Friday, 17 March 2006

HANYA RAKYAT DAN MAJIKAN YANG PERLU CARI JALAN HADAPI KENAIKAN MINYAK


BUKIT KATIL 17 MAC : Nampaknya hanya rakyat dan majikan yang dipertanggungjawab untuk memikirkan cara mengatasi kenaikan harga minyak dan barangan. Di pihak kerajaan sendiri belum jelas tindakan yang mereka ambil dapat membantu semua lapisan masyarakat. Kalau adapun mungkin tidak menyeluruh dan ianya masih jauh untuk dilaksanakan.

Menteri-menteri yang mempunyai pelbagai keistimewaan 'subsidi' seperti minyak, elaun keraian dan bermacam-macam lagi elaun tidak sanggup untuk berkorban untuk memotong elaun mereka bagi digunakan sebahagiannya untuk membantu rakyat.

Semalam Kerajaan dilaporkan mahu para majikan mencari jalan untuk membantu pekerja mereka menghadapi kesan kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Ia termasuk menaikkan elaun pengangkutan atau melaksanakan pelarasan gaji, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn di Petaling Jaya hari ini.

Bagaimanapun, katanya, permintaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya majikan membayar Elaun Kos Sara Hidup (Cola) sebanyak RM150 sebulan kepada semua pekerja mungkin sukar dilaksanakan.

Namun, katanya, majikan boleh membantu pekerja menghadapi kesannya dengan melaraskan gaji atau elaun pengangkutan bagi pekerja mereka di bawah Perjanjian Bersama (CA).

"Di pihak saya, saya bersedia berunding dengan syarikat-syarikat yang lain sekiranya Perjanjian Bersama telahpun ditandatangani (sebelum kenaikan harga minyak)," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani CA antara Guinness Anchor Berhad (GAB) dan Kesatuan Pekerja Industri Minuman Persekutuan Tanah Melayu.

Melalui perjanjian itu, kira-kira 300 pekerja GAB menikmati pelarasan gaji 9 peratus, kenaikan kadar perbatuan kepada 60 sen, julat maksimum gaji sebanyak 9 peratus dan skim bonus prestasi berubah bagi mereka yang menunjukkan prestasi yang baik.

Pasukan petugas

Dr Fong berkata, cadangan ini tidak bermakna permintaan MTUC untuk mendapatkan Cola itu tidak akan dipertimbangkan kerana kesatuan pekerja itu dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), telah menubuhkan pasukan petugas bersama bagi mengkaji cadangan tersebut.

Bernama melaporkan, pasukan petugas itu ditubuhkan dua hari lalu selepas perjumpaan antara MTUC, MEF dan Kementerian Sumber Manusia.

Bagaimanapun, Dr Fong mengingatkan, pelaksanaan Cola dalam sektor swasta akan menyumbang kepada kos ekonomi yang besar kerana terdapat kira-kira 10 juta pekerja di negara ini. Pelaksanaan Cola RM150 itu melibatkan kos sehingga berbilion ringgit.

"Banyak cara majikan boleh membantu. Sebagai contoh, memberi subsidi kepada elaun makanan mereka, elaun pengangkutan dan beberapa kesatuan sekerja malah telah mencadangkan supaya majikan membantu dalam pembelian insurans perlindungan," tambah beliau.

Beliau berharap kedua-dua pihak dapat bekerjasama untuk mencari alternatif berbanding menjadikan isu kenaikan harga minyak itu sebagai 'isu perdagangan', yang akan menyebabkan konfrontasi yang berterusan.

Dr Fong menyebut CA yang ditandatangani antara GAB dan kesatuan pekerjanya hari ini sebagai satu contoh baik bagaimana majikan dan pekerja boleh mencari jalan penyelesaian yang baik bagi menghadapi kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter baru-baru ini.

Sumber : Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59