Monday, 15 May 2006

APA BERITA DI BAWAH DISIARKAN UNTUK MENGABUI MATA RAKYAT?


Utusan Meloya menyiarkan berita di bawah dalam 'headline' akhbar itu hari ini. Apakah berita disiarkan semata-mata untuk mengabui mata rakyat supaya 'merestui' kenaikan tarif elektrik yang dijangka dinaikkan tidak lama lagi?

Rakyat mesti bijak menilai dan membuat pertimbangan.


-------------------------------------------------------------------------------------

Langkah elak TNB muflis -- Kerajaan arah kurangkan separuh rizab bekalan elektrik

BERUAS 14 Mei - Kerajaan mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengurangkan rizab tenaga elektrik negara kepada 20 peratus berbanding 40 peratus sekarang bagi mengelakkan syarikat utiliti nasional itu muflis.

Dengan keputusan ini, seorang penganalisis tenaga meramalkan TNB mampu mengurangkan beban tanggungannya dengan ``begitu signifikan''.

Rizab tenaga elektrik ialah tenaga simpanan yang tidak digunakan, tetapi dikeluarkan bagi menampung keperluan mengejut dan terdesak. ``Ia diibaratkan dua atau tiga tayar ganti di dalam but kereta, sedangkan satu saja sudah memadai,'' kata penganalisis itu.

Negara kini mengeluarkan sebanyak 26,000 megawatt tenaga elektrik, dengan kapasiti pengeluaran TNB 18,000 megawatt dan 8,000 megawatt lagi dibekalkan oleh Penjana Tenaga Bebas (IPP).

Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berkata, rizab bekalan elektrik negara sebanyak 40 peratus yang ditetapkan itu adalah terlalu besar dan ia memerlukan kos yang tinggi untuk menstabilkannya di samping satu pembaziran yang besar kerana tidak digunakan.

``Kos tersebut mengurangkan keuntungan syarikat utiliti tersebut di samping wang tersebut tidak dapat diperuntukkan untuk menyenggara pembekalan elektrik di negara ini,'' katanya kepada pemberita sebelum menghadiri majlis memungut derma di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Pei Ching di sini malam tadi.

Keng Yaik bagaimanapun tidak menyatakan mekanisme pengurangan itu akan dilakukan - sama ada rizab TNB atau IPP atau daripada kedua-duanya.

Menurut penganalisis itu lagi, apa yang menjadi persoalan ialah bagaimana pengurangan itu akan dilakukan.

Menurutnya, IPP mempunyai perjanjian dikenali sebagai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) yang tidak boleh dirunding semula. Sekiranya rundingan semula dijalankan ia hanyalah atas dasar persefahaman bersama dan tidak melibatkan PPA.

``Atas dasar itu, ia boleh dilakukan, tetapi jika rundingan semula dijalankan, mungkin ia akan melibatkan pemanjangan kontrak antara TNB dan IPP-IPP berkenaan,'' katanya.

Buat masa ini TNB membayar RM4 bilion setahun untuk tenaga rizab yang dijana oleh IPP - tanpa mengira sama ada kapasiti itu digunakan atau tidak.

Setakat ini sebanyak sembilan IPP bernaung di bawah lima syarikat konsesi iaitu YTL Power Generation, Malakoff Bhd., Powertech, Sime Darby dan Genting Sanyen.

Keng Yaik memberitahu, beliau menjangkakan TNB terpaksa menanggung kos rizab bekalan elektrik sebanyak RM6 bilion apabila dua lagi IPP baru iaitu di Jimah Baru dan Tanjong Bin beroperasi.

Sehubungan itu juga, kerajaan tidak membenarkan lagi pembinaan janakuasa baru oleh TNB dan IPP sehinggalah isu rizab bekalan elektrik negara yang tinggi itu diselesaikan.

Beliau menambah, kerajaan juga akan berunding semula dengan kesemua IPP untuk mencari kaedah mengurangkan kapasiti caj elektrik terlalu tinggi dibekalkan kepada TNB yang telah dimeterai sebelum ini.

``Kerajaan sanggup memberi pampasan dalam bentuk kewangan atau lain-lain insentif kepada IPP bagi mengatasi kerugian yang dialami oleh IPP berkenaan.

``Kita akan berunding semula dengan IPP dalam hal ini dan kita sanggup memberi apa juga pampasan kepada mereka,'' katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan telah memberi amanah kepadanya untuk mengadakan rundingan tersebut tetapi ia tidak bermakna perjanjian konsesi antara TNB dengan IPP akan dikaji semula.

Jelasnya, pada asasnya kerajaan mahu TNB dan IPP mencari kata sepakat supaya kedua-dua pihak mendapat keuntungan dan pada masa yang sama tidak membebankan pengguna serta rakyat.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Keng Yaik berunding dengan IPP berhubung bayaran yang dikenakan terhadap TNB bagi memastikan kadarnya lebih munasabah dan tidak membebankan syarikat tenaga itu.

Pada 13 April lalu, TNB menyatakan kedudukan kewangannya paling meruncing dalam sejarah dan hasil kewangannya bagi tempoh enam bulan berakhir 28 Februari 2006 dengan mencatatkan kerugian ekonomi RM1 bilion.

Antara penyumbang masalah itu ialah tanggungan membebankan TNB yang terpaksa membayar lebih RM4 bilion setahun kepada IPP tanpa mengira sama ada kapasiti digunakan sepenuhnya atau tidak.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, beliau tidak mahu wujud satu pihak yang mendapat keuntungan berlebihan manakala satu lagi mengalami kerugian dalam kerjasama antara TNB dan IPP.

Keng Yaik memberitahu, kerajaan telah mendapat formula untuk mengkaji semula tarif elektrik dengan mengenakan kadar yang lebih kepada penggunaan yang tinggi.

Tambah beliau, kerajaan juga akan mengkaji semula secara keseluruhan industri tenaga di negara ini dan perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet akan datang.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59