Thursday, 11 May 2006

TIADA SIAPA DAPAT MELAWAN KUASA ALLAH


KUALA LUMPUR 11 MEI: Walaupun Kelantan dituduh dengan pelbagai tuduhan jika berlaku banjir di negeri itu, namun bila Kuala Lumpur dilanda banjir semua pemimpin Umno senyap sepi tidak berani bersuara.

Tetapi itulah hakikat kekuasaan Allah. Walau sehebat mana manusia, kita tidak akan dapat melawan kekuasaanya. Inilah yang berlaku di Kuala Lumpur semalam.

Hujan lebat luar biasa di ibu kota selama kira-kira dua jam bermula 2 petang semalam, mencetuskan suasana kelam-kabut seketika apabila beberapa lokasi termasuk laluan utama dilanda banjir kilat.

Paling mencemaskan apabila 200 pelajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Confucian, Jalan Sungai Besi, terpaksa dipindahkan serta-merta ke tingkat satu bangunan sekolah terbabit selepas air Sungai Klang berhampiran melimpah.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, tembok batu setinggi dua meter yang dibina pihak sekolah untuk mengelak banjir ternyata gagal menghalang air sungai memasuki kawasan sekolah.

Pada masa sama, kawasan di sekitar Taman Miharja, Jalan Cheras, yang didiami keluarga anggota polis Kuala Lumpur turut ditenggelami air setinggi hampir satu meter.

Seorang penduduk, Harizan Che Omar, 34 , berkata air banjir tiba-tiba naik hingga paras pinggang dalam tempoh kurang dua minit menyebabkan penduduk di tingkat bawah Blok 9 dan Blok 15 tidak sempat berbuat apa-apa.

Menurutnya, banjir terbabit turut menyebabkan puluhan kereta dan beratus motosikal penduduk ditenggelami air termasuk beberapa motosikal milik polis trafik Kuala Lumpur.

Banjir kilat terbabit turut menyebabkan 30 kereta dihanyutkan arus deras sewaktu melalui Damansara Damai ke Sungai Buloh, petang semalam.

Di Cheras, banjir kilat mengakibatkan hampir 50 keluarga yang tinggal berhampiran Sungai Raya di Kampung Sungai Raya, Batu 9, cemas selepas kediaman mereka dinaiki air sedalam 0.6 meter.

Banjir kilat juga melanda Batu 9 Lebuhraya Cheras-Kajang mengakibatkan ratusan kenderaan terperangkap dalam kesesakan jalan raya dari kedua-dua arah termasuk menghala ke Kuala Lumpur dan Kajang.

Pada masa sama, penduduk di Taman Tun Perak, Cheras, terdedah bahaya selepas jalan berhadapan Tangki Sedutan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Wilayah Hulu Langat, runtuh hampir satu meter.

Sementara itu, jurucakap bilik operasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, paras air di Sungai Klang dan Sungai Gombak naik mencecah dua meter akibat hujan lebat terbabit.

Pihak DBKL memberitahu, banjir kilat terbabit turut menyebabkan kesesakan teruk lalu lintas hampir di semua laluan utama di pusat bandar raya membabitkan Lebuh raya Persekutuan, Lebuh raya Sungai Besi, Lebuh raya Lingkaran Tengah (MRR2), Jalan Tun Razak, Jalan Duta, Segambut, Jalan Kuching, Jalan Istana, Jalan Cheras, Hentian Puduraya dan Selayang.

Kesesakan lalu lintas itu berlanjutan sehingga jam 8 malam berikutan penutupan beberapa jalan utama di Bukit Bintang, Jalan Sungai Buloh dan Jalan Cheras-Kajang.

Keadaan itu diburukkan lagi berikutan kerja mengalihkan dahan pokok tumbang di Jalan Istana dan Jalan Imbi.

Jurucakap bilik kawalan Polis Trafik Jalan Bandar pula berkata, anggota polis trafik ditempatkan di laluan yang ditenggelami air untuk mengawal pergerakan lalu lintas.

Sumber: Harian Metro

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59