Saturday, 10 December 2005

BARU SEDAR KE?


MELAKA 10 DIS : Sebuah akhbar harian internet melaporkan bahawa seorang ADUN BN menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang menutup semua ladang babi di negeri itu kerana ternakan itu tidak membawa sebarang kebaikan, malah mengundang pelbagai masalah termasuk pencemaran bau, air dan penyakit kepada orang ramai.

ADUN tersebut Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua) berkata, jalan terbaik untuk mengatasi masalah pencemaran yang disebabkan oleh najis babi ialah menutup ladang ternakan itu.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Rang Undang-Undang Perbekalan dan Anggaran Pembangunan 2006 di persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, beliau berkata, wakil rakyat sering menerima aduan orang ramai mengenai pencemaran sungai yang disebabkan oleh najis babi.

Katanya, pencemaran sungai menjejaskan pendapatan nelayan sungai di Seberang Perai manakala di beberapa kawasan perumahan pula terutama di Seberang Perai Utara, kini dicemari bau busuk sehingga orang ramai tidak lagi boleh makan pada waktu itu.

Menurut laporan Bernama, Jasmin berkata, penutupan ladang babi tidak akan menjadi masalah kepada mereka yang memakan dagingnya kerana ia boleh diimport manakala pengusahanya ditawarkan menjalankan perniagaan lain.

Takkan baru sekarang baru sedar. Ternakan babi di Pulau Pinang sudah beratus tahun lamanya. Mungkin dulu hidung penganut Islam Hadhari ini tersumbat kot.

Jasmin turut menggesa hukuman lebih berat dikenakan ke atas pesalah zina dan murtad memandangkan undang-undang sekarang terlalu ringan, menyebabkan orang ramai tidak takut untuk melakukan kesalahan itu.

Selain itu, hukuman terhadap pesalah yang mengajar dan mengamal ajaran sesat juga ringan di samping perbicaraan yang menyulitkan sehingga seorang guru ajaran sesat yang ditangkap beberapa tahun lalu meninggal dunia sebelum perbicaraannya habis.

Inilah bahananya bila Hukum Islam dipinggirkan. YB tak kan tak sedar dalam Islam Hadhari mana ada diwajibkan menjalankan Hukum Hudud, Takzir dan sebagainya. Apa yang Islam Hadhari pentingkan ialah pembangunan dan keduniaan sahaja. Cuba YB baca 10 'rukun' Islam Hadhari tu adatak tentang kewajipan mendaulatkan hukum Islam.


RTM DAN STESYEN TV SWASTA TETAP ANJURKAN PERADUAN UJI MINDA WALAUPUN DIHARAMKAN MUFTI


BUKIT KATIL 10 DIS :RTM dan Stesyen TV Swasta yang lain tetap menganjurkan peraduan uji minda walaupun ianya telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pertengahan tahun lalu.

"Apa yang hendak dikisahkan oleh stesyen TV ini, kerana yang penting untung, halal dan haram belakang kira. 'Boss' mereka pun memang suka perkara-perkara yang haram ini. Mereka tidak kisah yang penting untung dan dapat berseronok, itu sahaja" tegas Hj Salamat Aman Bendahari Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka merujuk kepada Menteri dan Pihak Pengurusan Stesyen TV yang terkenal suka kepada konsert-konsert maksiat.

Hari ini sebuah akhbar harian melaporkan bahawa orang ramai meminta Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan stesen televisyen swasta menghentikan penyiaran rancangan permainan menguji minda kerana ia menipu peserta. Mereka juga mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya kerana siaran peraduan berbayar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) itu mempunyai unsur perjudian kerana membabitkan peraduan dan hadiah wang tunai yang diperoleh pemenangnya adalah haram.

Rata-rata orang ramai yang ditemui akhbar itu menyatakan rasa tidak puas hati dengan pengendalian peraduan berkenaan yang didakwa berkemungkinan dirakam terlebih dulu sebelum disiarkan. Justeru, ia menyebabkan ramai peserta peraduan itu yang mengirim jawapan melalui SMS, kerugian kerana tidak berpeluang memenangi hadiah ditawarkan.

Sebelum ini, laporan akhbar itu memetik Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut, berkata peraduan menguji minda yang disiarkan stesen televisyen tertentu pada awal pagi, mempunyai unsur perjudian kerana membabitkan peraduan dan hadiah wang tunai yang diperoleh pemenangnya adalah haram.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa Nooh berkata, peraduan itu banyak bergantung kepada nasib kerana orang yang menelefon untuk menjawab soalan tidak semestinya dapat bercakap dengan hos, selain ia mempunyai unsur membazir wang dan masa.

Sehubungan dengan itu Hj Salamat menyeru seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam supaya memulaukan rancangan uji minda yang disiarkan oleh stesyen TV kerajaan dan swasta kerana ianya jelas haram seperti yang dijelaskan oleh Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan. Hj Salamat juga melahirkan kehairanan bagaimana RTM yang dikendalikan oleh penganut 'mazhab' Islam Hadhari tidak menghormati Fatwa tersebut. Sepatutnya Pak Lah sebagai 'Ulama Besar' Islam Hadhari mengarahkan rancangan seperti ini diberhentikan serta merta sebaik sahaja Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa mereka.

Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Islam Hadhari pada hari ini sememangnya membelakangkan Islam dan hanya taat kepada Islam pada masa dan keadaan tertentu bukannya taat secara mutlak. Sudah sampai masanya rakyat Malaysia menilai kembali sokongan mereka kepada kerajaan sekarang yang diterajui oleh pendokong Islam Hadhari.


500,000 PELAJAR MELAYU AKAN GAGAL DALAM PENDIDIKAN KERANA KELEMAHAN BAHASA INGGERIS - HASSAN AHMAD



BUKIT KATIL 10 DIS :Kira-kira 500,000 pelajar melayu akan gagal dalam pendidikan mereka dalam masa lima tahun lagi kerana kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris. Pendapat beliau ini bertitik tolak kepada realiti bahawa amat susah untuk pelajar-pelajar melayu bagi memahami kedua-dua subjek ini kerana sememangnya subjek ini amat susah untuk dipelajari lebih-lebih di ajar dalam Bahasa Inggeris.

"Semasa saya belajar dulu pun berapa kerat sahaja kawan-kawan saya lulus Fizik, Kimia dan Matematik Tambahan yang memang rumit. Itupun masa itu ia diajar dalam Bahasa Melayu. Cuba bayangkan kalau ianya diajar dalam Bahasa Inggeris, alamat 'melopong'lah pelajar-pelajar melayu kita" kata Sofi Wahab, Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka ketika di minta mengulas kenyataan Dr Hassan Ahmad ini.

Kenyataan tokoh pendidik negara, Datuk Dr Hassan Ahmad ini dipetik dari akhbar harian internet. Beliau turut menyokong inisiatif badan pendidikan Cina, Dong Jiong Zong (DJZ) yang berjuang untuk mengembalikan kedaulatan bahasa ibunda di negara ini serta menyambut baik langkah DJZ menganjurkan Persidangan Membantah Penggunaan Bahasa Inggeris Dalam Matematik dan Sains di Kajang hari ini.

Beliau yang turut mendapat jemputan DJZ untuk menhadiri persidangan itu walaubagaimanapun tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Dr Hassan berkata usaha menganjurkan persidangan tersebut merupakan satu usaha berani dari satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengembalikan kedaulatan bahasa ibunda mereka. Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah DBP yang cemerlang semasa zamannya berkata, DJZ mengambil inisiatif yang bijak dan tepat sebagai satu langkah untuk mengembalikan penggunaan bahasa ibunda dalam pengajaran subjek Matematik dan Sains.

“Pertubuhan Melayu sepatutnya mengambil langkah yang sama untuk mendesak kerajaan mengembalikan penggunaan bahasa ibunda dalam kedua-dua matapelajaran Sains dan Matematik. “Malangnya orang Melayu tidak berani berbuat demikian. Sindrom ini lambat laun akan menyebabkan bahasa ibunda mereka tidak berfungsi lagi,” katanya dalam akhbar harian tersebut.

Menurutnya, sistem pendidikan negara sudah dirosakkan dengan penggunaan bahasa Inggeris dan ia perlu diperbetulkan semula. Dr Hassan berkata, sejak sekian lama bahasa Melayu tidak pernah menunjukkan sebarang kegagalan dalam apa juga bidang, termasuk pendidikan peringkat tinggi.

Katanya, bahasa pengantar bahasa Melayu bukan sahaja diterima oleh orang Melayu, malahan bukan Melayu dan berjaya melahirkan cerdik pandai dalam pelbagai bidang seperti saintis, akauntan, jurutera dan ahli pendidikan.

Semalam, DPP Kawasan Bukit Katil dalam kenyataan akhbar yang dibuat oleh Ketua Penerangannya, Sofi Wahab menyokong penuh usaha yang dijalankan oleh DJZ.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59