Thursday, 10 November 2005

PK PENGKALAN PASIR : IBRAHIM KACAU PAS DAN Umno




Aman Rais menulis dipetik dari Malaysiakini...

Datuk Ibrahim Ali bikin kacau lagi! Itulah senario dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengakalan Pasir, Pasir Mas sekarang. Bekas hulubalang Umno yang pernah dikenali sebagai “ putera katak“ sekali lagi menunjukkan taringnya.

Selepas berjaya menjadi “ pengacau daun” dalam pilihanraya umum 2004 hingga memberi kemenangan kepada calon PAS, kini sekali lagi Ibrahim mahu memainkan peranannya.

Kali ini mungkin lebih parah kerana beliau turun ke gelanggang sebagai bekas ahli Umno yang disingkirkan kerana melanggar peraturan parti yang melarang anggotanya bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya bagi menentang calon Umno sendiri.

Kalau Ibrahim tidak mengubah pendiriannya sehingga ke hari penamaan calon pada 27 November ini, kemungkinan besar kita akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Ibrahim, PAS dan Umno.

Ini bermakna sejarah akan berulang. Pertandingan tiga penjuru telah berlaku bagi parlimen Pasir Mas pada pilihanraya umum lalu. Dalam pilihanraya tersebut faktor Ibrahim begitu ketara, beliau berjaya meraih lebih 6 ribu undi hingga membolehkan calon PAS,Ismail Noh mengatasi calon Umno, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman.

Mungkinkah senario yang sama akan berulang? Masih kuatkah pengaruh Ibrahim bagi membuka laluan untuk PAS sekali lagi?

Calon PAS, Allahyarham Wan Abdul Aziz Wan Jaffar hanya mengatasi calon Umno dengan majoriti tipis 56 undi sahja dalam pilihanraya umum lalu.

Kemenangan calon-calon Parlimen dan DUN PAS di Pasir Mas itu dikatakan hasil kerja “ kacau daun” Ibrahim. Khabarnya jika “ Putera Katak” itu tidak bertanding, kemungkinan calon-calon Umno akan menang. Pengaruh Ibrahim di Pasir Mas dikatakan sangat besar ketika itu.

Selain menjadi Pengerusi Majlis Bertindak Rakyat Kelantan beliau dikatakan telah menjalankan tugasnya dengan baik sepanjang karier politiknya di kawasan tersebut. Sebagai anak jati Pasir Mas, Ibrahim dilihat sebagai “ pejuang” mereka.

Pengaruh jaguh lompat

Bagaimanapun adakah senarionya masih serupa. Adakah pengaruh Ibrahim masih kuat setelah beliau tidak lagi mempunyai kedudukan dalam parti dan kerajaan. Adakah pengikut dan penyokongnya masih setia setelah beliau dibuang dari Umno?

Inilah pertanyaan yang bermain di minda orang-orang Umno dan PAS yang mahu mengelsploitasi Ibrahim untuk kepentingan politik mereka. Sejauh mana pengaruh Ibrahim sedang diukur sekarang. Begitu juga dengan kesungguhan beliau untuk bertanding. Adakah bekas hulubalang Umno ini benar-benar serius atau sekadar “ gempak” untuk mencari perhatian dan habuan.

Nujum-nujum politik yang kini berkampung di Pasir Mas mengatakan pengaruh Ibrahim tidak sekuat pada pilihanaraya umum lalu. Ini kerana orang-orang Umno tidak setia atau komited dengan seseorang pemimpin sampai mati. Mereka hanya mengikut atau membodek pemimpin yang boleh memberikan mereka habuan.

Ibrahim tidak lagi dilihat sebagai pemimpin yang boleh memayungi atau memenuhi tembolok mereka. Beliau dilihat sebagai seorang pahlawan silam, sudah menjadi sejarah! Nostalgia tidak mempunyai tempat dalam Umno.

Penentu kemenangan
Keghairahan penduduk Pasir Mas untuk bersama tenggelam dan timbul bersama Ibrahim dikatakan sudah tipis. Mungkin tinggal beberapa kerat yang sudi membantu dan berkempen untuk beliau.

Namun seorang bekas pemimpin Umno Kelantan berkata, dalam keadaan yang genting di Pengkalan Pasir itu, faktor Ibrahim tetap tidak boleh diperkecilkan begitu sahaja.

Undi yang sedikit itu mungkin menjadi penentu kemenangan calon PAS atau Umno. Jika Ibrahim mampu menarik antara 400 hingga 800 undi pun, kesannya amat besar bagi Umno.

Bekas orang kuat Ku Li itu sedar peluang beliau untuk menang agak tipis tetapi dia boleh menjadi penentu masa depan politik PAS dan Umno di Kelantan. Ibrahim boleh menarik banyak undi protes selain sokongan dari penyokong setianya.

Umno dikatakan tetap bimbangkan pengaruh Ibrahim walaupun ia mungkin tidak sekuat dulu lagi. Khabarnya kepimpinan Umno telah mengarahkan orang-orangnya untuk “ memujuk” Ibrahim supaya menarik diri. Ku Li sendiri dikatakan telah menghubungi “anak didik”nya itu meminta Ibrahim menimbang semula keputusannya.

Cah keting

Jelas sekali kedua-dua parti, PAS dan Umno perlu berhati-hati menjalankan pemilihan calon dan menangani isu Ibrahim Ali ini. Tersilap pilih calon, terutamanya bagi Umno, akan membawa padah.

Jika calon bukan pilihan ramai terpilih, kita akan saksikan “cah keting” yang akan membawa kemenangan kepada PAS atau Ibrahim.

Oleh itu Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa mempunyai tugas berat dalam menentukan siapa yang sesuai untuk dicalonkan.

Semua orang tahu, Umno Kelantan nampak tenang di permukaannya tetapi masih bergolak di dasar. Gejala berpuak-puak masih berleluasa. Puak Annuar, kumpulan Tok Pa dan penyokong Zaid Ibrahim sukar untuk disatukan.

Oleh itu pilihanraya kecil ini adalah ujian besar kepada Umno yang bercita-cita untuk menakluk Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang.

Ibrahim pula kebelakangan ini, sejak “ditalak tiga” oleh Umno, kelihatan merapatkan dirinya dengan kepimpinan PAS Kelantan. Beliau mengiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat melawat Tun Ghafar Baba di Pusat Perubatan Pantai baru-baru ini.

Malah sebelum Ibrahim mengumumkan keputusan untuk bertanding di Pengkalan Pasir, ada desas desus mengatakan beliau kemungkinan bertanding atas tiket PAS. Namun ia tidak menjadi kenyataan kerana cadangan itu ditolak oleh sebahagian besar pemimpin serta penyokong PAS di negeri itu.

Khabarnya sebahagian besar anggota parti Islam itu tidak menyakini kesetiaan beliau kerana kerusi yang satu ini amat penting bagi pengekalan kuasa politik PAS di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

PAS mahu memastikan calon yang dipilih benar-benar komited dengan parti, bukan orang yang gemar atau berpotensi melompat parti. Oleh itu PAS memutuskan untuk mencalonkan orangnya sendiri, bukan tokoh “ import”.

Pilihanraya kecil ini adalah mimpi ngeri buat PAS. Ia akan menjadi kayu pengukur sejauh mana rakyat masih menerima mereka. Sekali lagi pengaruh Datuk Nik Aziz Nik Mat akan memainkan peranan penting.

Ia juga menjadi medan ujian bagi reformasi yang sedang dialami oleh PAS. Ia akan menguji sejauh mana perpanduan kumpulan ulama dan profesional muda dalam parti itu.

Sejauh mana sambutan yang diberikan kepada Konsert Mawi di Kota Bharu pada awal Oktober lalu akan diterjemahkan kepada undi, akan kita saksikan pada 6 Disember nanti.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59