Thursday, 29 December 2005

KERAJAAN BN PAHANG 'PANDAI' MEMERINTAH - PKNP RUGI. KERAJAAN KELANTAN 'TAK PANDAI' PERINTAH - PKINK UNTUNG


MELAKA 29 DIS : Oleh kerana 'bijaknya' pimpinan kerajaan BN Pahang makan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang telah mencatat kerugian untuk tahun 2005. Perkara diakui sendiri oleh MB Pahang Dato' Seri Adnan Yaakub sebagaimana disiarkan di dalam Berita Hairan hari ini.

Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri Pahang tidak akan menutup Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), walaupun agensi itu menghadapi masalah kewangan. Bagaimanapun Adnan tidak memperincikan berapa kerugian yang dialami oleh PKNP.

Beliau berkata, agensi kerajaan seperti PKNP adalah perbadanan awam dan asas penubuhannya bertujuan mewujudkan kekuatan jabatan kerajaan dan satu entiti perniagaan.

?Selain menjalankan kegiatan sosial, ia mesti mendapatkan keuntungan dari segi ekonomi. Jika kita menoleh ke belakang, kita dapat melihat banyak kejayaan, walaupun ada kelemahan,? katanya pada sidang media selepas melancarkan logo baru PKNP di Hyatt Regency di sini baru-baru ini.

Logo baru itu dilancarkan sempena Perhimpunan Ke-40 tahun PKNP. Turut hadir Ketua Eksekutif PKNP, Datuk Lias Mohd Noor dan timbalannya, Datuk Abdul Rahim Mohd Ali.

Sehubungan itu, Adnan berkata, kerajaan sudah menstruktur semula agensi kerajaan negeri, terutama dari segi lembaga pengarah.

Inilah bukti betapa 'pandai' BN memerintah. Berbanding dengan agensi Kerajaan Negeri Kelantan, PKINK yang sentiasa mencatatkan keuntungan dari tahun ke tahun.

Bukan setakat agensi kerajaan Pahang yang rugi, tetapi banyak lagi agensi kerajaan-kerajaan BN negeri-negeri yang mengalami nasib yang sama akibat kelemahan dan penyelewengan yang dilakukan oleh pihak pengurusannya.

Rakyat sepatutnya membuka mata mereka melihat kebenaran ini.


SAMBUTAN ULANGTAHUN KE LIMA PENUBUHAN PAS CAWANGAN DEWA WAWASAN MERIAH


Gambar-gambar di sekitar majlis sambutan tersebut














PAYA IKAN 29 DIS : Majlis ulangtahun ke lima penubuhan PAS Cawangan Desa Wawasan di sambut dengan meriah pada 26 Disember lalu. Pelbagai acara menarik di adakan sempena majlis tersebut seperti acara mewarna kanak-kanak, pertandingan menguji minda, pertandingan musang berjanggut dan lain-lain.

Ketua PAS Cawangan Desa Wawasan, Md Dan Siron melahirkan kegembiraan beliau di atas sambutan yang diberikan oleh penduduk setempat tanpa mengira fahaman politik. Beliau ditemui pada program Hi-Tea bersama YB Salahuddin Ayub semalam.

'Kita akan meneruskan program seumpama ini dari masa ke semasa untuk mendekati masyarakat' ujar Md Dan yang juga merupakan Pengerusi MTD Bukit Baru penuh semangat.

Turut memeriahkan program tersebut ialah TYDP PAS Kawasan Hj Bakrin Sidek yang disambut dengan paluan kompang oleh Pasukan Kompang Desa Wawasan.


JANGAN CUBA CAMPURTANGAN DALAM HAL EHWAL AGAMA ISLAM


BUKIT KATIL 29 DIS : DPP Kawasan Bukit Katil memberi amaran kepada 'Interfaith group' supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal agama Islam di dalam negara ini.

Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan, mengubah, membatalkan, pengisytiharan tidak sah atau tidak menghiraukannya keputusan Mahkamah Tinggi Syariah (MTS) selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 121 (1A).

Pihak berkenaan jangan cuba bermain api dengan isu-isu sensitif ini. Sebagai warganegara Malaysia kita mesti akur dan hormat kepada Perlembagaan Persekutuan.

DPP Kawasan dalam kenyataan kepada blog ini menegaskan bahawa usaha-usaha yang dijalankan oleh kumpulan ini merupakan satu usaha yang melampau kerana pihak berkuasa agama Islam sendiri tidak pernah mencampuri urusan yang melibatkan agama lain. Apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa agama Islam dan Mahkamah Syariah ialah mengambil tindakan dan menjatuhkan hukuman bersabit dengan penganut Islam itu sendiri.

Umpamanya dalam kes Allahyarham Mohamad Abdullah, Mahkamah Syariah dirujuk dan memutuskan hukuman disebabkan Allahyarham Mohamad telah memeluk Islam. Andainya Mohamad bukan beragama Islam Mahkamah Syariah tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian.

'Puak-puak ini kena faham perkara ini. Ini bukan isu hak asasi manusia, tetapi ini isu agama' jelas Sofi Wahab Ketua Penerangan DPP Kawasan Bukit Katil ketika dihubungi oleh Blog ini.

'Kita tidak boleh bertolak ansur dengan golongan yang sengaja membangkitkan isu ini yang dilihat sudah lama cuba menggugat kedaulatan Islam' jelas Sofi yang juga merupakan Ketua Lajnah Perpaduan Nasional DPP Negeri Melaka.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar internet hari ini yang menyiarkan laporan bahawa kumpulan terbabit akan menganjurkan upacara memasang lilin malam ini di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai menyatakan rasa tidak puashati di atas kekebalan apa juga keputusan Mahkamah Syariah yang diboleh dicabar oleh Mahkamah Tinggi Sivil dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam. Program ini dianjurkan oleh Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism and Sikhism (MCCBCHS).

'DPP Kawasan akan tetap mempertahankan Perlembagaan Persekutuan ini yang dilihat sebagai benteng terakhir untuk mengawal dan menjaga kedaulatan Islam walaupun sudah ada usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak-pihak tertentu untuk menghakisnya' jelas Sofi dengan tegas.


DPP KAWASAN GESA MAJLIS FATWA KEMUKAKAN FATWA MENGENAI PERAYAAN SAMBUT KRISMAS


BUKIT KATIL 29 DIS : DPP Kawasan Bukit Katil menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berkenaan keterlibatan orang Islam di dalam majlis-majlis perayaan menyambut Hari Krismas serta hukum mendedangkan lagu-lagu berunsur kristian.

Akhbar hari ini menyiarkan laporan bahawa beberapa orang kenamaan menghadiri majlis hiburan menyambut Hari Krismas yang diadakan di Stadium Negara baru-baru ini. Majlis itu memuatkan beberapa acara seperti muzik tari, nyanyian dan sebagainya.

Ada lagu-lagu yang dinyanyikan berunsur kristian di mana ianya pula di sampaikan oleh penyanyi beragama Islam. Lebih menggerunkan program ini disiarkan secara langsung oleh TV1 ke seluruh negara di mana kanak-kanak kecil juga boleh menontonnya di rumah. Kita bimbang kanak-kanak ini terpengaruh dengan lagu-lagu ini. Antara lagu yang dinyanyikan ialah Jingle Bells yang disampaikan oleh Amy Mastura.

Selain itu dalam acara muzik tari pula, dipertontonkan bahawa Santa Klaus mampu mengubah penderitaan hidup dua kanak-kanak yang hidup dalam derita. Selepas dua kanak-kanak ini bertemu dengan Santa Klaus hidup mereka bertukar dari hidup dalam kesedihan menjadi bertambah gembira.

'Kita bimbang kanak-kanak yang menonton rancangan ini mentafsirkan bahawa Santa Klaus mampun mengubah nasib seseorang serta lagu-lagu berunsur kristian yang dinyanyikan akan menjadi siulan dan menarik minat kanak-kanak dan remaja' jelas Ketua DPP Kawasan Hj Salamat Aman dalam kenyataan kepada blog ini.

'Kita juga bimbang program-program seperti ini akan merosakkan akidah dan pegangan agama orang Islam yang menontonnya terutama kanak-kanak dan remaja.' tambah Hj Salamat lagi yang merupakan Bendahari DPP Negeri Melaka.

DPP Kawasan menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa ini secepat mungkin untuk mengelakkan kekeliruan tentang hukum menghadiri majlis meraikan krismas serta hukum menyanyikan lagu-lagu berunsur keagamaan ini.

Akhbar harian hari ini melaporkan bahawa orang yang menonton rancangan itu di Stadium Negara menyifatkan ianya menghiburkan.

Ikuti laporan akhbar itu di bawah ini.

Itulah ungkapan yang boleh diperkatakan mengenai teater muzikal Tari Kasih Krismas yang dipentaskan di Stadium Negara, Kuala Lumpur bersempena dengan Rumah Terbuka Krismas 2005 kelmarin.

Lakonan Marsha AF3 cukup menghiburkan para penonton dengan gelagat manja dan bersahajanya ketika digandingkan bersama pelakon utama teater berkenaan, Kelvin Lau.

Tidak sia-sia latihan yang dilakukan selama seminggu di Istana Budaya kerana tarian dan pergerakan yang ditampilkan oleh para pelakon teater muzikal itu begitu menarik.

Tari Kasih Krismas mengisahkan tentang penderitaan hidup dua anak yatim lakonan Marsha dan Kelvin Lau. Bagaimanapun, kesedihan hidup yang mereka alami berakhir dengan kegembiraan apabila Santa Claus muncul pada Hari Krismas.

Lakonan Marsha dan Kelvin Lau dibantu oleh para pelakon Istana Budaya dan Swatari daripada Pak Ngah Production Sdn. Bhd.. Kesemua pelakon mendapat bimbingan daripada Ketua Pengarah Istana Budaya,

Azhar Abu Bakar dan koreografer Mahmood Ibrahim.

Penampilan khas Amy Mastura mendendangkan lagu Jingle Bells dan Sha Na Na, kumpulan Spider (Aladdin), Burn AF1 (Rudolf The Red Nosed), Daniel Malaysian Idol 2 (12 Days of Christmas) dan Here Come Santa Claus dendangan Kelvin Lau amat menghiburkan penonton di stadium yang rata-rata dibanjiri kanak-kanak yang begitu berminat menonton teater muzikal tersebut.

Tari Kasih Krismas disiarkan secara langsung menerusi TV1 RTM pada pukul 3 petang dengan tetamu kehormatnya Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.




SELAMAT BERTUGAS MAHDZIR


MELAKA 29 Dis. - PAS Kawasan Bukit Katil mengucap tahniah kepada Datuk Mahdzir Khalid yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang kelapan di hadapan Sultan Kedah di Istana Anak Bukit pagi semalam.

Istiadat melafaz surat pengisytiharan pelantikan Menteri Besar dan upacara mengangkat sumpah menerima jawatan berlangsung di hadapan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Sultan Kedah kemudian berkenan mengurniakan tauliah pelantikan jawatan Menteri Besar kepada Mahdzir bagi menggantikan Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang melepaskan jawatan tersebut pada 22 Disember lalu.

Turut mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah pada kira-kira pukul 9.30 pagi ini adalah 10 Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dimulai oleh Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah, Prof. Datuk Wira Dr. Othman Ishak, Datuk Azimi Daim, Datuk V.Saravanan, Datuk Chong Itt Chew, Datuk Fong Chok Gin, Dr. Shuib Saidin, Ir. Nawawi Ahmad, Khalidah Adibah Ayob dan Othman Aziz.

Mahdzir, 45, yang merupakan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pedu sebelum ini diberikan tanggungjawab memangku jawatan Menteri Besar selama tiga bulan bermula 17 Julai hingga 16 Oktober dan kemudian dilanjutkan lagi sehingga 16 Januari depan.

Namun, atas kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta dengan perkenan Sultan Kedah, Mahdzir dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Syed Razak yang meletakkan jawatan atas sebab kesihatan.

PAS Kawasan mengharapkan Mahdzir dapat menjalankan tugas dengan amanah, jujur, dedikasi dan cekap demi untuk membawa Kedah menjadi negeri maju menjelang 2010. Dari laporan media kita tahu bahawa begitu banyak kelemahan dan ketidakcekapan yang ditunjukkan oleh MB terdahulu. Antaranya masih banyak kampung di Kedah yang tidak mempunyai kemudahan asas, akaun negeri yang tidak diaudit, projek-projek kerajaan yang terbengkalai dan tidak beroperasi dengan baik, hutang kerajaan negeri yang banyak dan sebagainya.

PAS Kawasan juga berharap Mahdzir dapat memberikan ruang yang luas kepada pembangkang untuk mengambil bahagian dalam pentadbiran negeri, kerajaan tempatan dan masyarakat. Sudah sampai masa diskriminasi yang sempit diketepikan umpamanya perlantikan Imam, Guru-guru KAFA, AJK JKKK, Jawatankuasa Masjid dan sebagainya demi untuk memakmurkan negeri.

'Ketepikan masalah politik yang sempit dalam perlantikan semua jawatankuasa pentadbiran kampung, kalau ingin melihat perpaduan kembali segar' ujar Hamzah Yusof, Setiausaha Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil ketika diminta mengulas laporan media tentang perlantikan Mahdzir sebagai MB Kedah yang baru.








PAS KAWASAN BUKIT KATIL BUKA DUA CAWANGAN DAN SATU PASTI BARU


BUKIT BARU 29 DIS : PAS Kawasan Bukit Katil mengorak langkah dengan bergaya di hujung tahun 2005 dan awal 2006 apabila berjaya menaja dua cawangan baru iaitu Cawangan Bukit Baru Dalam dan Paya Ikan Luar serta membuka sebuah PASTI baru iaitu PASTI Seri Jati kepunyaan Cawangan Sungai Putat.

Upacara pengisytiharan dua cawangan penaja ini dibuat semasa program Hi-Tea bersama YB Salahuddin Ayub di sini semalam. YB Salahuddin telah menyampai sijil watikah penubuhan Cawangan kepada wakil PAS Cawangan Bukit Baru Dalam iaitu Us Ibrahim Daud dan Sdr Ghazali Othman mewakili cawangan Paya Ikan Luar.

Sementara itu, Ketua PAS Cawangan Sg Putat, Hj Ali Sharif memaklumkan bahawa PASTI Seri Jati yang diuruskan oleh Cawangan Sg Putat akan memulakan operasinya pada 3 Januari ini iaitu hari pertama persekolahan untuk tahun 2006. Setakat kira-kira 20 orang kanak-kanak telah mendaftar untuk bersekolah di sini. PASTI ini akan beroperasi di bangunan Pejabat PAS Cawangan Sg Putat yang terletak di Taman Seri Jati. Bangunan telah dibeli dengan harga RM90,000 oleh PAS Cawangan dan ianya telah diubahsuai untuk dijadikan PASTI dan pejabat cawangan.

Ketua DPP Kawasan Bukit Katil menyatakan bahawa penubuhan 2 cawangan dan 1 PASTI baru ini sedikit sebanyak dapat menyuntik motivasi kepada pimpinan dan ahli-ahli PAS dalam Kawasan Bukit Katil supaya bekerja lebih kuat demi untuk menegakkan kedaulatan Islam di bumi Melaka ini.

'Kegigihan yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga cawangan ini sungguh dibanggakan dan sewajarnya ia dijadikan contoh tauladan oleh cawangan-cawangan lain' ujar Hj Salamat ketika ditemui selepas Majlis Hi-Tea bersama YB Salahuddin Ayub di sini semalam.


PEMUDA PUSAT SYUKUR KES ALLAHYARHAM MOHAMAD SELESAI


BUKIT BARU 29 DIS : Ketua DPP Pusat, YB Salahuddin melahirkan kesyukurannya di atas keputusan Mahkamah Tinggi Sivil semalam yang menolak tuntutan keluarga Allahyarham Mohamad atau Moorthy yang meminta Mahkamah Tinggi Sivil membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang mengarahkan jenazah Mohamad diserahkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk dikebumikan secara Islam.

'Kes ini merupakan kes besar melibatkan kedaulatan Islam. Andainya Mahkamah Tinggi Sivil berpihak kepada keluarga Mohamad maka sudah tentu ianya menunjukkan bahawa Undang-undang Syariah di negara adalah rapuh dan tidak berdaulat', tegas Salahuddin.

'Sebelum ini pun kita berasa sedih kerana orang-orang kafir berani mencabar keputusan Mahkamah Syariah, di mana sepatutnya apa juga keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh di cabar oleh Mahkamah Sivil. Keputusan Mahkamah Tinggi yang bersetuju untuk membicarakan kes ini juga dilihat sudah mencabar kewibawaan undang-undang negara kita' ujar Salahuddin lagi.

Salahuddin telah membuat kenyataan tersebut semasa berucap dalam majlis jamuan Hi-Tea anjuran PAS Cawangan Bukit Baru Dalam, Paya Ikan bersama DPP Kawasan Bukit Katil. Majlis itu berlangsung di perkarangan Markaz PAS MTD Bukit Baru betul-betul ditengah Pekan Bukit Baru.

Selain itu Salahuddin juga mendedahkan satu lagi angkara yang dibuat oleh Khairy Jamaluddin yang disiarkan Seksyen berita perniagaan, akhbar New Straits Time, Business Time, muka 4 bertarikh 28 Disember 2005 melaporkan pembelian saham sebuah syarikat perunding pelaburan, ECM Libra oleh menantu Perdana Menteri, Encik Khairy Jamaluddin sebanyak 12.9 juta saham atau bersamaan 3% saham dengan harga RM 9.2 juta.

'Bagaimana Khairy mempunyai wang sebanyak itu, adakah beliau menggunakan kedudukan beliau sebagai menantu Perdana Menteri untuk mendapat semua kepentingan ini' jelas Salahuddin.

'Isu sebenarnya merupakan satu lagi bukti keterlibatan Khairy dalam isu-isu kontroversi seperti ini. Saya telah berkali-kali mencabar beliau berdebat sebelum ini. Tetapi tiada jawapan yang diberi kepada saya' tambah Salahuddin lagi.

Turut berucap dalam program itu adalah Ketua DPP Negeri, Us Kamaruddin Sedik dan Ketua Penaja PAS Cawangan Bukit Baru Dalam.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59