Wednesday, 28 December 2005

KES ALLAHYARHAM MOHAMAD ABDULLAH.IKUTI LAPORAN TERKINI DARI ROSLAN SMS


Kes Allahyarham Kopral Mohammad Abdullah aka Moorthy
Di Mahkamah Rayuan Sivil pagi tadi

Atas sebab-sebab tertentu Mahkamah Rayuan Sivil yang sepatutnya bersidang pada Khamis 29 Disember ini telah bersidang pagi tadi.

Saya berkejar ke mahkamah sejurus mendengar perubahan tarikh tersebut untuk mendapatkan maklumat first hand. Saya tiba diperkarangan mahkamah setelah mahkamah mula bersidang. Kamar mahkamah penuh sesak, dan kebanyakkan yang hadir saya perhatikan terdiri dari keluarga dan kenalan isteri Allahyarham yang masih beragama Hindu belaka.


Sampai bilakah mayat ku akan tersiksa!!!

Turut hadir adalah Ketua Dewan Pemuda PAS YB Salahuddin Ayub, AJK PAS Pusat, Tuan Hj Mahfuz Omar dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Ustaz Idris Ahmad.

Mahkmah telah mendengar hujah pihak pemohon serta pihak-pihak yang mempunyai kepentingan disamping hujah pihak JAWI sendiri dan wakil Persatuan Peguam Muslim.

Saya berkesempatan mendengar hujah dari peguam pihak pemohon iaitu isteri Allahyarham dan wakil-wakil yang memiliki kepentingan termasuklah dari badan-badan NGO serta Majlis Peguam Malaysia yang turut berhujah bagi pihak pemohon.



Sukar dipercayai bahawa antara yang berhujah agar mayat ini diserahkan kepada keluarga Allahyarham yang masih beragama Hindu itu adalah Peguam Haris Ibrahim yang mewakili Majlis Peguam (seorang Muslim berhujah untuk memenangkan pihak bukan Islam!)

Setelah dengan sabar mendengar hujah semua pihak, Hakim Mohd Rauf Shariff telah menangguhkan perbicaraan dan memaklumkan akan memutuskan kes ini esok jam 10 pagi.

Dalam perbicaraan tadi pihak JAWI telah mengemukakan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah KL yang telah memberi kuasa kepada JAWI untuk mengkebumikan Allahyarham menurut hukum dan peraturan Islam setelah mengesahkan yang Allahyarham telah memeluk agama Islam menurut proses yang ditetapkan.

Pihak peguam pemohon berkali-kali berhujah bahawa pihak JAWI tidak mengemukakan bukti pengislaman Allahyarham yang sebenarnya menurut pandangan para peguam yang sempat saya temui, tidak diperlukan di mahkamah ini memandangkan segala dokumen dan bukti telah pun diserahkan semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah tempoh hari.

Apa pun sama-samalah kita berdoa dan menunggu keputusan esok pagi. Kes ini bagi saya sungguh penting kerana ia melibatkan maruah dan kewibawaan pihak jabatan agama dan Islam itu sendiri. Saya sungguh terganggu apabila berada dalam mahkamah yang dipenuhi oleh mereka yang bersungguh mahu memperkecil dan merendahkan martabat Islam itu dengan penuh semangat. Turut hadir adalah wakil-wakil agama dan sami-sami Hindu sedangkan kehadiran orang Islam sungguh kecil, kecuali yang saya sebutkan di atas.

Mudah-mudahan segeralah selesai kes ini dan segeralah semua pihak kembali mengiktiraf dan menghormati kesucian agama Islam, agama Persekutuan.


TAKKAN IDRIS JUSOH TIDAK TAHU SIAPA YANG HARUS DILUCUTKAN JAWATAN EXCO


KUALA TERENGGANU 28 Dis. - Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh dilaporkan menghantar sms kepada Bernama bertanyakan portfolio bagi exco yang mana yang harus di rombak. Beliau berbuat demikian setelah menerima pandangan dan cadangan seorang pegawai kanan Bank Negara, Yusuf Sulong yang mencadangakan supaya Exco kerajaan negeri itu dirombak bagi mencapai agenda ``penjenamaan semula Terengganu.''

``Yang mana satu yang patut dirombak?'' katanya menerusi SMS kepada Bernama.

Beliau diminta mengulas saranan Timbalan Pengarah Unit Risikan Kewangan Bank Negara itu, agar anggota Exco kerajaan negeri dirombak ``jika mahu agenda penjenamaan semula Terengganu menjadi kenyataan.''

Yusof, anak kelahiran Dungun, telah membuat cadangan itu dalam satu sesi perbincangan mengenai Bajet Kerajaan Negeri 2006 dua hari lepas.

Anggota-anggota Exco kerajaan negeri sekarang ialah Datuk Rosol Wahid (Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita), Datuk Dr. Abdul Latiff Awang (Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi Sains & Teknologi dan Sumber Manusia), Datuk Ahmad Said (Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Mohamad Awang Tera (Jawatankuasa Pembangunan Perindustrian dan Pelancongan Negeri), Din Adam (Jawatankuasa Kebudayaan, Belia, Sukan dan NGO Negeri), Wan Hisham Wan Salleh (Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi Negeri), Datuk Mohd Jidin Shafei (Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Wilayah Negeri), Datuk Abdul Rahin Mohd Said (Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, IKS dan Peniaga Kecil Negeri), Wan Mohamad Wan Hassan (Jawatankuasa Islam Hadhari) dan Toh Chin Yaw (Jawatankuasa Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri).

Apa yang pelik ialah takkan Idris Jusoh tidak mengenali perangai dan tingkahlaku ahli-ahli Exconya. Ada yang dikaitkan dengan kes-kes maksiat, ada yang mulut celupar bercakap ikut sedap mulut sahaja, ada yang samseng dan bermacam-macam lagi. Takkan itu pun hendak tanya orang lain. Bukankah YAB Dato' Seri bijak bestari sudah tentu mengetahui exco mana yang lembap. tidak beradap dan sebagainya.



PROTON BERNIAGA BULOH KASAP. BELI 70 JUTA EURO JUAL 1 EURO


KUALA LUMPUR 28 Dis. - Oleh kerana terlalu 'pandai berniaga' Proton Holdings Bhd. (Proton) semalam mengumumkan penjualan anak syarikatnya, MV Agusta Motor S.p.A (MV Agusta) yang dibeli dengan harga 70 juta euro (RM315 juta) lebih setahun lalu, pada harga 1 euro (RM4.50) sahaja.

Pegangan semua saham sebanyak 57.75 peratus dalam syarikat motosikal Itali itu dilupuskan secara tunai kepada sebuah syarikat pelaburan negara tersebut, Gevi S.p.A, menerusi satu perjanjian pembelian dan pelaburan yang dimeterai oleh Proton menerusi Proton Capital Sdn. Bhd. (PCSB).

Menurut Proton, penjualan MV Agusta, yang disifatkan sebagai penyebab utama pengeluar kereta kebangsaan itu mengalami kerugian, akan membolehkannya melepaskan diri daripada semua hutang dan beban yang ditanggung oleh syarikat Itali itu.

Kita pun berasa hairan bagaimana Proton boleh membeli syarikat yang 'hidup segan mati tak mahu' ini. Semua pegawai dan menteri yang bertanggungjawab mencadang dan meluluskan pembelian ini mesti bertanggungjawab dan meletakkan jawatan. Sepatutnya pegawai dan menteri yang 'bodoh' dan lembap ini mestilah di pecat dari terus menguruskan Proton supaya syarikat ini dapat dipimpin oleh orang yang lebih cerdik dan bertanggungjawab.

``Gevi akan turut mengambil alih hutang MV Agusta sebanyak 106.9 juta euro (RM481.05 juta) dan keperluan modal kerjanya sebanyak 32.5 juta euro (RM146.25 juta),'' kata Proton dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia di sini semalam.

Jurucakap Proton ketika dihubungi menyatakan pihaknya tidak akan memberi kenyataan tambahan selain yang telah dikemukakan kepada Bursa Malaysia.

Proton membayar 70 juta euro bagi memiliki kepentingan ekuiti MV Agusta itu pada 7 Julai 2004. Perjanjian pemegang sahamnya pula dimeterai pada 26 November 2004.

``Kos asal pelaburan bagi saham Agusta ialah 70 juta euro bagi 57.75 peratus saham bersandarkan nilai ekuiti proforma pada tarikh pelaburan sebanyak 121 juta euro (RM544.5 juta) dan nilai perusahaan proforma 281 juta euro (RM1.264 bilion).

``Penjualan saham MV Agusta tersebut adalah selari dengan arah tuju Proton untuk melepaskan aset bukan perniagaan terasnya,'' kata Proton.

Proton turut menyatakan bahawa penjualan MV Agusta itu tidak dijangka memberi sebarang kesan kepada perolehan syarikat.

``Pengarah-pengarah Proton, setelah mempertimbangkan semua aspek cadangan penjualan itu, berpendapat ia adalah demi kebaikan Proton dan para pemegang sahamnya,'' ujarnya.

Mengapa langkah perngkajian dan penganalisaan yang terperinci dan cermat ini tidak dibuat sebelum keputusan pembelian ini dibuat.

Sementara itu, para penganalisis ekonomi melihat penjualan saham tersebut sebagai perkembangan yang positif kerana pelaburan MV Agusta tidak memberi sinergi, malah mengakibatkan Proton menanggung beban hutang MV Agusta.

Spekulasi penjualan kepentingan saham Proton dalam syarikat itu yang mengeluarkan motosikal berjenama MV Agusta, Cagiva dan Husqvarna bermula pertengahan bulan lepas.

Pada 29 November lalu, Pengerusi Proton, Datuk Azlan Hashim menyatakan kerugian sebanyak RM154.3 juta yang dicatat oleh syarikat itu bagi suku tahun kedua berakhir 30 September 2005 adalah kerana keperluan untuk menyediakan peruntukan besar berjumlah RM160.7 juta.

Sebahagian daripadanya, sebanyak RM90 juta, merupakan peruntukan khas bagi pembelian MV Agusta.

Peruntukan lain yang disediakan oleh Proton ialah RM41 juta bagi inventori dan RM36 juta untuk tuntutan jaminan antarabangsa.

Azlan mendakwa sehingga tarikh tersebut, MV Agusta menyebabkan Proton menanggung beban kira-kira RM500 juta dengan peruntukan awal RM367 juta, disusuli peruntukan suku pertama dan kedua yang masing-masing bernilai RM45 juta dan RM90 juta.

Katanya, semasa pembelian MV Agusta, Proton melihatnya sebagai peluang terutama untuk mendapatkan akses kepada jenama global, kejuruteraan bertaraf dunia, pengetahuan mereka bentuk dan harta intelektual.

Bagaimanapun, Azlan menyatakan ia tidak memberi pulangan yang diharapkan kepada Proton.




Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59