Friday, 9 December 2005

DPP BUKIT KATIL SOKONG DONG JIAO ZONG (DJZ) PROTES PENGAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS


BUKIT KATIL 9 DIS : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil sentiasa konsisten menyokong Dong Jiao Zong (DJZ) yang komited membantah penggunaan Bahasa Inggeris untuk subjek Matematik dan Sains.

Ketua Penerangan DPP Kawasan, Sofi Wahab dalam kenyataannya hari ini menegaskan bahawa DPP Bukit Katil menyokong usaha-usaha berterusan DJZ dalam memprotes polisi kerajaan tersebut.

"DPP Kawasan memang dari dahulu membantah penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik ini kerana ianya jelas merugikan pelajar kerana pelajar-pelajar menghadapi masalah untuk memahami pelajaran tersebut. Apatah lagi kedua-dua subjek memang terkenal susah untuk difahami walaupun ia diajarkan dalam bahasa ibunda. Apatah lagi kalau ia diajar dalam Bahasa Inggeris maka sudah pasti ianya tambah 'membengongkan' pelajar" jelas Sofi yang juga merupakan Ketua Lajnah Perpaduan Kaum Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas tentang suatu seminar yang akan dianjurkan oleh DJZ Sabtu ini. Adalah dianggarkan ribuan peserta dan pemerhati akan menghadirinya.

Sementara itu Dr Yap Sin Tian, pengerusi Badan Pendidikan China yang berpengaruh, DOng Zong berkata, resolusi menentang polisi kerajaan ini akan diserahkan kepada kerajaan.

Seminar ini dijangka akan menarik minat delegasi dari seluruh negara, ianya akan bermula pada jam 3.00 petang di Pusat Pendidikan DJZ di Kajang.

Yap berkata surat jemputan juga dihantar kepada organisasi-organisasi pendidikan bukan Cina dan sesiapa juga yang berminat dijemput hadir. Tetapi parti-parti politik tidak dijemput.

Ikuti temubual Malaysiakini dengan Dr. Yap seperti yang disiarkan di bawah

MK: Boleh Dr Yap jelas mengapa DZJ mahu menganjur Persidangan Membantah Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (BI) pada 10 Disember ini?
Saya ada berhubung dengan penulis dan ahli kesusasteraan, budayawan untuk berbincang. Pada pendapat saya, kebanyakan mereka yang saya hubungi, juga bersetuju bahawa Matematik dan Sains patut diajar dalam bahasa ibunda.

Berikutan itu, Dong Jiao Zong (DJZ) akan menganjurkan Persidangan Membantah Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (BI) pada 10 Disember di Pusat Pendidikan DJZ di Kajang. Persidangan itu bukan sahaja membabitkan DZJ atau Lembaga Pengurus Sekolah Cina, tetapi juga alumni-alumni di Malaysia dan alumni Universiti Taiwan di Malaysia, bekas pelajar Universiti Nanyang, telah bersetuju untuk menyertainya.

Selain itu, kita juga telah menulis surat kepada kawan-kawan kaum Melayu dan India, menjemput mereka untuk berucap di persidangan tersebut.

MK: Bagaimana sambutannya?
Kita menjemput wakil-wakil dari seluruh negara. Kebanyakan (DJZ) negeri dan Lembaga Pengurus Sekolah Cina akan menghadirinya. Pada keseluruhannya sambutannya adalah baik.

MK: Berapa ramai semuanya?
Pada masa ini jumlahnya dinggarkan 1,000 orang. Tetapi mereka akan hadir sebagai wakil – wakil lembaga pengurus sekolah dan guru-guru.

MK: Bagaimana dengan sambutan masyarakat pendidik Melayu dan India?
Kita sudah hantar surat dan sedang menunggu jawapan dari mereka.

MK: Ada hubungi mereka?
Ada, banyak melalui telefon, (tetapi) belum dapat jawapan, jadi belum dapat untuk diberitahu nama-nama mereka. Mereka ini ada pengaruh dalam masyarakat.

MK. Dalam isu ini banyak bantahan datangnya dari masyarakat Cina?
Bukan masyarakat Cina sahaja, masyarakat Melayu pun ada...

MK: Yang lebih bersuara adalah pendidikan Cina, tetapi kurang dari kalangan masyarakat pendidik Melayu dan India?
Saya tanya mereka...mereka cakap...(tapi) kalau bukan suara kerajaan, susah sikit.

MK: Adakah pendirian mereka dalam isu ini?
Mereka yang kita hubungi memang tidak setuju...(tetapi) lebih baik mereka hadir (di persidangan itu) dan bercakap di hadapan hadirin. Ini lebih baik dan lebih berkesan, daripada kita hanya menyebut nama mereka.

MK: DJZ nampaknya telah mengubah strategi. Dulu tumpu pada masyarakat Cina, tapi kini turut menghubungi masyarakat lain?
Betul. Bila kita menghubungi ahli-ahli pendidikan, sasterawan dan budayawan, kita ada kata sepakat. Jadi mereka pun ingat kalau orang Melayu menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar dengan lebih berkesan...ilmu ada, bahasa ada. Kalau mahu tingkat penguasaan bahasa Inggeris, mesti belajar secara profesional. Jadi kita dapat mencapai pandangan bersama, jadi kita ingat, dalam al ini, patutnya kita turut menghubungi masyarakat lain juga. Seperkara lagi, biasanya jika masyarakat Cina, DZJ atau persatuan-persatuan lain bercakap (mengenainya), ia dikatakan cauvinistik...masyarakat Cina sahaja. Tetapi kalau kita dapatkan maklumatnya, sebenarnya isu ini bukan (mengenai) orang Cina sahaja. Contohnya, pada bulan Mac 2005, Kongres Pendidikan Melayu – saya baca dalam akhbar – juga dilaporkan tidak bersetuju (dengan dasar tersebut).

MK: Ada yang berpendapat penggunaan bahasa ini mudah dan kurang (keperluan) terjemahan ke bahasa lain?
Kalau di tahap universiti mungkin ada universiti yang menggunakan pelbagai bahasa, tetapi dari sekolah rendah, murid masih dalam proses menguasai bahasa (ibunda), macam mana mahu kuasai bahasa lain (BI). Dan lagi satu bukti, macam Jerman, Jepun guna bahasa ibunda mengajar Matematik dan Sains, dan ia tidak langsung menunjukkan yang ilmu mereka tidak baik.

MK: Bagaimana pula dengan tahap kedua penukaran bahasa di sekolah Cina?
DJZ sudah berulangkali meminta tahap kedua (penukaran bahasa di sekolah Cina) diumumkan, tetapi sampai sekarang belum diumumkan. Jadi kita kesal kerana sesi persekolahan akan bermulai Januari ini tetapi sampai sekarang pun program atau perkembangannya tidak ada. Jadi itulah tujuan kita adakan persidangan itu untuk menyuarakan pendirian kita.

MK: Antara sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan?
Pada luarannya, ada perbezaan antara sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Tetapi ada juga persamaannya. Dulu sekolah kebangsaan menggunakan bahasa kebangsaan untuk mengajar Matematik dan Sains, manakala sekolah Cina pula menggunakan bahasa Mandarin untuk matapelajaran tersebut. Tetapi kini semuanya diajar dalam bahasa Inggeris. Cuma di sekolah Cina, selain bahasa Inggeris, ia juga menggunakan bahasa Mandarin, tetapi ini membuang masa, (mengajar) benda yang sama, mesti membosankan.

Oleh sebab itu (adalah) arahan kerajaan, kementerian. Bahasa Inggeris sangat mustahak dalam ujian, jadi sampai sekarang menteri belum lagi mengumumkan (sama ada) pada 2008, ia mahu digunakan lagi, apakah bahasa (pengantar) ujian UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah). Jadi masyarakat Cina sangat bimbang tentang hal ini.

MK: Bagaimanakah harapan Dr Yap dan DZJ berhubung isu penggunaan bahasa Inggeris?
Kerajaan mahu paksa, apa yang kita boleh buat. Kita cuma boleh bangkang. Ahli pendidik selalu memberi pendapat tentang konsep pendidikan dan lagi, keputusan (peperiksaan) juga banyak yang negatif, tetapi sampai sekarang kementerin tidak semak lagi.

MK: Ada yang anggap ia satu usaha meng-inggeris-kan pendidikan di Malaysia, ubah identiti sekolah – sekolah Cina, Tamil dan sekolah Melayu di-inggeris-kan?
Inilah yang membimbangkan masyarkat cina kerana dalam Akta Pendidikan, di sekolah Cina, selain mesti belajar bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, matapelajaran yang lain boleh guna bahasa ibunda. (Tetapi) kini dipaksa guna bahasa Inggeris, jadi mereka bimbang (kalau nanti) Mandarin hanya (tinggal) menjadi satu matapelajaran di sekolah Cina. Inilah kebimbangan masyarakat Cina.

MK: Apakah perjumpaan DJZ dengan MCA, Gerakan membuahkan sebarang hasil? Kita mengadakan perjumpaan dengan MCA dan Gerakan. Kedua-duanya, pada prinsipnya, menganggap patut diguna bahasa ibunda untuk mengajar (Matematik dan Sains). (Timbalan Presiden Gerakan) Tan Sri Dr Koo Tsu Koon, dalam akhbar, telah menerangkan pendiriannya...(tapi) dah jadi satu isu. Kitapun jumpa MCA, ia pun lebih kurang cakap mengenai pendiriannya. Tetapi sebenarnya kita tidak tahu...biasanya mereka cakap akan berunding dengan kabinet dan kerajaan...tapi kerana program itu belum disemak, jadi kita anggap ia belum lagi selesai.

MK: Menteri ada berkata kalau dipaksa, beliau tidak akan bagi tahu (pelaksanaannya)? Dia rasa ada tekanan termasuk dari DZJ?
Itu perasaan beliau, sebenarnya kita tidak mahu paksa beliau tetapi oleh sebab kita bimbang dan khuatir kerana masalah ini sudah lama berlanjutan, jadi kita bersuara, minta diumumkan secepat mungkin.

MK: Kalau dia umumkan pun, ada ura-ura ada strategi lain, seperti panjang masa belajar. Apakan pendirian DZJ seterusnya?
Tunggu sampai beliau umumkan. (Mungkin) waktu belajar ada berubah sikit tetapi di segi dasar penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajar Matematik dan Sains, kementerian nampaknya masih tidak mahu berubah. Jadi DZJ mahu menuntut supaya Matematik dan Sains diajar dalam bahasa ibunda. (Cara) meningkatkan (penguasaan) bahasa Inggeris adalah dengan memperbanyakkan waktu belajar bahasa Inggeris. (Ia perlu diadakan) secara profesional, maknanya, ada makmal (bahasa), makmal komputer, dan lebih masa belajar bahasa itu.

MK: Ini pendirian DJK?
Ya. Pendirian ini dicapai dalam resolusi yang dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa (DJZ). Kerana kalau anda bercakap tambah waktu (belajar), itu (aspek) teknikal. Dari mula lagi kita telah jelaskan (mengenai) penggunaan bahasa ibunda untuk mengajar Matematik dan Sains. (Bagi meningkatkan penguasaan) bahasa Inggeris pula hendaklah ditambah waktu belajar (matapelajaran tersebut).

MK: Apakah anda fikir kerajaan akan pertimbang gesaan itu?
Ini terpulanglah kepada para pendidikan dan masyarakat berbilang bangsa. Kalau (masyarakat) Melayu, India dan Cina bangkang – walaupun mungkin sekarang belum diubah – tapi mungkin suatu masa nanti, apabila terbukti cakap itu betul, maka kerajaan pun mesti mahu menyemaknya.

MK: Untuk semua kaum?
Pendirian ini untuk semua kaum. Dalam masyarakat Cina pun, adakala mereka tidak sehaluan, tapi bila sebut tentang masalah pendidikan, mereka semua boleh bertolak ansur...

MK: Bagaimana kalau parti politik turut hadir?
Pada hari berkenaan (persidangan Sabtu ini), mereka yang datang nanti, tidak bercakap mewakili parti (mereka). Memanglah setiap penyokong mempunyai latarbelakang berlainan. Tetapi itu adalah hak mereka. Parti politik memang bangkang...kalau rapat dengan PAS, nanti kerajaan akan kata pembangkang mahu menekan. Dalam lembaga pengurus (sekolah Cina), kita dari macam-macam latarbelakang – dari MCA, Gerakan dan DAP. Tapi kalau tidak tunjuk (sentimen kepartian), semuanya ok.

MK: Perlu permit polis untuk adakan persidangan Sabtu ini?
Kita buat dalam kawasan premis Kolej New Era, jadi tak perlu permit (polis). Lagi pula mereka (peserta) datang atas jemputan.

MK: Apakah harapan dan hasil yang DZJ harapkan daripada persidangan ini?
Kita adakan persidangan dulu dan lihat resolusi pada hari berkenaan. Bila ada resolusi, baru kita hantar kepada pihak berkuasa, kementerian atau pihak-pihak lain. Kalau kerajaan pentingkan suara rakyat, ia perlu mengambil langkah secepat mungkin untuk memperbaiki keadaan ini dan semak semua (dasar tersebut).

MK: Ada yang berpendapat DZJ tidak ikut perkembangan semasa di mana bahasa Inggeris sudah menjadi bahasa global. Dan ada pelajar Cina tidak cekap berkomunikasi dalam bahasa Inggeris?
Bahasa sebenarnya tidak jadi masalah. Ini boleh dibuktikan di mana pelajar sekolah menengah Cina tidak menghadapi masalah apabila mereka melanjutkan pelajaranke Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom, dan pada masa yang sama, belajar di Taiwan, China dan Singapura. Di peringkat sekolah menengah, tahap penguasaan (bahasa Inggeris) bukan terlalu tinggi. Sekolah Cina pentingkan tiga bahasa – bukan sahaja bahasa ibunda, tetapi juga bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris. Ada juga pelajar kita yang belajar di Universiti Malaya dan Universiti Multimedia...Anak saya pun masuk (Universiti) Multimedia. Dengan sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah PersendirianCina Malaysia, masuk katergori B – lebih tinggi dari Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Lulusan SPM kena masuk pra-universiti, tetapi lulusan sijil (sekolah Cina) terus masuk peringkat B.

MK: Jadi bahasa bukan satu halangan?
Tidak. Ada prejudis terhadap sekolah Cina kerana mereka ingat pelajar sekolah Cina belajar Mandarin sahaja...berdasarkan Forum Pelajar (dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka) yang diadakan setiap tahun sejak 14 tahun lalu hingga sekarang, (kita) dapat lihat penguasaan bahasa Melayu di kalangan mereka (pelajar sekolah Cina).

MK: Ada cadangan formula 2-4-3 dipinda?
Yang mustahak ialah dua perkara – pertama, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), macam di sekolah Cina, menggunakan bahasa ibunda bagi matapelajaran Matematik dan Sains. Kedua, (kita) mahu bahasa pengantar macam dulu, sekarang dwi-bahasa. (Kita mahukan) resolusi akademik, kerana resolusi politik mahukan manfaat politik, tapi bukan manfaat pendidikan. Jadi apa yang DJZ usahakan (dengan menganjurkan persidangan Sabtu ini) ialah untuk memberi peluang dan saluran kepada masyarat pelbagai kaum untuk menyuaraian pandangan/bantahan mereka terhadap dasar tersebut.

MK: Apakah pendekatan baru yang diambil Dr Yap selepas menjadi pengerusi?
Apabila saya mengambil alih (jawatan pengerusi), saya menggalakkan penggunaan banyak bahasa sebagai satu bentuk komunikasi, bagi mengelak salahfaham dengan bangsa lain. Pada masa dulu, kebanyakan fokus adalah dalam bahasa Mandarin. (Kini) digunakan lebih banyak bahasa dan selalu bercampur gaul dengan bangsa lain dan saling dapat bertukar-tukar pandangan. Cara ini dapat meningkatkan persefahaman dan mengelak berlaku salahfaham supaya orang lain dapat memahami tujuan perjuangan sebenar DZJ.

MK: Apakah mesej DJZ?
Sebenarnya, pada masa ini orang Melayu, sekurang-kurangnya separuh, tidak setuju guna bahasa Inggeris untuk mengajar Matematik dan Sains. Begitu juga dengan kaum India. Jadi apakah persamaannya? Persamaannya ialah kita mahu guna bahasa ibunda – orang Melayu guna bahasa Melayu, orang Cina bahasa Mandarin dan orang India guna bahasa Tamil. Mengapa mahu gunakan bahasa ibunda?. Ini kerana mengikut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), (kaedah) lebih berkesan mengajar pelajar ialah dalam bahasa ibunda. Ini bukan kita yang cakap, tetapi UNESCO dalam dokumennya. Jadi jika media massa nyatakan pendirian kita, maka masyarakat lain juga akan tahu, bukan masyarakat Cina sahaja. Kurikulum di sekolah Cina berdasarkan kurikulum yang diumumkan oleh kementerian. Oleh itu, isinya sama, cuma bahasa pengantar sahaja yang berbeza. Bahasa pengantar pun bukan kita mahu, kalau ikut fakta pendidikan, sekolah jenis kebangsaan Cina, selain bahasa kebangsaan, Mandarin digunakan untuk mengajar (mata pelajaran lain).

MK: Perjuangan jangka panjang?
Kalau kita tinjau di Thailand dan Indonesia, kerajaannya sudah memberi kelonggaran. Sekarang di negara berkenaan, kelas bahasa Mandarin sudah banyak diadakan. Saya baru pulang dari Jakarta. Mengikut keadaan dunia sekarang, terutama di Asia Tenggara, kerajaannya sudah memberi kelonggaran dan (banyak) perubahan, bukan (seperti) tahun 1960-an dan1970-an. Dengan cara ini, saya ingat kerajaan kita, terutama kumpulan pemikir (think-tank) mesti melihat keadaan ini. Kalau kita ikuti laporan dari Filipina, Thailand dan Indonesia, sudah wujud trend baru ini. DZJ juga menjadi Sekretariat Tetap Simposium Pengajaran Bahasa Cina di Asia Tenggara sejak 12 tahun lalu.

MK: Matlamat DZJ?
Pertama, memperkembangkan pembelajaran Mandarin di Asia Tenggara. Kedua,meninjau bagaimana hendak mengatasi kekurangan guru kerana sekarang banyak kelas Mandarin dan kekurangan guru sangat kritikal. Ketiga, mengenai kurikulum...mesti guna (kaedah) profesional, guna radio, CD dan buku, supaya menghasilkan kurikulum yang sesuai dan popular supaya lebih ramai pelajar. Dan lagi satu ialah mengenai metodologi, cara pembelajaran. Orang Cina dari kecil sudah belajar bahasa ibunda dan dia boleh terus (belajar). Bagi orang yang tidak tahu langsung bahasa Mandarin, (mereka) mungkin (perlukan) satu dua tahun untuk belajar. Kini sudah ada satu cara pengajaran – metodologi bahasa kedua (bagi kaum lain). Di Malaysia, kalau mengikut laporan, MARA, Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, bekerjasama dengan universiti di negeri China untuk belajar Mandarin. Banyak IPT (institusi pengajian tinggi) di Malaysia (berbuat demikian) sehingga Kementerian (Pelajaran) kata mahu ajar bahasa Mandarin di sekolah kebangsaan. Sekarang Mandarin bukan sahaja merupakan bahasa ibunda, tetapi telah ditingkatkan menjadi satu bahasa dunia.


APA ORANG LAIN KATA


Ikuti Tulisan Aman Rais seorang kolumnis Malaysiakini.

Dipetik dari Malaysiakini.com

Talkin Politik di Pengkalan Pasir.

Episod pilihanraya kecil Pengkalan Pasir sudah berakhir, namun luka dan parut yang ditinggalkannya amat pedih dan berbekas. Bukan sahaja nasib dua buah parti Melayu dicorakkan di sini, malah masa depan politik beberapa individu, turut ditentukan.

Dari segi pemerintahan, ia satu tamparan besar bagi PAS. Ia menipiskan lagi majoriti kerusi kerajaan PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN). Kini kedudukan 24-21 antara PAS dan Barisan Nasional/Umno telah berubah menjadi 23-22.

Kedudukan ini ibarat telur di hujung tanduk. Jika seorang wakil rakyat PAS belot, kerajaan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat akan tumbang. Andainya seorang lagi wakil rakyat PAS meninggal dunia, kerajaan negeri Kelantan akan berada dalam situasi hidup atau mati.

Begitulah gentingnya kerajaan Nik Aziz sekarang, ibarat meniti di atas tali yang amat nipis. Tentunya, semua penyokong PAS kini berdoa semoga tiada lagi wakil rakyat mereka di DUN Kelantan mengadap Ilahi sebelum tahun 2008 atau menjual diri mereka kepada Umno.

Dari segi kuasa kerajaan negeri untuk membuat keputusan di DUN pula, ia tidak meninggalkan apa-apa kesan kerana sebelum inipun dengan kedudukan 24-21, keadaannya sama sahaja. Kerajaan Nik Aziz tetap tidak mempunyai majoriti dua pertiga.


Jika dikaji dari aspek kepartian pula, ia tidaklah begitu mengecewakan kerana walaupun tewas, calon PAS, Hanifa Ahmad berjaya meraih 7,288 undi, meningkat 126 berbanding 7,168 yang diperoleh oleh allahyarham Wan Abdul Aziz Wan Jaffar dalam pilihanraya umum 2004.



Dari segi pengaruh, sokongan penyokong setia PAS tidak berganjak. PAS cuma tewas kerana jumlah pengundi yang keluar menunaikan hak mereka kali ini lebih tinggi. Ramai pengundi baru dan pengundi yang tinggal di luar Kelantan, kembali ke Pengkalan Pasir semalam dan mereka memangkah dacing. Peningkatan jumlah mereka yang keluar mengundi sebanyak 5.31 peratus mendatangkan risiko yang tinggi kepada PAS.

Sama ada mereka pengundi hantu atau tidak, sudah tidak relevan, kerana Pengkalan Pasir sudah bertukar tuan. Kesediaan 7,288 pengundi untuk terus memilih bulan walaupun diasak dengan pelbagai propaganda dan janji manis, sekurang-kurang masih memberikan harapan kepada PAS untuk terus bertapak di Pengkalan Pasir dan merebut kembali kubu kuatnya itu dalam pilihanraya umum akan datang.

PAS tidak perlu berduka terlalu lama kerana menentang BN/Umno dalam pilihanraya kecil ibarat semut bertempur dengan gajah. Dari aspek kepimpinan PAS pula, kegagalan mempertahankan kerusi ini bukanlah tanda penolakan terhadap perubahan yang sedang berlaku dalam parti itu. Buktinya, mereka hanya kehilangan kerusi tetapi tidak kehilangan undi. Kesetiaan para penyokongnya tidak berganjak.

Kesetiaan yang ditunjukkan oleh para penyokong PAS itu menunjukkan mereka menerima siapa sahaja sebagai teraju parti itu. Peralihan daripada kumpulan ulama kepada golongan muda dan profesional, bukan satu masalah bagi mereka.

Walaupun tewas, Husam Musa khususnya, masih boleh menarik nasfas lega kerana kegagalan di Pengkalan Pasir bukanlah penolakan total rakyat terhadap kerajaan negeri dan kepimpinan baru PAS.

Bagi BN/Umno pula, kemenangan ini, walaupun indah tetapi ia adalah satu cabaran besar. Kini rakyat Kelantan, khususnya di Pasir Mas, menagih janji. Pengundi di Pasir Mas tentunya mengharapkan pasar baru dan jambatan merentasi jalan keretapi di pekan itu dibina segera dalam tempoh enam hingga 12 bulan dari sekarang.

Mereka akan memantau bila sistem perparitan yang menyebabkan banjir akan dibaiki. Banyak kerja perlu dilakukan oleh kerajaan Pusat di sini.

Universiti Kelantan

Seluruh rakyat Kelantan tidak kira penyokong Umno atau PAS, juga tertanya-tanya selepas ini, bilakah sebuah universiti yang dijanjikan itu akan dibina? Adakah kerajaan Pusat akan membinanya dalam tempoh setahun dua ini atau menunggu hingga berlangsung pilihanraya umum akan datang.

Kalau diikutkan janji Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu waktu berkempen tempoh hari, universiti itu akan dibina serta-merta, sebaik sahaja Pengkalan Pasir jatuh ke tangan BN/Umno.

Menurut Najib, ?Undi BN, dapat universiti....?. Adakah rakyat Kelantan akan diminta mengundi BN/Umno sekali lagi dalam pilihanraya umum akan datang, baru akan dapat universiti tersebut? Kita tunggu bila janji ini akan dilaksanakan. Tekanan untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan menunaikan segala janji manis, kini menunggu BN/Umno.

Umno sebenarnya tidak boleh selesa dan berpuas hati dengan keputusan ini. Ia bukan isyarat sebenar kehendak rakyat Kelantan kerana margin yang membezakan kedua-dua parti terlalu kecil. Umno memenangi Pangkalan Pasir dalam pilihanraya kecil sedangkan senario pada pilihanraya umum berbeza.

Oleh itu barisan kepimpinan Umno Kelantan tidak boleh terlalu khayal dengan angan-angan untuk mengambillaih negeri Cik Siti Wan Kembang itu dalam pilihanraya umum akan datang. Tidak dinafikan kerajaan Kelantan kini goyah tetapi kalau Datuk Annuar Musa, Datuk Awang Adek Husin, Datuk Mustapha Mohamad dan para penyokong mereka terlalu yakin, dibimbangi hasrat mereka tidak kesampaian nanti kerana politik rakyat Kelantan penuh teka teki.

Namun kita akui peluang Umno menguasai Kelanatan kini memang semakin cerah. Silap hari bulan, mereka tidak perlu menunggu hingga ke 2008 atau 2009 untuk mengambilalih tampuk pemerintahan negeri Kelantan. Dalam politik, apa sahaja boleh berlaku. Lompat melompat parti, beli membeli kerusi, tikam belakang dan sebagainya, boleh berlaku pada bila-bila masa.

Adakah apa yang dikatakan sebagai ?gentleman aggrement? antara PAS dan Umno yang diusahakan oleh Husam dan Khairy Jamaluddin selepas pilihanraya umum 2004 lalu akan terus digunapakai?

Tidak terdorongkah nafsu pemimpin Umno Kelantan untuk melanggar ?perjanjian? itu memandangkan mereka hanya memerlukan satu kerusi sahaja lagi untuk menumbangkang kerajaan Nik Aziz? Mungkinkah politik Kelantan akan terus bergolak dengan pelbagai kejutan dan drama?

Kelantangan Annuar

Pilihanraya kecil Pengkalan Pasir juga meninggalkann kesan besar kepada tokoh-tokoh Umno negeri itu, terutamanya bagi Annuar selaku pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri. Kempen pilihanraya ini menyerlahkan kelemahan beliau.

Dalam keghairahan untuk merampas kerusi Pengkalan Pasir, beliau membuat beberapa kesilapan besar. Cabarannya supaya DUN Kelantan dibubar jika PAS tewas, menyerlahkan kecetekannya mengenai undang-undang pilihanraya Malaysia.

Beliau terpaksa menutup mulut berhubung isu berkenaan selepas ditegur oleh Suruhanjaya Pilihanraya dan ?bos? nombor satunya, Pak Lah. Kelantangannya mencabat Nik Aziz menyebabkan beliau menjadi sasaran serangan kempen PAS, hinggakan penduduk Pengkalan Pasir diberitahu bahawa pertandingan kali ini bukan lagi antara PAS dengan BN/Umno tetapi PAS lawan Annuar.

Para pengundi diingatkan, jika Umno menang, Annuar akan jadi Menteri Besar Kelantan. Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu diserang hebat dengan isu penyelewangan dalam Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) hingga beliau dianggap sebagai liabiliti pada BN/ Umno dan terpaksa ?di-low profile-kan? peranannya dalam kempen pilihanraya itu.

Kalangan pemerhati politik menyifatkan Annuar gagal menjadikan Pengkalan Pasir medan untuk membuktikan kredibiliti dan kemampuan kepimpinannya. Bagi mereka Annuar gagal dalam ujian pertamanya itu.

Pemerhati dan ahli-ahli Umno membandingkan kemampuan Tok Pa menerajui Umno Kelantan dalam pilihanraya umum lalu hingga berjaya memenangi 21 kerusi, dengan kesilapan Annuar di Pengkalan Pasir. Malah mereka menganggap Annuar akan terus menjadi liabiliti dalam usaha-usaha Umno untuk mengukuhkan pengaruh di negari itu selepas ini.

Keputusan pilihanraya kecil Pengkalan Pasir juga dikatakan menjadi talkin politik bagi Datuk Ibrahim Ali. Kekalahan hulubalang Pasir Mas ini bersama wang depositnya, sekali dilihat sebagai isyarat bahawa taring bekas pemimpin Umno itu sudah tumpul.

Ramai pemerhati meramalkan Ibrahim tidak relevan lagi dalam politik Kelantan selepas ini. Masa untuk beliau bersara sudah tiba. Namun semua orang tahu, Ibrahim adalah ?pakar lompat parti?. Bagaimana kalau beliau diterima memasuki PAS atau Parti Keadilan Rakyat selepas ini?

Sukar untuk menelah sepak terajang politik ?raja lompat? ini. Orang macam beliau boleh hidup di mana-mana dan dalam keadaan apa-apa sahaja.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59