Monday, 16 January 2006

KETUK KETAMPI BERBOGEL TIDAK WAJAR


KUALA LUMPUR 16 Jan. - Apakah pemimpin dan rakyat negara ini memerlukan badan siasatan bebas untuk menentukan ketuk ketampi berbogel wajar atau tidak wajar? Seolah-olah pemimpin dan rakyat yang majoritinya beragama Islam sudah hilang kewarasan sehingga membiarkan amalan ini berterusan bertahun-tahun lamanya.

Andaikata isu ini tidak diketengahkan oleh Teresa Kok tempohari sudah tentu ia berlarutan sampai bila-bila. Mustahil pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab kepada Polis tidak mengetahui akan hal ini.

Semalam Laporan Suruhanjaya Bebas berhubung seorang wanita diarah ketuk-ketampi secara bogel November lalu dijangka mencadangkan supaya prosedur siasatan itu dihapuskan sama sekali.

Ia dianggap menjatuhkan maruah wanita itu yang sama sekali tidak boleh diterima dari segi syariah mahupun undang-undang sivil.

Utusan Malaysia difahamkan, isi kandungan laporan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pagi esok. Laporan yang sama juga akan diserahkan kepada Perdana Menteri pada petangnya.

``Laporan merumuskan perbuatan melakukan ketuk-ketampi dalam keadaan bogel itu tidak wajar dilakukan kerana ia menjatuhkan maruah seorang individu.

``Laporan yang mengenal pasti wanita terbabit keturunan Melayu itu turut menekankan bahawa ketuk-ketampi secara bogel wajar dihentikan, lagipun mangsa belum lagi dibuktikan bersalah oleh mahkamah.''

Difahamkan, suruhanjaya telah menemu bual banyak pihak termasuk wanita itu dalam melengkapkan siasatannya.

Wanita terbabit turut menyatakan perbuatan ketuk-ketampi dalam keadaan bogel yang dilakukannya telah menjatuhkan maruahnya.

Sementara itu, setiausaha suruhanjaya itu, Datuk Hamzah Md. Rus ketika dihubungi hari ini berkata, laporan itu akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Pada 23 November lalu, negara digemparkan dengan berita seorang wanita yang didakwa warga China diarah ketuk ketampi dalam keadaan bogel di sebuah lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor.

Ekoran spekulasi itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid telah ke China dipercayai untuk meminta maaf berhubung perkara tersebut.

Abdullah turut mengarahkan penubuhan sebuah suruhanjaya bebas dikenali Suruhanjaya Untuk Menyiasat Prosedur Tetap Operasi, Kaedah-Kaedah atau Peraturan-Peraturan Berhubung Dengan Pengendalian Pemeriksaan Tubuh Berkenaan Dengan Penangkapan dan Penahanan Polis untuk menyiasat isu berkenaan.

Inkuiri berhubung isu tersebut bermula pada 11 Disember lalu.

Ia diberi tempoh masa 30 hari bekerja sehingga 16 Januari ini untuk menyiapkan siasatan sebelum menyerahkan laporan mengenainya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Hamzah, laporan satu jilid yang terbahagi kepada dua bahagian, yang merangkumi cadangan serta lampiran itu akan diserahkan oleh Dzaiddin bersama anggota panel lain di Istana Negara.

Menurut Hamzah, bahagian pertama laporan itu merangkumi ringkasan daripada siasatan yang dijalankan berpandukan kepada terma-terma rujukan yang ditetapkan, sambil melihat kepada syor dan cadangan.

``Bahagian kedua lebih kepada nota-nota daripada inkuiri yang dijalankan dan eksibit yang dikemukakan semasa siasatan berlangsung,'' katanya.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59