Thursday, 29 September 2005

BOIKOT! BOIKOT! BOIKOT!


Oleh : I.S

Pilihanraya yang bakal berlangsung pada hari Khamis ini nampak begitu berserabut. Serabut kerana penindasan, tiadanya demokrasi dalam proses pilihanraya dan campurtangan kerajaan dalam menentukan kemenangan kepada calon-calon mereka.

Hasilnya kita dapat lihat bagaimana semua kampus seluruh negara memboikot pilihanraya kampus kali ini. Hanya 2 buah universiti sahaja yang akan ada pertandingan. Suasana pilihanraya di UM dan UKM juga lesu. Tidak macam dulu, rancak dengan kempen dan ceramah.

Pilihanraya kali ini juga melihat bagaimana peraturan mengenai poster telah di cabul dengan sewenang-wenangnya oleh pihak HEP UM. Mereka telah membenarkan mahasiswa membuat sendiri poster sedangkan peraturan sebelum ini mengatakan bahawa poster hanya akan dikeluarkan oleh pihak HEP. Ini menyebabkan tiada satu poster pun yang terpampang. Hanya kain-kain banner yang terpaksa dibuat sendiri dengan kos dan titik peluh mahasiswa sendiri yang kelihatan tergantung. Itu pun semuanya dibuat last minit.

Apa yang menarik pilihanraya kali ini seolah-olah menonjolkan pertandingan berkumpulan. ASPIRASI LALANG tanpa segan silu memaparkan mereka adalah dari satu kumpulan melalui banner, baju dan pelbagai lagi. Apa yang peliknya dari mana mereka mendapat sumber kewangan sedangkan pilihanraya kampus dipertandingkan bukan atas dasar parti tetapi mahasiswa bertanding atas tiket individu seperti yang telah termaktub dalam undang-undang pilihanraya. Jadi mengapa peraturan yang digunakan sebelum ini dicabul sesuka hati oleh puak-puak LALANG ini? Mengapa tiada tindakan oleh HEP? Kalau kita buat macam tu, dah lama dah calon-calon kita disingkirkan. Mustahil seorang mahasiswa boleh menaja begitu banyak sekali T-shirt dengan nama kumpulan yang mempunyai pelbagai warna dan corak. Hebat betul sumber mereka.

Proses kempen yang singkat iaitu hanya 2 hari amat menyedihkan. Ruang untuk mahasiswa menonjolkan diri disekat. Akibatnya golongan pengundi kurang mendapat info dan ini akan menjatuhkan jumlah peratusan pengundi yang akan keluar mengundi. Protes senyap mahasiswa UM dapat dilihat apabila 32 calon akan bertanding untuk merebut 9 kerusi umum. Tindakan pihak HEP mencantas calon-calon IDEALIS dapat dilihat dengan jelas selepas berapa calon kami ditolak atas pelbagai alasan. Akibatnya kami kehilangan 15 kerusi fakulti awal-awal lagi tanpa bertanding. Itulah yang mereka mahu sebab mereka tidak berani bertembung satu dengan satu kerana peratus untuk mereka kalah ialah 100%.

Di UKM pula lagi pelik. Kita berjaya mencalonkan semua calon kita. Tapi puak lalang telah didapati berpecah last minit. Semua calon yang mewakili puak lalang telah berpaling tadah dan bernaung dibawah calon NC. Lebih melucukan puak UMNO terpaksa menyenaraikan saat akhir 9 orang calon untuk bertanding selepas tiada calon yang ingin bertanding dibawah naungan ASPIRASI. Tapi semua itu mungkin taktik kotor yang cuba untuk mengelirukan pengundi.

Keputusan untuk bertanding di UM dan UKM adalah atas dasar untuk mempertontonkan kepada umum akan proses pilihanrya yang kotor. Kami tidak menjanjikan kemenangan dalam proses pengundian yang ada sekarang. Ugutan disingkir dari kolej, penggunaan nombor siri pada kertas undi dan pelbagai lagi taktik kotor bakal menghalang demokrasi pilihanraya kampus kali ini.

Maklumat terbaru menyebut terdapat cubaan membawa pengundi hantu untuk mengundi di UM setelah melihat perkembangan yang tidak menyebelahi mereka. Ini kerana ramai mahasiswa yang telah tidak ambil peduli akan pilihanraya kali ini dan kesempatan ini diambil untuk menggunakan pengundi hantu sebagai cara mudah untuk menang. Kita telah mengenal pasti mereka yang terlibat. Oleh itu kita perlu bersedia untuk menangani semua ini. Kempen dari kolej ke kolej dan dari fakulti ke fakulti juga mendapat halangan. Ia sebaliknya untuk calon ASPIRASI LALANG yang mendapat laluan mudah oleh dekan dan pengetua kolej untuk berkempen ditempat-tempat tersebut.

Perjuangan mesti tetap diteruskan. Kami akan bongkar satu persatu penyelewengan dan kami akan tunjukkan pada masyarakat luar betapa terdesaknya UMNO dan BN ingin menguasai kampus.

Penyertaan kami dalam pilihanraya juga bukan bererti kami mengiyakan kezaliman dan penindasan yang telah dilakukan terhadap rakan-rakan seperjuangan dari kampus-kampus seluruh Negara. Kami juga merasa peritnya. Tapi perlu diingat kita tidak boleh duduk dan terus memboikot pilihanraya sahaja. Kita mesti terus menongkah arus demi menegakkan keadilan dalam perjuangan ini. Kita mesti terus menyertai pilihanraya bagi memastikan wadah perjuagan ini terus diperjuangkan. Oleh itu kami menyokong tindakan berani mahasiswa UIAM menyaman pihak universiti. Kita perlukan lebih ramai lagi pejuang seperti mereka. Bangkitlah mahasiswa sekelian!

Dipetik dari Tranungkite


KESIHATAN ENDON YANG DISENYAPKAN


Oleh: Dr. M Bakri Musa - Laman M@RHAEN
________________________________________

Pada 1976 dulu, rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan berita kematian Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Sebelum itu tidak ramai rakyat Malaysia yang tahu betapa pemimpin yang mereka kasihi memang sudah lama sakit. Golongan professional dalam dunia perubatan yang merawat beliau dan juga orang-orang yang rapat dengan Tun telah memainkan peranan unggulan kerana berjaya memeram perihal dalaman beliau. Akan tetapi mereka telah mengecewakan rakyat negara ini. Rakyat marhaen tidak bersedia mendengar berita buruk itu. Kini kita mungkin telah bersedia menerima berita keadaan fizikal dan mental para pemimpin kita itu sebagai satu hak rakyat jelata. Rakyat jelata mesti diberitahu secara wajarnya akan perihal itu semua. Malahan, perihal kesihatan dan keadaan ahli keluarga Perdana Menteri turut menjejaskan hidupnya. Sudah tentu seluruh negara berhak mengetahuinya juga. Memang sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Endon, isteri Perdana Menteri Abdullah Badawi sedang menghidap penyakit barah payudara dan sedang menerima rawatannya di Los Angeles. Kita sentiasa mendoakan yang terbaik untuk beliau dan ahli keluarganya sepanjang penderitaan ini. Saya sendiri pun pernah memberi rawatan kepada ramai pesakit dan sedar apa yang mereka hadapi.

Setakat ini tidak ramai yang tahu apakah keadaan penyakit Endon sebenarnya Orang awam tidak berhak mengetahui rekod perubatan beliau, kerana itu akan melanggar rahsia seseorang pesakit. Sebaliknya, kenyataan yang begitu umum tidak boleh dianggap mencukupi.

Ketika Nancy Reagan menghidap barah payu dara semasa suami beliau masih menjadi Presiden Amerika, pakar perubatan beliau telah memberikan maklumat jelas akan penyakit yang dihidapinya termasuk tahap penyakit itu dan butiran rawatan yang diterima. Sebagai contoh, kita telah diberitahu betapa beliau menolak rawatan kemotrapi dan lebih sedia memilih agar payudara beliau dibuang sahaja. Itulah jenis terapi yang tidak berapa diperkenan semasa itu.

Pendedahan yang menyeluruh juga diberikan semasa Puan Betty Ford menghidap penyakit. Buat masa ini, kedua-dua Puan Reagan dan Puan Ford berada dalam keadaan sihat kerana penyakit yang mereka hidapi tidak memburukkan keadaan. Rakyat negara ini tidak pun diberikan jaminan yang perkara sama akan dinikmati oleh Endon.

Segala butiran kesihatan Presiden Bush dan Timbalannya Dick Cheney sudah pun disiarkan, penuh butirannya termasuk tahap kolesterol dan gerakan degupan jantungnya.

Kesan Kesihatan Terhadap Pendirian Diri

Ketua Eksekutif negara perlu membuat beberapa keputusan yang banyak kesannya. Rakyat jelata mempunyai hak mengetahui segala elemen yang mempengaruhi keputusan pendirian dirinya. Keadaan mental dan fizikal dirinya serta ahli keluarganya yang terdekat merupakan salah satu unsur elemen itu.

Akan tetapi dalam banyak hal perkara ini tidak diamalkan. Semasa Franklin D. Roosevelt mengalami penyakit lumpuh keadaannya sengaja tidak diberitahu kepada umum. Begitu juga dengan kisah Presiden Kennedy yang terlalu bergantung kepada steroids. Kita tidak akan tahu setakat mana keadaan perubatan yang telah mempengaruhi keputusan mereka.

Sejurus mengisytiharkan Perang Teluk Pertama dulu, Presiden George Bush Sr telah didapati mengalami penyakit ‘hyperthyroidism’ Sesiapa yang menghidap penyakit begini selalunya mudah naik angin dan menjadi panas baran. Apakah itu satu faktor yang tidak dikesan semasa beliau membuat keputusan yang begitu bermakna?

Sejarah manusia memang diwarnai pelbagai contoh bagaimana sesuatu penyakit yang dihidapi oleh keluarga pemimpin yang terutama menyebabkan berubahnya nasib sesuatu negara. Czar Russia yang terakhir, Nicholas dan isteri beliau, Alexandra, terlalu sibuk dengan penyakit yang dihidapi oleh anak lelaki tunggal mereka Alexis sehinggakan mereka telah mengabaikan urusan negara.

Setiap kali tercetusnya masalah peribadi, terutama di kalangan ahli keluarga yang rapat, segala urusan lain dianggap perkara sampingan sahaja. Kalau perkara begini mengena keluarga utama negara, maka segala urusan lain menyangkuti negara menjadi tersisih. Memang banyak pelbagai alasan kenapa jatuhnya Empayar Russia dan kejayaan Revolusi Bolshevik. Sudah tentu kisah Czar yang dirasuk oleh penyakit anak lelaki tunggalnya merupakan salah satu faktor itu.

Keadaan kesihatan para pemimpin dan ahli keluarga mereka yang terdekat sudah tentu membawa kesan kepada keupayaan si pemimpin membuat keputusan mengenai urusan negara, lantas rakyat jelata mempunyai hak mengetahui keadaan mereka.

Malahan bukan itu sahaja. Ketika tercetusnya krisis di Watergate, Presiden Nixon berada dalam keadaan sibuk menangani kemungkinan dia dipecat. Ketika itu telah diwujudkan pelbagai rencana kontinjensi seandainya beliau tertekan dan membuat keputusan yang songsang. Perkara ini dianggap penting kerana dunia ketika itu sedang mengharung Perang Dingin.

Pendedahan mengenai kesihatan sahaja tidak mencukupi kerana ia juga mesti melibatkan perkara lain termasuk perniagaan. Buat masa ini perihal pembabitan anak Kofi Anan dalam urusan kewangan sedang hangat diteliti. Ketika Margaret Thatcher menjadi Perdana Menteri, terdapat kejadian yang sama membabitkan anak-anak beliau yang semakin dewasa. Di Malaysia baru-baru ini terdapat minat orang ramai terhadap syarikat Scomi yang dimilikki oleh anak lelaki perdana menteri. Syarikat tu dikatakan membuat alat yang boleh dijadikan senjata nuklear.

Apabila salah seorang anak lelaki Tony Blair melanggar undang-undang, kisahnya telah disiarkan untuk pengetahuan umum. Begitu juga dengan kisah salah seorang anak kembar Bush yang menggunakan kad pengenalan palsu untuk membeli minuman keras di satu bar tempatan. Tujuan utama pendedahan semacam itu bukanlah untuk memalukan keluarga pertama (walaupun perkara itu terjadi juga). Ia adalah bertujuan memberitahu rakyat jelata betapa kemungkinan wujudnya elemen yang mungkin menjejaskan keadaan minda pemimpin berkenaaan.

Wujud satu rumusan betapa perkara yang terjadi kepada anggota keluarga pemimpin utama (ataupun apa juga keluarga lain) memang membawa kesan keatas ketua keluarga itu. Sekaligus ia akan mempengaruhi proses membuat pendirian diri.

Tidak ramai pemimpin mampu mengasingkan masalah mereka seperti yang terjadi kepada Presiden Bill Clinton. Ketika beliau menghadapi proses pemecatannya, dia masih mampu mengurus negara seoalah-olah tidak ada seusutu yang berlaku pada dirinya. Setidaknya itulah keadaan yang kelihatan darinya. Hakikatnya adalah amat berbeza. Dia sebenarnya semakin menjadi tidak berkesan baik dari segi kuasa seorang Presiden mahupun daripada segi moral.

Maklumat Mengenai Kesihatan Endon Yang Sengaja Dipengapkan

Rakyat Malaysia tidak tahu sangat akan keadaan barah yang sedang dihidapi oleh Endon. Tentu kita semua mendoakan agar beliau akan beransur pulih. Sudah lama beliau berenggang daripada suaminya. Selama berbulan mereka berenggang itu sudah tentu mencetuskan ketegangan kepadanya dan juga Perdana Menteri. Tekanan emosi tentu begitu tinggi.

Perdana Menteri Abdullah Badawi ternyata tidak tenang dan sentiasa terganggu. Beliau kerap mengadakan lawatan keluar negara, dan semasa berada di negara sendiri dia kerap berada di luar pejabatnya. Banyak usaha utama tidak beliau praktikkan secara berkesan. Contohnya ialah usaha memerangi rasuah dan pemulihan pasukan polis. Menteri Wilayah Persekutuan beliau, walaupun sudah didapati bersalah dengan politik wang, masih lagi menerima gajinya daripada kerajaan. Suruhanjaya Diraja Polis sudah lama mengemukakan laporannya, tetapi tidak ada banyak perubahan. Semua ini adalah pertanda bagaimana seorang insan sedang dirasuk masalah lain. Ini bukannya satu pendapat ‘psychoanalysis’ yang amatur dari pihak saya, tetapi ia adalah penelitian mudah yang bersahaja.

Malangnya, rakyat Malaysia tidak berapa tahu hal ehwal kesihatan isteri beliau dan bagaimana keadaan kesihatan si isteri itu membawa kesan kepada pemikirannya sebagai seorang Perdana Menteri. Kalaulah berlaku sesuatu tragedi persendirian, apakah rakyat jelata mendapat jaminan akan ada rencana kontinjensi untuk mengelak kejadian semacam itu?
Kita mungkin bersimpati dengan Perdana Menteri dan ahli keluarganya, akan tetapi pihak yang diamanahkan mentadbir negara harus sedar bahawa keselamatan negara tidak boleh digadai begitu sahaja. Rakyat Malaysia mesti mendapat jaminan ini. Kesediaan memahami isu yang sensitif ini pada tahap awalannya adalah langkah pertama yang dapat meyakinkan rakyat jelata bahawa kita memang sudah lama bersiap sedia.


MENTERI YANG TAKUT UNTUK BERTANGGUNGJAWAB MESTI DISINGKIRKAN


BUKIT KATIL 29 SEPT: Dewan Pemuda Bukit Katil menggesa PM, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menyingkirkan mana-mana menteri kabinet yang takut untuk bertanggungjawab atas apa juga penyelewengan dan salah laku samada melibat pegawai-pegawai kementeriannya apatah yang dilakukan oleh menteri itu sendiri.

DPPK Bukit Katil memandang berat keengganan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Rafidah Aziz yang sehingga ke hari ini enggan menjawab permasalahan AP di Parlimen. Keengganan beliau untuk menjawab segala persoalan AP di Parlimen menjelaskan kepada kita seolah-olah ujudnya penyelewengan dan salah laku dalam pembahagian AP ini.

Kabinet semalam mengarahkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, menghadiri sidang Dewan Rakyat bagi menjawab semua pertanyaan yang diajukan kepadanya berhubung isu permit import (AP) kereta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata jemaah Menteri pada mesyuaratnya semalam membincangkan perkara itu dengan panjang lebar dan memutuskan Rafidah perlu memberi penjelasan sebelum sidang penggal kedua Dewan Rakyat sesi ke-11 berakhir 8 Disember ini.

"Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini sudah mengesyorkan supaya menteri Kabinet memberi keutamaan menjawab isu penting berhubung kementerian masing-masing di Parlimen," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

DPP Kawasan dengan ini menggesa Pak Lah menyingkirkan Rafidah dari kabinet dan menggantikan beliau dengan pengganti yang lebih bertanggungjawab, telus dan berwibawa. Sudah sampai masanya kebongkakan Rafidah ini dihentikan. Rafidah yang sudah menganggotai kabinet lebih dari 20 tahun seolah-olah kebal dan berani membuat keputusan sendiri dalam hal yang besar seperti.

Ketua Pemuda DPPK Bukit Katil, Haji Selamat Aman yang menghubungi blog ini pagi ini menjelaskan DPP samada negeri dan kawasan tidak teragak-agak untuk membuat demonstrasi supaya Pak Lah memecat Rafidah dengan serta merta supaya isu ini tidak berpanjangan.

Rafidah kini menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi Asean di Viantiane, Laos dan dijangka kembali 1 Oktober ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menjelaskan, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Samsudin Osman sudah dimaklumkan mengenai keputusan Kabinet dan diminta menyampaikan arahan itu kepada Rafidah.

Katanya, Kabinet sudah dimaklumkan mengenai ketidakpuasan ahli Parlimen terhadap penjelasan Rafidah mengenai isu AP dan ketidakhadiran menteri berkenaan menjawab sendiri soalan berkaitan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, tindakan kementerian berkenaan mendedahkan senarai Ahli Parlimen yang menerima AP tanpa menjelaskan bahawa Ahli Parlimen, seperti juga warga Malaysia lain, berhak dapat satu AP seumur hidup untuk membawa masuk kereta, turut menimbulkan kekesalan mereka.

"KSN memberitahu Kabinet bahawa senarai Ahli Parlimen yang menerima AP itu sebenarnya tidak perlu disertakan dalam jawapan bertulis kementerian berkenaan kepada soalan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.

“Senarai Ahli Parlimen yang menerima AP tidak ditanya dan pegawai bertanggungjawab mungkin dikenakan tindakan," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen.

Mohamed Nazri berkata, Ahli Parlimen berpendapat menjadi tanggungjawab Rafidah untuk hadir sendiri di Dewan Rakyat bagi menjelaskan isu berkenaan dan tidak lagi menggunakan taktik kotor untuk menutup mulut mereka.

Mohamed Nazri berkata pada persidangan Dewan Rakyat lalu, Perdana Menteri mengarahkan setiap menteri menjawab sendiri soalan yang dikemukakan di Parlimen sekiranya ada isu besar berkaitan kementerian masing-masing dan arahan itu masih berkuat kuasa.

Katanya, Rafidah boleh mendapat gambaran jelas mengenai rentetan apa yang berlaku sejak minggu lalu menerusi hansard dan minit mesyuarat jemaah Menteri sebelum membuat penjelasan di Parlimen.

Sementara itu, Rafidah ketika dihubungi sebuah akhbar harian menerusi sistem SMS di Vientiane petang semalam enggan mengulas perkara itu.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59