Monday, 27 February 2006

Fokus sepanjang minggu: Kini giliran RTM pula


Kontroversi penyiaran karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad dalam media negara ini menjadi tumpuan utama liputan berita sepanjang minggu ini. Ia berlarutan apabila RTM pula didakwa turut menyiarkan karikatur tersebut dalam berita Mandarin TV2 pada 3 Februari lalu.

Perkara itu didedahkan oleh akhbar NST dalam laporan pemohonan maafnya dalam edisi internetnya. Laporan pemohonan maaf dalam edisi cetaknya tidak menyentuh perkara tersebut. Malaysiakini turut melaporkan perkara tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan tiada tindakan yang akan diambil terhadap NST, maka tumpuan sekarang adalah kepada RTM dan media elektronik lain di negara ini yang mungkin turut menyiarkan karikatur tersebut.

NST telah memohon maaf di atas penyiaran kartun yang berkaitan dengan karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad, melalui ruangan Life & Time Isnin lalu dan menyiarkan semula lakaran itu pada hari berikutnya bersama penjelasannya di di muka dua.

Berikutan itu, NST telah menerima surat tunjuk sebab daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) supaya memberi penjelasan mengenai penyiaran kartun tersebut.

Anwar disiasat polis

Turut mendapat perhatian minggu ini ialah laporan mengenai siasatan pihak polis terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa membuat kenyataan yang berunsur hasutan dalam ceramahnya sewaktu kempen pilihanraya kecil Pengkalan Pasir tahun lalu.

Anwar telah diarah memberi keterangan bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman tiga tahun penjara dan denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Menurut peguam beliau, Sankara Nair, bekas Timbalan Perdana Menteri itu diarah memberi keterangan, melalui sepucuk surat bertarikh 31 Januari 2006 yang ditandatangani oleh pegawai penyiasat ASP Fazlisyam Abd Majid dari ibupejabat balai polis Pasir Mas.

Katanya, surat tersebut tidak menyatakan siapa yang membuat laporan polis terhadap Anwar yang memberi ceramah di stadium mini Pasir PAS pada 27 November 2005. Ia juga tidak menyebut bila laporan polis itu dibuat.

Menurutnya, beliau telah memaklumkan kepada pihak polis bahawa Anwar akan bekerjasama dengan pihak polis dan bersedia memberi keterangan dalam bulan Mac apabila beliau balik bercuti dari Washington.

Pengarah Urusan Harakah dipecat

Manakala pada hari Selasa (21 Februari) PAS telah mengambil tindakan memecat Pengarah Urusan Harakah, Datuk Hishammuddin Yahya dan menggantikan beliau Datuk Kamaruddin Jaffar.

Perlantikan Kamaruddin yang juga Setiausaha Agung PAS, memegang jawatan tersebut, berkuatkuasa serta-merta.

Perkara tersebut terkandung dalam memo yang diedarkan kepada semua kakitangan Harakah yang ditandatangani oleh Pengerusi Harakah, Datuk Mustapha Ali.

Malaysiakini difahamkan, tindakan tersebut diambil terhadap Hishammuddin setelah beliau dikatakan enggan melepaskan jawatan tersebut walaupun sudah berkali-kali diarahkan berbuat demikian.

Soro sedia bertemu Dr Mahathir

Malaysiakini telah menyiarkan wawancara ekslusif dengan pelabur kewangan yang tidak asing lagi, George Soros yang menyuarakan kesediaannya untuk mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menggelarnya sebagai “penyangak matawang dunia”

Mahathir telah menuduh Soros menyerang matawang di rantau ini sehingga mengakibatkan berlakukan krisis kewangan Asia pada tahun 1997.

Ketika mempertahankan dirinya, Soro berkata sebagai seorang pengurus dana, beliau bertanggungjawab untuk membuat ramalan pergerakan pasaran.

Menurutnya, pihak berkuasalah yang mengawal dasar. Dan jika mereka mempunyai dasar yang tidak betul, maka merekalah yang bertanggungjawab terhadap krisis tersebut.

Bagaimanapun, beliau menyambut baik respon yang diambil Dr Mahathir dalam menangani krisis tersebut.

Soros menempa namanya dalam dunia kewangan apabila beliau meramalkan pada tahun1992 yang Bank England tidak mampu menampung nilai antarabangsa matawang paun British. Apabila bank itu akhir membenarkan matawang itu diapung, Soros berjaya menguat keuntungan lebih satu bilion paun.

Soros bernilai AS$7.2 billion dan berada diranking 28 daripada 400 orang terkaya di Amerika dalam Senarai Forbes pada tahun 2005

Selesema burung dikesan di Malaysia

Rakyat Malaysia dikejutkan dengan laporan kematian 40 ekor ayam kampung di Batu 4½, Jalan Genting-Kelang mati minggu lalu kerana selesema burung.

Berikutan itu, 10 orang penduduk di kawasan terbabit telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemerhatian dan semuanya telah diisytiharkan bebas daripada jangkitan virus avian influenza H5N1 yang menyebabkan selesema burung.

Empat kawasan yang menjadi tumpuan gerakan membasmi penyakit selesema burung ialah Kampung Pasir Wardieburn, Taman Danau Kota, Pekan Danau Kota dan Kampung Belakang JPJ.

Tindakan segera secara bersepadu telah diambil oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Kementerian Kesihatan untuk mengawal penyakit tersebut daripada merebak.

Katanya tindakan sucihama ke atas semua reban ayam di kawasan kejadian juga dijalankan selain memantau kawasan terlibat dan menjalankan pemantauan terhadap penduduk di kawasan kejadian.

Tahanan Yazid Sufaat dilanjutkan

Kerajaan telah melanjutkan tempoh tahanan ISA, Yazid Sufaat, 42, yang disyaki membantu anggota al-Qaeda yang terbabit dalam rampas pesawat dalam serangan 11 September .

Menurut peguamnya, Yazid, seorang bekas pegawai tentara, didakwa membenarkan pangsapurinya digunakan anggota al-Qaeda pada awal tahun 2000, termasuk dia orang perampas kapalterbang yang merempuh Pentagon pada 11 September 2001.

Yazid, ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia pada bulan Januari 2002, dan ditahan di bawah ISA yang membenarkan tahanan tanpa perbicaraan.

Tahanan ke atas Yazid telah dilanjutkan selama dua tahun lalu mulai 31 Januari lalu.

Tempoh tahanan dua tahun ke atasnya telahpun dilanjut pada 2004. Menurut undang-undang tersebut, kerajaan boleh melanjutkan tempoah tahanan setiap tahun tanpa hadnya.

Yazid, yang merupakan lulusan bio-kimia dari universiti di Amerika Syarikat, pernah disoalsiasat oleh penyiasat kerajaan Amerika pada bulan November 2002 berhubung kaitannya dengan Zacarias Moussaoui, yang menghadapi tuduhan terbabit dalam serangan 11 September itu.

Tolak pengswastaan air

Lebih 250 wakil persatuan penduduk, persatuan agama dan pengguna, parti-parti politik, ahli akademik dan kesatuan sekerja dari seluruh negara, menolak rang undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Industri Perkhidmatan Air (WSIA).

Keputusan itu dibuat di satu majlis perbincangan yang diadakan di Kuala Lumpur. Kedua-dua rang undang-undang itu dijadual dibentangkan di sesi persidangan Parlimen Mac-April depan.

Penyelaras Gabungan Membantah Pengswastaan Air(CAWP) Charles Santiago berkata, dalam sesi sehari ini, mereka menolak pengswastaan air dalam apa bentuk sekalipun.

Suhakam: Henry bunuh diri

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang menjalankan siasatan terbuka terhadap kes kematian seorang tahanan di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, S. Hendry, 18, merumuskan kemungkinan besar lelaki itu membunuh diri.

Pesuruhjaya Suhakam, Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan (foto) berkata, suruhanjaya itu berpuashati dengan siasatan dan maklumat sahih yang diperoleh hasil soal-siasat dan lawatan ke sel Hendry ditempatkan.

Katanya, kemungkinan punca kematian disebabkan membunuh diri adalah sahih. Menurut forensik, kekurangan udara di bahagian tekak Hendry menunjukkan dia membunuh diri sendiri.

Bagaimanapun, bapa Hendry masih tidak berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan, tetapi kata Hamdan, Suhakam akan sedaya-upaya menjelaskan kepada beliau hasil siasatan yang sahih itu.

Dipetik dari Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59