Tuesday, 13 December 2005

BPR DIMINTA SIASAT PROJEK KERAJAAN NEGERI SARAWAK


Dipetik dari Malaysiakini........

Terjemahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) diminta menyiasat pemberian kontrak bernilai hampir RM300 juta kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Seri Abdul Taib Mahmud.

Kontrak tersebut bagi membina bangunan Dewan Undangan Negeri yang baru di Kuching.

Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wan Zainal Abidin Wan Senusi bersama lima yang lain membuat aduan berhubung pemberian kontrak tersebut di ibu pejabat BPR negeri pagi tadi.

Wan Zainal memberitahu malaysiakini, Pangarah BPR negeri, Simi Abdul Ghani telah memberi jaminan agensi itu akan menjalankan siasatan terperinci terhadap aduan berkenaan.

Ketua pembangkang itu berkata, aduan yang serupa akan juga dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi menguji samaada beliau serius dalam usaha menghapuskan rasuah.

PKR Sarawak juga katanya akan membuat laporan yang sama kepada Ketua Pengarah BPR pusat bagi memastikan agensi itu menjalankan tugasnya.

?Kami mahu BPR menyiasat kes ini kerana kami yakin terdapat elemen penyalahgunaan kuasa dalam pemberian kontrak tersebut,? katanya lagi.

Antara mereka yang menemani Wan Zainal ke pejabat BPR ialah Setiausaha PKR negeri, Mohd Akek, Ketua Penerangannya, Idris Bohari dan penasihat undang-undangnya, Dominique Ng Kim Ho.

Laporan kepada BPR itu adalah susulan kepada surat bantahan yang hantar oleh Wan Zainal kepada Taib pada 7 Disember lalu.

Dalam surat berkenaan Wan Zainal menggesa kerajaan negeri berhenti membazirkan wang rakyat. Beliau meminta dana kerajaan dibelanjakan untuk projek-projek yang memberi faedah terus kepada orang ramai seperti kerja-kerja membasmi kemiskinan.

Projek tersebut diberikan kepada syarikat usahasama yang melibatkan PPES Works (Sarawak) Sdn Bhd dengan Naim Cendera Sdn Bhd pada harga hampir RM300 juta.

Wan Zainal mendakwa, PPES Works Sdn Bhd adalah anak syarikat CMS Berhad, konglomerat yang dikuasai oleh keluarga Taib.

Menurut beliau lagi, projek itu kemudiannya di sub-kontrakkan kepada Bina Puri Holdings Berhad, sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur pada harga RM230 juta atau RM67 juta lebih rendah dari harga asalnya.

Pembinaan projek itu sedang berjalan di Astana, berhadapan dengan pusat rekerasi Kuching Waterfront


APA MUSLIHAT SHAFEI TIDAK PUASHATI SENARAI ANGGOTA JAWATANKUASA KAJI AUKU


MELAKA 13 DIS : Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Shafie Salleh dilaporkan tidak berpuas hati dengan senarai nama individu yang dicadangkan dilantik menganggotai jawatankuasa khusus untuk meneliti semula peraturan yang terkandung dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku). Laporan yang dibuat sebuah akhbar Internet tersebut menyatakan bahawa Shafei berkata yang beliau sudah menerima nama-nama yang dicadangkan tetapi beliau tidak bersetuju dengan nama yang tersebut. Sebaliknya beliau meminta pegawainya mencari nama-nama lain untuk dicadangkan bagi menganggotai jawatankuasa tersebut.

Katanya, jawatankuasa itu akan dianggotai sekurang-kurangnya 12 orang yang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi (IPT) swasta yang ternama, institusi pengajian tinggi awam dan juga peguam.

Beliau diminta mengulas lanjut jawapannya di sidang Dewan Negara sebelum itu, yang antara lain menyatakan jawatankuasa itu akan mengkaji terlebih dahulu sebelum pindaan Auku dilakukan. Shafie berkata, larangan melibatkan diri dengan perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan adalah antara isu utama yang kerap dibangkitkan oleh pelajar universiti, yang membawa kepada cadangan supaya Auku dikaji semula.

Kita menjangkakan bahawa Shafei pasti tidak akan bersetuju dengan jawatankuasa yang dicadangkan jika beliau ketahui nama-nama tersebut akan mendatangkan masalah kepadanya. Sebagai contoh mungkin mereka itu adalah individu-individu mempunyai pendirian yang berbeza dengan kerajaan dan mereka juga tidak boleh 'dicucuk hidung'. Mungkin itulah alasannya mengapa Shafei tidak merestui cadangan tersebut.

Shafei sebelum ini dikecam hebat oleh mahasiswa, NGO dan parti-parti pembangkang kerana kegagalannya bertanggungjawab terhadap permasalahan pencabulan undang-undang dalam Pilihanraya Kampus sejak dua sessi lalu. Sehingga kini Shafei masih gagal menangani isu tersebut walaupun diasak hebat dari segenap penjuru termasuk Dato' Seri Nazri Aziz Pengerusi Kaukus Parlimen.


THAILAND PUAS HATI DENGAN KERJASAMA MALAYSIA MENGENAI ISU SELATAN THAI. BAGAIMANA PULA NASIB UMAT ISLAM DI SANA?


MELAKA , 13 DIS - Thailand melahirkan rasa puas hati dengan bantuan dan kerjasama yang diberikan oleh kerajaan Malaysia dalam menangani isu keganasan di Selatan Thai.

Tetapi yang menjadi masalahnya siapa yang melakukan keganasan di Selatan Thai, umat Islam atau kerajaan Thailand sendiri.?

Menteri Luar Thailand Dr Kantathi Suphamongkhon berkata Bangkok berharap Kuala Lumpur dapat meneruskan kerjasama erat ini pada masa depan seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Apa yang pasti peristiwa pembunuhan 100 umat Islam di Takbai tahun lepas masih menjadi tanda tanya. Siapa yang bersalah dan dihukum. Sepatutnya isu inilah yang menjadi salah satu topik yang dibincangkan di Sidang Kemuncak ASEAN ke 11 selain dari isu Aung San Suu Kyi.

Tetapi oleh kerana hendak menjaga hati dan semangat setiakawan ASEAN maka Malaysia tidak berani menyentuh isu ini walaupun ianya jelas menggugat kedaulatan umat Islam di Selatan Thai.

Penganut Islam Hadhari ini memang langsung tidak mengambil berat masalah saudara seIslam mereka.

Mungkinkah mereka hanya mengambil berat masalah saudara seIslam Hadhari mereka sahaja.


TIADA LANGSUNG RANCANGAN BERUNSUR PENDIDIKAN ATAU AGAMA UNTUK SAMBUT KRISMAS DAN TAHUN BARU


MELAKA, 13 DIS -- Bernama melaporkan hari ini bahawa Radio Television Malaysia (RTM) telah membariskan beberapa rancangan khas untuk sambutan perayaan hari krismas dan tahun baru 2006 yang disambut pada 25 Dis dan 31 Dis ini.

Pengarah Program TV Noriah Letuar berkata hari ini rancangan istimewa di TV1 dan Tv2 semuanya sesuai dengan penonton dan keluarga mereka yang mana ianya menepati kedua-dua slogan rangkaian tersebut iaitu "Saluran Infotainment Anda" (Your Infotainment Channel) dan "Saluran Famili Anda" (Your Family Channel).

Antara rancangan menarik yang disusun adalah "Harry Potter and the Sorcerer's Stone" pada 24 Dis jam 10.30 malam di TV2, "Blizzard" (25 Dis) jam 2 petang (TV2), "Dead Silence" pada 24 Dis jam 11.30 malam (TV1) dan "The Mighty" pada 25 Dis jam 11.30 malam (TV1), beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Angkasapuri.

Antara rancangan yang disiarkan khusus untuk tahun baru pula adalah siaran langsung program hiburan "Gemilang" pada tengah malam 31 Dis (TV1), "Mami Jarum" jam 11.30 malam pada 1 Jan (TV1), siaran langsung "Hello 2006" jam 11.50 malam pada 31 Jan (TV2) dan filem Box-Office, "The Lord of The Ring - The Fellowship of the Ring" jam 9 malam pada 31 Dis (TV2).

Melihat kepada aturcara yang disiarkan di atas jelas bahawa RTM yang dipunyai oleh kerajaan Islam Hadhari Pak Lah ini hanya mementingkan hiburan semata-mata. Tiada langsung rancangan yang bersifat pendidikan dan keugamaan. Inilah ajaran sebenar Islam Hadhari yang cuba memesongkan rakyat supaya menjauhkan agama.

"Sudahlah rancangan yang bersifat keagamaan tidak disiarkan sempena sambutan tahun baru ini, malah rancangan yang meningkatkan pengetahuan dan ilmu pun tiada. Apa yang penting bagi mereka hiburan,hiburan,hiburan itu sahaja. Anak-anak muda nak tertonggeng ke, nak kepala ke bawah kaki ke atas ke, mereka tak kisah," rungut Tuan Haji Salleh Othman Ketua PAS Cawangan Taman Merdeka ketika diminta mengulas laporan Bernama ini.

"Inilah isi sebenar Islam Hadhari yang diperjuangkan oleh Pak Lah dan kuncu-kuncunya, Islam Hadhari tak kisah samada program halal ke haram ke, berunsur pendidikan ke tidak ke, yang penting rakyat boleh diulit dengan keseronokan dan budaya hedonisme, segala teguran dan nasihat mufti dan PAS di tolak mentah-mentah" tambah Hj Salleh yang juga merupakan seorang peniaga yang berjaya.


NOMBOR SIRI TELEFON BIMBIT


Dipetik dari email saudara Musa Noor Hamdah

Ini adalah satu maklumat penting yang bermanfaat untuk dikongsi bersama serta di
ketahui ramai.

Untuk mengetahui Nombor Siri handset telefon bimbit anda:
Sila dail - star hash zero six hash (atau begini *#06#). No. Siri 15 digit akan
muncul terpapar di skrin handset anda. Catatkan No. Siri ini dan simpan di
mana-mana untuk rujukan anda kemudian. Apabila handset anda di curi orang atau
pun kehilangan, telefon saja ‘telco’ (syarikat pembekal perkhidmatan GSM anda
seperti 012, 019, 013, 016, 017, dll) dan berikan No. Siri handset anda ini.

Dengan adanya nombor ini, mereka (telco) boleh blok penggunaan handset telefon
bimbit anda itu. Dengan ini walau pun pencuri tersebut bertindak menukar kad
SIM, handset telefon bimbit anda itu tidak akan boleh digunakan langsung. Jadi
dia tak dapatlah nak pakai sendiri atau pun menjualkannya kepada orang lain.

Jika semua orang pemilik handset telefon bimbit lakukan langkah bijak ini, tiada
sebab untuk sesiapa cuba mencuri handset lagi.


Majukan mesej ini kepada semua ahli keluarga serta kawan-kawan anda yang
mempunyai handset dan marilah kita sama-sama membantu dalam membenteras kegiatan
mencuri telefon bimbit ini. Mereka akan terpaksa cari kerja lain yang lebih
berfaedah!

Cubalah sendiri dulu untuk melihat nombor siri telefon bimbit anda sekarang!

sumber daripada:

http://www.familiazam.com/no_siri_tel_bimbit.htm


ISU KETUK KETAMPI SAMBIL BERBOGEL RIUH DIPERKATAKAN TETAPI ISU TAHANAN TANPA BICARA TIADA SIAPA YANG AMBIL PEDULI


Inilah anggota Polis yang dikatakan terlibat dengan isu ini. Gambar kecil pula ialah dua anggota polis yang menjadi saksi kes ini.

Seminggu dua riuh ini satu negara membicarakan isu tahanan yang dipaksa berbogel dan melakukan ketuk ketampi. Tetapi isu yang lebih zalim dari itu seperti isu ISA yang yang digunakan untuk menahan seseorang tanpa bicara tidak pula diendahkan oleh kerajaan. Malahan isu ini telah berlaku sejak tahun 60-an lagi. Tahanan ISA bukan sahaja tidak dibenarkan membela diri malah mereka didera, dibogel, di'torture', dipukul dan sebagainya.

Sudah puas keluarga tahanan ISA ini mengadu kepada SUHAKAM, mengadu pada parlimen, hantar memorandum kepada PM tetapi semuanya diseolah-olah 'dibakulsampahkan'. Sudah berpuluh ribu duit dibelanjakan oleh keluarga mangsa ISA untuk berulang alik ke Kamunting, Putra Jaya dan sebagainya dalam usaha mereka membela nasib tahanan ISA tetapi hasilnya kosong.

Ahli parlimen yang cuba membawa usul ISA di Parlimen juga tidak mendapat reaksi yang positif. Usaha mereka untuk berjumpa sekejap dengan PM pun tidak mendapat layanan sewajarnya. Beliau hanya menghantar Setiausaha Sulitnya sahaja untuk menerima memorandum tersebut.

Tetapi bila kes tahanan disuruh ketuk ketampi dan berbogel ini dibangkitkan, PM sendiri dengan cepat mengarahkan suatu jawatankuasa penyiasat bebas untuk menangani isu ini. Inilah 'double standard' yang ujud dalam negara yang jelas mempunyai pemimpin yang tidak berhati perut yang sanggup menahan tahanan ISA selama lebih 4 tahun tanpa bicara.

Kita juga tentu masih ingat dengan beberapa kes tahanan mati dalam lokap atau penjara sedangkan sewaktu mangsa ini mula-mula dimasukkan ke lokap mereka ini sihat walafiat. Tetapi mengapa isu ini tidak mendapat perhatian umum dan kerajaan. Kadang-kadang kita berasa amat sedih apabila berita kematian tahanan ini diberitahu kepada keluarga mereka melalui nota ringkas yang diletakkan dalam kotak-kotak pos sahaja.

Zalim sungguh kerajaan yang ada hari ini. Tetapi mengapa rakyat Malaysia masih membutakan hati dan memekakkan telinga dengan tidak dapat melihat kebenaran yang terbentang di hadapan mereka.


PENGERUSI OIC YANG PENGECUT


MELAKA 13 DIS - Riuh rendah sehari ini berita berkenaan Sidang Kemuncak ASEAB ke 11 yang berlangsung di Kuala Lumpur. Sementelah lagi pengerusi persidangan adalah PM Malaysia sendiri yang juga merupakan pengerusi OIC dan NAM. Segala satu macam jawatan pengerusi telah beliau pegang tetapi kebajikan dan kedaulatan umat Islam semakin terhakis.

Selaku Pengerusi Sidang Kemuncak ini serta juga Pengerusi OIC sepatutnya Pak Lah mesti membangkitkan masalah keganasan kerajaan Thailand terhadap umat Islam yang berlaku di Takbai lebih dari setahun lalu.

Tetapi kita sebagai umat Islam yang sangat simpati kepada masyarakat Islam Selatan Thai berasa sangat hampa dengan tindakan Pak Lah yang langsung tidak menyentuh isu ini. Sebaliknya isu Myanmar menjadi fokus perbincangan. Beginilah nasig umat Islam, walaupun badan-badan antarabangsa di pengerusikan oleh orang Islam tetapi mereka ini tidak mempunyai 'batu' untuk berusaha mengatasi permasalahan tersebut. Mereka lebih mementingkan diri sendiri dan hubungan luar.

Ini berbeza dengan isu-isu yang melibatkan orang bukan Islam seperti isu Aung San Suu Kyi, isu Timor Timor serta isu keganasan lain.

Pak Lah dalam kenyataannya menjelaskan bahawa :

Kami mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan keganasan, kami mengutuk serangan keganasan dalam apa sahaja bentuk dan tindakan. Kami akan terus menentang sebarang usaha untuk mengaitkan tindakan keganasan dengan mana-mana kaum, agama, kerakyatan dan kumpulan ethnic.

Tetapi isu keganasan di Selatan Thailand tidak berani dibincangkan. Sedangkan permasalahan tersebut telah berlanjutan sejak sekian lama. Bila kita ajukan soalan jawapannya ini masalah dalaman negara tersebut. Apakah isu Aung San Suu Kyi bukan isu dalaman.

Nampaknya tiada siapa lagi yang dapat diharapkan untuk membangkitkan isu ini. Pengerusi OIC sendiripun tidak berani.

Kalau Pak Lah tidak berani untuk membangkitkan isu ini kita menggesa beliau meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi OIC. Kita juga menggesa beliau mengkaji balik Islam Hadhari yang beliau anuti sebab antara 10 rukun dalam Islam Hadhari satu daripadanya ialah rakyat yang merdeka.

Jadi apakah rakyat Selatan Thai sekarang ini bebas dan merdeka. Kalau belum bebas dan merdeka untuk melaksanakan kegiatan dan amalan agama mereka maka Pak Lah mesti memainkan peranannya untuk menyelesaikan masalah ini.


15 PENGUATKUASA NAK JAGA MAKSIAT SATU NEGERI. TIDAK MUNASABAH LANGSUNG


MELAKA, 13 Dis - Di saat Pak Lah mencanangkan Islam Hadhari ke dalam dan ke luar negeri, rakyat masih tertanya-tanya apakah Pak Lah serius untuk meningkatkan kefahaman Islam di kalangan rakyat serta apakah Pak Lah berusaha untuk mengatasi kemungkaran yang kian meruncing.

Harakahdaily melaporkan di Pulau Pinang bilangan penguatkuasa pencegah maksiat hanyalah 15 orang. Maklumat di nyatakan Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp). Shabudin menyatakan bahawa tugasan 15 orang penguatkuasa pencegah maksiat sungguh mencabar kerana selain dari memberi motivasi mereka juga terlibat dengan serbuan, urusan mahkamah serta pejabat.

"15 penguatkuasa pencegah maksiat tidak cukup nak jaga martabat Islam di negeri ini sebab orang Islam sahaja sudah berjumlah 500,000. Tambahan lagi kejadian keruntuhan moral di kalangan belia Islam begitu tinggi, " terang beliau ketika membahaskan belanjawan di Mesyuarat Ke Tiga Penggal Ke Dua DUN Kali Ke Sebelas semalam.

Inilah mentaliti Umno yang jelas tidak serius menangani masalah gejala sosial dan kemungkaran. Di saat pelbagai program maksiat tumbuh bagai cendawan pimpinan tidak langsung sensitif dengan langkah pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang mencegah maksiat. Oleh kerana itulah bilangan pencegah maksiat tidak di tambah.

"Mereka ini berkira sangat kalau dalam soal agama, tetapi dalam soal lain mereka senang-senang berbelanja dengan membazir. Tak ada peruntukan nak tambah anggotalah, bajet tak adalah, exco tak luluslah dan macam-macam lagi. Di Melaka pun sama, kebanyakan pencegah maksiat adalah bertaraf jawatan kontrak," jelas Hj Salamat Aman Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil ketika diminta mengulas isu ini.

Dalam laporan itu, Shabudin juga menjelaskan bahawa Bukit Mertajam merupakan salah satu lokasi yang terdapat banyak tempat maksiat yang menggunakan permis perniagaan lain. Oleh sebab itu, pihak lain seperti Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) patut berusaha sama tanganinya dengan berpandukan syarat-syarat permohonan permis.

Setakat maklumat, terdapat lebih 30 premis telah melakukan kegiatan secara haram seperti karaoke, pusat istirehat, rumah urut dan saloon yang menyediakan khidmat urut.

Pada tahun 2004 remaja yang ditangkap di pusat berkenaan 234 orang.

Pembayaran denda yang dikena ke atas setiap pesalah syariah disalurkan terus kepada kerajaan negeri bukan menjadi pendapatan Maipp sepertimana yang difahami oleh sesetengah pihak.

Sehubungan dengan isu denda kepada pesalah maksiat termasuk penzina, peminum arak, bersekedudukan dan lain-lain maksiat, Hj Salamat menjelaskan bahawa beliau hairan dengan pemimpin Umno yang jelas mempunyai ilmu tentang agama tetapi menolak pelaksanaan hukum Allah. Sebagai contoh Shabudin Yahya sendiri sebenarnya seorang yang berkelulusan agama dan beliau sendiri antara penceramah agama yang aktif sebelum menjadi wakil rakyat BN.

"Bagaimana mereka (ustaz-ustaz Umno) masih tidak mahu menerima hukum hudud dan takzir yang diwajibkan oleh Allah, atau adakah hati mereka telah ditutup oleh dari menerima kebenaran. Semua masalah sosial dan maksiat sebenarnya terjadi kerana undang-undang Islam yang dicipta oleh Allah tidak diterimapakai di negara kita," tegas Hj Salamat yang juga merupakan Bendahari DPP Negeri Melaka.


AYAM THAILAND TIDAK HALAL


MELAKA 13 DIS : Kementerian yang bertanggungjawab mestilah bertanggungjawab dengan status halal ayam yang diimpot dari negeri lain. Sebarang masalah yang berkaitan dengan status halal atau haram ini mesti ditangani oleh jabatan dan kementerian terbabit.

Sebuah akhbar harian hari ini melaporkan bahawa ayam seludup dari Thailand tidak halal! Status penyembelihannya nyata diragui malah mungkin disembelih orang bukan Islam.

Haiwan ternakan itu juga didakwa boleh memudaratkan kesihatan manusia kerana mengandungi bahan kimia termasuk untuk tahan lama dan cepat matang.

Menurut sumber, kaedah penyembelihan haiwan ternakan itu tidak diketahui malah boleh diragui status halalnya.

Berkenaan dengan ini kita mengharap pihak berwajib dapat menjalankan tugas mereka dengan merampas dan menahan sebuah ayam seludup tersebut.

Akhbar itu menyiarkan bahawa Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Bunga berjaya membongkar kegiatan itu selepas merampas 220 guni ayam beku dianggarkan RM27,500, pagi semalam.

Ayam terbabit yang dipercayai diseludup melalui pangkalan haram di Lalang Pepuyu, dekat sini, ditemui selepas anggota UPP membuat pemeriksaan terhadap sebuah lori satu tan di kawasan Blok 8 Felda Kemahang.

Komander Kawasan UPP Bukit Bunga, Cif Inspektor Abu Hassan Hamidon, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan itu kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

Menurutnya, sepasukan sembilan anggota diketuai Koperal Kassim Ahmad membuat intipan di Felda Kemahang, dekat sini, sebelum mengesan lori terbabit kira-kira jam 1.30 pagi.


PENGERUSI JKKK LEMBAP. KETUA MENTERI BERI KATA DUA


MELAKA 13 Dis : Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang terkenal dengan panggilan 'Ali Ketam' memberi kata dua kepada pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini yang gagal menyerahkan profil kampung masing-masing sebelum 31 Disember 2005 ini.

Sehingga kini hanya 150 daripada 253 JKKK serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Bandar (JKKB) di negeri ini yang menyerahkan profil berkenaan sebelum tarikh akhir penyerahan iaitu 30 November lalu.

Ali yang dukacita dengan keadaan itu, tidak menolak kemungkinan akan melantik golongan wanita sebagai pengerusi JKKK atau JKKB bagi menggantikan penyandang jawatan itu yang dianggap sebagai `pemalas?.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan watikah JKKK/JKKB sesi 2005/2006 dan Anugerah Desa Cemerlang 2005 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, semalam.

Sementara itu Penolong Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil, Haji Yasin Musa berkata, PAS sudah lama mengetahui yang kebanyakan Pengerusi JKKK memang lembap dan tidak tahu menjalankan kerja. Kebanyakan mereka dilantik atas dasar mereka adalah ahli Umno dan pandai membodek.

Sesetengah langsung tidak berkelayakan dan hanya pandai menggunakan jawatan untuk membolot projek-projek kampung. PAS kata beliau sudah menggesa kerajaan negeri mengkaji balik cara perlantikan JKKK ini supaya ianya tidak mengira fahaman politik dan lain-lain karenah birokrasi.

Fenomena lembap dan malasnya pengerusi JKKK menyerahkan profil kampung mereka adalah bukti kepada segala dakwaan PAS sebelum ini.


Umno TIDAK SEKALI-KALI 'BELI' WAKIL RAKYAT PAS KELANTAN. RADZI NAK TUNJUK ALIM


MELAKA 13 Dis. - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata Umno tidak akan sekali-kali akan `membeli' wakil rakyat Pas untuk menyertai parti itu bagi mendapatkan satu lagi kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. Beliau berkata demikian semasa di temui wartawan selepas melawat 105 mangsa ribut di Kangar semalam.

Beliau menambah bahawa, UMNO bagaimanapun tidak menghalang jika ada wakil rakyat Pas yang `melompat' menyertai UMNO dengan rela hati.

Radzi juga menegaskan, UMNO juga tidak akan mendesak Pas untuk membubarkan DUN kerana ia merupakan kuasa mutlak parti yang memerintah.

Beliau sebenarnya sengaja menyembunyi fakta sebenar tentang beberapa usaha yang dilakukan Umno untuk membeli ADUN PAS sebelum ini. Beberapa orang ADUN PAS sebelum ini pernah mendedahkan cubaan untuk 'membeli' mereka yang dilakukan oleh individu tertentu yang mewakili Umno Kelantan. Tawaran yang dibuat bernilai jutaan ringgit. Tetapi semua ditolak oleh ADUN PAS mentah-mentah.

Semua rakyat tahu bahawa kerja Umno melakukan pelbagai cara untuk menumbangkan kerajaan negeri Kelantan, antaranya ialah dengan cara membeli ADUN PAS. Cerita ini tersebar dengan lebat ketika kempen Pilihanraya Kecil DUN Pengkalan Pasir baru-baru ini.

'Kerja membeli wakil rakyat ini sememangnya sudah sebati dengan Umno/BN dimana mereka pernah menumbangkan kerajaan PAS Terengganu pimpinan Allahyarham Daud Samad pada tahun 1959 dan juga kerajaan PBS Sabah yang dipimpin Dato' Pairin Kitingan dulu'. Janganlah cuba menunjukkan Umno sebagai juara demokrasi dan alim', kata Sdr Moazar Masyuri Ketua Pemuda PAS Cawangan Taman Merdeka ketika diminta mengulas tentang laporan akhbar ini.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59