Tuesday, 8 November 2005

LATAR BELAKANG DUN PENGKALAN PASIR



Dewan Undangan Negeri N.12 Pengkalan Pasir merupakan sebuah kawasan yang terletak dalam Parlimen Pasir Mas, Kelantan. DUN ini adalah salah satu daripada 3 DUN yang berada dalam parlimen Pasir Mas.DUN lain ialah Meranti dan Tendung. Kedudukan DUN ini ialah bersempadanan dengan tebing Sungai Kelantan di selatan, DUN N.14 Meranti (parlimen Rantau Panjang) di utara dan DUN Tendong di timurnya.

Kedudukan politik N.12 Pengkalan Pasir merupakan DUN pertarungan PAS-UMNO silih berganti. Pada tahun 1974, atas nama DUN Bandar Pasir Mas, ia diwakili oleh PAS. Suasana politik berubah selepas darurat 1978 apabila pada pilihan raya 11 Mac 1978, DUN tersebut kembali dikuasai oleh BN sehinggalah Pilihan Raya Umum 1990. Mulai 1990 hingga pilihan raya umum lalu, DUN Pengkalan Pasir kekal di kuasai oleh PAS.

Dari segi geo-politik, Pengkalan Pasir terletak ditengah bandar Pasir Mas dalam kawasan Majlis Daerah Pasir Mas. Komposisi pengundi bagi tahun 2005 ialah sejumlah 18,600 iaitu 94.8% Melayu dan 5.2% Cina. Tumpuan utama pengundi Cina adalah di pusat bandar Pasir Mas iaitu dalam dua Daerah Mengundi, Pengkalan Pasir dan Jalan Pasir Pekan serta Daerah Mengundi Sakar, bersempadan dengan DUN Tendong.

Keputusan Pilihan Raya Umum 1990, 1995, 1999 dan 2004 memihak kepada PAS. Pada pilihan raya umum lalu, PAS menang dengan undi sebanyak 7168 dan BN, 7112 iaitu majoriti 56 undi.

Mengikut rekod, perkhidmatan wakil rakyat PAS Pengkalan Pasir semenjak Pilihanraya 1990 amat disenangi oleh rakyat. Sejak 1990 sehingga 2004 DUN ini diwakili oleh Haji Hassan Ismail. Pada pilihanraya 2004, calon PAS Allahyarham Wan Aziz Wan Jaafar telah mengalahkan Calon BN/Umno Hanafi Mamat.


KERAJAAN AKUI 60,000 GRADUAN MENGANGGUR. TIADA TINDAKAN BERKESAN DI AMBIL UNTUK ATASI MASALAH INI


Melaka 8 Okt : Kajian yang dijalankan oleh kerajaan menunjukkan bahawa hampir 60,000 graduan menganggur. Jumlah sebenar mereka ialah 59,250 orang.

Kerajaan mendakwa bahawa mereka ini tidak mendapat pekerjaan disebabkan oleh kurang kemahiran berbahasa Inggeris serta lemah berkomunikasi.

Penyelidikan yang dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi pada bulan September menyatakan bahawa para penganggur ini sebahagian besarnya adalah wanita melayu dan berasal dari keluarga berpendapatan rendah.

Kebanyakan mereka ini adalah graduan dalam bidang Pengajian Perniagaan dan Teknologi Maklumat, di mana 81 peratus mereka adalah graduan Universiti awam di mana bahasa pengantarnya adalah bahasa melayu.

Kebanyakan mereka menganggur lebih dari setahun demikian kenyataan Menteri Sumber Manusia Dr Fong Chan Onn ketika ditanya oleh wartawan sebuah akhbar baru-baru ini.

Sebahagian dari mereka mempunyai pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka, tambah beliau.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil melihat bahawa kadar pengangguran yang tinggi dikalangan graduan ini menggambarkan bahawa kerajaan yang memerintah sekarang gagal menyediakan pekerjaan yang setimpal dengan mereka. Kegagalan kerajaan menjana ekonomi dengan lebih pesat menyebabkan tidak banyak pekerjaan baru dapat diujudkan.

Keadaan ini bertambah parah apabila setiap tahun bilangan graduan semakin bertambah kerana banyak Intitusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang diujudkan termasuk program-program berkembar dengan univerisiti luar negara. Pengambilan pelajar-pelajar untuk melanjutkan pelajaran di IPTA dan IPTS juga semakin meningkat.

Alasan mahasiswa tidak tahu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris bukanlah alasan yang kukuh kerana mahasiwa diera 80-an dan 90-an juga tidak mempunyai kemahiran Bahasa Inggeris. Tetapi mereka mendapat pekerjaan juga kerana pada masa tersebut bilangan graduan dan peluang pekerjaan adalah seimbang.

Sepatutnya kerajaan sedar bahawa mereka mestilah membuat perancangan rapi untuk menyediakan peluang pekerjaan yang banyak untuk menampung lambakan graduan ini. Kerajaan mestilah berusaha dengan lebih gigih untuk menarik pelabur-pelabur luar.

DPPK Bukit Katil juga merasa hairan mengapa kerajaan sentiasa menuding jari kepada pelajar semata-mata atas kelemahan mereka berkomunikasi. Tidakkah kerajaan sedar bahawa kelemahan graduan dalam Bahasa Inggeris menunjukkan IPTA gagal melatih pelajar-pelajar ini untuk berkomunikasi dengan dalam bahasa tersebut. Sudah sampai masanya kurikulum Bahasa Inggeris di IPTA dirombak dan dikaji semula.

Oleh itu DPP Kawasan mendesak kementerian yang terlibat dengan masalah pengangguran ini duduk semeja dan mengambil langkah drastik untuk mengatasi masalah ini kerana kita khuatir masalah ini akan bertambah parah dari tahun ke tahun.



FOKUS PK PENGKALAN PASIR : BERHATI-HATI DENGAN IBRAHIM ALI



Melaka 8 Nov. - Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Paduka Ibrahim Ali semalam mengesahkan beliau akan bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Pengkalan Pasir, Kelantan.

Beliau menyatakan bahawa keputusan itu sebagai menghargai sokongan rakyat di kawasan tersebut selama ini dan percaya akan memenanginya atas rasa simpati dan belas kasihan mereka.

``Saya mengambil keputusan bertanding semata-mata atas kehendak penyokong-penyokong saya, yang mahu saya terus berkhidmat walaupun saya disingkirkan daripada UMNO.

``Saya menafikan sekeras-kerasnya saya bertanding untuk memberi laluan kepada kemenangan Pas,'' katanya ketika dihubungi wartawan sebuah akhbar arus perdana semalam.

Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas desas-desus beliau akan bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Dalam pilihan raya umum lalu, Ibrahim yang bertanding atas tiket Bebas tewas dalam perebutan kerusi Parlimen Pasir Mas.

``Keputusan saya bertanding pada pilihan raya kecil ini adalah atas dasar prinsip dan tidak ada kena-mengena dengan sesiapa.

``Saya tidak diperalatkan oleh sesiapa seperti didakwa sesetengah pihak,'' katanya.

Dengan pengumuman beliau itu, besar kemungkinan pilihan raya kecil itu, akan menghadapi pertandingan tiga penjuru antara Pas, Barisan Nasional dan Bebas.

Ditanya peluangnya pada pilihan raya kecil itu, Ibrahim berkata, beliau yakin akan memenangi kerusi itu berdasarkan sokongan pengundi di kawasan itu.

PAS diminta supaya berhati-hati dengan permainan politik Ibrahim Ali ini yang jelas mempunyai cita-cita sendiri. Jangan sampai nanti PAS kalah disebabkan oleh faktor Ibrahim Ali yang 'kacau daun'. Adalah lebih baik Ibrahim Ali tidak bertanding dan berkempen meminta penyokong-penyokongnya mengundi PAS. Memang tidak dinafikan ramai penyokong-penyokong Umno yang masih setia kepada Ibrahim Ali tetapi PAS merasa yakin jumlah mereka tidak akan dapat memenangkan Ibrahim Ali. Apa yang pasti PAS mempunyai penyokong setia yang tidak akan berganjak dari mengundi PAS. Keputusan hanya akan ditentukan oleh pengundi atas pagar dan juga faktor-faktor lain seperti pengundi hantu dan muslihat SPR sahaja.

Namun begitu PAS tidak boleh mengambil mudah berkenaan perkembangan ini kerana Ibrahim Ali seorang yang licik dan susah hendak dibaca strategi politiknya. Tidak hairanlah sejarah politiknya memperlihatkan kepada kita beliau boleh 'melompat' dari satu parti ke parti yang lain demi untuk kesinambungan karier politiknya.


FOKUS PILIHANRAYA KECIL PENGKALAN PASIR : BERSIAP SEDIA MENGHADAPI TENTERA 'AHZAB'



Melaka 8 Nov : Dewan Pemuda PAS Kawasan menggesa seluruh pencinta Islam supaya bersiap sedia menghadapi 'tentera Ahzab' dalam pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir yang dijadualkan pada 6 Disember ini. Penamaan calon akan diadakan pada 27 November.

Seperti biasa Umno/BN akan mengerah segala 'tentera' mereka untuk menghadapi PAS termasuk jentera kerajaan yang tidak sepatutnya disalahguna oleh mereka. Namun oleh kerana mereka menganut mahzab 'Matlamat menghalalkan cara' maka mereka tidak berasa segan silu untuk menggunakan apa sahaja cara asalkan mereka menang. Samada cara yang dihalalkan oleh undang-undang dan agama malah yang bertentangan dengan agama dan undang-undang ciptaan mereka sendiri mereka sanggup langgar.

Oleh itu DPP Kawasan menyarankan seluruh pencinta Islam bersiap sedia dari sekarang, yang tidak ada duit kena kerja kumpul duit, yang kena ambil cuti kena mula ambil cuti, yang tidak ada ilmu pilihanraya cuba cedok ilmu tersebut, yang tidak ada kenderaan cuba-cuba cari duit sewa kereta dan sebagainya. Begitu banyak kerja-kerja yang mesti dibuat ketika kempen pilihanraya ini.

Mana-mana ahli PAS yang berkelapangan mereka sudah boleh turun ke Pengkalan Pasir dan melaporkan diri di Kelantan.

PAS mesti bersiap sedia dengan 'permainan kotor' tradisional Umno/BN. Bersedia dengan petugas risikan dan perang saraf dari sekarang. Namun DPP Kawasan yakin dengan kemampuan PAS Kelantan menangani apa juga kerenah Umno/BN.

Terdapa 18,411 pemilih termasuk 195 pemilih pos layak yang perlu didekati dan diberi kefahaman. Diharapkan kesemua mereka mampu diberi kefahaman.

Pilihan raya kecil DUN N.12 Pengkalan Pasir diadakan ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan dari Pas, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar akibat kanser hati, pada 31 Oktober lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Hanafi Mamat dengan majoriti 55 undi.

Pengkalan Pasir, adalah antara 24 DUN yang dimenangi oleh Pas pada pilihan raya umum lalu. BN pula memenangi 21 kerusi.

Tempoh berkempen ialah sembilan hari mulai dari tarikh penamaan calon. SPR menyatakan bahawa tarikh penamaan calon sengaja dilambatkan bagi memberi peluang calon serta parti yang akan bertanding membuat persiapan dalam pelbagai aspek.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59