Wednesday, 26 October 2005

DENGARLAH RAYUAN KAMI WAHAI PAK LAH


Bukit Katil 26 Okt - Sejak kesekian kalinya DPPK Bukit Katil merayu Perdana Menteri yang baru kematian isteri supaya membebaskan tahanan ISA yang telah ditahan lebih 4 tahun.

Sempena Hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelang kira-kira seminggu lagi kami selagi lagi merayu Pak Lah agar membebaskan mereka yang sehingga kini tidak dibuktikan bersalah di mahkamah terbuka. Apakah dosa mereka itu sehingga mereka disiksa sedemikian rupa. Pak Lah tentu tahu betapa sunyi seorang suami yang ketiadaan isteri disisi dan begitu juga isteri yang tiada suami disisi mereka. Tambahan pula kasih sayang anak dan ayah dipisahkan sebegitu lama.

Pak Lah dalam kenyataan akhbarnya baru-baru ini menyatakan bahawa beliau terasa sunyi selepas kematian isterinya baru-baru ini. Maka begitu jugalah penderitaan yang dialami oleh para isteri dan anak-anak tahanan ISA tersebut.

Mereka itu bukan sahaja sunyi tetapi juga kehilangan tempat bergantung nafkah dan harapan.

Maka DPPK Bukit Katil dengan ini mendesak Pak Lah supaya membebaskan tahanan-tahanan ISA tersebut serta merta. Janganlah mereka dizalimi dan kita takut kezaliman yang dikenakan kepada mereka ini akan mengundang bala dari Allah.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil
Hj Salamat Aman
26 Oktober 2005


Renungkan berita yang dipetik dari Harakahdaily di bawah.

"Saya terasa sebak setiap pagi hari Jumaat kerana anak ketiga saya, Abdul Aziz, yang berusia lima tahun kerap bertanyakan bila nak jumpa ayah, " kata Puan Naimah Abdullah isteri tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Mohd Lotfi Ariffin.

Beliau yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri, Kuala Ketil tidak menghadapi masalah kewangan untuk terus membesarkan anak-anaknya berbanding isteri tahanan ISA yang tidak bekerja.

Menurutnya, kali terakhir bertemu suami ialah pada 23 Ogos baru lalu di mana tarikh dia dijangka akan dibebaskan bersama-sama tahanan yang lain.

Namun, saat manis yang dinanti sekian lama ranap sekelip mata sahaja apabila Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi masih enggan melepaskan mereka dengan memanjangkan tempuh tahanan kepada dua tahun lagi menjadikan enam tahun.

Menceritakan kelakuan anaknya, Abdul Aziz yang begitu manja setiap kali bertemu ayahnya di bawah kanopi dalam Kem Kemunting walaupun sewaktu ayahnya ditangkap beliau baru berusia lapan bulan.

"Hati siapa yang tidak sayu melihatkan gelagat anak tambahan lagi menjelangnya Syawal. Walaupun Syawal ini kami akan berkunjung ke Kem Kemunting, Perak tetapi ia tidak sama dengan sambutan di kampung, " terang beliau.

Berbanding dua orang anaknya yang lain iaitu Ahmad Salahudin, 8 dan adiknya Ahmad Fathi, 6 yang sudah mengenali nasib yang menimpa keluarganya.

Katanya, hasil sokongan keluarga dan rakan dalan jemaah terus menguatkan semangat untuk meneruskan usaha suaminya.

Mengenang kembali peristiwa tangkapan suaminya pada 3 Ogos 2001 beliau berkata, ia ditahan kerana dituduh terlibat dengan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) yang kemudiannya dinamakan pula Kumpulan Militan Malaysia (KMM)oleh kerajaan.

Walhal sambungnya, sehingga hari ini segala tuduhan masih tiada bukti.

"Jika dapati mereka tak bersalah lepaslah. Buat apa kurung lama-lama, " katanya yang kini tinggal di rumah guru Madrasah Nurul Hidayah, Kampung Tembak, Kuala Ketil, Kedah.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan Baling, Mohd Rafil Haji Mohd Hasan ketika dihubungi berkata, Dewan Pemuda tidak melupai keluarga mereka setiap kali menjelang Ramadhan dan Aidil Fitri.

"Walaupun tak seberapa sumbangan kami namun pengorbanan suami mereka tetap dikenang. PAS tetap bersimpati dan berharap keluarga mereka tabah menghadapinya, " ujar beliau.

Sekarang ini dua orang lagi dari Baling yang masih merengkok dalam ISA iaitu Mohd Lotfi Ariffin dan Zainon Ismail.


TAHNIAH KEPADA POLIS DAN KERAJAAN KELANTAN KERANA BERJAYA KURANGKAN JENAYAH


Bukit Katil, 26 Okt - DPPK Bukit Katil mengucap tahniah kepada Polis dan Kerajaan Negeri Kelantan di atas penurunan kadar indeks jenayah di negeri tersebut sebanyak 10 %. Pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Polis Kelantan, SAC 1 Zulkifli Abdullah seperti yang disiarkan oleh Harakahdaily semalam.

“Dalam tempoh tersebut juga sebanyak 45 peratus kes jenayah berjaya diselesaikan. Bagaimanapun Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu diminta menumpukan perhatian terhadap laporan yang diterima daripada orang ramai terutamanya berkaitan masalah remaja yang menunggang motosikal.

“Banyak aduan yang diterima mengenai masalah remaja yang menungang motosikal. Kita mahu pastikan mereka tidak melanggar undang-undang, di samping menjaga keselamatan orang ramai,” katanya pada majlis berbuka puasa IPD Kota Bharu, baru-baru ini seperti yang disiarkan oleh Harakahdaily semalam.

'Kejayaan menurunkan kadar indeks jenayah ini adalah hasil dari usaha gigih Polis Kelantan dan kerajaan negeri', tegas Ketua DPP Kawasan Bukit Katil, Hj Salamat Aman. Kita sedia maklum bahawa Polis Kelantan tidak sebagaimana Polis negeri lain yang sibuk menjalankan 'tugas sampingan' mereka iaitu menyekat ceramah-ceramah PAS, sindir Hj Salamat. Kita jarang sekali mendengar aduan dan rungutan dari PAS Kelantan tentang hal ini, tambahnya yang juga merupakan Bendahari DPP Negeri Melaka.

Usaha kerajaan negeri membenteras program-program maksiat dan tidak berfaedah dilihat telah menyumbangkan kepada penurunan kadar jenayah ini.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59