Friday, 2 December 2005

KADIR SHEIKH FADZIR PERLU CERMIN DIRI SEBELUM HENTAM KELANTAN



PASIR MAS, 2 Dis - Menteri Penerangan, Dato' Abdul Kadir Sheikh FAdzir diingatkan supaya cermin muka beliau sendiri dahulu sebelum menghentam kerajaan negeri Kelantan. Gesaan ini dibuat oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Khairuldin Ismail.

Bernama melaporkan hari ini bahawa, Kadir mengesyorkan kepada PAS, yang menguasai kerajaan negeri Kelantan supaya memberi laluan kepada BN untuk memerintah negeri ini jika PAS sayangkan rakyat Kelantan kerana katanya PAS gagal membangunkan negeri tersebut. Beliau berkata demikian ketika melawat gerakerja jentera BN di Kg Slow Machang di sini hari ini.

Kadir dalam kenyataannya juga menuduh bahawa PAS telah mengelirukan rakyat dengan menyatakan bahawa pembangunan adalah tanggungjawab kerajaan negeri.

Khairuldin dalam kenyataannya ketika mengulas isu ini membidas kenyataan Kadir ini kerana katanya negeri Kedah juga lebih mundur dari Kelantan. Hutang negeri Kedah kepada Kerajaan Pusat juga lebih besar dari Kelantan. Malah Khairul memberikan satu contoh bahawa terdapat beberapa keluarga di Kulim yang sehingga ke hari ini belum mendapat kemudahan air bersih di kampung tersebut walaupun ianya tidak jauh dari kawasan perindustrian Kulim. Kampung terbabit ini terletak dalam kawasan parlimen Kulim-Bandar Bharu di mana ahli Parlimennya adalah Kadir sendiri.

Malah baginga Sultan Kedah pernah bertitah di DUN Kedah baru-baru ini menyatakan banyak kampung di Kedah belum cukup kemudahan asasnya. Berita-berita yang dinyatakan di atas disiarkan di dalam akhbar pro-Umno bukannya Harakah, tegas Khairuldin.

" Cermin diri dulu sebelum bercakap" kata Khairuldin yang juga merupakan bekas pimpinan pelajar di salah sebuah universiti di utara tanah air.

"Janganlah Kadir mencari publisiti murahan untuk mempopular dirinya setelah tewas dalam perebutan jawatan MKT Umno tahun lepas" sindir Khairuldin lagi.


HANYA KEAJAIBAN AKAN MEMENANGKAN SAYA - IBRAHIM ALI



KOTA BAHARU,2 Dis -- Hanya keajaiban yang akan memenangkan saya. Itulah kata-kata Datuk Ibrahim Ali, calon Bebas Pilihanraya Kecil Pengkalan Pasir seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

"Kemenangan sudah pasti adalah keajaiban kerana saya sebagai calon bebas yang bertanding 3 penjuru sedar bahawa saya berhadapan dengan BN yang di bantu oleh kerajaan pusat dan PAS yang di sokong oleh kerajaan negeri," kata beliau ketika ditemui oleh wartawan Bernama di rumahnya dekat Wakaf Bharu semalam.

Ibrahim yang bertanding menentang Hanifa Ahmad dari PAS dan Hanafi Mamat dari BN, di mana kedua-dua calon tersebut mendapat sokongan padu dari jentera parti masing-masing. Lebih-lebih lagi Hanafi yang dilihat disokong oleh jentera kerajaan pusat yang disalahgunakan oleh BN.

"Saya mahu meneruskan khidmat saya kepada rakyat di mana kerusi DUN boleh dijadikan platfom untuk tujuan tersebut, " kata beliau.

Dalam pilihanraya umum lalu Ibrahim yang bertanding sebagai calon bebas bagi Parlimen Pasir Mas memperolehi 6,198 undi. Pemenang kerusi tersebut YB Us Ismail Noh memperolehi 17,526 undi manakala calon BN, Dato' Abdul Rahim Abdul Rahman memperolehi 16,275 undi.

Pembuangan undi akan dijalankan pada 6 Disember ini.


NAJIB RAGU-RAGU KEUPAYAAN BN. TETAP BERKAMPUNG DI PENGKALAN PASIR



PASIR MAS, 2 DIS - Oleh kerana ragu-ragu dengan keupayaan jentera BN Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak terpaksa berkampung di Pengkalan Pasir. Nampaknya setiap hari Najib terpaksa berulang-alik ke Pengkalan Pasir walaupun sibuk dengan tugas resmi kerajaan.Ini jarang sekali berlaku kerana dalam pilihanraya kecil sebelum ini Najib tidak pernah 'berkampung' di kawasan pilihanraya seperti yang dilakukan sekarang.

Hari ini Bernama melaporkan bahawa Najib sekali lagi mengingatkan jentera BN supaya tidak mengambil mudah akan pilihanraya kecil ini. Beliau berkata demikian ketika berucap kepada 150 petugas BN di Kg Dangar dekat sini.

Najib berkata " Saya tidak mahu kita mengambil jalan mudah. Kita mesti merasakan bahawa pilihanraya kecil ini adalah pilihanraya yang penuh dengan cabaran dan ujian besar kepada BN".

Nampak jelas sekarang ini pemimpin semakin hari semakin gelabah sehingga diberitakan BN terpaksa menukar 'drebar' apabila melantik Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Mohamad Mohd Taib menggantikan Dato' Seri Annuar Musa untuk mengetuai jentera kempen BN.

Sebaliknya jentera PAS sentiasa tenang dan terus menjalankan kempen mereka seperti biasa.


PAK LAH TAK PAYAH KEMPEN DI PG PASIR. ANNUAR MUSA ANGKUH



PENGKALAN PASIR, 2 Dis - Ramai pemerhati politik dan pengundi-pengundi di Pengkalan Pasir menyifatkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa sebagai angkuh dan sombong. Semalam Annuar berkata, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak perlu datang berkempen di Pengkalan Pasir kerana Perdana Menteri sibuk dengan tugas-tugasnya.

Katanya lagi, Pak Lah tidak perlu datang kerana semua pengundi di Dun Pengkalan Pasir akan menyokong calon Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil kali ini.

Annuar mengeluarkan kenyataan itu ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Banggol Chicha semalam.

Menurut Annuar, semua pengundi dalam pilihan raya kecil Dun Pengkalan Pasir ini akan mengundi calon BN sekaligus merampas kerusi tersebut.

Ini kerana, katanya sokongan rakyat Kelantan telah berpihak kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) sekarang apabila semua pengundi di peti undi Lubuk Aching dan Banggol Chicha menyokong BN.

Begitulah sombong dan angkuhnya Annuar Musa apabila mendakwa bahawa SEMUA PENGUNDI Lubuk Aching dan Banggol Chiha akan menyokong BN.

Seorang peniaga Farmasi di Pekan Pasir Mas yang tidak mahu dikenali yang juga merupakan pengundi di Banggol Chica menyatakan adalah mustahil untuk BN memperolehi semua undi dari Banggol Chica. Sebagai contoh katanya semua keluarga terdekat adalah ahli dan penyokong PAS. "Annuar jange kkecek ikut sedap mulut dio jah" kata beliau dalam loghat Kelantan yang pekat.

Seorang penyokong PAS dari Melaka, Buniyamin Ramli berkata, "itulah sikap sebenar kebanyakan pemimpin BN yang angkuh dan bercakap besar. Rakyat mestilah menolak pemimpin seperti ini", tegas beliau.


PENGUNDI PENGKALAN PASIR BAGAIKAN RAJA



PASIR MAS 2 Dis. - Pengundi-pengundi Pengkalan Pasir bagaikan raja apabila pemimpin-pemimpin negara datang 'menyembah' mereka demi kerana undi.

Semalam seorang warga emas, Zainab Omar, 83, dilawati oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di rumahnya di Pondok Tok Guru Haji Abdul Ghani, Dusun Nyior, Kubang Bemban, di sini.

Perdana Menteri bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, Hanafi Mamat dan rombongannya meluangkan masa kira-kira 20 minit di rumah Zainab sempena lawatan beliau ke kawasan berkenaan.

Zainab yang merupakan penghuni lama pondok pengajian agama itu, berkata inilah kali pertama keluarganya menerima tetamu, seorang pemimpin negara dalam sejarah hidupnya sejak 80 tahun lalu.

Masa sebeginilah pemimpin-pemimpin sedar bahawa rakyat sangat berkuasa tetapi bila mereka menang keadaan akan jauh berubah. Mereka sanggup merobohkan rumah rakyat seperti yang berlaku di RTB-RTB di Terengganu, mereka sanggup menaikkan harga minyak sampai 2 kali dalam setahun, mereka sanggup menggelapkan wang PPRT dan sebagainya.

Itulah perangai pemimpin Umno yang sepatutnya difahami oleh pengundi Pengkalan Pasir. Jangan harap mereka ini datang 'menyembah' kita kalau mereka sudah berkuasa.


BETAPA LEMAHNYA PEMERINTAHAN PAK LAH. SATU DEMI SATU KEPINCANGAN TERSERLAH


MELAKA 2 Dis. - PAS Kawasan Bukit Katil berasa amat kesal dengan kelemahan demi kelemahan yang berlaku di era pemerintahan Islam Hadhari pimpinan Pak Lah.

Setelah kita dikejutkan dengan kerugian besar syarikat-syarikat GLC hari ini media massa negara ini melaporkan bahawa terdapat 50,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari China tidak dapat dikesan.

Pak Lah telah mengarahkan semua kontinjen polis negeri menggerakkan operasi berskala besar bagi memburu kira-kira 50,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) China dan warganegara lain yang masih bersembunyi di negara ini, berkuat kuasa serta-merta.

Isu ini merupakan suatu isu yang sangat memalukan negara kita kerana ianya melibatkan isu keselamatan. Ini menggambarkan kepada kita betapa lemah sistem penguatkuasaan pihak keselamatan dalam negara kita. Bagaimana pendatang yang sebegitu ramai gagal dikesan oleh pihak keselamatan sering didakwa sebagai antara yang terbaik di dunia.

Sebuah akhbar arus perdana keluaran 20 Februari 2004 dalam laporan utama muka depan pernah menyiarkan berita mengenai seramai 271,000 warga China dan India yang datang ke negara ini sepanjang tahun 2003 didapati tinggal lebih masa dan pihak berkuasa sedang mengesan mereka.

Berita itu memetik Ketua Pengarah Imigresen Datuk Jamal Kamdi sebagai berkata dari pemantauan awal yang dibuat jabatan itu, seramai 185,000 daripadanya merupakan rakyat China dan 86,000 lagi warga India.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris pula minggu lalu turut mendedahkan fenomena yang sama mengenai kehilangan 50,000 pelancong China di negara ini setelah visa mereka tamat tempoh.

PAS Kawasan Bukit Katil bimbang dengan situasi yang ada sekarang kerana jika perkara sebegini boleh berlaku dengan senang mungkin ianya menggalakkan lebih ramai PATI datang ke sini kerana mereka mengetahui sistem negara kita adalah lemah dan longgar.

Apa yang dikesalkan ialah pihak keselamatan sering menumpukan kerja-kerja mereka yang remeh seperti menghalang ceramah pembangkang, mengganggu program-program demonstrasi pelajar, menyiasat pimpinan-pimpinan pembangkang dan sebagainya, sehingga mereka kehilangan fokus terhadap perkara-perkara besar seperti ini.

Sudah sampai masanya kerajaan membuat post mortem terhadap tugas pasukan keselamatan yang kita lihat seolah-olah kehilangan arah. Jenayah semakin meningkat, penyalahgunaan dadah meningkat, rasuah meningkat, gejala sosial meningkat tetapi langkah yang berkesan gagal diambil oleh pihak keselamatan dan kerajaan.

Mana perginya Islam Hadhari yang dilaung-laungkan oleh Pak Lah. Jangan sibuk berkempen di Pengkalan Pasir sahaja sehingga tugas-tugas resmi ditinggalkan.

Kenyataan di atas telah dihantar ke blog ini oleh Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil - Hamzah Yusof


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59