Wednesday, 22 February 2006

TARIK BALIK PERMIT NST YANG BIADAP


BUKIT KATIL 22 FEB : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil menggesa kerajaan menarik balik permit akhbar New Straits Times yang bertindak biadap menyiarkan gambar kartun menghina Rasulullah S.A.W.

"Kita tidak mahu kerajaan sekadar menyesali perbuatan NST tersebut tetapi yang lebih penting permitnya mesti ditarik balik" tegas Setiausaha DPP Kawasan Khairuldin Ismail yang mengulas kenyataan Menteri Penerangan yang kesal dengan NST yang disiarkan oleh media hari ini.

"Akhbar ini sangat biadap kerana berani menyiarkan kartun tersebut walaupun umat Islam seluruh dunia bangkit membuat bantahan kepada akhbar Denmark sebelum ini" tegas Khairuldin lagi.

Beliau seterusnya tidak berpuashati dengan tindakan keatas akhbar Guang Ming, digantung selama dua minggu kerana menerbitkan gambar orang membaca surat khabar yang menunjukkan karikatur itu.

"Sepatutnya permit akhbar itu dibatalkan seperti juga tindakan yang diambil kepada Sarawak Tribune" tegas Khairuldin.

Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin dalam kenyataan medianya hari ini menyifatkan akhbar New Straits Times melakukan satu provokasi apabila menyiarkan sekali lagi hari ini kartun yang dianggap sebagai mempersenda Nabi Muhammad s.a.w.

Sambil menyifatkan tindakan NST itu "tidak bijak" beliau berkata kabinet dalam mesyuaratnya hari ini telah membuat keputusan mengenai perkara itu dan ia akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri sekembalinya malam ini daripada lawatan ke Australia.

Kartun yang pertama kali disiarkan oleh akhbar itu Isnin lepas tidak mengandungi lukisan Rasullullah tetapi memaparkan seorang pelukis duduk bersebelahan satu papan notis bertulis "Caricatures of Muhammad While You Wait". Beberapa badan bukan kerajaan dan PAS telah membuat laporan polis mengenai kartun itu.

Zainuddin berkata anggota kabinet termasuk yang bukan beragama Islam menyatakan kesal terhadap tindakan akhbar itu.

"Ini merupakan satu tindakan tidak sensitif terhadap agama Islam yang melarang sama sekali sebarang perkataan, ucapan, tindakan, kelakuan dan seumpamanya termasuk menerusi lukisan yang mempunyai unsur menghina dan mempersenda-sendakan seseorang, apatah lagi persendaan itu dimaksudkan kepada Nabi Muhammad SAW," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat kabinet pertamanya setelah dilantik Menteri Penerangan dalam rombakan kabinet 14 Februari lepas.

Zainudiin berkata beliau berasa sedih kerana NST sebagai akhbar terkemuka di negara ini sepatutnya lebih bertanggungjawab dan tidak menimbulkan provokasi yang tidak diperlukan itu yang ternyata tidak sensitif terhadap perasaan umat islam.

Malah, katanya, tindakan itu juga bertentangan dengan arahan Perdana Menteri yang telah beberapa kali menasihati pihak media supaya berhati-hati menangani isu itu serta melarang sebarang penyiaran sama tulisan, gambar atau kartun yang menghina Rasullullah s.a.w.

Sebelum ini kerajaan menggantung akhbar berbahasa Inggeris, Sarawak Tribune, kerana menyiarkan semula karikatur Nabi Muhammad s.a.w yang pertama kali disiarkan oleh sebuah akhbar Denmark sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia. Akhbar berbahasa Cina, Guang Ming, digantung selama dua minggu kerana menerbitkan gambar orang membaca surat khabar yang menunjukkan karikatur itu.

Zainuddin berkata kartun terbitan NST itu mungkin tidak menyiarkan secara langsung karikatur mengenai Nabi Muhammad s.a.w tetapi mesej yang disampaikan ternyata mampu menyinggung perasaan umat Islam di negara ini serta menimbulkan perasaan rasa kurang senang di kalangan masyarakat bukan Islam.

Katanya beliau menerima banyak panggilan dan SMS daripada orang ramai yang marah dan tersinggung dengan perbuatan akhbar itu.

"Kita merasakan tindakan NST juga mencabar Perdana Menteri kerana Pak Lah telah mengeluarkan arahan supaya tidak menyiarkan perkara-perkara yang sensitif seperti ini. Tindakan ini sudah tentu mencabar Perdana Menteri apatah ianya jelas menghina Nabi" jelas Khairuldin lagi.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59