Thursday, 17 November 2005

PILIHANRAYA KECIL PENGKALAN PASIR MENGUATKAN LAGI KERJASAMA PAS-PKR



KOTA BAHARU, 17 Nov - PAS yakin Pilihanraya Kecil PAS Pengkalan Pasir akan mengukuhkan lagi kerjasama PAS-Parti KeADILan Rakyat(PKR).

Bernama melaporkan hari ini bahawa Naib Presiden PAS Haji Husam Musa berkata di sini bahawqa kedua-dua parti telah membentuk suatu pakatan untuk memperhebatkan strategi kempen bagi memastikan PAS berjaya memenangi kerusi DUN Pengkalan Pasir.

Kerusi DUN Pengkalan Pasir kosong selepas ADUNnya Allahyarham Wan Aziz Wan Jaafar meninggal bulan lalu.

Husam, yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri berkata Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim akan menyertai pimpinan PAS dari seluruh pelusuk negara untuk berkempen
membantu calon PAS.

Sebelum temubual dengan Bernama di Pejabatnya di Kota Darul Naim, Husam telah mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden PKR Saifuddin Nasution dipercayai berkenaan strategi kempen.

Husam berkata Anwar akan berada di DUN tersebut pada hari penamaan calon dan akan mengadakan beberapa ceramah.

Beberapa orang pemimpin PKR lain juga telah bersetuju untuk turun padang. Pusat Operasi PKR juga telah mula berfungsi.

Husam juga menafikan adanya persefahaman antara PAS dan Bekas Ketua Umno Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali untuk memecahkan undi Umno. Beliau berkata "penyertaan Ibrahim Ali dalam pilihanraya kecil ini tidak ada Husam kaitan dengan PAS. Itu adalah kemahuannya beliau sendiri untuk bertanding sebagai calon Bebas.

Ibrahim secara rasmi membuat kenyatan akan bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihanraya kecil ini.

Husam yakin PAS akan menang walaupun Ibrahim tidak bertanding kerana, menurutnya, selain kerjasama erat dengan PKR, PAS juga mempunyai sokongan kuat dari pengundi walaupun Allahyarham Wan Aziz mendapat majoriti kecil iaitu 56 undi dalam Pilihanraya Umum lalu.

Ini adalah kerana, semua keperluan asas di Pengkalan Pasir seperti longkang, jalan dan jambatan menyeberangi jalan keretapi di Pasir Mas, isu-isu yang menjadi bahan kempen BN, sudahpun disediakan ataupun di dalam perancangan Kerajaan Negeri.


DUA BERITA YANG BERBEZA : 6 DISEMBER JADI PENENTUAN



Dipetik dari HARAKAHDAILY : Bukan Islam tambah yakin dengan Kerajaan PAS Kelantan

PASIR MAS, 17 Nov (Hrkh) – Masyarakat bukan Islam yang terdiri daripada kaum Cina, India serta berketurunan Siam bertambah yakin dengan corak pemerintahan kerajaan PAS Kelantan yang disifatkan adil dan saksama.

Mereka mula yakin dengan pemerintahan PAS sejak tahun 1990 apabila Angkatan Perpaduan Ummah pada waktu itu berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) Kelantan.
Penghulu masyarakat Tionghua, Hin Hock Bing berkata, kerajaan PAS negeri diyakini oleh masyarakat bukan Islam kerana corak pemerintahan yang adil serta saksama.

Katanya, orang Tionghua di negeri ini turut mendapat tempat kerana dilantik menjadi penghulu mukim, penghulu tanpa mukim dan ahli majlis daerah.

“Kita yakin dengan corak pemerintahan kerajaan PAS Kelantan di bawah kepimpinan Dato’ Nik Aziz yang adil dan saksama kepada semua kaum, Tionghua, India dan keturunan Siam.

“Kami pun dilantik jadi penghulu mukim, penghulu tanpa mukim dan ahli-ahli majlis daerah kerajaan tempatan sebagai wakil masyarakat bukan Islam dalam kerajaan negeri,” ujarnya ketika ditemui di Bilik Gerakan Penyokong PAS Kaum Tionghua di Jalan Pasar Lama, di sini malam tadi.

Sehubungan itu, katanya apabila berlaku pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, sebahagian besar masyarakat bukan Islam di negeri ini akan menyokong serta mengundi PAS.

Rakannya, Loo Hui Song, 56, berkata corak pemerintahan kerajaan PAS Kelantan memberi faedah kepada semua kaum kerana keamanan, keadilan dan ‘senang cari makan’.

“Dato’ Nik Aziz perintah negeri ini bagus, comel, adil dan aman. Kita semua senang cari makan. Kita ikhlas sokong PAS,” ujarnya.

Menurutnya, masyarakat bukan Islam bebas mengamalkan tradisi kebudayaan masing-masing selaras dengan corak serta dasar kerajaan PAS Kelantan.

“Kami bebas amal budaya kami mengikut corak dan dasar kerajaan Kelantan kerana sudah biasa bercampur, bergaul dengan orang-orang Melayu,” ujarnya.

Bagi ahli Majlis Daerah Tanah Merah, Siri Sena a/l A George, 47, masyarakat India juga yakin dengan cara pemerintahan kerajaan PAS sepanjang tempoh 15 tahun di bawah Menteri Besar, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Saya dan beberapa orang rakan setiap malam datang ke Pengkalan Pasir ini untuk bantu dan sokong PAS. Kita yakin dengan cara PAS perintah Kelantan sepanjang masa 15 tahun lalu,” ujarnya


Dipetik dari AKHBAR HARIAN (Tunggangan Umno) PENDUDUK CINA TAGIH PERUBAHAN

Penduduk Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir mengharapkan lebih banyak perubahan dilakukan bagi meningkatkan pembangunan di kawasan berkenaan.

Harapan itu diluahkan memandangkan kawasan itu perlu dibangunkan lebih pesat terutama menyediakan pelbagai kemudahan demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

Sehubungan itu mereka mengharapkan kawasan itu dapat dikuasai Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil DUN Pengkalan Pasir, 6 Disember ini.

Penduduk, Owe Cheng Huai, 53, dari Kampung Kasa, dekat sini, berkata banyak kemudahan asas perlu diberi perhatian kerajaan negeri bagi meningkatkan pembangunan setempat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, masalah dihadapi penduduk termasuk menyegerakan projek membaik pulih jalan kampung yang rosak seperti di tepi Sungai Kasa yang menghubungkan laluan ke Tendong.

Katanya, jalan berkenaan digunakan sebagai laluan alternatif kepada penduduk untuk berulang-alik dari kampung itu ke Tendong selain mereka menggunakan jalan utama membabitkan Jalan Pasir Mas-Kota Bharu.

“Kami mengharapkan perubahan lebih baik dapat dilakukan bagi memastikan pembangunan setempat dipertingkatkan agar kami tidak ketinggalan dalam menikmati arus perdana,” katanya.

Petani, Wee Ang Ee, 59, dari Kampung Kasa, pula berkata, kebanyakan penduduk kampung itu adalah petani yang memerlukan sokongan dan bantuan berterusan.

Menurutnya, memandangkan Kampung Kasa sesuai dengan potensi pertanian, tumpuan harus diberi perhatian pihak berkaitan supaya penduduk dapat mengambil bahagian dalam program pertanian.

“Saya mendiami Kampung Kasa sejak kecil dan saya harap banyak potensi dapat dibangunkan bukan sahaja di kampung ini tetapi juga kawasan DUN Pengkalan Pasir secara keseluruhannya.

“Kebanyakan penduduk Cina di Kampung Kasa serta Sakar tidak mahu ketinggalan menikmati arus pembangunan lebih baik,” katanya.

Peniaga, Kho Lee Phing, 27, berkata aspek pembangunan belia wajar diberi perhatian supaya golongan itu tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial.

Menurutnya, kawasan itu mampu membangun lebih pesat jika perancangan dan pelaksanaan pembangunan secara tersusun dilakukan.

Katanya, pertumbuhan kawasan DUN Pengkalan Pasir mampu membuka peluang yang baik kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan peniaga dan belia.

WALAU APAPUN PANDANGAN MEREKA TARIKH 6 DISEMBER JADI PENENTUAN.


MELAKA NEGERI KEDUA UMUM HANTAR PETUGAS KE PENGKALAN PASIR



PANTAI KUNDUR (Melaka), 17 Nov (Hrkh) - Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka merupakan Badan perhubungan negeri yang kedua selepas Pahang mengumumkan untuk menghantar petugas ke Pengkalan Pasir. Dalam mesyuaratnya Badan Perhubungan malam tadi persetujuan telah dicapai untuk menubuhkan sebuah kontijen petugas pilihan raya yang akan bertugas di Pengkalan Pasir.

Mesyuarat di Markas PAS Pantai Kundur itu dipengerusikan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abd Ghani Abd Rahman yang juga merupakan AJK PAS Pusat.

Setiausaha Kerja PAS Melaka merangkap Setiausaha PAS Kawasan Tangga Batu, Haji Hasan Mohd Dahan berkata 180 orang petugas akan dihantar dan dijangka bertolak ke Pengkalan Pasir secara berperingkat-peringkat mulai 24 November ini. Beliau yang juga Timbalan Ketua Pengarah Kontijen berkata demikian dipetik dari Harakahdaily.

Beliau berkata sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk menyelaraskan aktiviti di sana. Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Minhad Mamut dilantik sebagai Pengarah Kontijen manakala dua ahli jawatankuasa ialah Ustaz Mohd Noor Omar, AJK PAS Negeri dan Mejar (B) Haji Jasme Tompang, YDP PAS Kawasan Jasin.

Menurut Haji Hasan setiap kawasan dikehendaki menghantar 30 petugas selain ahli jawatankuasa kontijen yang akan bertanggungjawab keseluruhan.Petugas dari Melaka akan berada di sana mulai 24 November hingga 7 Disember.


PAS MENGORAK LANGKAH: TOK GURU RASMI MARKAZ BESAR PAS



Pasir Mas, 17 Nov - Jentera pilihanraya PAS mengorak langkah kehadapan apabila YAB Tuan Guru Dato' Hj. Nik Abd Aziz Nik, Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul AM PAS akan merasmikan Markaz Besar PAS bagi Pilihan Raya Kecil N.12 Pengkalan Pasir pada Jumaat jam 9.00 malam. Markaz ini akan menjadi pusat operasi dalam mengatur strategi PAS menghadapi pilihanraya kecil ini.

Sempena perasmian Markaz tersebut, satu majlis ceramah akan diadakan mulai jam 9.30 malam dengan penceramah jemputan, Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS.
Markaz Besar PAS ini terletak di jalan utama dari Pasir Pekan ke Pasir Mas di Kg. Jias. Lokasi Markaz Besar ini sangat strategik.

Tuan Guru mempunyai jadual amat ketat besok dimana pada pagi esok, Jumaat jam 9.30 pagi, YAB Tuan Guru akan menyampaikan Kuliah Jumaat di Masjid Maahad Tahfiz Darul Quran, Slow Machang. Manakala pada tengaharinya, Tuan Guru akan menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Kasa, Pasir Mas dan menunaikan Solat Jumaat bersama rakyat di kawasan tersebut.

Jadi kalau Tuan Guru boleh ke hulu ke hilir bagaimana pula kita sebagai orang yang lebih muda dari Tuan Guru, sepatutnya boleh bekerja lebih kuat untuk memenangkan PAS.


HASRAT NAK RAMPAS KELANTAN, TADBIR KEDAH PUN TAK MAMPU



ALOR SETAR, 17 Nov (Hrkh)- Cita-cita besar Umno untuk mentadbir Kelantan menjadi bahan ketawa rakyat kerana negeri yang ditadbir oleh BN sekarang pun gagal diurus dengan baik. Bukti yang paling nyata dipampang di hadapan mata. Sekalipun sedang mengorak langkah sebagai sebuah negeri maju lima tahun lagi, Belanjawan Kedah 2006 yang baru dibentangkan Pemangku Menteri Besar Kedah, Dato' Mahdzir Khalid 15 Julai lalu mencatatkan defisit sebanyak RM19, 794, 322.00.

Ia hanya kurang sekitar RM 1 juta defisit berbanding belanjawan tahun 2005 iaitu sebanyak RM 20, 923, 246.00. Dalam kempen pilihanraya ataupun ucapan pemimpin Umno, mereka mendakwa Umno pandai mentadbir dan berupaya membawa kemajuan kepada sesuatu negeri berbanding PAS. Tetapi fenomena di Kedah dan negeri-negeri lain menjelaskan kepada kita cakap-cakap mereka ini hanyalah omong kosong.

Contoh jelas Johor, Kedah, Pahang dan Selangor menduduki empat tempat teratas dalam senarai kerajaan negeri yang mempunyai hutang tertunggak tertinggi. Manakala Kelantan jatuh nombor sepuluh walaupun 'tidak pandai' memerintah. Dari fakta ini jelas menunjukkan kepada kita kerajaan BN sebenarnya bukan pandai memerintah tetapi pandai berhutan.

Pengundi Pengkalan Pasir sudah tentu tahu memilih yang mana intan dan kaca.

SYABAS KERAJAAN-KERAJAAN NEGERI DIBAWAH PEMERINTAHAN BN


APA TOK HENG (IBRAHIM ALI) KATA




Ikuti Temubual Tok Heng dengan Malaysiakini.com

MK(MALAYSIAKINI): Apa keperluan Datuk bertanding dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir?

IA(IBRAHIM ALI): Saya mahu rakyat kawasan ini mendapat pembelaan yang sewajarnya. Selama ini mereka hanya menjadi alat kepada pihak tertentu untuk kepentingan mereka. Akibatnya mereka tidak mendapat apa-apa.

Jika saya menang saya boleh membawa suara mereka kepada pihak-pihak yang berkenaan.Saya ingin memberitahu mereka bahawa orang yang tidak berparti juga boleh menjadi wakil rakyat yang baik. Tidak guna kita ada parti yang bagus tetapi wakil rakyatnya tidak berguna.


MK: Apa yang mahu dibuat di Pengkalan Pasir kerana Umno dan PAS sudah memajukan mereka sejak sekian lama?

IA: Rata-rata penduduk Pengkalan Pasir dan juga Pasir Mas miskin – pendapatan dalam lingkungan RM500 sebulan. Pendapatan sebanyak itu tidak cukup kerana harga barangan meningkat dan kos hidup yang semakin tinggi.

Saya mahu penduduk mendapat lebih banyak projek pembangunan yang memberi faedah kepada mereka. Selama ini mereka hanya diberi janji dan akibat termakan janji, hidup mereka tidak berubah sejak dahulu.

MK: Datuk mendakwa pengundi Pengkalan Pasir akan menyokong Datuk. Apa asas keyakinan itu?

IA: Saya mempunyai ‘track record’ di kawasan itu. Semua orang kenal saya. Saya menjadi Ketua Umno Bahagian Pasir Mas selama 10 tahun – 1994 hingga 2004. Saya pernah menjadi wakil rakyat mereka sebelum ini.

Saya mempunyai penyokong tetap sebanyak 2,000 orang di kawasan itu. Mereka mengundi saya sejak sekian lama. Malah majlis sambutan Aidilfitri yang saya anjurkan baru-baru ini, dihadiri hampir 3,000 orang datang.

Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa berkata saya mempunyai ramai penyokong di Pengkalan Pasir. Begitu juga Exco Kanan Kelantan, Husam Musa dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub. Mereka kata saya ramai penyokong di Pengkalan Pasir.

MK: Adakah Datuk bertanding kerana mahu Umno kalah setelah memecat anda selepas pilihanraya umum lalu?

IA: Keputusan saya bertanding tiada kena mengena dengan Umno. Saya mempunyai jati diri sendiri dan ini keputusan saya sendiri. Saya bertanding kerana mahu berkhidmat kepada rakyat.

Umno memecat saya dengan cara yang sangat kejam. Saya dipecat ketika sedang membahagikan bantuan zakat kepada orang miskin di Pasir Mas. Saya digugur sebagai Ketua Penaja Umno Bahagian Pasir Mas tanpa sebab. Dalam hal ini saya orang yang dizalimi.

MK:Jika anda tidak bertanding peluang Umno menang lebih cerah, tidakkah ini bermakna Datuk mahu menyekat kemenangan mereka?

IA: Umno tidak berhak untuk menyekat saya daripada bertanding. Saya bukan lagi sebagai ahli Umno. Saya hanya orang kecil yang bertanding dengan parti yang kaya-raya – mempunyai wang dan jentera yang besar.

Saya bertanding kerana prinsip sebagai seorang pejuang politik. Prinsip ini bukan untuk dijual beli. Saya ada maruah dan harga diri. Maruah saya adalah maruah orang Pasir Mas. Saya tidak hiraukan siapa lawan saya, baik PAS mahupun Umno.

Beberapa pemimpin datang memujuk supaya saya tidak bertanding tetapi saya tidak hiraukan. Saya anggap mereka ‘muka tidak malu’. Mereka yang buang saya tetapi mahu mengajak bersama semula. Saya tidak akan ikut mereka lagi.

MK:Apakah yang Datuk mahu katakan mengenai Umno yang mungkin tidak diketahui orang selama ini?

IA: Saya memanggil Umno sebagai parti demokrasi diktator. Mereka yang setia kepada Umno dibuang tetapi pemimpin yang menyeleweng dan moral rendah dikekalkan. Dasar ini tidak boleh diterima oleh sesiapun. Saya tidak berdendam kepada Umno tetapi ada pemimpin mereka yang berdendam terhadap saya. Tetapi saya tidak akan masuk semula Umno.

MK: Apakah Datuk mahu menjadi alat kepada mana-mana pihak?

IA: Saya bukan ikan kembong yang menjadi makanan kepada mana-mana pihak. Saya ada jati diri yang kuat dan tidak akan menjual prinsip. Saya ada kemampuan dan saya ada kelebihan. Saya seorang yang berani, telah dua kali ditahan di bawah ISA tetapi saya mahu terus berjuang dan membela rakyat.

Saya mahu ingatkan pengundi Pengkalan Pasir supaya mengguna peluang ini sebaik-baiknya. Mengundilah dengan kesedaran dan bukannya kerana tekanan dan ugutan. Pilihalah calon yang ada ‘track record’ dan bukannya yang hanya bercakap kosong. Saya mahu orang Pengkalan Pasir tidak dipu lagi.


PK PENGKALAN PASIR : PENENTUAN MENARIK 6 DISEMBER



Tanggal 6 Disember ini bakal menguji minda pengundi Pengkalan Pasir samada mereka berupaya berfikir dengan waras. Ini kerana pada hari tersebut mereka akan membuat pilhan samada menyokong Kerajaan pimpinan Tok Guru Nik Aziz atau menyokong Tok Heng (Ibrahim Ali) atau mengalihkan sokongan kepada calon Umno/BN.

Pilihanraya Kecil DUN Pengkalan Pasir ini adalah antara Pilihanraya Kecil paling menarik pernah kita saksikan. Ini adalah pilihanraya kecil kedua selepas Pilihanraya Umum Mac tahun lepas. Pilihanraya Kecil pertama ialah di Kuala Berang tahun lepas. Ada beberapa perkara yang menarik perhatian kita semua.

Pertama ianya bakal menguji tahap sokongan rakyat kepada Kerajaan PAS yang kini memerintah dengan majoriti 2 kerusi selepas kematian ADUN Pengkalan Pasir ini. Andaikata PAS kalah maka PAS akan memerintah Kelantan dengan majority 1 kerusi sahaja. Fenomena ini amat ‘merbahaya’ bagi Kerajaan PAS kerana andaikata seorang dari ADUN mereka berpaling tadah maka sudah pasti Kerajaan Negeri yang baru akan dibentuk. Namun begitu fenomena ini mungkin sukar berlaku kerana selama ini pun Umno/BN telah lama berusaha untuk ‘membeli’ ADUN PAS dengan tawaran jutaan ringgit. Terbaru seorang ADUN PAS dari Machang telah mendedahkan bahawa beliau ditawarkan sebanyak RM4 juta oleh seorang perantara Umno. Namun beliau langsung tidak berminat untuk melayannya. Sebab itulah Umno tidak henti-henti mendesak PAS supaya membubarkan DUN untuk membolehkan pilihanraya negeri dilangsungkan.

Kedua keputusan Pilihanraya ini juga bakal menguji pengaruh Annuar Musa yang dilantik menggantikan Tok Pa (Mustapha Mohamad) selepas Pilihanraya Umum dahulu. Andaikata Umno tewas maka sudah tentu imej Annuar akan tercalar sedangkan beliau tidak jemu-jemu mencanang ke sana ke mari bahawa Umno Kelantan di bawah pimpinannya adalah paling mantap sekarang. Oleh sebab itulah Annuar sedang berusaha untuk memastikan calon ‘tajaan’nya Che Johan Che Pa dipilih semata-mata untuk menunjukkan bahawa beliau berkuasa sepenuhnya keatas Umno Kelantan. Namun banyak halangan yang beliau terpaksa tempuhi kerana dikatakan PM lebih cenderung untuk memilih calon yang berlatarbelakang agama seperti Tuan Anuar Tuan Mat, Us. Uthman El-Muhammady atau Us. Kamarulzaman Abdul Ghani. Tok Pa pula juga cenderung untuk menyokong Us. Kamarulzaman Abdul Ghani.

Ketiga keputusan pilihanraya kecil ini juga bakal menguji minda pengundi Pengkala Pasir khasnya dan Kelantan umumnya samada mereka ini sedar tentang segala kepincangan, penyelewengan, kezaliman dan kelemahan kerajaan pimpinan Pak Lah sekarang. Paling baru ialah kerugian yang dialami oleh Bank Islam sebanyak RM700 juta dan juga MAS sebanyak RM280 juta. Kedua-dua syarikat ini adalah syarikat yang dikawalselia oleh kerajaan. Kerugian yang dialami oleh kedua-dua syarikat ini melambangkan kegagalan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan. Kementerian Kewangan sendiri duduk dibawah dagu Pak Lah. Selain itu isu rasuah semakin parah di mana begitu ramai pemimpin Umno yang terlibat dengan rasuah di zaman Pak Lah. Pesalah-pesalah rasuah ini pula masih ‘diternak’ oleh Pak Lah walaupun mereka telah dibuktikan bersalah. Antaranya Isa Samad, Astaman Aziz dan Amid Nordin. Kezaliman kerajaan Pak Lah terhadap orang yang tidak dibuktikan bersalah juga sepatutnya membuka minda pengundi. Anak Tok Guru, Nik Adli masih merengkok dalam penjara walaupun telah ditahan selama 4 tahun. Terlalu banyak kelemahan dan kezaliman yang dilakukan oleh Pak Lah sejak memerintah. Malah sesetengah pemerhati politik melihat bahawa Pak Lah lebih teruk dari Mahathir.

Namun begitu banyak faktor luar yang mempengaruhi keputusan pilihanraya ini. Antaranya ketidakadilan SPR, ugutan terhadap pengundi, rasuah politik, penggunaan jentera kerajaan dan sebagainya. Jadi amat susah untuk kita mengukur samada keputusan nanti menggambarkan kemahuan sebenar pengundi. Kita mengharapkan kerajaan dan SPR dapat memastikan pilihanraya ini benar-benar telus.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59