Thursday, 9 March 2006

SELANGOR MAJU:TAPI MASIH ADA RAKYATNYA YANG TIDAK MAKAN NASI SELAMA 2 MINGGU KERANA MISKIN


HULU LANGAT 9 MAC: Di saat pemimpin negeri hidup mewah dan mendakwa negeri Selangor adalah negeri maju, masih ada lagi rakyatnya yang melarat tidak mampu membeli beras.

Media hari ini melaporkan bahawa salah seorang rakyat 'Negeri Maju' ini menceritakan perihat keluarga beliau.

“Saya tidak boleh melupakan kata-kata anak saya yang teringin sangat hendak makan nasi. Dia cakap sudah dua minggu tidak makan nasi, tetapi apakan daya saya tidak mampu membeli beras kerana tiada duit.

“Saya sangat sedih ketika itu sampai beberapa kali memegang bekas menyimpan beras sambil menunjukkan kepada anak saya. Beras tak ada yang ada cuma tepung gandum tetapi terpaksa dibahagi dua untuk dijadikan makanan seharian,” kata Shahrul Hisham Ishak, 33, yang hidup daif bersama keluarganya di Kampung Sungai Lui, di sini, sejak tiga tahun lalu.

Menurut Shahrul, ada kalanya dia terpaksa mencuri pisang di kawasan kebun milik penduduk kampung berhampiran dengan pondok buruknya bagi dijadikan pengalas perut.

Dia yang mempunyai dua cahaya mata Siti Aishah, 8, dan Mohd Shahrul Rizwan, 6, berkata detik suram keluarganya bermula apabila dia diberhentikan kerja tiga tahun lalu berikutan sering mengambil cuti kerana mengalami sakit pinggang berpanjangan.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai juruteknik sebuah kilang di Hulu Langat dengan pendapatan RM550 sebulan. Malangnya apabila sudah selalu ambil cuti, majikan tidak boleh berkompromi lagi.

“Bukan disengajakan tapi terpaksa kerana kesakitan dialami cukup menyeksakan. Itu mata pencarian keluarga tetapi keadaan memaksa saya terima ketentuan ini,” katanya.

Demi menyara keluarga, isterinya, Rashidah Ismail, 26, terpaksa bekerja sebagai pencuci bangunan di Bukit Aman dengan pendapatan RM400 sebulan.

Selepas diberhentikan kerja, Shahrul sekeluarga tiada tempat perlindungan kerana tuan rumah mengarahkan mereka mengosongkan rumah kerana tidak mampu untuk membayar sewa.

“Hidup kami tidak menentu selepas itu sehingga bapa saya yang bekerja sebagai penjaga kebun terpaksa membina bangsal beratapkan buluh di Kampung Sungai Lui sebagai tempat kami berlindung anak beranak.

“Saya terpaksa menjual sayur-sayuran dari rumah ke rumah atau kedai berhampiran serta menangkap katak untuk dijual kepada peniaga Cina bagi menyara kami sekeluarga,” katanya.

Bagaimanapun, penderitaan empat beranak itu akhirnya mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas menerima aduan daripada penduduk kampung.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat LZS, Akhtar Sahari, berkata pihaknya menyediakan rumah kos rendah di Taman Saujana Impian, Kajang, sebagai rumah sementara keluarga itu.

“LZS juga membiayai yuran persekolahan kedua-dua anak pasangan berkenaan sehingga mereka ke sekolah menengah. Kami akan menguruskan perpindahan ke sekolah baru tidak lama lagi.

“Kami akan membantu Shahrul mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan fizikalnya memandangkan beliau menghidap sakit pinggang,” katanya yang ditemui di pondok buruk keluarga berkenaan, semalam.

Turut hadir pegawai JKM Daerah Hulu Langat, Mohamad Razuki Sibi.

Inilah negeri Maju Selangor di bawah pemerintahan Khir Toyo yang sedang menghadapi pelbagai masalah akibat pemerintahannya yang lemah dan bermasalah.

Sumber : Harian Metro

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59