Tuesday, 16 May 2006

2 tahun hidu najis ayam


ALOR GAJAH 13 MEI : Seramai 40 keluarga di Kampung Bukit Beruang, Kuala Sungai Baru, di sini terpaksa menghidu bau busuk dari sebuah premis memproses najis ayam untuk dijadikan baja di kampung mereka sejak dua tahun lalu.

Kesan buangan sisa berkenaan juga didakwa menyebabkan kawasan hutan seluas empat hektar terletak kira-kira 500 meter dari kawasan terbabit mati sejak beberapa bulan lalu dipercayai akibat pencemaran air kumbahan yang dibuang menerusi sungai berhampiran.

Tinjauan Harian Metro ke kawasan berkenaan mendapati kawasan premis yang turut menempatkan reban ayam komersil itu berbau busuk dan meloyakan.

Malah, sungai kecil yang mengalir di kawasan itu juga didapati tercemar dan berkeladak.

Wakil penduduk kampung berkenaan, Ngo Teck Song, 33, berkata masalah itu sudah berlarutan sejak dua tahun lalu dan sehingga kini tiada tindakan diambil pihak berkuasa tempatan walaupun aduan banyak kali dibuat.

“Dulu ada juga tindakan dibuat tetapi masalah itu timbul semula,” katanya ketika membawa pemberita melawat kawasan berhampiran premis itu kelmarin.

Lawatan berkenaan turut disertai Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Chua Kim Tee.

Penduduk lain, Lim Boon Yong, 47, mendakwa dia kini menghidap lelah kerana terpaksa melalui kawasan premis memproses najis ayam itu.

Menurutnya, beliau terpaksa melalui kawasan ternakan ayam itu sebanyak enak kali sehari untuk ke tempat ternakan lembunya.

“Tidak pernah seumur hidup saya menghidap penyakit lelah. Bagaimanapun, mungkin disebabkan bau busuk itu, saya kini menghadapi masalah pernafasan,” katanya

Seorang penduduk dari Taman Rebana Jernih, Majid Husin, 64, berkata walaupun taman perumahannya terletak lebih lima kilometer dari Kampung Bukit Beruang, pencemaran bau turut berlaku di kawasannya.

Katanya, masalah itu menyebabkan mereka terpaksa menutup pintu rumah setiap hari dan keadaannya lebih buruk selepas hujan.

“Dua cucu saya yang datang berkunjung dari Kuala Lumpur pada minggu lalu muntah apabila terhidu bau busuk itu,” katanya yang mahukan pihak berkuasa mengatasi masalah itu dengan segera.

SUMBER : HARIAN METRO

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59