Wednesday, 5 April 2006

LAGI SEORANG PEMIMPIN ISLAM HADHARI DIISYTIHAR BANGKRAP


KUALA LUMPUR 5 April - Seorang lagi pemimpin Islam Hadhari iaitu anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Abd. Rahman Palil dikenakan notis kebankrapan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, dekat sini berhubung pembayaran wang sebanyak RM311,295.35 kepada seorang bekas pengarah syarikat perkhidmatan pencucian dan pembersihan.

Notis bertarikh 8 Mac lalu telah diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam Selangor itu pada 27 Mac lalu.

Notis tersebut dikeluarkan selepas bekas pengarah syarikat Agmal Development Sdn. Bhd. (Agmal), Zarinah Abu Bakar memperoleh penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi di sini terhadap Abd. Rahman pada 20 Februari lalu.

Penghakiman ingkar itu dibuat oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Marutin Anak Pagan yang memerintahkan Abd. Rahman membayar RM311, 295.35 sebagai ganti rugi khas dan kos RM285 kepada Zarinah.

Ini berikutan tiada pernyataan pembelaan difailkan oleh Abd. Rahman yang dinamakan sebagai defendan dalam saman yang dikemukakan oleh Zarinah pada 21 Disember tahun lalu.

Peguam yang mewakili Zarinah, Keppy Wong ketika dihubungi berkata, sehingga hari ini tidak ada sebarang permohonan daripada Abd. Rahman untuk mengetepikan notis kebangkrapan atau penghakiman ingkar tersebut.

Zarinah, 36, memfailkan writ saman terhadap Abd. Rahman bagi menuntut ganti rugi RM311,295.35 kerana didakwa memungkiri perjanjian berhubung penjualan syarikat asal miliknya, Agmal setelah dikurniakan sebidang tanah bernilai lebih RM9 juta, 11 tahun lalu.

Menurut pernyataan tuntutan, Zarinah selaku plaintif menyatakan bahawa sehingga akhir tahun 1994, beliau merupakan pemegang saham terbesar dalam syarikat Agmal.

Pada tahun 1994, dakwanya, Abd. Rahman telah menghantar dua wakilnya termasuk seorang pegawai Pejabat Tanah Daerah Petaling bagi berbincang menggunakan syarikat itu dalam satu permohonan mendapatkan sebidang tanah daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Hasil perbincangan, plaintif mendakwa, beliau, defendan dan dua wakilnya bersetuju dengan empat terma antaranya ialah plaintif akan memberikan 60 peratus saham syarikat itu kepada defendan, 20 peratus kepada wakilnya dan 10 peratus kepada isteri pegawai jabatan tersebut.

Plaintif juga, dakwanya, akan mendapat saham sebanyak 10 peratus daripada nilai tanah yang diperoleh.

Zarinah mendakwa, pejabat tanah tersebut kemudian telah meluluskan permohonan itu dan mengurniakan sebidang tanah seluas 11.3 hektar di Sungai Buloh yang bernilai RM9,147,600 pada waktu itu.

Bagaimanapun, dakwa beliau, bagi mengelakkan cukai, defendan memutuskan untuk tidak menjual tanah itu sebaliknya menjual semua saham syarikat Agmal kepada syarikat Aras Bumi Sdn. Bhd. dengan harga RM2 juta pada Oktober 1995.

Zarinah mendakwa, beliau telah menerima bayaran pertama sebanyak RM18,295 daripada saham plaintif dan 12 bayaran lagi secara berperingkat-peringkat mulai tahun 1995 hingga tahun lalu.

Plaintif mendakwa, defendan sehingga kini masih berhutang sebanyak RM311,295.53 kepadanya memandangkan sejumlah RM1.82 juta daripada nilai tanah itu masih ditahan oleh peguam cara pembeli bagi tujuan pembayaran cukai jualan saham.

Berikutan itu, Zarinah mendakwa defendan gagal menunaikan janji sehingga menyebabkannya mengalami kesengsaraan, tekanan jiwa dan mental.

Sumber : Utusan

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59