Wednesday, 7 December 2005

KEMENANGAN BN PENUH KONTROVERSI



PASIR MAS 7 Dis. - Seperti diduga BN yang menggunakan pelbagai taktik yang diragui akhirnya diumumkan sebagai pemenang pilihanraya kecil Pengkalan Pasir malam tadi. Walaubagaimanapun keputusan rasmi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir hanya akan diketahui pagi esok selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini memutuskan supaya kiraan undi dilakukan semula.

Dalam kiraan pertama yang dijalankan malam ini, calon Barisan Nasional (BN) Hanafi Mamat menang tipis setelah memperoleh 7,419 undi, manakala calon Pas Hanifa Ahmad mendapat 7,290 undi dan calon Bebas Datuk Ibrahim Ali, 414 undi.

Majoriti yang diperoleh Hanafi ialah 129 undi.

Sebanyak 160 lagi undi rosak dengan jumlah keluar mengundi 83.04 peratus atau 15,273 orang pengundi.

Menurut peraturan SPR, mana-mana keputusan pilihan raya yang majoritinya tidak mencapai 2 peratus daripada jumlah pengundi yang keluar mengundi, kiraan semula perlu dilakukan.

Kiraan semula akan dijalankan pada pukul 10 pagi esok di Dewan Sekolah Menengah Sultan Ibrahim (I) di sini.

Keputusan pengiraan semula itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Halim Ahmad kira-kira pukul 9.20 malam ini.

Difahamkan kiraan semula itu hanya akan dibuat esok atas faktor-faktor keselamatan berikutan kehadiran ribuan penyokong kedua-dua parti di luar pusat pengumpulan undi di dewan sekolah itu malam ini.

Walaupun kiraan semula dilakukan, para pemerhati meramalkan keputusan itu tidak akan banyak berubah.

Jika itu berlaku, ia bermakna BN akan merampas kerusi DUN Pengkalan Pasir yang dikuasai Pas sejak 15 tahun lalu, sekali gus meletakkan kerajaan negeri berada dalam keadaan genting.

Jika BN menang, Pas akan memiliki 23 kerusi manakala BN 22 kerusi.

Dalam pilihan raya umum lalu Pas kembali memerintah selepas menguasai 24 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan.

Bagaimanapun keadaan berubah apabila wakil rakyatnya di Pengkalan Pasir, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar meninggal dunia 31 Oktober lalu kerana kanser hati.

Beberapa kontroversi berlaku pada malam sebelum pengundian dan semasa pengundian. Antaranya penahanan 20 buah bas yang membawa penumpang dari luar Kelantan yang ada antara mereka mengaku untuk mengundi dalam pilihanraya tersebut.

Manakala dalam kes di berasingan, petugas polling agent PAS mengesan 3 pengundi yang telah meninggal dunia tetapi datang mengundi dan terdapat satu kes di mana seorang pengundi yang datang untuk mengundi tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana dikatakan telah membuang undi sebelum itu.

"Ini adalah antara 'penipuan' yang dapat dikesan, bagaimana dengan kes yang tidak dapat dikesan", soal seorang petugas PAS Melaka yang tidak mahu dikenali.

Sementara ramai pemerhati politik menggesa SPR supaya menyiasat segala laporan dan kes kontroversi di atas walaupun mungkin tiada laporan rasmi diterima. Ini penting untuk memastikan ketelusan sistem pilihanraya di negara kita tidak dipertikaikan.

SPR juga diminta membenarkan pemerhati bebas antarabangsa dan pemerhati tempatan untuk menjadi pemerhati bebas dalam pilihanraya umum atau kecil. "Apa yang ditakuti oleh SPR jika tiada penipuan dilakukan", soal seorang pemimpin Dewan Pemuda PAS peringkat kawasan yang juga tidak mahu dikenali.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59