Tuesday, 28 March 2006

Persekitaran rangsang Melayu untuk berseronok


Persekitaran yang ada sekarang penuh dengan rangsangan untuk berseronok dan apabila diadakan pesta dan keraian, hampir 98 peratus yang datang adalahorang Melayu.

Begitulah pandangan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia, Datuk Omar Mohd Hashim. Anak-anak muda Melayu juga katanya terdedah kepada banyak perkara termasuk pengaruh media dan internet.

"Saya tak akan menyalahkan budak-budak ini. Mereka bagaikan kain putih, yang boleh dicorakkan bermacam-macam. Kalau ibu bapa tak mencorakkan mereka, orang lain akan mencorakkan dan inilah yang terjadi sekarang," tegasnya.

Beliau menegaskan demikian dalam satu tinjau pendapat Bernama mengenai anak Muda Melayu sekarang. Bernama bertanya apa kenanya dengan anak muda Melayu sekarang – tidak cukup masalah penagihan najis dadah, berkhalwat, dihebohkan pula dengan muzik Black Metal, homoseksual dan baru-baru ini parti liar.

Bernama juga bertanya mengapa semua ini berlaku – adakah kerana kudang penddidikan agama, kurang penjagaan ibubapa atau pengaruh media dan internet yang berleluasa>

Sehubungan itu, Omar berkata, apa yang berlaku sekarang adalah kesan kepada kemajuan yang dinikmati orang Melayu.

“"Orang Melayu sebelum ini tinggal di kampung dan ramai yang mula berhijrah ke bandar sekitar tahun 70-an. Mereka mengalami kejutan budaya dan kemakmuran hidup kemudiannya membawa bersama pelbagai masalah sosial bukan sahaja untuk ibu bapa tetapi juga anak-anak," katanya.

Mahu ke mana?

Menurut Omar lagi, anak-anak muda Melayu perlu tahu siapa diri mereka, dari mana mereka datang dan ke mana mereka mahu pergi.

Mereka juga, kata beliau perlu persekitaran yang boleh memberi rangsangan untuk membesar sebagai manusia yang mempunyai watak yang kukuh dan hebat.

Manakala Presiden Angkatan Belia Malaysia (Abim), Yusry Mohamad, pula berkata, generasi muda Melayu hidup dalam keadaan yang lebih mencabar, dalam dunia yang serba terbuka berbanding sebelumnya.

"Ledakan informasi, terdedah kepada budaya dan idea yang melemahkan jati diri yang diperolehi daripada internet, media cetak, televisyen.Semuanya ini menghasilkan satu pertembungan nilai dan meletakkan anak muda Melayu dalam keadaan hidup yang cukup mencabar," katanya.

Masyarakat, kata Yusry tidak sepatutnya cepat menghukum sebaliknya cuba meletakkan diri mereka ke dalam situasi yang melanda anak muda Melayu.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan usaha yang bersepadu perlu dibuat untuk menyedarkan anak muda Melayu ini.

‘Satu perlumbaan’

"Kita kena tutup juga pintu-pintu yang boleh membawa mereka kepada pengaruh negatif. Kalau banyak pintu-pintu begini, berapa ramai yang boleh tahan," tanya beliau.

Anak-anak muda Melayu juga, katanya perlu tahu hidup mereka ini adalah satu perlumbaan.

"Mereka perlu sedar perlumbaan ini sebenarnya sudah bermula dan meskipun usia masih muda, mereka perlu menyiapkan diri untuk bersaing, beringat dan berwaspada. Bukan relaks sahaja,” katanya..

Beliau juga menekankan bahawa kekuatan orang Melayu terletak pada agamanya (Islam) dan kemelayuannya.

"Majoriti anak muda Melayu yang dicabut dari akar Islam dan nilai-nilai Melayu akan kehilangan punca dan tidak tahu batas dan menjadi ekstrem," tambahnya.

Menurut beliau, anak-anak muda Melayu menjadi begitu kerana tidak biasa dengan hidup dan bergaul bebas berbanding anak-anak muda di Barat.

"Anak muda Melayu ini seperti orang celik yang tiba-tiba menjadi buta, hilang agama, hilang budaya. Contoh muzik Black Metal, jika pelajaran tak tinggi, dia mungkin ambil muzik itu dan menjadikannya sebagai satu eskapisme. Kita sebenarnya tak memerlukan muzik itu, kita kena pandai memilih," jelas beliau.

Kegagalan ibubapa

Pakar motivasi, Datuk Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah pula berkata anak-anak muda yang tidak kuat asas agamanya mudah dipengaruhi unsur-unsur yang tidak sihat.

"Asas agama tak ada, itu sebabnya yang bukan-bukan berlaku. Bila saya beri kaunseling, saya akan katakan balik kepada perkara asas. Ertinya cari ilmu tentang agama selain ilmu dunia, amalkan dan kita akan selamat dunia dan akhirat,"jelasnya.

Menurut Dr Fadzilah pula, ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya ke atas anak-anak mereka dan apabila ibu bapa gagal menjadi pengaruh pertama kepada anak-anak, peranan pihak-pihak lain akan menjadi penting.

"Ikut kajian saya, ibu bapa mempunyai 80 peratus pengaruh ke atas anak-anaknya jadi jika ibu bapa gagal, kawan-kawan, persekitaran, televisyen, radio dan wayang gambar jadi penting.

"Memang tak ada ibu bapa sengaja nak menggagalkan anak-anak. Ibu bapa selalu berkata kami sudah membuat yang terbaik tetapi bagi kebanyakan ibu bapa, yang terbaik itu bukan pun baik sangat," kata beliau.

Sistem keluarga

Omar pula berkata, keluarga merupakan antara faktor yang mempengaruhi pembentukan sahsiah
manusia dan bagi masyarakat Melayu, proses urbanisasi telah menghakis sistem keluarga.

Kedua ibu bapa juga terpaksa bekerja kerana kos hidup yang tinggi dan anak-anak terpaksa ditinggalkan bersendirian atau bersama pengasuh.

"Ibu juga bekerja atas pelbagai sebab, antaranya pembebasan wanita menerusi pendidikan. Mereka tak mahu lagi duduk di rumah. Hidup di bandar juga memerlukan kedua ibu bapa bekerja, seorang tak cukup.

"Semuanya ini menyumbang kepada perpecahan dalam sistem keluarga. Anak-anak semakin terabai dan ada yang dibesarkan pengasuh. Tak ada langsung pengaruh ibu bapa. Bapa balik lambat. Yang akan membentuk perwatakan mereka ialah pengasuh, bukan ibu bapa," kata Omar.

Kerajaan, katanya perlu memainkan peranan besar bagaimana hendak memperbaiki kehidupan orang Melayu menerusi memperkasakan semula sistem keluarganya.

Kata beliau, semuanya perlu bermula dari rumah dan dalam hal ini, jelasnya, ibu perlu memainkan peranan utama.

"Kita perlu program yang menekankan pendidikan untuk pelajar perempuan bukan sahaja untuk menjadi jurutera atau peguam tetapi program latihan mempersiapkan dirinya untuk menjadi isteri dan ibu," katanya.

Akademi Fantasia

Dr Fadzilah dan Omar sependapat bahawa anak muda Melayu tidak mempunyai agenda besar dan matlamat hidup.

"Orang jadi hebat bila ada agenda besar, agenda besar ini yang menguasai hidup kita. Lepas 13 Mei, orang Melayu memang bersatu, lepas tu dah lupa. Jadi bila agenda besar tak ada, Akademi Fantasia jadi agenda," kata Dr Fadzilah.

Beliau juga mengulas mengapa anak-anak muda Melayu lebih gemar kepada hiburan.

"Anak-anak kita lebih cenderung kepada hiburan kerana itu yang didedahkan kepada mereka. Mereka tengok artis hidup glamor, mewah. Tengok majalah yang ada, semuanya media hiburan. Inilah yang membentuk agenda orang Melayu. Siapa yang di muka depan, selebriti, penyanyi. Jadi salah siapa? Inilah guru-guru tidak rasmi mereka

"Orang muda kalau baca suratkhabar, masa bila? baca apa? ruangan hiburan, rancangan televisyen. Budak-budak Melayu tingkatan empat dan lima, suratkhabar tak baca, tak minat baca berita. Kalau anak-anak suka baca suratkhabar, baca berita, insya-Allah hidup dia akan lebih seimbang, jadi bila anak-anak sukakan muzik, jangan salahkan sesiapa," kata Dr Fadzilah.

Beliau turut mendedahkan berdasarkan tinjauan yang dibuatnya, hampir 80 peratus anak-anak Melayu di tingkatan empat dan lima belum ada matlamat hidup yang jelas.

Sumber : Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59