berkata, jika Dr. Mahathir terus kekal dalam Umno, beliau hanya akan menjadi kaki bangkang.

" Lebih baik kalau Dr. Mahathir bertindak jantan, tinggalkan Umno," katanya.

Komen keras Nazri pagi ini adalah serangan terbaru dari anggota kabinet Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap bekas Perdana Menteri itu selepas 'perang mulut' antara Dr. Mahathir dan kerajaan reda sejak seminggu lalu.

Sebelum ini ada spekulasi bahawa Abdullah dan Majlis Tertinggi (MT) Umno mahu memecat Dr. Mahathir ekoran kelantangan beliau mengkritik kerajaan. Bagaimanapun mesyuarat MT Umno pada Isnin lalu tidak membincangkan soal pemecatan tersebut.

Nazri turut mempertahankan menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin yang menjadi sasaran Dr. Mahathir dalam satu majlis dialog di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor Sabtu lalu.

“Orang tua berusia 81 tahun mahu bergaduh dengan orang muda berusia 31 tahun. Lebih baik Dr. Mahathir bergaduh dengan orang seusia dengannya.

“Semata-mata kerana dia marahkan seorang tokoh muda dia nak musnahkan negara ini," tekan Nazri lagi sambil mengisytiharkan perang terbuka dengan Dr Mahathir.

Sumber : Malaysiakini


Tuesday, 20 June 2006

DAP dakwa pengundi Cina kecewa dengan Ali Rustam


DAP mendakwa pengundi kaum Cina yang menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya lalu kecewa kerana Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menentang pembinaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK) di negeri itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pengundi juga meminta Mohd Ali yang juga Naib Presiden Umno, supaya membuat pendirian dalam isu pekerja perlu mahir bertutur Mandarin sebelum diambil bekerja.

Katanya, Mohd Ali tidak memberi pendirian yang jelas dalam isu bahasa Mandarin itu, melainkan hanya menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Saya ingin memberitahu bahawa masyarakat Cina mahu kerajaan membina SRJKC di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru," katanya.

Lim berkata, mengikut Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) nisbah purata guru dan murid ialah 1:17.2 berbanding 1:16.5 di negara maju.

Bagaimanapun, katanya, nisbah purata untuk sekolah menengah bukan aliran Cina ialah antara 25 hingga 30 pelajar di kawasan luar bandar dan 35 hingga 40 di kawasan bandar.

"Bagaimanakah pelajar sekolah menengah aliran Cina boleh mendapat faedah jika seorang guru mengajar kelas yang mengandungi 40 dan 50 pelajar," soalnya.

Tuntutan yang munasabah

Menurut Lim, berdasarkan hujah ini, kaum Cina telah membuat tuntutan yang munasabah supaya kerajaan membina lebih banyak sekolah untuk kaum tersebut.

"Tindakan Mohd Ali yang menentang pembinaan bangunan baru sekolah Cina seolah-olah beliau menafikan sumbangan kaum itu dalam membangun dan memajukan negara ini," katanya.

Bebeberapa bulan lalu, kata Lim, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengatakan cukai yang dikutip dari kaum Cina akan disalurkan untuk memberi manfaat kepada negara, terutamanya orang Melayu.

Katanya, Dr Mahathir mengatakan Malaysia tidak akan menikmati kemakmuran seperti yang dikecapi sekarang jika tidak kerana sumbangan kaum Cina.

Lim berkata, kini sudah jelas bahawa sumbangan kaum Cina dihargai, tetapi malangnya permintaan supaya membina bangunan sekolah menengah Cina yang baru, tidak dilayan.

Mengenai isu pekerja perlu mahir berbahasa Mandarin, Lim berkata, Najib tidak faham bahawa majikan yang mengutamakan pekerja yang boleh berbahasa Mandarin tidak mengamalkan sikap perkauman.


Sumber : Malaysiakini


Friday, 16 June 2006

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN UCAP TAKZIAH ATAS KEMATIAN SEORANG LUMPUH DALAM KEBAKARAN DI BUKIT LINTANG SEMALAM


BUKIT LINTANG, AYER MOLEK 16 JUN : Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Bukit Katil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Kamal Mohd Said yang meninggal dunia apabila rentung dalam kejadian kebakaran sebuag rumah di Bukit Lintang semalam.

Ucapan takziah tersebut disampaikan oleh Ketua DPPK Bukit Katil ketika dihubungi pagi ini.

"Kami merasa sedih atas kejadian yang menyayat hati ini dan berharap keluarga Allahyarham sentiasa tabah menghadapi dugaan ini" kata Hj Salamat Ketua DPPK Bukit Katil dengan nada sedih.

"Kami juga berdoa semoga roh Allahyarham Mohd Kamal di cucuri rahmat oleh Allah S.W.T.

Dalam kejadian semalam Mohd Kamal yang lumpuh cuba menyelamatkan diri dengan merangkak menuju pintu rumah yang sedang marak dijilat api tetapi gagal, menyebabkan dia rentung dalam kebakaran di rumah abangnya di Bukit Lintang.

Mayat Mohd Kamal Mohd Said, 47, yang lumpuh sejak kecil dijumpai dalam keadaan merangkak di ruang tengah rumah berkenaan.

Ketika kejadian jam 4.15 petang itu, mangsa tinggal seorang diri manakala enam ahli keluarganya termasuk empat cucu saudaranya tiada di rumah.

Menurut anak saudaranya, Norasyikin Zakaria, 31, ketika kejadian dia bekerja manakala empat lagi anaknya yang masih kecil dijaga kakaknya yang tinggal tidak jauh dari rumah yang terbakar itu.

Beliau berkata, bapanya, Zakaria Mohamad, 68, yang turut tinggal di situ juga tiada di rumah kerana menoreh getah.

Norasyikin berkata, arwah lumpuh sejak kecil dan tinggal bersama mereka serta terpaksa menggunakan kerusi roda apabila ingin bersiar-siar.

Zakaria yang ditemui pula asyik melaungkan Allahhu Akhbar beberapa kali bagi menenangkan perasaan apabila melihat adik iparnya rentung.

Sementara itu, Penolong Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, R Ezhumalai, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu jam 4.29 petang.

Katanya, sebuah kereta bomba bersama lapan anggota diketuai Ketua Penjaga Bomba Bukit Katil, Baharuddin Ismail bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba rumah tradisional berusia 80 tahun itu sudah musnah dijilat api.

Beliau berkata, kebakaran itu dipercayai bermula di bahagian tengah rumah berkenaan.

Menurutnya, kerugian dianggarkan kira-kira RM120,000 dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Mangsa dipercayai mati akibat terhidu asap tebal dan kemudian rentung. Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

Sumber : Harian Metro


Thursday, 15 June 2006

NAJIB LEBIH ALIM DARI TOK MUFTI


MELAKA 15 JUN : Nampaknya Timbalan Perdana Menteri lebih alim dari Tok Mufti apabila seolah-olah tidak mahu menerima pandangan Mufti dan para ulama dalam hal sambutan Kongsi Raya. Dari reaksi Najib nampak jelas yang beliau semacam tidak bersedia untuk menerima pandangan ulama' ini. Memanglah sikap Islam Hadhari yang sememangnya menolak ulama'. Mereka lebih gemar ikut logik akal sahaja.

Para ulama yang menghadiri satu muzakarah di Ipoh meminta kerajaan mengkaji semula beberapa amalan seperti perayaan kongsi raya dan rumah terbuka bagi memastikan ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Muzakarah Ulama 2006 Datuk Seri Harussani Zakaria berkata ia perlu kerana Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan bahawa meraikan perayaan agama lain, merosakkan akidah dan boleh menjurus kepada perbuatan syirik.

"Perkara ini (keputusan Jawatankuasa Fatwa) bagaimanapun masih dalam bentuk penulisan dan belum lagi diserahkan kepada kerajaan untuk tindakan," katanya pada majlis penutupan muzakarah berkenaan hari ini.

Menurut laporan Bernama, muzakarah itu turut merumuskan 22 resolusi lain yang akan diserahkan kepada Sultan Perak, kerajaan negeri, kerajaan pusat serta Majlis Raja-raja.

Harussani, yang juga Mufti Perak, berkata antara resolusi yang diluluskan ialah meminta semua Majlis Fatwa negeri menubuhkan jawatankuasa bertindak khusus bagi menangkis sebarang hujah penganut fahaman liberalisme dan pluralisme yang menyerang akidah umat Islam.

Kerajaan juga diminta menubuhkan badan pemantau dianggotai ahli akademik dan ulama bagi menyekat penyebaran fahaman Islam liberal terutama menerusi internet.

"Saya juga difahamkan pengikut fahaman Islam liberal sedang menunggu resolusi ini supaya mereka dapat merangka strategi baru bagi menyerang balik keputusan ini," kata Harussani.

Muzakarah itu juga mencadangkan dialog diadakan melibatkan pelbagai pihak termasuk pengikut aliran Islam liberal dan agama lain untuk membetulkan salah tafsiran mengenai agama Islam serta memahami pandangan penganut agama lain.


JANGAN TIDUR LAGI. AYUH BANGUN PACU PERJUANGAN


Ayuh para pejuang Islam jangan duduk diam berpeluk tubuh lagi. Mari kita terus mara ke hadapan untuk memikul amanah untuk mempertahan dan mendaulatkan Islam di atas dunia ini.

Ayuh mari kita sahut cabaran dan harapan Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar Muktamar PAS ke-52 pada 7, 8 dan 9 Jun baru-baru ini.

Ucapan yang cukup bernas, padat, relevan dan boleh di jadikan panduan untuk mendepani perjuangan ini.

Jangan ada lagi ahli-ahli jemaah yang tidur lena kerana sekarang ini Islam dipijak, di hina, di tekan, di fitnah di serata pelusuk dunia.

Menjadi Fardhu Ain kepada kita untuk membela dan memperjuangkannya. Apakah kita ingin melihat Allah menggantikan kita dengan satu kaum lain untuk membela Islam.

Pimpinan kita siang malam memikirkan cara untuk meneruskan kesinambungan perjuangan para Rasul ini. Kita sebagai mata rantai kepada perjuangan ini mesti meyahut dan memikul beban amanah perjuangan ini walau dengan apa cara sekalipun.

Sahabat kita di Palestin berjuang dengan nyawa mereka berhadapan dengan Israel dan PLO/Fatah (Umno Palestin). Namun mereka tetap teguh meneruskan perjuangan tanpa menoleh kebelakang. Takkan kita yang berjuang secara aman melalui medan dakwah dan pilihanraya masih malas umpama tunggul kayu yang tidak bernyawa.

Peluang untuk berjihad terhidang di depan mata. Jihad kita belum sampai ke tahap mengorbankan nyawa hanya setakat pengorbanan harta benda, masa dan buah fikiran. Takkan itu pun kita kedekut untuk korbankan.

Melihat kepada situasi politik mutakhir ini, kita melihat bahawa pilihanraya semakin hampir. Maka kita mesti menyusun saf kita dengan lebih teratur dan rapi. Jangan ada lagi organ parti dan jemaah yang masih 'hidup segan mati tak mahu'.

Kita semua tahu bahawa perpaduan dan kemantapan serta penyusunan gerakerja yang rapi dan sistematik menjadi formula kepada kejayaan kita. Kita tidak akan dapat menewaskan kebatilan andai kata kita lemah dan tidak bekerja dengan kemas dan sistematik. Allah tidak akan menolong kita andai kata usaha dan gerakan kita sambil lewa sahaja.

Situasi politik tanahair juga nampaknya semakin tidak menentu. Pergeseran antara PM 'pencen' Tun Mahathir dan PM yang paling lemah dan lembik, Imam Al-Badawi Wal Hadhari juga seakan-akan memberikan impak yang besar kepada kita. Kita mesti mengambil kesempatan ini untuk memperhebatkan gerakan dakwah kita.

Namun kita mesti berhati-hati kerana situasi ini mungkin merupakan strategi mereka untuk membuatkan kita berasa selesa dan selamat dengan mengharapkan isu pergeseran mereka membantu kita.

Sudah acap kali pemimpin kita menjelaskan bahawa faktor kemenangan kita bukannya disebabkan isu tetapi yang paling penting ialah samada kita kuat, mantap dan mampu melakukan gerakerja secara teratur dan tersusun.

Oleh itu ayuh teman-teman, mari kita terus menyusun langkah jangan tunggu-tunggu lagi.

Andai kita tewas setelah berusaha sedaya mungkin, Insya Allah kita akan terlepas dari siksaan Allah. Tetapi sebaliknya kalau kita hanya berharap kepada pertolongan Allah tanpa berusaha semaksima mungkin maka tunggulah saat di mana kita akan di tanya dan di soal oleh Nya.

Allahu Akhbar! Allahu Akhbar! Allahu Akhbar!


Monday, 12 June 2006

SETELAH FITNAH TUAN GURU PRESIDEN BERITA HAIRAN CUBA LAGA-LAGAKAN PEMIMPIN PAS PULA.


Tajuk Akhbar Berita Harian hari ini : Pemimpin kanan Pas tak setuju

MELAKA 12 JUN : Akhbar Berita Harian hari ini cuba melaga-lagakan Presiden dan pemimpin PAS lain apabila menyiarkan berita bahawa beberapa orang pemimpin PAS tidak bersetuju dengan kenyataan Tuan Guru Presiden. Tajuk akhbar itu seperti mahu mewar-warkan bahawa terdapat percanggahan pendapat antara mereka.

Walhal isu sebenarnya ialah Berita Harian dari awal lagi telah melemparkan fitnah kepada Tuan Guru Presiden dengan menyatakan Tuan Guru menggalakkan peserta demonstrasi melempar batu kepada polis. Kenyataan Tuan Guru telah diselewengkan dan disensasikan. Inilah kerja sebenar akhbar arus perdana yang sentiasa mencari publisiti murahan dan kesempatan untuk memburuk-buruk PAS dan pemimpin PAS.

Akhbar tersebut hari ini melaporkan bahawa beberapa pemimpin kanan Pas, termasuk Dewan Pemuda dan Muslimat, tidak bersetuju dengan saranan presiden mereka, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang supaya ahli melontar batu kepada pihak berkuasa yang menghalang demonstrasi jalanan.

Walaupun, mereka mengaku demonstrasi satu pendekatan yang akan diteruskan Pas untuk menyuarakan rasa tidak puas hati rakyat dalam pelbagai isu, ia mesti secara aman, bukannya bertindak balas dengan membaling batu.

Hadi, ketika bertemu media selepas menutup Muktamar ke-52 parti itu di Kompleks Pas Kedah Jumaat lalu, berkata walaupun ada pihak yang mengadakan demonstrasi di luar negara menggunakan senjata, Pas berasakan membalas tindakan polis dengan menggunakan batu adalah memadai.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa semalam bagaimanapun berkata, beliau percaya apa dimaksudkan Hadi itu merujuk kepada demonstrasi aman tetapi keadaan tidak terkawal boleh berlaku jika pihak berkuasa melakukan provokasi.

“Dalam demonstrasi secara aman sebelum ini tak ada kejadian baling batu berlaku. Saya yakin tiada ahli Pas sampai ke tahap itu dan saya rasa apa dimaksudkan Presiden adalah demonstrasi aman akan berlaku jika polis tidak mengganggu,” katanya.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, berkata dewan itu tidak pernah meminta ahli merancang melakukan tindak balas terhadap polis, mahupun membawa senjata ketika menyertai demonstrasi aman anjuran parti itu.

“Saya sendiri pernah ditahan dan melalui proses undang-undang tetapi saya tidak pernah menggalakkan anak buah bertindak ganas. Sudah banyak demonstrasi saya pimpin dan belum ada lagi kes membaling batu, kalau pun ada ia berlaku dengan sendiri atau spontan berdasarkan keadaan,” katanya.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat, Dr Lo’ Lo’ Ghazali, juga berkata pihaknya tidak pernah meminta ahli bertindak balas sebaliknya mahu mereka menghentikan demonstrasi jika ada tindakan daripada pihak berkuasa.

Katanya, strategi itu perlu kerana tidak mahu pihak tertentu mengambil kesempatan untuk memburukkan imej parti.

“Kita sering kali ingatkan ahli supaya apabila ada unsur provokasi maka hentikan demonstrasi, malah jika ditangkap, jangan melawan. Jadi pada pandangan saya, demonstrasi Pas adalah secara aman.

“Tidak timbul soal membalas balik kepada pihak berkuasa tetapi jika dikongkong sangat pun maka kemarahan pengikut akan meluap-luap,” katanya.

Adalah diharapkan semua ahli PAS dan pencinta Islam supaya berhati-hati dengan laporan akhbar yang sentiasa cuba mengelirukan pemikiran rakyat.


Sunday, 11 June 2006

UCAPAN DASAR PRESIDEN DALAM MUKTAMAR PAS KE-52 PADA 7 JUN 2006




MEMULIHKAN DEMOKRASI MENDAULATKAN ISLAM .

Oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

FirmanulLah SWT yang bermaksud:

Dan Kami hendak memperkasakan mereka dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya).

(Surah Al-Qasas : Ayat 5)

Muqaddimah Alhamdulillah, kita merafa'kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Azza Wajalla, dengan Taufiq dan InayahNya sahajalah, kita dapat sekali lagi berhimpun pada kali ini buat sulung kalinya, di Kompleks PAS Kedah, Alor Star, Kedah Darul Aman.

Pada kesempatan ini, izinkan saya bagi pihak kepimpinan PAS Pusat dan juga Panitia Muktamar ke-52 kali ini, dengan rasa penuh kesyukuran dan berbesar hati, mengalu-ngalukan kehadiran para tetamu kehormat dari luar mahupun dalam negara, para perwakilan dan seterusnya para pemerhati yang dimuliakan lagi dikasihi sekelian dengan ucapan "Ahlan Wasahlan wa Marhaban Bikum" - "Salam Sejahtera dan Selamat Datang".

Alhamdulillah, dengan mengangkat tema "Paksi Kebangkitan Perjuangan" pada muktamar lalu, yang menggariskan sendi-sendi penting dalam memperkukuhkan kemantapan jamaah dan mentajdidkan tandzim, ia sekaligus telah menjadi asas utama dalam melonjakkan kembali daya juang dan gerak kerja politik dan kelancaran dakwah kita. Dengan segala rendah hatinya, saya ingin menyebutkan bahawa sedikit sebanyak dari penelitian umum dan juga tinjauan penyelidikan yang kita lakukan, usaha-usaha ini telah meninggalkan kesan yang positif serta peningkatan pengharapan rakyat terhadap kepimpinan PAS dan rakan-rakan politiknya dalam usaha-usaha ke arah perubahan, penambahbaikan dan pengislahan.

Tidak keterlaluan kalau saya lanjutkan bahawa latarbelakang senario politik kini sarat dengan pendedahan kebejatan rasuah serta kepincangan demokrasi dan ketimpangan kepimpinan pemerintahan kerajaan Umno/BN. Dengan pengharapan rakyat amnya dan ummat Islam khasnya, bagi menyaksikan reformasi dan pengislahan benar-benar berlaku di negara ini, maka tema muktamar ke-52 ini, saya lanjutkan komitmen kita untuk meneruskan agenda "Memulihkan Demokrasi, Mendaulatkan Islam". Ini bagi merancakkan lagi usaha-usaha pendemokrasian bagi melebarkan sokongan terhadap pengislahan dan pembebasan rakyat serta meletakkan kedudukan Islam pada tempatnya yang sewajarnya.

Tuan-tuan tetamu kehormat, para perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekelian,

Sebagai sebuah Gerakan Islam yang serentak berperanan selaku sebuah badan politik, PAS secara terbuka dan penuh iltizam akan terus berjuang menjunjung tinggi segala titah perintah Allah Azza Wajalla bagi mengingatkan ummat Islam khasnya untuk terus mengabdikan diri dan berta'abud kepada Allah Azza Wajalla secara individu mahupun secara kolektif, berjamaah dan bernegara. Ini adalah paksi seruan Akidah dan Dakwah Islam, yang sesungguhnya adalah teras risalah "Dakwah ilalLah" seluruh para anbiya' wal mursaliin sejak berzaman yang seterusnya dipikul oleh para Salafus-Saleh serta para Ulama' wal 'Amiliin setiap zaman, selaku penerus Risalah ini sehingga Yaumul Qiyamah. Ummat Islam yang telah komited untuk menyahut seruan Dakwah ini diiktiraf Allah SWT seperti dalam FirmanNya:

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya".

Adapun di segi perjuangan dan tawaran politik kita secara tegasnya, PAS, samada bersendirian atau bersama-sama rakan rakan politiknya, akan terus komited untuk membebaskan serta memerdekakan seluruh ummat manusia di negara ini, dari belenggu kezaliman, rasuah dan kerakusan elit politik dan penindasan golongan yang angkuh, demi memakmurkan muka bumi Malaysia ini dengan Keadilan dan Kesejahteraan yang sebenarnya.

Firman Allah SWT lagi:


"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan demi Allah dan menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan".

Tuan-tuan tetamu kehormat serta para perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekelian,

Muktamar ke-52 ini juga kita langsungkan dalam keadaan negara masih dicengkam krisis ketidaktentuan dan rakyat dihimpit beranika ujian getir kehidupan yang berpanjangan, akibat urus-tadbir dan dasar-dasar kerajaan yang tidak peka terhadap penderitaan dan tidak peduli kesengsaraan rakyat. Perkara ini akan saya halusi dengan lebih mendalam kemudian.

SENARIO POLITIK ANTARABANGSA

Ada pun senario politik antarabangsa, di peringkat global sehingga kini, belum juga menunjukkan sebarang petanda kearah meredakan konflik dan pertentangan. Ini adalah ekoran dari tindakan sehala (unilateral) kuasa tunggal dunia yang semakin angkuh serta membelakangkan keputusan "Pelbagai-Hala" (Multi-lateral) anjuran Majlis Keselamatan Badan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Terkini dua 'ancaman besar' yang berpotensi mengheret dunia ke dalam kancah ketidakstabilan bahkan peperangan ketenteraan dengan impak ekonomi global yang amat parah, adalah tekanan kuasa dunia Amerika Syarikat bersama sekutunya ke atas Iran dan juga kerajaan Palestin pimpinan Hamas.

KERAJAAN HAMAS DALAM ANCAMAN

Mutakhir ini kerajaan Palestin pimpinan Hamas semakin menghadapi tekanan dan penindasan sejak mengambil alih pentadbiran melalui proses demokrasi. Kerajaan rejim Zionis-Israel telah menghentikan pemindahan hasil cukai bulanan berjumlah RM203.5 juta, disusuli pula tindakan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah membekukan bantuan bernilai beratus-ratus juta ringgit dan menyenaraikan kerajaan Hamas sebagai 'kerajaan penggganas'.


Pertempuran fizikal dengan seteru politik yakni Fatah, kian meruncing. Hamas terus disabotaj dan dikepung sehinggakan rakyat awam Palestin kini menghadapi kekurangan barang makanan harian, bahan perubatan serta keperluan harian mereka. Sementara itu pembunuhan kejam keatas anak-anak kecil, ibu-ibu serta pemuda-pemuda Palestin terus berlanjutan tanpa henti oleh tentera-tentera Zionis-Israel.

Kerajaan baru Hamas bertegas agar dunia Barat memperakui bahawa rakyat Palestinlah yang menjadi mangsa keganasan Zionis-Israel hasil penaklukan haram serta rampasan ke atas bumi mereka. Itulah dasar "Hudnah" atau "Gencatan" yang dimajukan oleh Hamas bagi mengatasi kemelut dan kedudukan buntu politik ini. Regim Zionis-Israel dan Barat pula mensyaratkan hanya akan berurusan dan memulakan perundingan dengan Hamas jika kumpulan pejuang itu mengiktiraf negara haram Israel dan menolak apa yang didakwa 'keganasan' pihak Hamas. Suasana terkini lebih menggawatkan ketika Mahmoud Abbas, pimpinan parti Fatah merangkap Presiden Palestin, juga menekan Hamas supaya mengiktiraf regim Zionis-Yahudi itu

PAS dan seluruh umat Islam mahukan masyarakat antarabangsa dan negara-negara umat Islam, supaya memberikan sokongan moral dan kebendaan bagi memungkinkan kerajaan Hamas atau Harakat Al-Muqawwamah al-Islamiyah yang dipilih secara demokratik, menunaikan amanah dan janji mereka untuk memberikan seluruh rakyat Palestin kebebasan dan kesejahteraan sebenar. Alhamdulillah, usaha PAS melancarkan 'Tabung Pertahankan Kerajaan Hamas' telah mendapat sokongan padu oleh rakyat dari segenap lapisan masyarakat dan setakat ini telah berjaya mengumpul hampir RM 3 juta.

Sementara PAS beserta masyarakat prihatin negara ini menunjukkan kesungguhan dan komitmen untuk menyaksikan kejayaan kerajaan Hamas diperkasakan secara demokratik, tindakan Malaysia, selaku Pengerusi Negara-negara Berkecuali (NAM), mencetus kontroversi diplomatik yang amat mengaibkan ketika menjemput Menteri Luar Palestin, Mahmoud Zahar dan bekas Menteri Luarnya Farouk Kaddoumi dari parti Fatah yang telah kalah dalam pilihanraya Mac lalu ke Mesyuarat Menteri-Menteri Biro Penyelarasan Negara-Negara Berkecuali (NAM-CoB) di Putrajaya baru-baru ini.

Tindakan kerajaan Malaysia yang bukan sahaja menjemput seorang bekas Menteri Luar dari parti Fatah yang sudah pun ditolak rakyat Palestin bahkan diiktiraf sebagai menteri luar Palestin yang 'rasmi', adalah amat memalukan negara dalam mesyuarat NAM itu, badan yang mewakili dan merangkumi dua pertiga penduduk dunia.


Rakyat menuntut penjelasan 'Mengapakah begitu tidak peka sekali kerajaan Malaysia ini, khasnya Menteri Luarnya yang tidak menghormati pilihan demokratik rakyat Palestin dan konvensyen antarabangsa. Ini membuka ruang kepada pelbagai spekulasi, yang antara lainnya mendakwa bahawa Malaysia di'cucuk hidungnya' oleh kuasa besar, meskipun bercakap besar memperjuangkan kepentingan negara berkecuali.

Bayangkan kalau perkara yang sama berlaku kepada kita, contohnya kalau mantan PM dijemput sekali dengan PM baru ini, tambahan dengan ketegangan yang sedang memuncak kini? Situasi ini tentunya lebih parah lagi kerana kedua-duanya dari parti yang berbeza; yang satu berkorban untuk rakyat Palestin dan yang satu lagi didakwa mengorbankan rakyat Palestin dengan rasuah dan penyelewangan mereka. Ini satu lagi kejayaan kerajaan Umno/BN dalam menyerlahkan kedangkalan dan kebebalan mereka tentang demokrasi yang sebenar.

Peristiwa ini mendapat liputan luas oleh akhbar antarabangsa.

Pun begitu, bantuan yang tuan-tuan dan seluruh rakyat prihatin di negara ini hulurkan, akan kami pastikan terus dihantar kepada kerajaan Hamas. Insyaallah, di hari yang terdekat ini seluruh bumi Palestin akan berjaya dibebaskan dan kita umat Islam akan dapat kembali beribadat di Masjid Al-Aqsa yang dimuliakan Allah dan RasulNya serta merupakan Qiblat pertama umat Islam.

IRAN DI AMBANG PEPERANGAN

Sehubungan persoalan kontroversi di sekitar pengkayaan uranium kerajaan Iran, yang didakwa oleh Amerika Syarikat sebagai jalan untuk mewujudkan keupayaan menjadi kuasa nuklear, PAS meyakini bahawa isu ini akan dapat ditangani dengan baik, seandainya tidak ada Kuasa Besar yang mendahului ketetapan Majlis Keselamatan dengan merujuk kearah penyelesaian 'Pelbagai-Hala' dan kesepakatan pihak yang diamanahkan secara rasmi. Sebarang alasan untuk menyerang Iran secara premptif, adalah tidak munasabah dan merupakan provokasi ketenteraan yang bakal mengundang risiko besar dan impak global yang mengancam keamanan dan kestabilan dunia antarabangsa.

KUASA BESAR PENJENAYAH PERANG?

Amat tidak wajar seandainya masyarakat antarabangsa sekadar berdiam diri menyaksikan tindakan premptif atau unilateral, seperti yang disaksikan ketika pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq dan Afghanistan. Ratusan ribu nyawa manusia yang terkorban dengan penderitaan yang lebih sengsara bagi mangsa yang kekal dalam kecacatan dan trauma dahsyat pasca-perang.


Masyarakat dunia menganggap tindakan pimpinan Bush dan Blair ini sebagai "Penjenayah Perang" kerana sehingga kini gagal membuktikan tuduhan dan dakwaan mereka bahawa Iraq memiliki Senjata Pemusnah Berskala Besar (WMD). Hari ini dunia mengisytihar mereka telah berbohong dan mengelirukan rakyat kedua-dua negara itu bahkan seluruh dunia. PAS mengingatkan dunia supaya tidak membiarkan Iran menjadi satu lagi mangsa dan korban jenayah perang negara umat Islam oleh kuasa dunia ini.

PAS dan seluruh umat dan gerakan Islam mahukan supaya dunia Barat terutamanya Amerika Syarikat menghentikan sikap prajudis dan prasangka buruk terhadap Islam dan ummatnya. Insiden mutakhir juga telah menyaksikan bagaimana perasaan ini dizahirkan dengan peristiwa biadab tentang penerbitan karikatur Rasulullah (saw) yang ditayang oleh sebuah akhbar harian Denmark dan diikuti di beberapa negara lain. Tujuan sebenar disebalik perbuatan jahat kesemua itu, masih menjadi tanda-tanya bagi semua pihak yang cintakan keamanan dan mendukungi prinsip hormat-menghormati dalam urusan beragama dan berbudaya.

PAS secara tegas membantah segala keganasan dan terrorisme dalam apa jua bentuk, samada bersifat jenayah mahupun yang ditaja oleh sebuah negara-bangsa (state-sponsored terrorism). PAS antara yang terawal mengutuk pengeboman Pusat Dagangan Dunia di New York serta menghantar ucapan takziah kepada keluarga mangsa serangan ganas itu. Kami juga antara yang terawal membantah kekejaman Amerika Syarikat serta sekutunya di Afghanistan, Irak dan kini di bumi suci Palestin.


PAS mahu mengingatkan dunia bahawa "Keganasan mencetuskan Keganasan" dan lingkaran ganas ini memang tidak ada penghujungnya. Dunia perlu memastikan punca-sebab keseluruhan gejala keganasan ini di iktiraf dan segera di atasi oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu itu. Juga begitu pimpinan Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam, OIC jangan sampai dipaksa umat Islam untuk mengangkat agenda ini sebagai keutamaan kritikal membela maruah umat Islam.

UNDANGAN PAS BAGI MENYELAMATKAN DUNIA DARI KEGANASAN.

Sehubungan dengan perkara ini, saya ingin mengulangi penegasan yang dibuat Al-Marhum Mantan Presiden PAS dalam Syarahan Perdana beliau atas isu Palestin dan Kemanusiaan (Mei 2002). Seraya mengungkap kembali pernyataan yang dibuat oleh sebuah buku berjodol Rogue State yang secara mengejut menjadi 'bestseller' selepas dari peristiwa September 11, 2001, beliau mencadangkan:

"Amerika telah menjadi penaja atau 'promoter' kepada pembinaan satu wajah tamadun manusia yang bersifat memusnah (zero-sum) atau 'destructive' dari segi perhubungan dan interaksinya. Bahkan sebaliknya, sebagai kuasa tunggal dunia, Amerika Syarikat harus bertindak selaku 'penaja' kepada pembinaan satu 'Tamadun Baru' yang berasaskan 'sinergi pelbagai tamadun yang berteraskan agama dan nilai-nilai sejagat".

Saya ingin untuk menegaskan kembali pendirian dan sikap PAS dalam hal hubungan Barat dan Islam, agar ianya tidak dilihat dari perspektif satu pertembungan yang sengaja digembargemburkan oleh media Zionis dan penulisan seperti "Pertembungan Tamaddun" (1996) oleh Professor Samuel Huntington. Manusia yang benar-benar bertamaddun pada hemat kami, tidak bertembung kerana hanya golongan yang tidak bertamadun sahaja yang menggunakan undang-undang rimba secara kekerasan, autokratis, kuku-besi dan kejam, dengan kesombongan slogan moto: "Kuasa itu Kebenaran" (Might Is Right). Bagi yang bertamadun mereka mendukungi kemuliaan prinsip "Kebenaran itulah yang Berkuasa" (Right Is Might), lantas memerdekakan manusia dari belenggu kezaliman dan penindasan mereka yang memperkosa kuasa.

Sesungguhnya Allah SWT memuliakan dengan karamah zuriat Adam (AS), sementara kekuasaan zalim di bumi menindas mereka dengan segala kekejaman. Perjuangan dan undangan Islam adalah sesungguhnya untuk mengembalikan kemuliaan dengan kemerdekaan kepada ummat manusia seperti yang dikehendakki Allah SWT dalam FirmanNya

Yang bermaksud:"Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan".

Tuan-tuan tetamu yang dihormati serta para perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekelian,

NEGARA TERUS DALAM KRISIS BERPANJANGAN

Rentetan pergolakan politik tanahair sejak kita bermuktamar tahun lalu, jelas menunjukkan beberapa petanda buruk yang semakin meruncing dan kritikal hari demi hari. Rakyat di negara ini akan terus berada didalam ancaman gugatan ini; samada disudut pengurusan ekonomi, rasuah dan penyalahgunaan kuasa mahupun di segi ancaman keharmonian beragama serta perpaduan antara kaum.

Tidak kurang mencemaskan adalah gejala keruntuhan akhlaq para remaja, muda-mudi yang hanyut dengan hiburan diluar batas moral dan agama, yang semakin rancak ditaja oleh pihak-pihak tertentu. Turut mengancam adalah pendedahan pelbagai insiden berleluasa pencemaran serta pemerkosaan alam sekitar yang tentunya juga berpunca dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa, yang keseluruhannya berpotensi mengancam bahkan meninggalkan risiko besar terhadap kelangsungan survival dan daya saing negara-bangsa ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud:


"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

Secara prinsip dan dasarnya, PAS menganalisis krisis ini sebagai natijah langsung kegagalan ideologi, falsafah serta fahaman parti pemerintah, yang secara langsung mendasari beranika kecelaruan polisi dan amalan rakus urus-tadbir kerajaan BN ini.

Justeru kerana terus diberi 'subsidi' dan sokongan oleh rakyat, ekoran daripada rakyat yang diperangkap dalam kongkongan ketakutan dan pengurusan kuku-besi 'Akujanji', maka kerajaan BN kekal dalam 'sindrom penafian' dan ketidakpedulian. Inilah petualang dan faktor besar yang mengekang pembebasan rakyat serta pemulihan amalan demokrasi yang sihat, matang dan bermaruah.

Dalam kemelut bersimpang-siur beranika fahaman liberal dan anutan longgar serta 'berpilih-pilih' terhadap Islam, saya pada muktamar ini, sekali lagi mahu menekankan pertanggungjawaban kita umat Islam terhadap tuntutan Syariat Allah serta keperluan menekankan kembali persoalan beraqidah secara sejahtera dan benar.

PEMERKASAAN AGAMA - TUNTUTAN UMAT KINI

Islam adalah ad-Deen atau satu cara hidup yang telah disempurna-lengkapkan oleh Allah SWT sebagai sistem yang menyusun-atur seluruh kehidupan manusia seperti yang firmankan Allah SWT Yang bermaksud:


"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Nas-nas samada berbentuk Aayatul Ahkam atau Ahaadith Al-Mutawaatirah yang bersifat Qat'iy (Muktamad) adalah teras kepada persoalan-persoalan Aqidah, Syariah dan Akhlaq. Prinsip-prinsip ini merupakan perkara-perkara yang ditetapkan Ulama sebagai "Al-Thawaabit" atau "Tetap" dalam Islam dan tidak berubah dan juga tidak terbatas atau tertakluk kepada peredaran zaman atau perbezaan tempat. Walau apapun label Islam yang hendak kita berikan kepada kelompok kita masing-masing, Liberal atau Hadhari, tidak ada kompromi dan pilihan untuk umat Islam mengambil pendekatan 'berpilih-pilih' dalam hal dan urusan pokok ini.

Peringatan yang sekaligus merupakan ancaman Allah SWT dalam FirmanNya

Yang bermaksud : "Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan".

Memilih untuk menyimpang darinya, membayangkan kejahilan kita terhadapnya, sekaligus adalah pilihan untuk meninggalkan asas-asas Agama dan Aqidah yang sejahtera. Perkara-perkara ini adalah disepakati ulama muktabar sejak berzaman dan terdapat dalam kitab-kitab Turath ummat ini.

IJTIHAD - MENDEPANI PELBAGAI KEMELUT KEMODENAN

Adapun dalam perkara-perkara yang tertakluk kepada perubahan zaman dan tempat, Islam selaku Ad-Deen yang diutuskan kepada Rasulallah (saw) sebagai Nabi akhir zaman menggariskan prinsip-prinsip yang dengannya meletakkan Islam mampu menangani segala macam permasalahan manusia yang berubah-ubah dengan metodologi Ijtihad, Ijma' dan Qiyas.


Urusan ini tergolong dalam perkara-perkara yang dikatakan oleh para Fuqaha sebagai Al-Mutaghayyirat atau 'Yang Boleh Berubah' dalam lingkungan perkara-perkara Umurun Ijtihadiah. Hal ini amat jelas diistinbatkan dengan peristiwa ketika Rasulullah (saw) menghantar Muadz Ibn Jabal ke Yaman dengan dialog Baginda (saw) yang mayshur sekaligus telah dijadikan sandaran nas para Ulama' dalam perkara ini.

Ada juga pemikir kontemporari Islam kini mengistilahkannya dengan Al-Faragh atau "Ruang/Space" yang sememang menjadi keperluan kepimpinan Islam dalam sesuatu zaman dan tempat untuk menentukan 'maslahah' atau kepentingan ummat dan negara berdasarkan pelbagai metodologi Fiqh. Di sini diperlukan pengembelengan seluruh tenaga Ulama, Ilmuan dan profesional serta cerdik pandai Islam supaya meletakkan Islam terus releven dan mampu menangani apa jua permasalahan masyarakat manusia.


Ia bukan sahaja menekankan tentang aspek 'Murunah' atau Keanjalan Islam, tetapi lebih penting dari itu, menerokai aspek 'Ijtihad' dalam hal urusan hidup yang terbit dari perkembangan masyarakat manusia kontemporari di mana di sana tidak ada nas yang boleh disandarkan.

Parti yang berteraskan Islam yang teguh, mesti terus memperkasakan ulama' bagi mengkeupayakan parti di atas landasan yang istiqamah, memantapkan ahli dengan aqidah, ilmu syariat dan juga ilmu duniawi, akhlak Islam secara iltizam dan mengembalikan Islam menjadi penilaian manusia yang tenggelam dalam masalah yang gagal ditangani oleh semua ideologi dan undang-undang bikinan manusia.

Maka ulama' hendaklah memasuki medan ijtihad dalam masalah baru yang tidak ada nas dan situasi perubahan yang diingini oleh Syarak. Ulama' perlu terus memimpin Gerakan Islah dan tajdid bagi menangani kesesatan dan kerosakan yang telah berleluasa dan di luar kawalan moral dan ajaran agama langit.

Gabungan secara kolektif dengan semangat ukhuwah jamaah di kalangan para ulama' dan cendekiawan Islam dari berbagai ilmu dan bidang, perlu diteguhkan lagi bagi memungkinkan cabaran-cabaran baru ini didepani dengan baik dan berkesan.

PENINGKATAN SERANGAN TERHADAP ISLAM - SEBAB APA?

Mutakhir ini wujud satu gagasan yang jelas ditanggapi oleh sebahagian besar umat Islam yang sengaja mempertikaikan sedikit peruntukan Islam yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan. Bermula dengan usaha-usaha untuk menubuhkan Majlis Antara Agama yang bertukar menjadi satu Suruhanjaya yang diberi nama Suruhanjaya Antara Agama, Malaysia atau IFCM, kegiatan kelompok ini malangnya kerap mencetuskan kontroversi dan dilihat mahu mencampuri bahkan 'mencerobohi' amalan dan kepercayaan umat Islam.


Pada setiap kontroversi yang membabitkan pertikaian terhadap Islam, dikesani wujud kelompok dan golongan tertentu yang memainkan peranan yang aktif dengan secara terbuka. Pada setiap kontroversi pula mereka akan berhujjah peri-pentingnya mewujudkan IFCM itu bagi jalan untuk menyelesaikan permasalahan antara agama-agama tersebut.

Sedikit waktu lalu heboh dengan krisis pengendalian dan pengebumian Allahyarham Muhammad Moorthy yang serentak sengaja membesar-besarkan kelemahan-kelemahan urus-tadbir Mahkamah Syariah. Malangnya yang menjadi sasaran serangan dan tomahan mereka ialah Islam kerana dipersepsi tidak adil dan menafikan hak bukan Islam dalam perlaksanaan undang-undang Islam. Terdapat juga golongan yang mendakwa bahawa berlaku 'penulisan semula perlembagaan ke arah sebuah Negara Islam secara senyap-senyap'. Yang dimaksudkan ialah pindaan perlembagaan tahun 1988 pada 121(1A) yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syari'ah. Hasutan seperti ini tentunya meninggalkan impak besar kepada pihak masyarakat sivil lantas menggugat ketenteraman awam.

Tidak kurang hebat adalah cabaran yang mempertikaikan kewibawaan Mahkamah Syariah sendiri dalam pengurusan pindaan Undang-undang Keluarga Islam Wilayah. Rentetan insiden insiden ini jelas memaparkan satu kehendak dan tuntutan golongan tertentu yang cukup prajudis terhadap Islam. Anehnya, golongan ini ketika dicabar untuk mempertahankan hujjah secara ilmiah dan berpaksikan sandaran nas agama, tidak pula berkemampuan untuk menukar apa-apa dari Rang Undang-undang tersebut. Dengan kata lain mereka hanya mampu meyakinkan pihak-pihak yang jahil tentang Islam serta bertujuan menebalkan prajudis orang bukan Islam terhadap Islam.

Firmanullah SWT yang bermaksud :


"Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)".

PAKATAN ARTICLE 11 - MEROSAK KETENTERAMAN NEGARA.

Paling terkini ialah 'road-show' Pakatan Article 11 yang sedang dianjurkan di seluruh negara bagi kononnya, menjelaskan hak rakyat untuk 'menganut dan mengamalkan agama pilihan mereka' seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11. Pakatan ini yang terdiri dari bukan sahaja golongan bukan Islam, bahkan juga orang-orang Islam, khasnya dari pengamal undang-undang di negara ini.


Paling mencabar umat Islam adalah pencerobohan ke dalam amalan agama umat Islam, yang antara lainnya, mahukan maksud peruntukan Perkara 11 itu, membawa erti "kebebasan untuk meninggalkan agama atau murtad'. Dengan kata lain mereka secara terang-terangan mempertahan hak orang Islam untuk keluar atau murtad dari Agama Islam sebagai sebahagian dari hak asasi manusia serta kebebasan beragama.

PENGGEMBLENGAN TENAGA UMAT PERTAHANKAN ISLAM

Dalam kemelut dan krisis untuk mencabar Agama Islam yang sudah pun cukup terhad bidang kuasanya, maka adalah merupakan tanggungjawab setiap peribadi Muslim amnya dan pihak berwajib khususnya, tidak terkecuali badan-badan Islam bukan kerajaan Islam (NGO) dan terutamanya parti Islam sendiri PAS, untuk mempertahankan kedudukan Agama Islam di negara ini. Beranika tuduhan dilemparkan ke arah Islam dan Mahkamah Syariah yang telah pun terkepung sejak berzaman, secara melulu tanpa mengenalpasti apakah punca-sebab masalah tersebut tercetus.

Apakah ia perkara dasar atau 'substantif' ataukah kerana beberapa kekurangan perlaksanaan di segi prosedur atau tatacara. Mengapakah Perkara 121(1A) spontan didesak supaya dipinda bahkan ada yang menekan supaya ia dimansuhkan. Bukankah itu melulu, melampau dan menggunakan istilah yang sama digunakan oleh seorang menteri di JPM, 'bodoh' namanya? Apakah menteri berkenaan telah kaji secara teliti dan mendalam serta merujuk kepada Pejabat Peguam Negara termasuk dengan mengadakan dialog atau wacana bersama tokoh-tokoh ulama, akademik, ilmuan di bidang undang-undang baik sivil mahupun Islam?

Ia tentunya tidak dapat diselesaikan dengan cara mengadakan 'road-show' di seluruh negara oleh satu pihak sahaja. Kalau itu dikatakan demokrasi, maka ia telah pun mengundang respons demokrasi yang spontan yang kini didakwa melampau. Namun siapa pencetusnya? Siapa pula mengizinkannya? Siapakah yang sebenar-benarnya 'menghijack' kebebasan dan demokrasi di negara ini?

Bagi kesempurnaan rakaman, izinkan saya menyebutkan juga bahawa tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara ini, kedudukan Islam dicabar sedemikian rupa sehingga rakyat masih ingat kes 9 Menteri Kabinet yang menghantar Memorandum kepada Perdana Menteri mendesak meminda Perkara 121 (1A) yang sekaligus memaparkan sikap ringan mereka terhadap sensitiviti beragama dan persoalan ketenteraman antara kaum dan keharmonian antara agama.


Keberanian ke tahap ini dikatakan berlaku justeru kerana melihat pimpinan orang Islam di negara ini sendiri berani mempertikaikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan bahkan mengakui bahawa mereka sekadar 'berpolitik' sahaja dalam urusan perlaksanaan undang-undang Islam di negara ini kerana takutkan desakan cabaran PAS, demikian seperti pengakuan seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam forum Majlis Peguam sedikit waktu lalu.

Adalah mustahak supaya matlamat dan kepentingan Islam ini dilihat dari perspektif yang menjangkaui garis kepentingan politik kepartaian semata-mata. Sesungguhnya penggemblengan seluruh ummat Islam adalah wajib dan wajar digerakkan untuk mempastikan peruntukan perlembagaan atas kedudukan Islam itu dipertahankan termasuklah Perkara 3, Perkara 12 (2), Perkara 150 (6A), 121(1A), Perkara 11 (4) dan Jadual 9, Senarai 2.

ISLAM DAN HAK ASASI MANUSIA

Pemahaman yang betul perlu ditegaskan kembali dalam persoalan dakwaan pertembungan antara Islam dan Pengisytiharaan Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR 1948). Dunia antarabangsa mengiktiraf hak negara-negara anggota membuat pilihan, ketika contohnya, Arab Saudi tidak menerima klausa 'hak menukar agama adalah hak asasi' sementara menerima pengisytiharan-pengisytiharan yang lain pada UDHR 1948 itu.

Sebenarnya dunia juga telah mengiktiraf sikap Islam tentang persoalan murtad. Ini kelihatan dalam peruntukan di bawah perjanjian antarabangsa tentang hak sivil dan politik (ICCPR), 1966 yang dipersetujui selepas UDHR 1948 dilaksanakan. ICCPR 1966 tidak menyebut hak menukar agama sebagimana terdapat di dalam UDHR 1948.

Dalam suasana kini, saya suka untuk menegaskan kepada semua pihak bahawa kepentingan memelihara maruah, martabat dan kedudukan agama adalah tanggungjawab semua pihak. PAS mahukan semua pihak bahkan penganut agama-agama lain juga, mengambil penting amalan dan kesejahteraan agama masing-masing dan jangan dizinkan agama diserang oleh golongan liberal-sekular yang anti-Agama dan anti-Tuhan.


PAS tidak pernah prejudis terhadap agama-agama lain di negara ini bahkan mahukan mereka juga diberi hak sebagaimana yang ditegaskan oleh Islam supaya mereka memelihara agama mereka, kerana kecenderungan beragama adalah asas kekuatan semua pihak menangkis serangan kebendaan dan gagasan anti-agama.

Inilah kemuncak toleransi beragama dalam Islam yang perlu saya tekankan sekali lagi. Pemerkasaan agama akan dicapai ketika ummat manusia berhajatkan bimbingan Tuhan dan menolak bimbingan nafsu dan dorongan kejahilan yang kini mengakibat beranika gejala keruntuhan moral dan akhlak serta pencerobohan dan pemerkosaan alam sekitar. Manusia moden yang begitu prajudis dan sinis terhadap apa jua bentuk nilai keagamaan dan ketuhanan, justeru terlalu mendewakan kebendaan dan membudayakan nilai-nilai hedonisme dengan falsafah hidup Al-Ibahiyyah ('boleh belaka' dan permissif), yang akhirnya membenarkan dan membolehkan segala-galanya atas nama kebebasan dan hak asasi..

NEGARA KACUKAN AUTOKRATIS DAN TEMPELAN DEMOKRASI

Tidak menghairankan mengapa tokoh-tokoh dalam disiplin ilmu Sains Politik di luar mahupun dalam negara melabelkan sistem politik di negara ini sebagai 'separa-demokratik atau quasy-democracy' dan berbagai sinonim lain. Tegasnya seluruh istilah ini membawa satu maksud, yakni ia adalah 'Pemerintahan Kacukan' : antara ciri "Autoritarian" - Kuku-Besi dan 'Tempelan Demokrasi' sebagai gincu dan kosmetik.

Pengamatan ini tidak sukar dibuat penganalisis, memandangkan pelbagai kaedah dan amalan tidak demokratik termasuk penafian hak asasi manusia warisan penjajah zaman British semasa Darurat masih terus digunapakai dan terus diperkasa. Ini termasuk di segi penangkapan tanpa bicara (ISA) dan segala peruntukkan undang-undang rimba (drakonian) yang kukuh diinstitusikan kerajaan seperti OSA, Akta Cetak, Akta Polis, AUKU dsbnya termasuk "Aku Janji" yang kesemuanya membudayakan suasana dan iklim Takut atau "Fear" yang keterlaluan lantas merosakkan amalan demokrasi samasekali.


Atas landasan demokrasi tulen yang segar, prinsip-prinsip Islam dan pembudayaan nilai-nilai demokrasi seperti pertanggungjawban, ketelusan dan 'semak-imbang' menjadi lebih mungkin untuk diamalkan dan dihayati secara satu sistem pemerintahan. Seperkara lagi dari amalan demokrasi yang baik, menuntut supaya prinsip 'semak dan imbang' dilaksanakan dengan pemisahan kuasa di antara Badan Kehakiman, Legislatif dan Eksekutif. Ini dinamakan dalam Islam sebagai "Al-Faslu Bainal Sultaat". Sejauhmanakah demokrasi di negara ini menunaikan tuntutan ini?

Terlalu kerap peristiwa pencerobohan pihak eksekutif ke atas bidang legislatif. Paling bersejarah termasuk memecat Ketua Hakim Negara dan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi secara kuku-besi dalam sejarah politik negara, yang mengakibatkan antara lainya, amalan demokrasi terus mandom dan mandul sehingga kini.


Kewibawaan sistem Judisiari atau Kehakiman yang tercalar yang sehingga kini tidak dapat dipulih, menjadikan demokrasi satu persendaan yang melucukan. Badan Legislatif yang sekadar menjadi 'rubber-stamp' justeru kerana terlalu ramai bilangan ahli parlimen kerajaan yang mencecah lebih 90%, menghilang unsur penting dan semangat ruh demokrasi yang utama yakni 'semak dan imbang' (check and balance). Sampai bilakah kita rakyat terpaksa menanggung kezaliman sistem 'demokrasi kacukan ' seperti di negara ini?

Allah SWT memberi harapan kepada rakyat yang tertindas dan amaran kepada pemerintah yang zalim. Firmanullah SWT. Yang bermaksud:


"Dan Kami hendak memperkasakan mereka dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya)".

PEMULIHAN DEMOKRASI YANG ROSAK

Asas dan sendi demokrasi yang sihat tentunya memerlukan reformasi perjalanan dan sistem pilihanraya yang mendukungi ciri-ciri, antaranya seperti berikut:

1. Sebuah Suruhanjaya Pilihanraya yang bebas, wibawa dan kompeten.

2. Daftar pemilih yang bersih, dikemaskini dan disahkan.

3. Tidak berlaku penyalahgunaan kuasa oleh pihak kerajaan sebelum dan selepas Parlimen dibubarkan.

4. Pencapaian kepada media secara adil oleh semua parti dan calon yang bertanding.

5. Kebebasan perhimpunan yang membenarkan penyebaran maklumat dan penerangan oleh semua parti yang bertanding.

6. Tidak wujud amalan membeli undi dalam bentuk rasuah atau kekerasan dan peras-ugut.

7. Jaminan undi rahsia ditentukan sebelum dan selepas proses mengundi bagi mengelakkan budaya takut. Penggunaan dakwat tak mudah dinyahkan (indelible ink), walaupun antara kaedah yang paling tradisional, diyakini mampu menangani masalah pengundi hantu.

Demokrasi yang matang dan sihat, berhajatkan perlaksanaan dan penghayatan 3 unsur penting dalam sesebuah sistem pemerintahan. Secara khususnya:


i. Persaingan politik yang ekstensif

ii. Partisipasi politik yang tinggi dan
iii. Jaminan kekebasan sivil dan politik

Pelbagai pihak telah menjatuhkan 'hukuman' bahawa pilihanraya umum 2004 gagal memberi peluang kepada calon pembangkang menyuarakan manifesto mereka kepada rakyat dalam capaian media yang samasekali tidak adil. Mereka telah menyenaraikan tatktik kotor seperti persempadanan semula yang curang, taktik ugutan (fear) bahkan mencadangkan waktu berkempen yang amat terbatas kepada setidaknya 1 bulan, sistem usang British "Pertama Melepasi Tiang" atau 'First Pass The Post' (FPTP) kepada Perwakilan Berkadar (PR) yang lebih adil dan yang diguna-pakai secara meluas di negara-negara Eropah dan juga Asia kini.

Terlalu panjang senarai 'kecurangan terbela' berlaku dan terlalu banyak laporan dibuat dari pihak akademik, pembangkang termasuk NGO seperti Asian Network for Free Elections (ANFREL) dan Mafrel, yang mendedahkan segala-galanya ke pengetahuan dunia. Tidak hairan kalau "Reporters Without Borders" (laporan 2004) meletakkan Malaysia dalam ranking 122 dari 167 negara, menjunam 16 tangga berbanding laporan sebelumnya, disegi capaian media dalam demokrasi.

Didakwa oleh pelbagai pihak termasuk para akademik tempatan, seandainya pengurusan pilihanraya di negara ini tidak dibaikpulih segera, maka seluruh sistem demokrasi negara ini akan terus mengalami krisis kepercayaan yang bakal mengundang senario dan risiko sama seperti dinegara-negara jiran kerana fenomena 'tipuraya' secara berterusan akan bakal memaksa rakyat ke jalanraya!

PAS dan rakan-rakan politik pembangkangnya menuntut supaya kerajaan segera melaksanakan beberapa reformasi dan penambahbaikan sebelum datangnya PRU ke-12 nanti. Peranan PAS dan rakan -rakan politiknya adalah untuk memastikan rakyat dibebaskan dari kezaliman kuasa pemerintah sesuai dengan kaedah 'semak dan imbang' seperti yang digesa Allah SWT dalam Firmanullah SWT yang bermaksud :


"Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam".

KUASA DEMOKRASI DI NEGARA NEGARA JIRAN

Mutakhir ini kita boleh membandingkan amalan demokrasi di negara ini dengan negara-negara dunia sedang membangun yang lain, khasnya di Indonesia, yang sejak kejatuhan diktator Suharto, udara demokrasi begitu segar sekali untuk dihirup sekalian rakyatnya. Sistem pilihanrayanya yang berlandaskan "Perwakilan Berkadar atau Proportional Representation" memberi persaingan politik yang bermakna dan adil bagi semua pihak yan bertanding.

Juga begitu di Nepal umpamanya, kuasa rakyat juga dimanifestasi dalam tunjuk perasaan yang diadakan. Oleh kerana dahagakan kebebasan dan menyedari hanya dengan mengembalikan demokrasi penuh negara akan stabil dan maju, rakyat Nepal telah menghadapi risiko tinggi dan telah keluar mengadakan demonstrasi besar-besaran secara aman. Kemuncaknya memperlihatkan kejatuhan raja Nepal dan pemulihan demokrasi.

Lihat juga kepada perkembangan mutakhir di sebuah lagi negara jiran kita - Thailand. Oleh kerana prinsip demokrasi terus dipertahan dan institusi-institusi penting negara bebas daripada kongkongan kerajaan, rakyat boleh turun secara bebas ke jalan raya dan menuntut supaya perdana menterinya meletakkan jawatan. Gerakan demokrasi rakyat akhirnya berjaya memaksa Thaksin Shinawat meletakkan jawatan. Apakah kita boleh harapkan demokrasi ala-Islam Hadhari di negara ini mampu memberi keadilan dan pembelaan yang sama?

DEMOKRASI PRIMITIF KERAJAAN UMNO/BN

Paling mutakhir peristiwa di Dewan Rakyat sendiri yang seharusnya melambangkan amalan demokrasi yang baik, meletakkan negara pada paras cukup rendah dalam skala demokrasi berbanding negara-negara sedang membangun yang lain.

Ketegasan Perdana Menteri dan Timbalannya dalam mempertahankan tindakan seluruh ahli BN di parlimen menolak pendirian mantan Ketua Backbencher, yang menyokong usul pembangkang merupakan, contoh terkini bentuk demokrasi yang diamalkan. Ia adalah bukti amalan demokrasi primitif yang masih hendak dipertahankan. Lebih memalukan adalah apabila Menteri Penerangan menafikan hak rakyat untuk mengikuti perdebatan Parlimen dengan alasan pemikiran rakyat Malaysia masih di tahap 'kelas ketiga'. Siapa yang sebenarnya memilikki tahap 'minda kelas ketiga' dan siapa pula pencetus dan penerus budaya 'tutup sebelah mata' untuk sekian kalinya?

PAS BUKAN PARTI PERKAUMAN

Adalah amat jelas kini bahawa PAS bukan parti perkauman. Berdasarkan pegangan ideologi dan anutan Akidah Islam yang berteraskan paksi Ketauhidan Allah SWT, PAS tidak menerima apa jua bentuk fahaman nasionalisme atau 'Asobiyah Qaumiyah, yang berpaksikan kepentingan sesuatu kaum atau kelompok etnik sebagai asas pengurusan dan pemerintahan negara atau 'nation-bulding'. Perjuangan PAS yang bertunjangkan Risalah Islam yang Universal lantas menerima seluruh penganut Islam sebagai satu Ummat yang satu, dengan tidak mengenal perbezaan kaum, bahasa, budaya, bangsa dan keturunan. Ada pun pada waktu yang sama, seperti juga Islam, PAS menerima kesatuan ummat manusia di atas dasar bahawa seluruh ummat manusia, adalah keturunan dan zuriat Nabi Adam (Alaihisalaam).

Firmanullah SWT yang bermaksud :


"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)".

Kalaupun masih wujud lagi kecurigaan kaum Melayu-bukan Islam terhadap PAS, namun terbukti dalam beberapa pilihanraya yang lalu, PAS juga mendapat sokongan kaum bukan Melayu-bukan Islam. Sementara kita sedar bahawa kita telah menjadi target utama media perdana yang saban hari memaparkan kita sebagai ekstrem, ganas dan tidak toleran, kita tidak harus kecewa bahkan perlu untuk mempertingkatkan hubungan dan interaksi kita dengan golongan bukan Islam kerana dakwah dan politik PAS masih belum mereka kenali dengan lebih dekat lagi.

Justeru itu, mereka masih kurang jelas tentang apa itu PAS dan apakah yang kita perjuangkan sekiranya diberi mandat untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan negara. Saya mahu seluruh pimpinan dan aktivis PAS memandang serius kepada perkara ini agar PAS dikenali, difahami dan dihormati untuk meningkatkan keyakinan mereka sekaligus menangani kecurigaan mereka terhadap Islam dan PAS.


bersambung .....

posted by Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi @ 6:16:00 PM 0 comments links to this post


ERTI MENDAULATKAN ISLAM YANG PAS PERJUANGKAN

Islam yang kita perjuangkan bukan hanya membawa mesej untuk kebahagiaan ummat Islam di akhirat yang abadi bahkan juga di dunia ini. Sesungguhnya, mesej Islam yang kita perjuangkan adalah juga membawa tawaran pembelaan, pembebasan dan kemerdekaan untuk bukan-Melayu bukan-Islam di dunia ini. Tugas utama Islam dan juga teras politik PAS, adalah untuk memerdekakan manusia dari belenggu kejahilan yang mengongkong mereka dari mengecapi keadilan, kemuliaan serta membebaskan manusia dari ketakutan oleh kuasa yang zalim dan sombong.

Bagi PAS demokrasi itu bukan sekadar hak membuang undi dalam pilihanraya, tambahan dengan sistem yang penuh kecurangan tipuraya. Demokrasi bukanlah gincu dan kosmetik untuk melayakkan negara dipanggil kerajaan demokratik. Bagi PAS demokrasi yang bermakna adalah ketika rakyat diberi capaian maklumat yang sebenar, persaingan di atas yang padang sama-rata, lantas pengundi membuat pilihan serta keputusan mereka atas dasar keyakinan dan pengetahuan mereka dalam sistem yang menghormati keputusan mereka. Mereka berhak menyatakan pandangan dan membuat pendirian walaupun bertentangan dengan mana-mana kuasa pemerintah atau juga pembangkang, tanpa dihukum atau didera.

Demokrasi yang PAS hajati, akan menjadi satu yang realiti bermakna, ketika rakyat yang telah dicelikkan dengan pengetahuan dan informasi yang sebenar, bangun untuk bertindak menuntut keadilan dan kesejahteraan yang menjadi hak mereka yang dinafi oleh sistem yang curang dan timpang. PAS bersedia menerima dan mengiktiraf apajua keputusan dan pilihan rakyat dalam sistem pilihanraya yang telus, benar dan berwibawa, meskipun kita terpaksa menghadapi kekalahan.

Inilah keunikan undangan politik Islam yang didukungi PAS. Mendaulatkan Islam dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan, memberi kesegaran dan menambah erti dan nilai-tambah kepada prinsip Keadilan, Ketelusan dan Pertanggungjawaban kepada amalan demokrasi di negara ini. Rakyat berhak menolak atau menerima undangan kami. Namun tak siapa pun yang berhak untuk menafikan hak demokratik kami membentang undangan dan tawaran ini kepada rakyat. Jangan ada yang menuduh kami tidak demokratik dan 'teokratik' kerana tuduhan itu adalah kemuncak prajudis yang tidak berasas dan paling tidak demokratik.

Maka "Memulihkan Demokrasi" bagi membolehkan PAS "Mendaulatkan Islam" dalam batas-batas Perlembagaan Persekutuan, adalah pernyataan misi yang sejajar dengan demokrasi berparlimen di negara ini. Menuduh PAS tidak demokratik memberi makna Perlembagaan Persekutuan itu mengandungi peruntukan Islam yang ditanggap sebagai tidak demokratik. Kita sedar sudah ada yang menyatakan sedemikian seperti yang saya sebutkan lebih awal tadi. Siapakah yang lebih bersifat 'menghukum' dalam semua perkara ini? Siapakah yang sempit pemahaman demokrasinya?

Saya suka mengingatkan semua ahli dan amilin PAS disemua peringkat supaya meneruskan usaha gigih keterlibatan atau 'engagement' kita. Dakwah dan siasah, pada hakikat adalah segala-galanya 'keterlibatan' kita dengan masyarakat. Tidak ada yang kita boleh lakukan secara 'remote-control'.

Maka saya yakin PAS akan terus memperrtingkatkan penerangan dan dakwah di kalangan kaum bukan Islam khasnya, agar segala silap faham dan tohmahan yang dilontar terhadap kita dan Islam dapat kita tangkis. Sesungguhnya kita tidak hanya melakukan perkara ini kerana kepentingan kemenangan politik semata-mata. Kita lakukan semua ini kerana inilah antara tuntutan tugasan Deen Allah ini (Wazifah Diniyyah) yang diletakkan di atas pundak ummat Islam oleh Allah SWT. Mereka berhak mendengar dan kita berkewajipan menyampaikan akan Risalah Islam dari program penerangan dan dakwah kita.

Firmanullah SWT yang bermaksud :


"Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.

MERANCAKKAN KEGIATAN KEBAJIKAN RAKYAT

Saya juga dalam kesempatan muktamar ini merakamkan penghargaan kepada usaha-usaha kemasyarakatan yang dilakukan oleh organ-organ parti khususnya Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Pusat dan Lujnah Kebajikan PAS Pusat yang telah menunjukkan khidmat yang prihatin dalam tragedi-tragedi masyarakat seperti perobohan rumah rakyat di Gombak, Kampung Medan, tsunami di Kedah, gotong-royong membersihkan Kota Bharu-Bandaraya Islam, banjir di Shah ALam dan lain-lain. Saya amat mengharapkan agar aktiviti-aktiviti yang menjunjung agenda PAS memberi khidmat kepada masyarakat ini akan diteruskan dengan penuh iltizam tanpa batasan negeri, bangsa dan budaya.

Selain daripada itu, tindakan-tindakan Dewan Pemuda PAS memulakan usaha 'political engagement' dengan badan-badan kerajaan seperti PEMADAM, MARA, Bahagian Perhubungan Awam JPM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan lain-lain yang mendapat sambutan daripada pengurusan tertinggi badan-badan terbabit juga patut dicontohi dan dilakukan oleh organisasi-organisasi parti pada semua peringkat.

Masyarakat mahukan kita sentiasa bersama mereka, dalam susah dan senang, suka dan duka. Kita perlu perlipatgandakan usaha-usaha kebajikan kita kerana disitu jugalah aspek 'engagement' kita berlaku dengan masyarakat secara langsung dalam kehidupan mereka. Intipati dari perjuangan kita ini juga membawa maksud mencurah khidmat dan kebajikan kepada rakyat. Bukankah Baginda Rasulullah (saw) telah bersabda (maksudnya):

"Sebaik-baik kamu adalah yang terpaling banyak mencurah khidmat kepada orang lain".

Kita perlu mengambil iktibar kemenangan gerakan Islam kontemporari samada di Palestin, di Turki, di Mesir mahupun di Indonesia adalah kerana rakyat menyaksikan mereka berkorban untuk memelihara kepentingan rakyat, sementara pihak lain mengorbankan rakyat untuk kepentingan politik dan dunia mereka. Saya mahu semua pihak khasnya lujnah kebajikan dan dewan-dewan serta aktivis parti di semua peringkat mengikhlaskan diri mempertingkatkan usaha-usaha kebajikan, samada di dalam negara mahupun luar negara, bagi menjayakan agenda khidmat kebajikan dalam perjuangan kita yang murni ini.

KENAIKAN HARGA BAHAN API & INFLASI - 'BONUS' BUAT RAKYAT

Tuan-tuan tetamu yang dihormati serta para perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekelian.

Setelah mendera rakyat dengan menaikkan harga runcit bahan petroleum sebanyak 23% - kenaikan yang tetinggi yang pernah dirakam dalam sejarah industri petroleum negara - Perdana Menteri terus menyiksa rakyat dengan menaikkan tarif letrik sebanyak 12%, juga satu kenaikan yang tertinggi dalam sejarah syarikat TNB.

Kenaikan harga runcit minyak samalah seperti mencurahkan minyak kepada api inflasi yang sedang bersemarak. Ternyata, kerajaan gagal mengawal kenaikan harga. Kadar inflasi naik daripada 1.4% dalam tahun 2004 kepada 3.0% dalam tahun 2005, iaitu, kenaikan sebanyak dua kali ganda. Berikutan kenaikan harga runcit bahan petroleum mulai selepas tengah malam 28 Februari 2006, kos perkhidmatan pengangkutan telah memuncak, merakamkan kenaikan besar sebanyak 11.5% dalam bulan Mac dan terus naik lagi sebanyak 12.7% dalam bulan April.


Oleh kerana semua kegiatan ekonomi melibatkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan, maka kenaikan mendadak kos perkhidmatan pengangkutan menyebabkan terjadinya tsunami inflasi melanda seluruh ekonomi membawa kepada kenaikan harga barangan dan perkhimatan yang menyeluruh. Kadar inflasi, seperti yang diukur oleh indek harga pengguna (IHP) meningkat kepada 4.8% dalam bulan Mac dan terus meningkat pada kadar 4.6% dalam bukan April. Kenaikan ini menghakis kuasa beli rakyat lantas memiskin lagi rakyat bependapatan rendah khasnya.

KENAIKAN TARIF LETRIK MENAMBAH DERITA RAKYAT.

Sepertimana bahan bakar petroleum, tiada kegiatan ekonomi yang tidak melibatkan penggunaan tenaga letrik di zaman moden ini. Menaikkan tarif letrik sebanyak 12% ini merupakan satu lagi tindakan zalim kerajaan UMNO-BN mencurahkan, untuk kali kedua, minyak ke dalam api inflasi yang sedang bersemarak. Kerajaan mendakwa kenaikan yang besar ini hanya membebankan 40% yang bil bulanan mereka melebihi RM43.60.

Sebanyak 60% lagi pengguna tenaga letrik adalah dari kalangan pengguna kecil yang bil bulanan mereka tidak melebihi RM43.60 sebulan dan mereka ini "selamat" dari kesan kenaikan itu. Dakwaan ini menunjukkan satu kebodohan dan berniat mengelirukan rakyat kerana hakikatnya ialah golongan rakyat berpendapatan rendah yang mempunyai keluarga yang besar tetap menanggung beban bil penggunaan letrik yang tinggi berbanding dengan pendapatan mereka. Mungkin ada pengguna kecil yang tidak terjejas oleh kadar baru tarif ini, tetapi. Kesan tak langsungnya, iaitu, kesan inflasi, tetap akan menimpa seluruh lapisan rakyat khasnya rakyat miskin dan berpendapatan rendah.

Keputusan menaikkan tarif letrik adalah satu lagi skim untuk menyelamatkan TNB dan melindungi syarikat milik kroni. Akibat dari pengurusan yang lemah, TNB terjebak di dalam keberhutangan yang tinggi berjumlah RM30 bilion dan kos operasi yang tinggi. Bayaran balik pokok pinjaman dan bunga atas pinjaman mengeringkan aliran tunai syarikat. Keadaan ini menjadi bertambah buruk apabila TNB dipaksa membeli tenaga yang dijana oleh syarikat penjana tenaga letrik swasta yang tiada kena mengena dengan kepentingan rakyat, iaitu, syarikat YTL Power dan syarikat Malakoff pada harga yang lebih tinggi dari kos tenaga yang dijana oleh TNB sendiri.

TNB membayar sebanyak RM4 bilion setahun kepada syarikat penjana kuasa bebas milik kroni ini. Kenyataan Abdullah Badawi bahawa keputusan menaikan tarif sebanyak 12% adalah adil kepada semua pihak sebenarnya bertujuan untuk menyelematkan TNB dan melindungi syarikat kroni. Apakah kerjaaan tidak mempunyai kuasa untuk meminda perjanjian berat sebelah yang ditandangani oleh TNB dengan penjana kuasa bebas itu diperbaiki supaya ia lebih adil kepada kedua-dua pihak?


Kenapakah pengurusan TNB yang lemah tidak dipertanggungjawabkan di atas masalah kewangan yang dihadapi oleh TNB sekarang? Langkah kerajaan memindahkan kos yang tinggi akibat kelemahan pengurusan dan kerana TNB terpaksa membayar harga kuasa yang tinggi yang dibekalkan oleh syarikat kroni adalah satu tindakan yang tidak bertanggung jawab dan zalim.

Kita menuntut kerajaan supaya mendedahkan kepada umum perjanjian sulit di antara TNB dan syarikat penjana kuasa bebas supaya rakyat dapat tahu akan segala kepincangan yang berlaku. Seandainya ternyata menganiaya kepentingan rakyat dan negara, Batalkan perjanjian berkenaan dan buat perjanjian baru yang adil.

Inilah yang dikatakan "Untung Kroni Punya, Beban Rugi Rakyat Tanggung" dalam projek penswastaan ala-BN. Satu lagi kejayaan kerajaan BN! Beban kenaikan tarif berkenaan dan kesan inflasi yang akibat dari kenaikan itu semakin menghimpit kehidupan rakyat.

PROTES SAMPAI TURUN

Kita juga menuntut kerajaan supaya menghentikan perbuatan mendera rakyat dengan membatalkan kenaikan tarif letrik dengan serta merta.

PROTES, badan bertindak menentang kenaikan bahan api dan tarif letrik, gabungan partai politik dan NGOs yang dipimpin oleh PAS, akan meneruskan pelbagai aktiviti bertujuan mengingatkan rakyat bahawa kenaikan harga runcit petrol yang besar akan membawa kepada gejala inflasi yang membebankan rakyat khasnya rakyat miskin. Juga, pelbagai pihak perlu diingatkan bahawa kerajaan sebenarnya tidak perlu menarik balik subsidi harga petrol kerana ia mampu untuk menampung beban subsidi ini memandangkan keuntungan besar yang dinikmati oleh Petronas.

Tuan-tuan tetamu yang dihormati serta para perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekelian,

Matlamat untuk membawa keadilan sosial dan ekonomi kepada rakyat tanpa mengira kaum masih belum tercapai. Perangkaan terkini menunjukkan jurang agihan pendapatan dan kekayaan antara-kaum dan intra-kaum semakin melebar akibat penyelewengan di dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan amalan kronisma dan rasuah yang semakin merebak. Kekayaan negara bertambah tetapi ternyata sebahagian besarnya dimiliki oleh sekelompok kecil kroni tajaan elit politik BN.

RANKING RASUAH NEGARA - WORLD-CLASS ?


Indeks Tanggapan Rasuah (ITR) 2005 yang baru dikeluarkan oleh Transparency International menunjukkan bahawa tiada pembaikan dalam amalan rasuah dalam tempoh dua tahun pemerintahan Abdullah Badawi. Bahkan, amalan rasuah di Malaysia semakin buruk. ITR telah merosot dari tangga ke 29 dalam tahun 1998 ke tangga 39 dalam tahun 2004 dan tiada pembaikan dalam tahun 2005 sekali gus menunjukkan bahawa Perdana Menteri yang telah mengishtiharkan rasuah sebagai musuh nombor satu negara dan berjanji untuk memeranginya habis-habisan, tidak mempunyai keberanian untuk bertindak tegas ke atas perasuah. Beliau terus mengekalkan menteri-menteri yang ada tuduhan rasuah pada diri mereka di dalam jamaah menteri dan gagal mengambil tindakan ke atas kes rasuah berprofil tinggi yang didedahkan oleh seorang menteri sedikit masa dahulu.

Adalah dikhuatiri bahawa ketidakmampuan Perdana Menteri untuk menunaikan komitmen beliau untuk memerangani rasuah akan menggagalkan usaha untuk membawa keadilan ekonomi dan sosial di dalam masyarakat. Perlu diingat bahawa dalam keadaan amalan rasuah yang berleluasa, sasaran Dasar Ekonomi Baru sukar dicapai, amalan kronisma akan terus merebak dan pihak yang berani memberi rasuah akan mengusai ekonomi dan akhirnya gejala rasuah akan menjahanamkan masyarakat dan ekonomi sebagaimana slogan Transparency International yang berbunyi "Rasuah Meruntuhkan Kehidupan. Banteras Ia." (Corruption Ruins Lives. Fight Back).

PENERUSAN BUDAYA KRONISME MEMUALKAN

Kegagalan menyiapkan makmal komputer sedikit waktu lalu, menyiapkan penjara di Sarawak dan terkini menyiapkan bangunan Matrade kesemua mempunyai sebab yang sama. Kronisme dan Rasuah. Paling malang ialah wang rakyat ranap dengan cara sebegini sekian lamanya dan setiap kes ini boleh pula tidak dikesan bertahun-tahun serta tidak diambil tindakan sehinggalah didedahkan oleh pihak media dan pembangkang. Inilah kecekapan pengurusan ekonomi dan pembangunan yang menjadi kebanggaan kerajaan BN yang terbilang dan gemilang. Kalau kes-kes yang terdahulu boleh dianggap 'nasi telah menjadi bubur' di segi kepincangan pengurusannya, apakah kerajaan akan membenarkan juga pergabungan antara ECM Libra dengan Avenue Capital, sebagai milik kerajaan yang memegang banyak subsidi dan kontrak penting kerajaan, yang tentunya akan mengakibat penguasaan aset-aset strategik negara, dimilikki bahkan dikontrol oleh kuasa asing?.


Ini adalah merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak kerajaan setelah pelbagai pihak bertegas menyuarakan tentangan proses pergabungan ini yang dilihat sebagai menerus amalan kronisme, sekaligus mengancam wibawa dan berpotensi melemahkan kedudukan geopolitik negara di persada antarabangsa.

ANCAMAN FENOMENA DWI-EKONOMI SATU LAGI KEJAYAAN UMNO/BN.

Matlamat DEB untuk menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi dan geografi masih belum mencapai sasaran. Begitu juga dengan matlamat untuk membawa pembangunan wilayah yang seimbang. Negeri-negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung yang majoriti penduduknya kaum Bumiputera masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan.


Tumpuan pembangunan di negeri-negeri maju di Pantai Barat Semenanjung, bahagian peruntukan pembangunan yang semakin mengecil dan kegagalan untuk menghormati sistem Federalisma mengganggu kelancaran pertumbuhan ekonomi negeri-negeri ini. Maka hari ini wujudlah fenomena 'Dwi-Ekonomi' di negara ini- kelompok negeri-negeri yang maju dan negeri-negeri yang kurang maju. Ditakdir Malaysia berjaya menjadi negara maju dalam tahun 2020 seperti yang dimimpikan BN, negara terbelah kepada dua kelompok negara: Yang Maju dan Tak Maju!

DAYA-SAING SEMAKIN MEROSOT

Antara masalah yang utama negara dalam persaingan global kini ialah kedudukan daya-saing ekonomi Malaysia yang semakin merosot. Penilaian terkini oleh Institute for Management Developement berpengkalan di Geneva menunjukkan daya-saing Malaysia telah jatuh daripada tangga ke 16 di dalam kumpulan 60 buah negara ke tangga 28 dalam tahun 2004. Ini adalah kerana kos menjalankan perniagaan di Malaysia sudah menjadi semakin tinggi berpunca dari kos buruh yang meningkat, kemerosotan produktiviti dan nisbah input-output yang tinggi.

Daya-saing yang merosot ini ada kaitannya dengan kemerosotan kecekapan sektor awam dari tangga 16 dalam tahun 2003 ke tangga 26 dalam tahun 2004 berpunca dari karenah birokrasi yang teruk, pembaziran, penyalahgunaan aset awam dan kegagalan kerajaan mengamalkan tender terbuka dalam perolehan kerajaan.

Juga, perbelanjaan penyelidikan dan pembangunaan (R&D) yang rendah - sekitar 1% daripada Pendapatan Negara - menyukarkan negara untuk mempertahan dan meningkatkan daya saing negara. Jika program R&D terus dianggap sebagai tidak penting seperti yang berlaku sekarang, masa depan daya saing negara akan terus merosot dan status Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik akan terjejas.

LINGKARAN BURUK 'DEFISIT BELANJAWAN & HUTANG NEGARA'.

Tuan-tuan tetamu yang dihormati serta para perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekelian,

Defisit yang melebar memaksa negara berhutang. Akibatnya, hutang kerajaan pusat semakin meninggi, dianggarkan berjumlah RM229 bilion atau 46% daripada KDNK pada akhir tahun 2005. Sektor awam yang besar menyukarkan usaha untuk membawa hutang kerajaan ke paras yang lebih berhemat, iaitu, sekitar 25-35% daripada KDNK. Penswastaan tidak berjaya mengurangkan saiz sektor awam. Kakitangan sektor awam juga tidak berkurangan seperti yang diharapkan dari proses penswastaan.

Kerajaan bukan sahaja meminjam di dalam negera tetapi juga di luar negera. Akibatnya, bersama-sama dengan hutang luar negera syarikat-syarikat yang dimiliki kerajaan dan hutang luar negeri sektor swasta, hutang luar negara juga meningkat, dianggarkan berjumlah RM196 bilion atau 41% daripada KDNK pada hujung tahun 2005. Ini jauh melebihi paras berhemat. Jika berlaku krisis kewangan seperti yang melanda ekonomi dalam tahun 1997, nescaya nilai pertukaran RM akan tertekan dan pasaran kewangan dan modal dalam negera akan terjejas sekali gus membawa padah buruk kepada ekonomi.

Tiada pelan diumumkan untuk mengurangkan hutang awam dan hutang luar negara. Bahkan, amalan untuk hidup berhutang besar diteruskan. Oleh itu, adalah dicadangkan supaya satu pelan komprehensif untuk mengurangkan hutang awam dan hutang negara hendaklah dirangka dan dilaksanakan dengan berkesan. Pembiayaan projek-projek mewah yang bukan keutamaan secara berhutang hendaklah dihentikan.

PENJANAAN GENERASI PENERUS - PELEDAK PEMBANGUNAN NEGARA?

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

Dalam muktamar yang lalu, PAS telah menekankan bahawa Program Latihan Khidmat Negara adalah suatu program yang tidak perlu dan ia hanya menjadi lambang kepada kegagalan sistem pendidikan negara. Kini dakwaan PAS tersebut ternyata berasas.


Penzinaan sesama peserta, rogol terhadap peserta, modul PLKN yang bersifat menghasut sehinggalah pergaduhan antara kaum yang membawa kepada pembunuhan menghiasi dada-dada akhbar nasional. Semua kes ini membuktikan bahawa kewujudan PLKN bukan sahaja gagal mencapai matlamat sebenar untuk membina remaja penerus - pewaris pembangunan Negara; bahkan menjadi satu program nasional yang merosakkan. Sehubungan itu, PAS menuntut kerajaan mewujudkan satu Suruhanjaya Untuk Menyiasat Program PLKN untuk membuat penilaian sama ada program ini masih relevan ataupun perlu dibatalkan sahaja.

PENDIDIKAN MENANTIKAN SATU 'OVERHAUL' BESAR-BESARAN.

UMNO/BN Mengagalkan Sistem Pendidikan Negara

PAS menuntut UMNO/BN bersikap jujur dalam menanggapi persoalan pembinaan penerus-pewaris pembangunan Negara. Kemulukan Falsafah Pendidikan Negara, Falsafah Pendidikan Islam dan beberapa polisi, dasar dan laporan berkaitan dengan pendidikan yang dibina oleh pakar-pakar pendidikan negara bagaimanapun telah dirosakkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sendiri. Maka tinggallah dokumen-dokumen itu tulisan di mural dinding sekolah dan kulit-kulit buku latihan pelajar sahaja.

Lebih jauh lagi, falsafah ini hanya menjadi perhatian pegawai-pegawai dalam sempadan bangunan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pendidikan Tinggi sahaja; manakala polisi-polisi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Kementerian Penerangan, media, pihak-pihak berkuasa tempatan dan lain-lain pula menambahkan pembiakan budaya hedonisme melalui konsert-konsert, rancangan-rancangan televisyen yang tidak bermoral seterusnya menghancurkan kemurnian pendidikan Negara ini.

Halatuju Pendidikan Tinggi Ke Mana?

Berikutan daripada kejatuhan indeks kualiti universiti-universiti dalam negara ini terutamanya Universiti Malaya, kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk meneliti dan mengemukakan cadangan-cadangan untuk meningkatkan kembali kualiti universiti tersebut. PAS menyokong kandungan Laporan Pengajian Tinggi Zahid yang telah dibentangkan di parlimen April 2006 lalu dan mendesak kerajaan melaksanakan saranan-saranannya khususnya untuk memberikan kembali autonomi kepada universiti.


Sememangnya benar mengikut dakwaan sesetengah pihak bahawa kecemerlangan pengajian tinggi di Malaysia boleh dicapai dengan pelaksanaan audit kualiti universiti melalui penubuhan Agensi Kawalan Kualiti, Akreditasi dan Audit Pendidikan Tinggi Malaysia (QCAAA) di bawah satu Akta Parlimen dan penggunaan sepenuhnya ICT untuk pendidikan tinggi. Namun persoalan yang lebih penting ialah 'Apa Yang Hendak Diauditkan'?

LAPORAN ZAHID - KE ARAH REVOLUSI PENDIDIKAN?

PAS mahu mengingatkan bahawa Laporan Zahid yang antaranya mengandungi 138 cadangan itu perlu ditentukan di segi ketelitian dan pengoperasian fokas strategiknya bagi menepati kehendak yang didakwa oleh Perdana Menteri sebagai "Revolusi Pendidikan". Takut-takut kerana terlalu panjang rekomendasinya, fokas reformasinya hilang di dalam keserabutan kepelbagaian permaslahan pendidikan. Wajar dikenalpasti 5 tunggak penting yang perlu kepada penambahbaikan secara kritikal dan diolah pengurusan penambaikan itu di sekitar bidang-bidang tersebut dan seterusnya diaudit secara berkala prestasinya. Sejak dibentang April lalu, Laporan Zahid ini masih jauh lagi untuk menjadi fokas elit kerajaan BN kini.

Antara fokas kritikal, pada pandangan kami, pastinya termasuk aspek mempaksikan seluruh pendidikan Negara ini dengan kesejajaran Falsafah Pendidikan Negara yang sekian lama hanya merupakan pernyataan visi dan misi yang menanti direalisasikan. Dayasaing pasaran graduan kita pula akan dapat dipertingkatkan dengan penekanan yang betul terhadap penguasaan ketrampilan sosial dan komunikasi, dengan personaliti atau syakhsiah yang mampan dan akhlak yang mulia, berjiwa berani, merdeka, kompetitif dan kreatif.

Persoalan besarnya ialah 'Apakah suasana dan iklim akademik yang perlu dijana untuk melahirkan graduan seperti yang dihajatkan seluruh negara khasnya masyarakat bisnes? Tentunya hanya dalam sebuah iklim 'demokrasi' bebas dari peras-ugut pelbagai Akta dan kekangan pengurusan urus-tadbir politik, maka akan lahir takongan mahasiswa/mahasiswi serta graduan yang merdeka, berdaya-saing serta 'enterprising'.


Sedarkah kerajaan apakah 'jenayah pendidikan' yang terus-menerus menjadi budaya dan tradisi di seluruh institusi pengajian tinggi kita? Secara tepatnya ialah 'jenayah' mengongkong dan mengekang bukan sahaja mahasiswa bahkan pensyarah serta merencat budaya keilmuan mereka di IPT, yang sepatutnya melambangkan kemuncak 'kebebasan intelektual', kemahiran berfikir serta latihan kepemimpinan mereka supaya benar-benar menjadi bakal-bakal 'kapitan industri' disemua bidang 'enterprise' kehidupan. Inilah yang seharusnya menjadi sumber melahirkan 'modal insan'.

Inilah pandangan PAS, yang kami bersedia berkongsi bahkan bersedia untuk 'engage' bagi mempastikan kejayaan misi ini!

KERAJAAN SLOGAN PERDANA MENTERI

Janganlah hendaknya isu 'modal insan' yang mutakhir disebut-sebut dalam RMK ke-9 baru-baru ini menjadi slogan baru kerajaan BN kini, yang memang popular disebut sebagai 'Kerajaan Slogan'. Terlalu banyak slogan dan olahan retoris yang telah dimajukan sejak dua tahun yang lalu, mengatasi prestasi mantan PM. Hari ini rakyat mahukan slogan ini diisi dan ditunaikan.

Sehubungan dengan "Revolusi Pendidikan" yang dikehendakki beliau, kita mahukan bakal graduan kita yang lahir dari IPT awam dan swasta benar-benar menjadi asset negara yang paling berharga kerana mereka telah terlatih dan melalui program pembinaan yang komprehensif dan holistik. Namun apakah kita bersedia untuk menjana insan-insan ini?

Buat pemimpin-pemimpin UMNO/BN kita mengingatkan tentang kepentingan penyerapan nilai-nilai agama dalam sistem pendidikan dan pembangunan modal insan ini sesuai dengan peringatan Allah SWT kepada ummat Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud :


"Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan".

Ahli sosiologi Islam Ibnu Khaldun dalam al-Muqaddimah mengingatkan, "kerajaan-kerajaan yang sangat berkuasa dan memiliki kuasa kedaulatan yang hebat mempunyai asal-usulnya yang berteraskan agama sama ada yang berpunca daripada kenabian ataupun seruan melakukan kebenaran."

Sekolah Agama Rakyat Terus Ditekan.

Dalam Muktamar ini juga, PAS sekali lagi ingin menuntut kerajaan mengembalikan bantuan per kapita kepada sekolah-sekolah agama rakyat dan belajar mendengar daripada tuntutan masyarakat sivil seperti Gerakan Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (GEGAR) dan sebagainya. Bagi PAS tindakan kerajaan untuk mengambil-alih SAR sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan tidak lebih daripada usaha untuk mengawal dan seterusnya membunuh secara halus SAR.


Kerajaan BN/UMNO sepatutnya belajar kaedah Kerajaan Negeri Kelantan mengurus dan memajukan SAR yang bukan sahaja mentadbir SAR dalam bentuk tradisionalnya; bahkan melakar halatuju untuk melahirkan ulama dan professional Islam yang seimbang pengetahuan dengan penubuhan Maahad Tahfiz Sains Islam.

Membantah Pelaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris

Dalam muktamar ini, PAS sekali lagi mengulangi pendirian menentang pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kerajaan UMNO/ BN gagal cakna dengan nasib ratusan ribu anak-anak Melayu khususnya di luar Bandar yang hilang minat kepada pengajian sains dan teknologi lantaran tidak memahami pengajaran ilmu tersebut dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya UMNO/ BN melangkah selangkah lagi untuk memulakan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di peringkat universiti pula. Kerajaan BN patut mendengar nasihat pakar-pakar bahasa dan mengkaji implikasinya! Kita bimbang ramalan Professor Emeritus Dato' Abu Bakar Hamid, mantan Pengerusi BERNAMA bahawa bahasa Melayu akan hapus di peringkat universiti dalam tempoh 17 tahun lagi akan menjadi kenyataan.

PAS DALAM KEPEKAAN GENDER.

Wanita Islam diberi kuasa untuk memilih dan mempunyai kebebasan mempunyai harta walaupun sudah bersuami sejak lebih 1400 tahun lagi. Nasibah binti Ka'ab dan Asma' binti 'Amru bin 'Adiy adalah dua wanita yang telah dipilih mewakili rakyat Madinah dalam Perjanjian Al' Aqabah ke dua disamping tujuh puluh tiga Muslimin. Semua maklum bahawa peristiwa ini menjadi langkah penting sebagai menjayakan hijrah dan muqaddimah kepada tertegaknnya Daulah Islamiyyah pertama di Madinah.


Ini berlaku tahun ketiga belas Nubuwwah iaitu,1427 tahun lalu. Berbandingkan dengan sejarah wanita di Barat yang akan hilang segala-galanya, termasuk nama keluarganya apabila berkahwin. Wanita hanya dibenarkan untuk mengundi pada tahun 1869 (baru 137 tahun) di Wyoming Territory di Amerika Syarikat.

Saya mahu kita semua menghormati dan menjaga sensitiviti gender, seperti juga kita pelihara sensitiviti masyarakat majmuk dan prihatin terhadap realiti 'pluralis' atau kemajmukan negara kita ini. Kepekaan gender adalah isu yang sedang hangat diperkatakan seluruh dunia. Kita sebagai parti politik yang mahu dilihat sebagai mu'asirah (kontemporari) di segi pelaksanaan dan dalam masa yang sama usuliy (fundamentalis) dari segi prinsip, kembali meneliti kebijaksanaan Rasulullah (saw) meraikan wanita dalam gerakan jamaah Baginda.

Oleh yang demikian sebagai pejuang Islam, kita semua mesti mempamerkan akhlak yang terbaik samada mengenai isu wanita, perhubungan antara kaum, antara agama mahupun apa jua isu-isu lain. Sewajarnya kita tidak takut kepada pendemokrasian masyarakat global ini, lalu merubah pendirian kita. Kita tidak seharusnya ditekan atau takut kepada kepada golongan tertentu, tetapi kepekaan kita adalah lebih didasari oleh tuntutan Islam yang menjadi prinsip segala perhitungan tindal-amal kita.


Saya tidak mahu Parti Islam Semalaysia (PAS) yang memperjuangkan kedaulatan Islam ditanggapi dengan persepsi sebagai parti yang berfahaman 'chauvinistik' samada di segi gender, kaum atau kenegerian, disebabkan kecuaian kita sehingga Islam itu sendiri sebagai satu anutan akidah dan ideology, dipandang dengan sinis dan penuh prejudis.

MUSLIMAT MENANGANI 'ENGAGEMENT' DAKWAH-SIASAH.

PAS, sejak penubuhannya lagi telah lama mengiktiraf penglibatan Muslimat dalam dakwah dan siasah. Seerah Rasulullah (saw) mengajar kita bahawa keterlibatan kaum wanita dalam membina masyarakat dan pengkupayaan mereka dalam gelanggang dakwah dan siasah amatlah penting dan telah termaktub se awal penglibatan Bai'atul Aqabah ke-Kedua lagi.


Peristiwa Bai 'atun Nisa' turut menjadi lambang penanda penghayatan keterlibatan golongan Muslimat secara langsung. Mereka meminta secara khusus untuk berbai'ah sebagai tanda janji setia untuk bersama sama Rasulullah menyampaikan Risalah Islam, menjaga kedaulatan Islam dan menjaga maruah diri serta keluarga mereka.

Jangan sekali kali kita lupa bahawa manusia pertama yang syahid di jalan Allah SWT adalah seorang wanita, Sumayyah RA, yang memberi makanan dan minuman secara sembunyi semasa penghijraan Nabi juga seorang wanita iaitu Asma' bint Abu Bakar RA.Terlalu banyak kisah peranan sahabiyat yang boleh dijadikan inspirasi bagi kita semua. Kerana itulah tidak pernah timbul isu PAS menyekat kaum wanita bergerak secara aktif dalam arena politik dan dakwah.

Dalam mendepani tuntutan perjuangan dakwah dan cabaran politik semasa, keterlibatan muslimat dan aktivisme kegiatan muslimat adalah amat mustahak dan kritikal. Kepentingan penglibatan Muslimat lebih menekan lagi mutakhir ini, justeru kerana dalam beberapa aspek, serangan musuh dan seteru Islam ini, hanya mampu ditangani dengan lebih berkesan oleh pihak Muslimat sendiri.

Perancangan musuh Islam untuk merosakkan umat dan institusi keluarga khasnya, telah lama bermula. Kaum wanita yang menjadi pendidik serta pencorak generasi mendatang menjadi sasaran utama mereka. Pelbagai cara telah digunakan termasuklah serangan serangan pemikiran terhadap perundangan Islam, kedudukan wanita dalam Islam, tekanan psikologi serta undangan 'Pembebasan' melalui gagasan pemikiran 'Kesamarataan' golongan Feminis, yang disalurkan pihak tertentu, melalui media cetak dan elektronik yang anti keagamaan, agar wanita Islam terasa diri mereka tertindas dan dinafikan kebebasan, hak asasi dan hak demokrasi mereka.

Meneliti realiti dan hakikat keruntuhan masyarakat manusia hari ini hatta di negara kita sendiri, sepatutnya sudah cukup untuk menginsafkan mereka yang masih memilikki kejernihan dhamir, hati-budi dan kehendak kepada kebaikan. Berpandukan statistik paling mutakhir, negara diancam dengan penagihan dadah seramai 292, 696 (1988 - sehingga Mac 06) yang 97.9% adalah lelaki dan 72.7% dari itu adalah terdiri dari orang Melayu-Islam. 69.6% dari penagih ini terdiri dari belia yang berumur 20 hingga 29 tahun dan dari mereka ini 79% berpendidikan sehingga sekolah menengah atau sekurang-kurangnya tamat tingkatan 3.


Jangkitan HIV dan AIDS di negara ini berada pada tahap membimbangkan berikutuan mereka yang dikesan menghidap penyakit berkenaan kini meningkat kepada kira-kira 60,000 orang. Jumlah ini mengikut Menteri Kesihatan adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding penghidap HIV dan AIDS di Australia yang mempunyai penduduk yang hampir sama (26 juta).

Sementara itu, pendedahan statistik dari Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) menunjukkan bahawa 100,000 pelajar sekolah terbabit dalam jenayah juvana dan kes disiplin serius. Soal selidik mendapati punca utama adalah pengaruh rakan sebaya. Tidak kurang mengaibkan adalah pendedahan bahawa terdapat gadis Melayu yang menjadi tukang urut yang mencecah ke angka 6000 orang. Meneliti senario dan statistik gejala moral keseluruhan negara adalah lebih mengerikan lagi.

Tentunya dalam menekuni permasalahan sosial dan keruntuhan moral remaja dan golongan dewasa hari ini, tidak boleh kita analisis secara mudah dan simplistik. Ia adalah gejala yang dicetus oleh pelbagai faktor yang saling mempengaruhi. Tidak perlu saya huraikan secara mendalam aspek ini. Namun dalam konteks bahagian ucapan ini, saya tegaskan betapa serangan 'Gagasan Pembaratan' ini, telah menggugat institusi keluarga, sehingga remaja sudah kehilangan perlindungan dan mengambil rakan sebaya sebagai ganti seperti didedahkan tadi.


Mengembalikan keutuhan institusi keluarga dengan menekankan kembali peranan mulia keibubapaan atau 'parenting', khasnya peranan wanita selaku 'ibu', mestilah menjadi antara isu penting yang perlu diketengahkan kepada masyarakat. Bukankah asas kekuatan mana mana masyarakat dan tamadun terletak pada keluarga ?

Di sini Muslimat berkewajiban untuk menampilkan penyelesaian secara penghayatan praktek. Kita perlu buktikan bahawa penyelesaiannya ada pada kita di segi teori dan amal. Kita perlu membawa model penyelesaian yang realistik dari institusi pendidikan kita bermula dari rangkaian Pasti kita, SRI dan SMI kita secara formal mahupun tarbiyah secara tidak formal yakni penghayatan rumah tangga kita sendiri sebagai "Baitud Dakwah", unit terkecil pembinaan satu tamaddun yakni usrah atau keluarga.


Penglibatan Muslimat dalam dakwah-siasah jangan sampai mengkesampingkan kepentingan disudut menjadi 'watak uswah dan qudwah' selaku isteri, ibu dan jiran, lantas membawa ke dimensi 'engagement' politik dalam gelanggang masyarakat dan negara yang lebih luas lagi.

Muslimat perlu terus bersedia meningkatkan diri menghadapi cabaran 'engagement' dalam masyarakat. Sayugia saya ingatkan bahawa sifat sabar perlulah menjadi kekuatan Muslimat, malahan kita semua, kerana Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :


' Seorang mukmin yang melibatkan dirinya (engaged) dengan masyarakat dan bersabar dengan segala karenah mereka adalah lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak mahu bergaul dengan manusia dan tidak pula bersabar dengan karenah mereka.'

Namun demikian dalam menangani masyarakat kontemporari yang semakin 'canggih' dengan keperluan yang tentunya berbeza kini, Muslimat perlulah lebih bijak mempakejkan aktivisme dan program yang lebih menarik serta yang boleh memikat masyarakat, samada yang bersifat keagamaan, kebajikan, pendidikan-kesihatan, kemasyarakatan-perundangan, sosio-keremajaan, kepenggunaan, alam sekitar, hiburan dan sebagainya.


Kehadiran Nisa' khasnya, dalam menjalin keterikatan bersama dunia remaja dengan cogan misi "Connecting Youth" adalah 'kejuruteraan sosial' yang saya kira paling kreatif, unik, mesra-remaja, tepat dengan cita-rasa generasi kini dan mendatang. Kita perlu memberi tahu masyarakat dunia yang kita juga mempunyai agenda hidup yang bermakna dan menyeluruh, merentasi garis politik yang disempitkan, tetapi bebas dari unsur kerusakan dan fahaman hedonisme yang diluar batas nilai dan agama.


Kita berharap secantik mana penjenamaan semula yang dibuat, sehebat itulah juga program dan respon masyarakat, insyaallah. Disitulah terletaknya antara cabaran kritikal peranan Nisa' dan Muslimat.

Tentunya persiapan yang lebih mantap perlu diusahakan. Bagi Muslimat saya ingin mencadangkan supaya meneruskan peningkatan diri dalam beberapa aspek penting ilmu-ilmu Islam serta ketrampilan sosial dan komunikasi, supaya mampu menangani budaya dan psikologi masyarakat berbilang kaum kini, dalam arus kemodenan yang serba mencabar.

Sekaligus ini bermakna PAS perlu memantapkan lagi sistem pentarbiyahan dan latihan yang sedia ada, supaya aktivis parti akan dapat berperanan dengan lebih berkesan. Dengan peningkatan ilmu, pengetahuan dan informasi serta kemahiran ini, saya percaya Muslimat akan lebih yakin dan bersedia untuk meningkatkan program 'engagement' bersama masyarakat kerana Muslimatlah seharusnya menjadi jurubicara dan pembela wanita wanita bagi memertabatkan kembali kedudukan mereka.

Saya mengucapkan syabas kepada Muslimat dan Nisa' atas segala kesungguhan dan iltizam mereka serta sentiasa berdoa semoga mereka sentiasa gigih berjuang disamping para suami yang juga mendukungi perjuangan ini, kerana mahar perjuangan ini amatlah tinggi dan begitu juga ganjaran yang berlipat ganda menanti mereka yang ikhlas dan istiqamah.

Sabda Rasulullah (saw):


( ألا إن سلعة الله الغالية ألا إن سلعة الله الجنة )
,لاق.
"Sesungguhnya barang dagang Allah itu Mahal, Sesungguhnya barang dagangan Allah itu Jannah (Syurga)".

PENEGASAN PENUTUP

Muslimin dan Muslimat yang dikasehi sekelian.

Pada perhimpunan Muktamar yang kita adakah setahun sekali ini, saya berasa bertanggungjawab selaku Presiden parti untuk mengingatkan kita semua tentang pentingnya kita kembali mengikatkan intima' (kebersamaan) dan iltizam kita kepada perjuangan untuk meninggikan Kalimah Allah SWT yang mulia ini. Sememangnya kita selaku manusia dan hamba Allah yang serba kekurangan, mengalami pasang surut semangat hatta iman kita, berdasarkan hadith Rasulullah (saw) juga menunjukkan akan hakikat sebegitu.

Namun dalam membicarakan perkara intima' kepada perjuangan, dalam pasang surut semangat kita, tidak dapat tidak selaku pendukung perjuangan Islam, kita dituntut agar jangan sampai tergelincir dan terjatuh ke dalam kemaksiatan meninggalkan medan amal dan jihad.

Firmanullah SWT yang bermaksud :


"Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata".

Kebersamaan dalam perjuangan ini bukanlah kerana dorongan habuan dunia dan gamitan kuasa, tidak pula dipacu semata-mata oleh faktor 'atifi atau emosi semata-mata. Saya mahukan ahli dan aktivis PAS memahami benar-benar bahawa penglibatan (intima') mereka dengan PAS adalah atas kesedaran dan keyakinan ilmu dan pengetahuan yang jelas bersandarkan kefahaman yang sahih tentang erti dan tuntutan Syahadatain ke atas semua yang mendakwa mengimani Allah dan Rasul serta Hari Pembalasan.

Aktivis PAS digerakkan dengan Visi dan Misi yang menginginkan Islam dimertabatkan sesuai dengan kedudukannya yang telah disempurna-lengkapkan oleh Allah SWT dan sebagai sistem yang menjamin keadilan dan kemerdekaan manusia sejagat.

Saya mahu jamaah ini menguatkan oraganisasi dan tandzim parti ini, bagi mendepani pelbagai cabaran yang bakal kita harungi seterusnya. Pada usia jamaah yang telah melangkaui 50 desawarsa ini, saya yakin kita cukup matang untuk menangani apa jua riak riak kecil dalam jamaah, yang lazim dalam organisasi yang melibatkan pengurusan manusia dengan segala tabiat dan kecenderungannya. Dengan tidak memandang kecil tentang apa pun yang bersabitan dengan perkara dalaman organisasi, selama kita tahu untuk memberi keutamaan amal dan fokas tugas kerja, kita tidak akan mudah untuk diselewangkan dari matlamat perjuangan kita, apa lagi untuk mengizinkan seteru politik kita mengambil kesempatan.

Justeru saya mahukan supaya perkara perkara berikut diberi keutamaan pimpinan di semua peringkat dan dilaksanakan dengan baik oleh aktivis parti.

* Memantapkan tandzim jamaah dengan penekanan membina kekuatan keahlian jamaah (capacity building) dengan merancakkan lagi program-program tarbiyah dan latihan (tarbiyah wa tadrib) secara lebih intensif dan terancang. Ini bagi meningkatkan kefahaman Islam, pengetahuan tentang urusan kepilihanrayaan dan ketrampilan sosial dan komunikasi untuk melebarkan dan meningkatkan keberkesanan usaha-usaha 'engagement' demi melebarkan tapak sokongan dengan merentasi semua segmen rakyat dan pengundi di negara ini.

* Mempertahankan kesucian amalan dan martabat Islam yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, bersama-sama dengan seluruh pihak yang cintakan Islam, keharmonian beragama dan ketenteraman antara kaum, agar pencerobohan ke dalam amalam agama Islam, dihindarkan dan semangat hormat-menghormati dan dialog antara agama, dapat dibudayakan secara baik dan berberkesan.

* Meneruskan perlaksanaan pelan tindakan bersama rakan-rakan politik pembangkang (BA) dan masyarakat sivil serta rangkaian NGO bagi menekankan kepentingan pihak berwajib membaik-pulih beberapa amalan asas demokrasi dalam urusan perjalanan pilihanraya sebagai tuntutan minima untuk meneruskan sistem pilihanraya sebagai jalan dan kaedah yang sah untuk memilih pemeritahan dan kerajaan di negara ini.

* Menyebarkan pemahaman kita tentang demokrasi bukan sekadar hak membuang undi dalam pilihanraya. Berusaha menjadikan pemahaman demokrasi yang bermakna supaya rakyat menuntut capaian maklumat yang sebenar, pendidikan yang membina dan mengupayakan mereka, persaingan di atas yang padang sama-rata dalam politik dan ekonomi, lantas diberi hak membuat pilihan tanpa dihukum atau didera.

* PAS dan semua aktivis Islam mempunyai tugasan memahamkan Islam dan undangan Islam kepada masyarakat seluruhnya. PAS selaku badan politik yang berdaftar yang bergerak dalam batas-batas perlembagaan dengan tegas menyatakan bahawa 'Mendaulatkan Islam' memberi kesegaran dan makna yang bererti kepada amalan demokrasi di negara ini. PAS akan terus komited untuk menjayakan agenda politik ini sebagai satu tanggungjawab agama dan tuntutan moral kepada rakyat di negara ini dan ummat manusia seluruhnya.

Sebagai akhir kalam, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kepada tuan-tuan tetamu kehormat dari dalam dan luar negara, para pemerhati dari dekat dan jauh, para perwalikan yang tentunya semakin bersedia untuk mengharungi dua hari bermuktamar di Kompleks yang permai ini.

Di penghujung ini saya mengambil kesempatan bagi merakamkan dengan segala keihklasan hati saya, khususnya kepada Pesuruhjaya Perhubungan PAS Negeri Kedah dan seluruh saff pimpinannya atas usaha jiddiyah mereka menyediakan segala yang terbaik untuk Muktamar kita kali ke-52 ini. Juga saya mengambil kesempatan ini untuk turut merakamkan ucapan "Jazakumullahu Khairan Kathiran" kepada seluruh petugas-petugas dan Panitia Muktamar atas kegigihan amal mereka dan semua para dermawan budiman yang dengan sumbangan mereka, menyaksikan dan membolehkan kita bermuktamar di Kompleks PAS Kedah ini buat sulung kalinya.

Hanya Allah SWT sahajalah yang membalas pengorbanan tuan-tuan dan saya duakan agar ia tercatat sebagai pelaburan Saham Akhirat dengan Allah dalam perniagaan yang tentunya tidak akan rugi 'Tijaratan Lan Tabur'.

Marilah sama-sama kita mengikhlaskan seluruh niat kita hanyasanya untuk mencari keredhaan Allah SWT, tanpa menghitung puji-pujaan manusia sebagai dorongan kita untuk beramal dalam rangka usaha kita memperjuangkan "Li-'ila' Kalimatullahi Hiya al-Ulya'".

Semoga Allah SWT melingkungi kita dengan RahmatNya dan mencurahkan TaufiqNya dalam membimbing kita mencari segala yang terbaik dari pemahaman, pengetahuan dan perancangan dalam suasana kita bermuktamar di kompleks yang bertuah ini.

Amin Ya Rabbal 'Aalamin.



Takbir ! Takbir ! Takbir !




Hj. Abdul Hadi Awang


Presiden PAS


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59