
PASIR MAS 8 Nov. - Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertikaikan hasrat Barisan Nasional (BN) hendak menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir pada pilihanraya kecil DUN tersebut pada 6 Disember depan.
Tok Guru turut mempersoalkan alasan BN menawan kerusi tersebut kerana jika bertujuan membawa pembangunan kerana katanya Kerajaan Pusat telah membawa banyak pembangunan ke negeri ini walaupun PAS telah memerintah Kelantan sejak 1990.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran kempen Pas di Kampung Jias tidak jauh dari sini malam tadi.
Turut berceramah malam tadi ialah Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nasaruddin Mat Isa dan Naib Presiden Pas, Hj. Husam Musa. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan itu pada 27 November, manakala pengundian pada 6 Disember.
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, jika ada pihak mengatakan Kelantan tidak ada pembangunan, itu adalah tidak benar kerana sejak dari dahulu kerajaan Pusat tetap membuat pembangunan di negeri ini.
Katanya, sebenarnya sudah banyak projek dilaksanakan di Kelantan oleh Kerajaan Pusat sendiri dan ini dapat dilihat di mana-mana seperti sekolah dan sebagainya. "Oleh itu buat apa UMNO hendak menawan DUN ini kerana kalau Pas menang pun Kerajaan Pusat buat juga projek pembangunan ke negeri ini, tidak ada masalah" katanya.
Beliau berkata, kalau hendak dikira, projek pembangunan Kerajaan Pusat dilaksanakan di negeri ini lebih banyak semasa wakil BN tidak ramai dalam Dewan Undangan Negeri berbanding sekarang.
Hujah Tuan Guru merupakan tamparan hebat kepada Umno kerana sememangnya Umno tidak mempunyai isu besar untuk berkempen. Isu mereka bangkitkan adalah isu lama iaitu isu pembangunan.
PAS dilihat mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan kerusi DUN ini kerana sejak 1990 PAS tidak pernah kalah di DUN ini.