Monday, 21 November 2005

Umno PERHEBAT TAKTIK KOTOR MEREKA. PAS MESTI WASPADA



BACHANG 21 NOV : Setelah Umno mendakwa beratus-ratus ahli dan penyokong PAS masuk Umno Sabtu lalu, Ahli Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat PKR, Dr Badrul Amin Baharon menceritakan bahawa Umno memperhebatkan taktik kotor mereka di Pengkalan Pasir. Kali ini beliau menceritakan bahawa Umno cuba 'merampas' Kad Pengenalan warga emas dengan menjanjikan hadiah lumayan kepada sesiapa yang menyerahkan kad pengenalan kepada Umno. Kad Pengenalan akan dipulangkan bersama hadiah lumayan itu kemudian.

Beliau yang bersama-sama berceramah dengan Tok Guru Nik Aziz semasa majlis perasmian Markaz Besar PAS DUN Pengkalan Pasir malam 18 November lalu menyatakan demikian ketika ditemui di sini petang sabtu lalu.

Taktik mereka ini dapat dicium oleh petugas PAS/BA di mana sebahagian dapat diambil kembali manakala sebahagian tidak berjaya kerana tuan empunya diri tidak mahu mengambilnya.

Satu lagi taktik 'tradisional' mereka ialah menyogok pengundi dengan wang. Difahamkan Umno memperuntukkan RM 1 juta bagi setiap UPU. Jadi dengan sendirinya jumlah minima yang mereka akan belanjakan dalam pilihanraya kecil sebanyak RM10 juta. Dr. Badrul Amin membuat kenyataan di atas semasa menyampaikan ceramah beliau pada program jamuan Aidil Fitri PKR Bahagian Bukit Katil bersama PAS Cawangan Solok Baroh, Bachang.

Dari mana mereka dapat wang ini? Mustahil Umno akan ada wang sebanyak ini 'kalau tidak ada udang di sebalik mee'.

Beliau mengharapkan seluruh penyokong BA dapat mengerjakan solat hajat dan berdoa semoga Calon PAS menang dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir nanti.

Selain itu Dr Badrul Amin juga mahu penyokong BA juga diminta supaya menginfaqkan diri dan wang mereka demi untuk memenangkan PAS dalam Pilihanraya ini.

PKR katanya akan turun habis-habisan di Pengkalan Pasir. Penasihat PKR, Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail sendiri akan mula 'turun' ke Pengkalan Pasir bermula 27 November ini.

Umno sekarang ini susah hati sebab dari risikan Polis Anwar berupaya menarik 15-20 % undi Umno manakala Ibrahim Ali berupaya memperolehi 8-10 % undi Umno jika beliau bertanding. Ini yang memeningkan kepala Umno kata Dr. Badrul Amin yang juga bekas 'graduan' ISA.


BELUM TENTU BN MENANG SEMULA KALAU PILIHANRAYA KECIL DIJALANKAN



Kota Bharu 21 Nov : Naib Presiden PAS, Husam Musa menegaskan bahawa belum tentu kerusi yang YB BN wakili sekarang dapat dipertahankan mereka jika berlaku pilihanraya semula.Demikian kenyataan Husam dipetik dari sebuah akhbar harian hari ini.

Katanya, PAS menyambut baik kesediaan 21 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Kelantan untuk meletak jawatan, tetapi menegaskan majoriti kerusi tersebut dimenangi Umno dengan majoriti di bawah 100 undi.

Sebelum itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa dalam kenyataan kepada sebuah stesyen TV berkata kesemua 21 wakil rakyat BN bersetuju untuk meletak jawatan 1 Disember ini dengan syarat langkah itu turut diambil wakil rakyat PAS.

Sehubungan itu, Husam yang juga Exco Negeri Kelantan dan ADUN Kijang berkata, kenyataan Annuar merupakan satu cara menutup isu pembubaran dewan yang dimainkan BN sebelum ini.

"Saya kira Umno cuba cari jalan keluar secara terhormat untuk menutup cabaran supaya DUN Kelantan dibubarkan. Dengan meletak syarat (wakil rakyat PAS juga letak jawatan), kami faham Umno (Annuar Musa) sudah rasa takut untuk membuktikan mereka mendapat sokongan yang bertambah,” katanya.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darul Naim, Kota Bharu semalam, Husam berkata, PAS menyambut baik kesediaan wakil BN itu untuk meletak jawatan sambil menyifatkan ia perkara yang sememang perlu dilakukan.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, BN perlu membuktikan mereka menang semula pada pilihanraya semula yang akan diadakan di kawasan berkenaan dengan majoriti yang lebih banyak berbanding pada pilihanraya umum 2004.

"Sekiranya BN dapat membuktikan mereka mendapat sokongan lebih kuat daripada rakyat, dapat majoriti lebih banyak, kami (PAS) akan letak jawatan dan bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebagaimana yang mereka mahukan," katanya.

Beliau berkata, walaupun mungkin berlaku ketidakstabilan dalam pimpinan kerajaan Kelantan berikutan majoriti yang terlalu tipis sekiranya Umno dapat menawan kerusi Pengkalan Pasir 6 Disember ini, tetapi banyak lagi cara lain yang boleh digunakan untuk menstabilkannya selain daripada mengadakan pilihanraya semula.

Pilihanraya kecil Pengkalan Pasir diadakan berikutan kematian wakil rakyat DUN itu dari PAS, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar, 55, akibat penyakit kanser hati.

Kedudukan Dewan Negeri Kelantan berikutan kematian wakil rakyat itu ialah 23 kerusi bagi PAS dan 21 bagi BN.


PEMIMPIN ENGKAR HUKUM TUHAN. PETRONAS TIDAK PERNAH BAYAR ZAKAT


PETRONAS TAK PERNAH BAYAR ZAKAT

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Mohamad mengakui bahawa Petroleum Nasional Berhad (Petronas) tidak pernah membayar zakat kepada mana-mana badan agama negeri atau pihak yang layak menerima zakat.

Apalah malangnya negara kita yang mengamalkan ?Islam Hadhari? ini tetapi ingkar terhadap hukum tuhan yang mewajibkan zakat perniagaan. Rakyat kerdil yang terpaksa membanting tulang dipaksa untuk membayar cukai dan zakat tetapi syarikat gergasi yang dipunyai oleh kerajaan ini tidak diarah supaya membayar zakat. Apakah ajaran Islam Hadhari tidak mewajibkan syarikat seperti ini membayar zakat. Inilah nasibnya kita bila mengangkat orang yang tidak faham agama atau buat-buat tidak faham agama memerintah Negara.

Sebaliknya Mustapha berkata, Petronas hanya membuat pembayaran cukai syarikat dan cukai pendapatan petroleum kepada kerajaan.

"Petronas yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat adalah sebuah syarikat milik penuh kerajaan melalui Menteri Kewangan diperbadankan dan membayar cukai keuntungannya seperti syarikat lain," katanya.

Menurut laporan Bernama, Mustapha berkata, kerajaan menyerahkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi menentukan sama ada perlu atau tidak bagi syarikat Petronas membayar zakat perniagaan.

Katanya, setakat ini jawatankuasa itu belum membuat keputusan sama ada wajib atau tidak bagi Petronas membayar zakat berkenaan.

Apakah perkara qat'i seperti zakat ini kena tunggu jawatankuasa fatwa buat keputusan. Seperti yang kita tahu zakat ini perkara jelas dan tidak ada khilaf lagi. Dari mana pemimpin Islam Hadhari belajar semua ini.

"Jawatankuasa fatwa sedang mengumpul maklumat mengenai Petronas," katanya ketika menjawab soalan Dr Mohamed Hayati Othman (PAS-Pendang) mengenai jumlah zakat perniagaan yang dibayar Petronas pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kita berasa hairan berapa lama lagi Jawantan kuasa fatwa kebangsaan nak kumpul maklumat. Sedang Petronas telah dibentuk sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Fatwa pun sudah bertukar tangan beberapa kali.

Mustapa berkata sejak mula beroperasi sehingga tahun kewangan berakhir 31 Mac tahun ini, sebanyak RM110.8 bilion disumbangkan oleh Petronas dalam bentuk cukai kepada kerajaan.

"Sumbangan ini adalah dalam lingkungan 45 peratus daripada sumbangan Petronas kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata sumbangan lain adalah dalam bentuk dividen iaitu sebanyak 30 peratus, royalti 20 peratus dan duti eksport lima peratus.

Kita mengharapkan pengundi-pengundi Pengkalan Pasir dapat merenung perkara ini. Soal Zakat yang menjadi rukun Islam sanggup dipermainkan oleh Umno. Kalau mereka pilih juga Umno dalam pilihanraya 6 Disember ini kita pun tak tahulah. Sepatutnya Umno boleh hilang deposit dengan segala isu agama dan penyelewengan yang dilakukan mereka.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59