Friday, 18 November 2005

OGHE CINO SOKONG PAS, LAGU MANO OGHE MELAYU



Apabila Islam berkesempatan untuk memerintah maka sudah pasti terserlah keadilan dan keterbukaan Islam. Inilah yang dapat dilihat oleh rakyat bukan Islam Kelantan dan Terengganu. Tetapi yang menjadi masalah sekarang ialah orang Islam sendiri yang tidak nampak keadilan Islam. Jika tidak masakan pengundi yang terdiri dari orang Islam dan Terengganu serta diseluruh negara amnya tergamak memilih calon-calon BN dalam setiap kali Pilihanraya.

Keadilan Islam telah direalisasikan oleh Kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu (1999-2004)apabila rakyat bukan Islam dibenarkan bebas menjalankan upacara agama mereka, bebas berniaga, diberi hak memiliki tanah, pendidikan mereka dibantu, kesusahan mereka dibela malah kalangan mereka juga dilantik menjawat jawatan seperti ahli majlis daerah, penghulu dan sebagainya. Di Kelantan kaum Tionghua dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri iaitu Dato' Anuar Tan.

Di Terengganu juga demikian, apabila Ng Chai Hing dilantik menjadi pembantu khas kepada bekas MB Terengganu ketika PAS memerintah Terengganu dulu. Malah Ng Chai Hing sanggup keluar dari DAP dan menyertai KEADILAN selepas DAP tidak bersetuju dengan tindakannya menyokong Kerajaan PAS/BA di Terengganu.

Maka strategi perang saraf yang digunakan oleh jentera pilihanraya PAS DUN Pengkalan Pasir amat tepat dan ianya sedikit sebanyak menyedarkan orang Islam bahawa pengundi bukan Islam telah mula sedar keadilan Islam. Inilah yang merunsingkan Umno terutamanya Dato' Seri Annuar Musa yang terpaksa mengeluarkan kenyataan seolah-olah PAS menggunakan slogan yang menyentuh sensitiviti perkauman iaitu beliau meminta Umno supaya tidak terlibat dengan pemasangan banner yang berunsur perkauman.

Annuar mengeluarkan kenyataan itu ketika ditemubual oleh RTM di Pasir Mas untuk siaran Berita Perdana 8 malam.

Apakah slogan yang digunakan oleh PAS pada banner yang dipasang di Pengkalan Pasir iaitu 'Oghe Cino Sokong PAS, Lagu Mano Demo Oghe Melayu' berbau perkauman.

Saya tidak nampak apa di mana salahnya slogan ini. Pada saya ianya langsung tidak berbau perkauman. Ia hanya pertanyaan yang menunjukkan bahawa orang cina menyokong PAS, bagaimana pula orang melayu. Itu maknanya slogan ini.

Adakah kerana Umno tidak menjawab perang saraf PAS ini, maka Umno menyatakan ianya berbau perkauman.

Kejayaan PAS menarik sokongan pengundi cina di Pengkalan Pasir meresahkan Annuar Musa dan konco-konconya. Masyarakat cina telah mula sedar akan keterbukaan dan keadilan kerajaan PAS Kelantan. Orang-orang cina, siam dan india dilantik menjadi Penghulu, Ahli Majlis Daerah serta lain-lain.

Annuar Musa nampaknya tenggelam punca untuk menjawab isu ini. Lantas menggunakan alasan perkauman untuk menghentikan perang saraf PAS ini. Keresahan Annuar lebih terserlah selepas PAS berjaya mendirikan Markaz Penyokong PAS dikalangan kaum tionghua di Pasir Mas.

Oleh : SOFIWAHAB


1,000 ORANG SAMBUT TOK HENG



Kota Bharu 18 Nov : Seramai 1,000 orang penyokong Tok Heng menyambut beliau sekembalinya beliau dari Belanda, melawat anaknya. Kesudian penyokongnya yang ramai ini menunjukkan bahawa Tok Heng masih berpengaruh. Tok Heng berkata bahawa beliau sempat menulis suatu makalah menceritakan mengapa beliau akan bertanding dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir nanti.

Kepada Dato' Seri Annuar Musa anda mempunyai 9 hari lagi untuk memujuk Tok Heng supaya tidak bertanding. Bagi Tok Guru faktor Tok Heng tidak banyak memberi kesan. Samada Tok Heng masuk bertanding atau tidak, ianya tidak memberi 'bekas' kepada PAS.

SELAMAT MENCUBA DATO' SERI ANNUAR MUSA.


BAGINDA SULTAN DEDAHKAN BANYAK TEMPAT BELUM ADA KEMUDAHAN ASAS DI KEDAH



Melaka 18 Nov : Harakahdaily hari ini melaporkan bahawa disaat Umno/BN menghentam Kelantan yang kononnya mundur tiada kemudahan, Sultan Kedah, Tuanku Sultan Abdul Halim Mua'adzam Shah hari ini menyuarakan rasa hati rakyat yang selama ini masih belum menikmati beberapa kemudahan asas di kampung-kampung.

Seterusnya baginda juga menegur bahawa terdapat kawasan penempatan rakyat terutamanya golongan nelayan yang terdedah kepada ancaman hakisan dan ombak besar serta perlunya kerajaan Kedah membuat perubahan drastik dalam kaedah menyalurkan bantuan kepada goilongan yang memerlukan.

Tuanku Sultan Kedah bertitah demikian ketika mencemar duli merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Bajet Kedah 2006 di Wisma Darul Aman, di sini.

Titah baginda, "walaupun peruntukan untuk prasarana luar bandar telah disediakan selama ini, namun Beta masih mendengar keluhan rakyat di kawasan tertentu yang belum dapat menikmati kemudahan jalan kampung dan lampu jalan di dalam kawasan masing-masing.

"Oleh itu Beta berharap supaya isu ini diteliti agar tiada lagi kampung yang tidak memiliki prasarana asas."

Menyentuh pembelaan terhadap golongan nelayan baginda bertitah," Beta sukacita di atas usaha Kerajaan Negeri untuk memoden dan mempelbagaikan aktiviti perikanan bagi meningkatkan pendapatan nelayan.

"Golongan ini perlu dibela kerana mereka tergolong di dalam kumpulan berpendapatan rendah dan mendiami di kawasan yang belum mempunyai prasarana yang sempurna.

Beta mendapat maklum terdapat kawasan penempatan nelayan yang terdedah kepada ancaman hakisan dan ombak besar.

"Beta berharap Kerajaan Negeri dapat menyediakan tapak perumahan yang baru dan selesa kepada golongan ini bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku, langkah ini juga akan dapat meningkatkan taraf hidup keluarga nelayan di masa hadapan."

Selain itu, titah ucapan Tuanku Sultan Kedah kali ini juga menyeru agar dibuat perubahan yang lebih sistematik ke atas kaedah penyaluran bantuan agar golongan termiskin dapat dibasmi sepenuhnya menjelang tahun 2009.

"Antaranya ialah penubuhan pengkalan data mengenai Program Rakyat Termiskin di Peringkat Negeri bagi tujuan mendaftar keluarga termiskin, mengesan kedudukan sosioekonomi dan menyalurkan bantuan yang diperlukan," sambung baginda lagi.

Nampaknya 'pekung' BN dibuka sendiri oleh Sultan Kedah yang sememangnya terkenal dengan sikap prihatin baginda kepada rakyat. Kalau nak diharapkan pimpinan Umno/BN bercerita masalah seperti jauh sekali. Mereka akan tetap menyatakan bahawa Kedah negeri maju tidak ada masalah. Semua kampung telah mempunyai kemudahan asas. Tetapi semalam pekung mereka terbuka luas.

Diharapkan pimpinan rakyat Kelantan sedar akan perkara ini. Malah di Pengkalan Pasir semua kemudahan asas telah disediakan atau sedang dirancangkan oleh kerajaan negeri dan pusat seperti kenyatan yang dibuat oleh Husam Musa semalam.

DAULAT TUANKU.


BUKAN HANYA SISWAZAH DI PASIR MAS YANG MENGANGGUR TETAPI 60,000 YANG MENGANGGUR SEKARANG



MELAKA 18 Nov : Laporan sebuah akhbar harian hari ini sememangnya tidak adil dan berniat jahat terhadap Kelantan. Dalam laporan tersebut dinyatakan bahawa beberapa orang siswazah yang berasal di Pasir Mas masih tidak mempunyai kerja walaupun telah lama menamatkan pengajian. Antaranya ialah Nini Harlina Abdul Halim, 27 yang berkelulusan ijazah Tekonologi Maklumat (IT) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Menurutnya, dia tidak dapat berhijrah ke luar kerana keluarganya uzur. Seorang lagi beliawanis, Nurazila Jaafar, 35, berkata berikutan sukar mendapat pekerjaan ramai di sekitar Pasir Mas khususnya Dun Pengkalan Pasir terpaksa berhijrah.

Rakyat Pengkalan Pasir dan Malaysia amnya harus sedar bahawa sekarang ini bukan hanya siswazah di Pasir Mas yang tiada kerja tetapi 60,000 siswazah di Malaysia tidak bekerja. Jadi janganlah memutarbelitkan isu. Masalah pengangguran ini bukannya masalah yang gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri sahaja tetapi ianya adalah masalah nasional di mana kerajaan Malaysia gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada siswazah kita.

Manakala masalah penghijrahan siswazah luar bandar ke bandar bukannya berlaku sekarang sahaja tetapi ianya berlaku sejak sekian lama. Malah sebelum PAS memerintah Kelantan pun sudah ramai orang Kelantan yang berhijrah ke negeri lain. Hijrah ini sudah menjadi perkara biasa bagi orang Kelantan. Adakah orang dari negeri lain tidak berhijrah? Itu persoalannya.

Nampaknya hasrat Pak Lah untuk melihat demokrasi direalisasikan semasa kempen Pilihanraya Kecil Pengkalan Pasir ini hanya tinggal omongan kosong kerana media massa sejak awal-awal lagi berat sebelah dan hanya menyiarkan berita-berita negatif terhadap PAS.

Pak Lah cuba mengajar ketam berjalan betul sedangkan jentera partinya yang berjalan tidak betul. Tiap-tiap Annuar Musa bercakap supaya berkempen secara berhikmah dan tidak membuat tuduhan melulu. Tetapi TV dan surat khabar yang menjadi 'kuda tunggangan' mereka setiap menaburkan tuduhan dan fitnah kepada PAS.

Rakyat Pengkalan Pasir mestilah faham taktik strategi kotor Umno/BN. Jangan mudah terpedaya dan tertipu.

Kerusi DUN Pengkalan Pasir kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Wan Ab Aziz Wan Jaffar, 55, pada 31 Oktober lalu kerana penyakit barah hati.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 27 November manakala pengundian akan berlangsung 6 Disember nanti.


KU LI SOKONG CALON BN. TAKUT DITUDUH RESTUI TOK HENG BERTANDING



PASIR MAS 17 Nov. - Kalau sebelum ini Ku Li diam membisu tanpa sebarang komen tentang Pilihanraya Kecil Pengkalan Pasir, semalam beliau terpaksa bersuara semata-mata untuk mempertahankan diri beliau. Sebelum ini ada desas-desus kononnya beliau memberi restu kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir, Tok Heng (Datuk Ibrahim Ali) bertanding untuk sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil berkenaan.

Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menegaskan beliau tidak menyokong mana-mana individu selain calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, 6 Disember ini.Sehubungan itu, katanya, beliau akan turun berkempen untuk memastikan kemenangan siapa sahaja calon yang dipilih Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersama-sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Annuar Musa menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Kampung Kubang Pak Amin, Sakar di sini.

Beliau yakin BN berpeluang untuk menang memandangkan ia kalah dengan perbezaan undi kecil pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, peluang cerah tersebut juga kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO kini bersatu-padu bagi memastikan kemenangan di Pengkalan Pasir sebagai simbol rakyat inginkan perubahan.

Tambah Tengku Razaleigh, dengan kekuatan jentera BN sedia ada, tiada alasan untuk BN kalah walaupun berlaku pertandingan tiga penjuru membabitkan calon bebas.

``Bagi saya, sesiapa sahaja boleh bertanding dalam pilihan raya ini kerana kita masyarakat bebas yang mengamalkan demokrasi dan semuanya bergantung kepada kekuatan jentera parti,'' katanya.

Ku Li memang tidak serik-serik lagi. Sepatutnya Ku Li sedar yang beliau sekarang sudah berada di penghujung karier dan tidak mungkin akan diterima oleh ahli Umno lagi. Sepatutnya beliau mestilah merealisasikan pandangan beliau yang akhir-akhir ini dilihat sealiran dengan pembangkang dan Tok Heng.


PAS KAWASAN BUKIT KATIL HANTAR 30 PETUGAS KE PG PASIR



Bukit Katil 18 Nov : Seramai 30 orang petugas dari PAS Kawasan Bukit Katil akan di hantar ke Pengkalan Pasir bermula pada 24 November hingga 28 November ini. Mesyuarat PAS Kawasan malam tadi memutuskan bahawa kontinjen PAS Kawasan akan diketuai oleh NYDP Kawasan, Hj Ali Sharif serta dibantu oleh Hj Salim Tahir.

Semalam Badan Perhubungan PAS Melaka memutuskan bahawa 180 petugas dari Melaka akan dihantar ke sana iaitu 30 orang dari setiap kawasan. PAS Kawasan diperuntukkan tarikh-tarik tertentu bermula 24 Nov hingga 6 Disember.

Setiausaha PAS Kawasan, Bahari Ramly menyeru kepada ahli-ahli PAS di Bukit Katil supaya mendaftar dengan PAS Kawasan jika mereka berminat untuk ke Pengkalan Pasir. Ini penting bagi mengelakkan sebarang masalah ketika mereka berada di Pengkalan Pasir nanti. Difahamkan bahawa semua petugas dari luar Kelantan mesti mendapat pengesahan dari Badan Perhubungan Negeri masing-masing.

Kepada sesiapa yang berminat sila mendatftar diri masing-masing denga menghubungi Pejabat PAS di talian 06-2672239 bermula jam 2.30 hingga 6.00 petang.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59