Thursday, 4 May 2006

PULAU PINANG BAKAL JADI PUSAT KASINO BARU






PULAU PINANG 4 Mei - Pulau Pinang atau lebih manis di panggil Pulau Mutiara bakal menjadi pusat perjudian terbaru di negara kita apabila pusat kasino akan dibuka di Pulau Jerejak seperti yang dilaporkan oleh Utusan Meloya hari ini.

Akhbar itu menyiarkan bahawa alasan pembinaan pusat perjudian tersebut ialah untuk menarik lebih ramai pelancong asing memandangkan Pulau Pinang hanya mempunyai dua sumber ekonomi iaitu pembuatan dan pelancongan.

Boleh diterimakah alasan itu?

Utusan Meloya diberitahu oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pantai Jerejak, Wong Mun Hoe hari ini, cadangan untuk membangunkan pusat perjudian itu akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan ini.

Beliau sendiri akan membentangkan cadangan itu.

``Semuanya akan saya bentangkan di Dewan. Perkara lain berkaitan perkara itu setakat ini masih embargo. Saya tidak mahu komen di sini,'' katanya.

Apa sekalipun, Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil menentang habis-habisan cadangan tersebut kerana ianya jelas mencemarkan nama negara kita Malaysia yang agama rasminya Islam.

Ini ditambah lagi dengan ajaran baru Islam Hadhari yang diamalkan oleh Pak Lah dan kerajaan sekarang. Atau apakah Islam Hadhari sendiri menghalalkan sebarang bentuk perjudian kerana telah terbukti dari dahulu kerajaan Umno/BN memang tidak berusaha untuk menutup pusat perjudian di Malaysia malah sentiasa menggalakkan pertumbuhannya dengan memberikan lesen-lesen baru kepada syarikat perjudian.

Malah di segenap pelusuk negara kita sekarang ini samada ianya pekan 'koboi' atau bandar kecil dan besar sudah semacam tidak sah kalau tidak ada kedai toto, 4D, Damacai dan sebagainya.


Untuk rekod, aktiviti perjudian mesin slot pernah diwujudkan di sebuah resort di Pulau Tioman pada 2003, tetapi terpaksa dihentikan setelah mendapat kritikan hebat.

Begitu juga aktiviti perjudian mesin slot di resort Bukit Tinggi, Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohamad terpaksa campur tangan sehingga kegiatan itu juga turut ditutup.

Walaupun kedua-dua pusat di atas tidak

Kata Mun Hoe, selain pusat perjudian dan kasino, beliau akan membangkitkan semua perkara berhubung cadangan pembangunan pulau yang pernah dijadikan pusat tahanan banduan itu.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Perkampungan Sungai Nibong Jati, di sini hari ini.

Sidang DUN Pulau Pinang akan bermula pada 22 hingga 30 Mei ini.

Januari lalu, agensi berita asing memetik kenyataan Mun Hoe yang mencadangkan sebuah kasino dibuka di Pulau Jerejak dan cadangan itu akan dibangkitkan pada sidang DUN akan datang.

Bagaimanapun Mun Hoe menafikan pernah mengeluarkan kenyataan berkenaan sebaliknya memberitahu bahawa beliau tidak membantah sekiranya ada mana-mana pihak berhasrat memajukan sektor pelancongan pulau itu dengan membuka kasino.

Kata Mun Hoe, pembukaan kasino atau taman tema di Pulau Jerejak hanya membabitkan lima hingga enam peratus pembangunan pulau itu.

Dalam laporan itu, beliau juga mencadangkan kasino tersebut mempunyai syarat-syarat tertentu seperti hanya boleh dimasuki pelancong asing sahaja.

Pulau Jerejak dikenali sebagai pusat tahanan penjenayah dan pengasingan pesakit kusta, terletak kira-kira 10 minit perjalanan menggunakan bot dari Pulau Pinang. Pusat tahanan itu ditutup pada akhir tahun 1991.

Selepas itu, banyak cadangan dibuat untuk membangunkan pulau berkenaan antaranya Agensi Dadah Kebangsaan mahu menjadikannya pusat serenti menempatkan 3,000 penagih manakala Kerajaan Pulau Pinang berusaha memajukannya sebagai pusat pelancongan.

Kini Pulau Jerejak bertukar wajah sebagai pusat rekreasi dan ekopelancongan bertaraf dunia.

Kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan keluasan 362 hektar pulau itu dibangunkan oleh Tropical Island Resort Sdn. Bhd. (TIRSB) iaitu 51 peratus ekuitinya dipegang oleh UDA Holdings Berhad manakala 49 peratus lagi dimiliki oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Terdapat sebuah perkampungan moden yang dibuka di pulau itu untuk aktiviti kem bina semangat.

Kemudahan Jerejak Resort & Spa turut disediakan.

Pembangunan kemudahan resort juga akan diteruskan sehingga tahun 2007 termasuk banglo eksklusif, pusat-pusat seperti Khemah Musim Panas yang mempunyai aktiviti eko-pelancongan.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil mencadangkan kepada Dewan Pemuda PAS Pusat menentang cadangan ini habis-habisan demi untuk menyelamatkan maruah umat Islam dan kesucian agama Islam yang menjadi agama resmi negara.

Kalau pembukaan pusat kasino ini menjadi kenyataan maka sahlah Pak Lah merupakan bapa perjudian negara kerana lesen perjudian terletak di bawah kuasa Kementeriannya iaitu Kementerian Kewangan malah Pulau Jerejak sendiri terletak didalam negeri kelahiran Imam Besar Islam Hadhari tersebut.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59