Tuesday, 7 March 2006

INGAT LAGIKAH KITA KEPADA KES BUANG SEKOLAH PELAJAR PAKAI SERBAN.


Rayuan murid dibuang kerana pakai serban Rabu ini

Tahun lepas seorang murid sikh dibenarkan menyimpan misai dan janggut atas dasar kebebasan beragama. Tetapi ingatkan kita kepada kes 3 orang pelajar Islam yang memakai serban dibuang sekolah pada tahun 1997.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar Rabu ini, rayuan tiga bekas murid Sekolah Rendah Kebangsaan Felda Serting di Jempol, Negeri Sembilan terhadap tindakan pihak sekolah membuang mereka pada 1997 kerana enggan membuka serban yang dipakai mereka ke sekolah.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abdul Malek Ahmad, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Hamid Mohamad membenarkan penangguhan yang dipohon oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin yang meminta diberi masa untuk menyediakan penghujahannya.

Mohamed Hanipa yang mewakili ketiga-tiga murid itu memohon penangguhan kes kerana beliau hanya diberitahu yang rayuan itu akan didengar, pada Jumaat lalu.

Pada 6 Ogos 1999, Mahkamah Tinggi Seremban membatalkan perintah pembuangan sekolah ketiga-tiga murid itu yang dibuat oleh Guru Besar sekolah berkenaan, Fatimah Sihi pada 10 November 1997, dengan memutuskan bahawa beliau tidak mempunyai bidangkuasa untuk berbuat demikian.

Bernama melaporkan, bagaimanapun, keputusan itu diketepikan dengan kos oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 22 November 2004.

Masalah disiplin

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram dalam keputusannya berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamed Noor Abdullah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) tidak sepatutnya campurtangan dalam perkara itu kerana peraturan pakaian seragam biasanya ditentukan oleh pihak sekolah.

Sri Ram berkata, kes itu tiada kaitan dengan kebebasan asas untuk mengamalkan agama Islam, dan sebaliknya hanya berkaitan dengan masalah disiplin kerana murid-murid berkenaan enggan mematuhi peraturan sekolah.

Ketiga-tiga murid itu -- Meor Atiqulrahman Ishak, Syed Abdullah Khaliq Aslamy dan adik lelakinya Syed Ahmad Syakur Dihya -- memfailkan saman terhadap Guru Besar berkenaan menerusi penjaga dan bapa mereka, Syed Ahmad Johari Syed Mohd.

Mereka juga menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran dan kerajaan sebagai responden.

Pada masa itu, Meor Atiqulrahman berusia 10 tahun, Syed Abdullah Khaliq Aslamy, 9, dan Syed Ahmad Syakur Dihya, 8.

Dalam saman itu, ketiga-tiganya mendakwa mereka diarahkan menanggalkan serban mereka oleh guru penyelia pada 8 Julai 1997.

Mereka juga mendakwa bahawa pada 13 Ogos 1997, Fatimah mengarahkan ketiga-tiganya membuka serban mereka dan hanya memakai songkok, dan ini diikuti dengan pembuangan mereka daripada sekolah berkuatkuasa pada 10 November 1997.

Dipetik dari Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

1 Comment:

Jeego said...

Hai, saya suka membaca blog untuk menambah ilmu dan maklumat. Setiap hari sekurang-kurangnya saya lawat 20 blog. Blog anda adalah antara yang paling menarik untuk hari ni. Keep up the good work!

Terlanjur saya di sini, tahukah anda apa yang TERHANGAT DI MALAYSIA. Sistem Menjana Wang Secara Automatik. Cuma bayar RM50 sekali seumur hidup dan lihat wang akan mencurah-curah ke akaun bank anda sampai bila-bila. Peluang kerja dari rumah di sini.

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59