Thursday, 9 March 2006

SEMUA LADANG BABI DI MELAKA DIARAH TUTUP:PENTERNAK RESAH


MELAKA 9 MAC : Kerajaan Negeri Melaka telah mengarahkan kesemua 82 ladang ternakan babi di negeri itu supaya ditutup dalam tempoh 14 hari dari tarikh mereka menerima surat arahan tersebut.

Mereka juga diarahkan supaya mengambil tindakan menjual, memindah atau apa-apa cara yang difikirkan sesuai dalam tempoh berkenaan.

Arahan tersebut terkandung dalam surat yang dihantar oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Melaka, kepada semua penternak terbabit, yang bertarikh 1 Mac lalu.

Dalam surat itu, jabatan berkenaan berkata, penutupan ladang babi serta pemberhentian semua aktiviti ternakan di ladang berkenaan, dibuat selaras dengan keputusan mesyuarat Exco negeri itu pada 10 April 1999 mengenai penutupan ladang khinzir di Melaka.

Sehubungan itu, para penternak terbabit diberi amaran, jika gagal mematuhi arahan tersebut, ladang ternakan mereka akan disita.

Salinan surat tersebut turut dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Melaka, Ketua Pengarah Perkhidmatan Haiwan Malaysia di Putrajaya dan Pengarah Penguatkuasa di Putrajaya.

Berikutan itu, sebuah iklan (foto) dibuat oleh penternak terbabit, disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily semalam, meminta sokongan dan perhatian orang ramai supaya tindakan tersebut ditarik balik.

Karikatur

Dalam iklan tersebut juga, mereka mengatakan, jika tindakan itu boleh berlaku di Melaka, perkara yang sama juga boleh dilakukan di negeri-negeri lain.

Iklan tersebut disertakan dengan satu karikatur yang menunjukkan empat penternak babi Melaka sedang menunggu giliran untuk digantung (foto).

Presiden Persatuan Penternak Melaka, Chin Nam Yee berkata, iklan itu disiarkan berikutan kegagalan usaha mencari penyelesaian terhadap isu tersebut, walaupun ahli exco negeri dari MCA dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) MCA pernah memberi jaminan untuk membantu mereka mencari penyelesaiannya.

Namun begitu, katanya, pihak majlis perbandaran dan pejabat tanah telah banyak kali memberi surat kepada para penternak terbabit mengarahkan mereka menghentikan operasi ternakan.

Bagaimanapun, katanya, iklan tersebut hanya dapat disiarkan dalam akhbar Oriental Daily kerana empat lagi akhbar berbahasa Cina enggan menyiarkannya atas alasan isu itu sangat sensitif.

Perkara tersebut telah dibangkitkan pada 31 Disember lalu dan atas usaha Adun MCA dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (foto) telah berjanji secara lisan untuk tidak memindahkan mereka untuk sementara waktu.

Bagaimanapun, para penternak terbabit terperanjat apabila menerima surat dari Jabatan Veterinar Melaka itu, yang bertarikh 1 Mac lalu, yang mengarahkan mereka supaya menutup operasi ladang masing-masing.

Pusatkan ternakan

Dan semua pemilik 82 ladang terbabit mulai menerima surat arahan tersebut secara berperingkat mulai 1 Mac.

Menurut Chin lagi, pihak berkuasa negeri mahu memusatkan ladang ternakan babi di negeri itu ke kawasan yang belum ditetapkan lagi.

Sebelum ini, perjumpaan dan perbincangan antara pemilik ladang dan pihak berkuasa negeri telah diadakan, tetapi gagal mencapai sebarang keputusan.

Sebaliknya, pihak penternak telah meminta kerajaan negeri supaya mengenalpasti terlebih dahulu kawasan yang akan dijadikan pusat ternakan babi di negeri itu.

Bagaimanapun, difahamkan, pihak kerajaan negeri pula meminta para penternak supaya mencapai kata sepakat dan selepas itu baru kerajaan negeri mencari tapak pusat ternakan tersebut.

Dipetik dari Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59