Friday, 10 March 2006

MENTERI 'ISLAM HADHARI' BUTA HUKUM ISLAM


Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, akan mencadangkan "Hukuman potong telinga bagi seseorang perogol". Cadangan tersebut akan dimasukkan dalam Pindaan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah yang akan dibentangkan di Parlimen pada Mei ini .

Menurut Radzi, pindaan ini adalah yang ketiga melibatkan sebuah jawatankuasa kerana sebelum ini pada 1967, perkara yang sama pernah dilakukan melibatkan undang-undang perkahwinan dan pada 1985, ia melibatkan Akta Dadah Berbahaya (Pencegahan Khas).

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang terdiri daripada tujuh anggota itu dipengerusikan oleh Radzi selain dianggotai oleh Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Santubong), S. K. Devamany (BN-Cameron Highlands), Tan Ah Eeng (BN-Penampang), Che Min Che Ahmad (BN-Pasir Puteh) dan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh).

Menurut Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, cadangan itu telah diperolehi daripada orang ramai, NGO dan ahli Politik .

Sebagai seorang menteri yang mendokong prinsip-prinsip Islam Hadhari sepatutnya tidak menolak hukum Islam yang sedia ada, yang telah menetapkan hukuman ke atas perogol:

“Perempuan yang dirogol atau diperkosa oleh lelaki melakukan perzinaan dan telah sabit dengan bukti-bukti yang diperlukan oleh syara' dan tidak menimbulkan sebarang keraguan di pihak hakim bahawa perempuan itu memang dirogol dan diperkosa, maka dalam kes ini perempuan itu tidak boleh dijatuhkan dan dikenakan hukuman hudud dan ia tidak berdosa dengan sebab perzinaan itu. Lelaki yang telah sabit kesalahan merogol (memperkosa perempuan berzina) selain dari hukuman hudud (rejam dan sebat) yang dikenakan keatas lelaki itu. Wajib ke atas lelaki yang merogol itu membayar mahar misil kepada perempuan yang dirogolnya itu. Apabila perempuan yang dirogol itu hamil (mengandung) wajib atas perempuan itu beriddah, dan anak yang dikandung oleh perempuan tadi tetap menjadi nasab lelaki yang merogolnya itu. Apabila perempuan yang dirogol itu luka wajib bagi lelaki yang merogolnya tadi membayar pampasan luka perempuan itu. Jika perempuan yang dirogol itu mati disebabkan persetubuhan yang dilakukan oleh lelaki yang dirogolnya tadi wajib ke atas lelaki yang merogolnya itu membayar pampasan kematian perempuan itu”. (Sila rujuk kitab Al-Fiqhu 'alal Mazahibil Arba'ah: 5/94-95.)

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas (Parlimen PM) mencadangkan agar Datuk Seri Radzi mengambil cadangan di atas dan memasukkan ke dalam Pindaan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah yang akan dibentangkan di Parlimen pada Mei ini iaitu Hukum hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam Quran dan Hadis. Hukuman hudud ini adalah Allah yang tidak boleh ditukar ganti hukumannya dan tidak boleh diubah suai dan dipinda. Hukum hudud tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun. Mereka yang melanggar aturan-aturan hukum Allah yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah dan Rasulnya yang disebut di dalam Quran dan hadis adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.

Firman Allah swt:

Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim - Surah al-Baqarah 229

Hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada 'Alqamah b Wa il bersabit kes seorang perempuan yang dipaksa melakukan perzinaan (dirogol dan diperkosa) 'Alqamah berkata: Rasulullah saw bersabda kepada perempuan itu.

Pergilah engkau, sesungguhnya Allah telah mengampunkan dosa engkau. Dan Rasulullah saw berkata (kepada sahabat-sahabatnya yang ikut hadir di majlis itu). Lelaki yang memaksa perempuan itu berzina (lelaki yang merogol dan memperkosa perempuan itu) hendaklah kamu rejam dia. - Riwayat Tarmizi

Pihak berkuasa mestilah mengambil langkah segera membolehkan ahli mangsa yang diceroboh, jika ada, menyempurnakan hak qisas mereka ke atas penjenayah, sama ada di dalam kes-kes pembunuhan ataupun rogol menurut syarat-syarat seperti yang telah ditetapkan oleh ALLAH swt.

Menurut wakil Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas, mereka meminta agar Perdana Menteri yang ada latarbelakang agama kembali kepada ajaran Islam dan bukan mengelirukan rakyat dengan Islam Hadhari.

Firman Allah swt.

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah Allah taatlah Rasul dan taatilah uli al-amr - Al-Isa 4:59

Akhir sekali renunglah dengan mendalam ayat al Quran di bawah:

1) Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.- al-Maidah 5:44
2) Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.- al-Maidah 5:45
3) Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik. - Al-Maidah 5:47


Dipetik dari Malaysia Today

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59