Thursday, 30 March 2006

KISAH JURUKAMERA BARAT MASUK ISLAM


TIDAK ada muka artis ternama pada era 1970-an yang tidak terlepas daripada rakaman lensa kameranya. Artis-artis terkemuka ketika itu seperti Bob Dylan, Jimi Hendrix, The Doors, The Who dan kumpulan Rolling Stones puas menjadi subjek rakamannya.

Setelah puas bergelumang dengan dunia hiburan yang dianggap begitu indah berkerdipan, jurugambar terkenal Peter Sanders, 50, mula dihujani kebosanan.

Bukan bosan dek kerenah artis-artis tersebut tetapi Peter hanya mahu beralih pada subjek yang lebih memberikan ketenangan pada jiwa. Baginya hati yang terhibur dan ketenangan jiwa adalah dua perkara yang berbeza!

Lantaran itu, Peter menghalakan lensa kameranya ke arah negara India. Benua itu menjanjikan seribu satu misteri beragama, budaya dan perjalanan rohani bagi kebanyakan jiwa yang kosong seperti Peter.

Bagi Peter, soal kepercayaan terhadap agama dan dunia fotografi merupakan dua perkara penting yang dapat melengkapkan pencarian rohani dalam dirinya. Peter tidak sekadar mahu menukarkan fokus pada lensa kameranya tetapi rakaman-rakaman daripada pelbagai sudut itu mampu memberikannya cerita yang paling terkesan pada jiwanya.

“Tempoh enam bulan sahaja di India sudah cukup memberikan saya satu pengertian baru dan menjumpai apa yang dicari selama ini. Saya pulang semula ke England dan ditakdirkan ramai rakan-rakan saya juga telah memeluk Islam. Tetapi tidak kurang juga ramai yang menjadikan dadah dan alkohol sebagai pemberi ‘ketenangan’.

“Tidak dinafikan gejala itu cukup memberikan saya satu perasaan dilema, arah mana yang harus menjadi pilihan?” ujarnya.

Peter kemudian tidak lagi teragak-agak malah meyakini bahawa Islam adalah satu-satunya sumber untuk memberikan ketenangan buat dirinya walaupun dia mengakui mempunyai pengetahuan yang masih dangkal tentang Islam. Pada 1971, pada usia 24 tahun beliau secara rasmi melafazkan dua kalimah syahadah dan mahu dikenali dengan nama barunya Abdul Adheem.

Walaupun mempunyai pengetahuan cetek mengenai Islam, namun Peter turut mendakwa memperoleh hidayah dan alamat atau petanda menerusi mimpi-mimpi. Semua ini sedikit sebanyak menjadikan hatinya disinari cahaya Ilahi.

Keinginan

“Dalam tempoh tiga bulan selepas memeluk Islam, hati saya membuak-buak untuk mengerjakan haji di Mekah. Saya tidak mempunyai wang pada masa itu tetapi keinginan saya begitu mendesak untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah.

“Malah saya ingin sekali merakamkan suasana di sana terutamanya Rumah Allah, Kaabah, bagi memberikan lagi kepuasan pada jiwa yang selama ini begitu kosong,” katanya.

Niat beliau itu telah mendapat perhatian seorang hamba Allah yang hanya mampu menanggung pemergian Peter ke sana. Kehidupan seterusnya di sana perlu diusahakannya sendiri.

“Alhamdulillah, saya dapat menjejakkan kaki di Mekah dan inilah peluang untuk mengenali Islam menerusi lensa kamera saya.

“Saya tidak bermaksud hendak menjadi orang pertama berjaya merakam gambar Rumah Allah itu demi nama dan kerjaya dalam bidang fotografi. Ini semua tidak akan kesampaian jika tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya.

Pada masa itu mengambil gambar di sekitar Mekah terutama Kaabah jarang dilakukan apatah lagi oleh kalangan orang Barat. Akhirnya Peter mendapat kebenaran untuk merakamkan gambar kota suci itu. Ia bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal.

“Saya tahu ia bukan sekadar untuk mengambil gambar tetapi ia penuh dengan tanggungjawab untuk memelihara kesucian Islam itu sendiri,” katanya yang mempunyai koleksi-koleksi rakaman gambar yang begitu prolifik dan bermutu tinggi iaitu hampir 210,000 keping dalam bentuk slaid filem.

Acapkali mengambil gambar-gambar di situ, Peter teringatkan satu kata-kata hikmah yang diterjemah daripada bahasa Urdu: “Bagi menyaksikan realiti mengenai kota suci Mekah dan Madinah itu, anda perlukan lebih daripada pandangan mata.”

Setelah beroleh sudut, Peter merakamkannya dan hasilnya bukan sahaja indah tetapi ia sarat dengan pelbagai pengajaran. “Tidak sekadar cantik tetapi ia memberikan kepuasan untuk orang lain berkongsi sama” katanya.

Begitulah yang dilakukan dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini – merakam imej Islam pada lensa kamera untuk tatapan dan santapan jiwa seluruh umat manusia.

Pada tahun 2003, misalnya, 12 gambar-gambarnya yang terbaik menghiasi kalendar 2003 yang diterbitkan di London. Ia begitu memukau seluruh umat manusia. Tidak sahaja Peter bermain dengan kepelbagaian sudut, mainan warna dan cahaya tetapi kesemuanya penuh dengan mesej-mesej yang tidak terluah. Pelbagai mesej boleh tersirat di sebalik yang tersurat.

Menara dan kubah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, misalnya, memaparkan paduan warna biru dan putih yang dirakam dengan penuh seni. Betapa ia melambangkan ketenangan dan kesucian yang bersatu untuk melahirkan jiwa yang sangat harmoni.

Walaupun Taj Mahal sering dirakamkan dengan penuh seni oleh kebanyakan jurugambar namun Peter mampu melahirkan kesayuan apabila detik-detik keemasan warna lembayung senja yang menyelubungi Taj Mahal itu menyuntikkan kembali kegemilangan tamadun Islam dalam seni bina sehingga mampu diiktiraf sebagai salah satu benda ajaib dunia.

“Semakin banyak realiti yang dapat dirakam, betapa saya saksikan Allah dan segala kekuasaan-Nya itu ada di mana sahaja.

“Islam benar-benar merentasi semua sempadan waktu dan budaya. Merakam dan menyebarkannya dalam bentuk kepingan gambar ini satu medium dakwah dan ia memberikan lebih daripada kepuasan jiwa,” katanya.

Namun sesetengah daripada kita mungkin sudah mengenali Peter. Beliau pernah mengadakan pameran solonya di ibu kota Kuala Lumpur hasil jemputan Islamic Outreach-ABIM pada Oktober 2003.

“Kadangkala kita tidak perlukan fakta untuk berubah tetapi cukuplah dengan sekeping gambar yang memainkan peranan unik serta tersendiri bagi membolehkan kita akhirnya mampu melihat kebenaran.” katanya.

In The Shade of the Tree adalah bukunya yang terlaris dan begitu juga buku-buku yang dalam proses penerbitan seperti Seek Knowledge Even in China, A Visit to A Prophet dan Meetings with Mountains yang menceritakan seribu satu lagi sudut dan wajah-wajah Islam dari segenap pelosok dunia tanpa ada satu pun yang terlepas daripada rakaman dan pancaran lensa kamera Peter.

Sumber : Utusan Malaysia

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

1 Comment:

nina najwan said...

Maha suci Allah. Kalaulah kita dapat gunakan apa sahaja yang Allah beri untuk tujuan dakwah, rasanya kurang sikit kepayahan kita diakhirat nanti bila berhadapan didalam Mahkamah Agung. Pastinya, yang pertama untuk dakwah diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59