Thursday, 23 February 2006

DPP BUKIT KATIL SOKONG ABIM BANTAH IKLAN HOTLINK


BUKIT KATIL 23 FEB : DPP PAS Kawasan Bukit Katil menyokong penuh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang membantah penyiaran iklan Hotlink Maxis di akhbar-akhbar tempatan yang disifatkannya bertentangan dengan nilai murni masyarakat.

Ketua DPP Bukit Katil, Hj Salamat Aman dalam kenyataannya kepada blog ini di sini pagi tadi, menyatakan bahawa Syarikat-syarikat perniagaan sekarang langsung tidak memikirkan impak dan kesan iklan mereka kepada masyarakat.

"Mereka hanya mementingkan keuntungan dan pada masa yang sama mereka ini seolah-olah menjadi agen kepada pihak-pihak tertentu untuk merosakkan anak muda di negara ini dengan menampilkan iklan-iklan yang menjolok mata" tegas Salamat.

Beliau seterusnya meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)supaya bertindak menurunkan semua iklan yang disifatkan menjolok mata dan tidak sesuai dengan budaya dan agama Islam. PBT juga mestilah menolak segala permohonan untuk memasang iklan yang sedemikian.Media melaporkan bahawa Abim telah menghantar surat bantahan kepada pengurusan Maxis Communication Berhad semalam.

Dalam kenyataan kepada media Setiausaha Agung Abim, Khairul Arifin Mohd Munir berkata, iklan tersebut menggambarkan imej wanita berpakaian menjolok mata dalam situasi yang menonjolkan pergaulan bebas dan cara hidup yang mementingkan keseronokan semata-mata.

“Eksplotasi imej wanita untuk tujuan meraih keuntungan komersil itu hanya mengukuhkan tanggapan bahawa wanita adalah objek seksual.

“Menyampaikan mesej negatif dengan cara hidup mengutamakan keseronokan tanpa batas yang boleh meningkatkan pengaruh tidak sihat dalam diri dan pemikiran pembaca khususnya golongan muda,” katanya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada malaysiakini hari ini.

Beliau berkata, konsep iklan tersebut dan iklan yang serupa amat bertentangan dengan imej dan dasar negara yang berpaksikan Islam, nilai keagamaan dan ketimuran serta tidak sesuai dengan dasar lslam Hadhari yang didokong kerajaan.

Menurutnya, konsep iklan ini juga membayangkan ketidakpekaan pihak terbabit terhadap sensitiviti dan perasaan pembaca khususnya umat Islam serta masyarakat yang berpegang teguh kepada nilai agama dan adab ketimuran.

Khairul Arifin meminta pihak Hotlink Maxis lebih berhati-hati dalam mengeluarkan iklan dengan mengambil berat adab dan nilai-nilai murni yang perlu disemai dalam masyarakat.

Katanya, pihak syarikat juga perlu menggunakan pendekatan iklan yang memaparkan gaya hidup yang lebih bersepadu dan sihat

Bagaimanapun, pada masa sama Abim menyambut baik pengisian laman web Hotlink yang mengadakan ruangan Islamic Services.

Beliau berkata, Abim menghargai usaha-usaha yang dilakukan oleh Maxis selama ini dalam program pembangunan masyarakat.

Sumber Berita dan gambar : Malaysiakini.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59