Friday, 16 September 2005

22 PENIAGA BAZAR MARA DIARAHKAN BERPINDAH, ARAHAN TIDAK MASUK AKAL - HAMZAH


MELAKA 16 Sept : Seramai 22 peniaga yang menyewa di Bazar MARA Jalan Laksamana, terkejut apabila menerima notis bertarikh 8 September lalu yang meminta mereka mengosongkan kedai masing-masing, berkuatkuasa 30 September ini.

Seorang peniaga yang enggan namanya disiarkan menyatakan bahawa, peniaga menerima notis tersebut yang diserahkan melalui tangan. Semua peniaga terbabit tidak diberitahu terlebih dahulu mengenai arahan mengosongkan kedai mereka. Kandungan surat berkenaan juga tidak menyatakan alasan mengapa mereka diminta keluar daripada situ. Katanya, mereka tidak menyangka arahan seperti itu dikeluarkan kepada peniaga terutama dengan notis yang sangat pendek iaitu masa 21 hari saja.

Peniaga-peniaga difahamkan bahwa mereka akan dipindahkan ke Melaka Sentral yang sekarang mempunyai banyak kedai kosong tidak berpenyewa. Menurutnya, kawasan bazar di Jalan Laksamana ini adalah satu-satunya kawasan peniaga Melayu yang beroperasi secara berkelompok.

Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Hamzah Yusof dalam kenyataan berhubung isu ini menyatakan bahawa cara MARA mengeluarkan arahan seperti itu dianggap sebagai suatu penindasan tehadap peniaga-peniaga terbabit. Difahamkan, peniaga terbabit sudah mengadakan perjumpaan dengan pihak Mara negeri dan arahan berkenaan dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Kita khuatir arahan ini ada mempunyai muslihat tertentu iaitu untuk memenuhkan kedai yang banyak kosong di Melaka Sentral, ujar Hamzah.

Janganlah peniaga-peniaga ini dijadikan mangsa semata-mata untuk menunjukkan kejayaan kerajaan negeri memajukan Melaka Sentral yang sekarang ini dilihat masih belum mendapat sambutan dari orang ramai, tambah Hamzah.

Peniaga-peniaga itu sudah pasti terpaksa berbelanja lebih untuk berpindah dan mengubahsuai kedai baru nanti, ujar Hamzah.

Kawasan baru tersebut juga belum tentu mempunyai pelanggan yang ramai sebagaimana tempat asal mereka sekarang iaitu di Bazar tersebut, jelas Hamzah lagi.

Kita menggesa MARA menarik balik arahan perpindahan ini demi untuk menjaga kebajikan pelanggan mereka iaitu penyewa-penyewa bazar tersebut. Janganlah MARA dijadikan kuda tunggangan kerajaan negeri semata-mata untuk menjaga nama baik kerajaan negeri Melaka yang dilihat gagal memajukan Melaka Sentral setakat ini.




Bukit Katil 16 Sept : PAS Kawasan Bukit Katil akan menjalankan beberapa aktiviti sempena menyambut bulan Ramadhan Al-Mubaraq ini, demikian kenyataan yang dibuat oleh NYDP Kawasan Tuan Haji Ali Sharif (gambar atas) kepada blog ini semalam. Antara program yang diatur ialah tazkirah ramadhan, kuliah subuh, iftar bersama pemimpin, bantuan kebajikan, muqayyam, ceramah Badar Al-Qubra, kad ucapan dan sebagainya. Untuk itu Tuan Haji Ali mengingatkan semua cawangan-cawangan PAS dalam Kawasan Bukit Katil supaya sentiasa memberikan kerjasama kepada semua program yang dianjurkan nanti. Sehubungan dengan itu satu sessi taklimat kepada semua Ketua, Setiausaha dan Bendahari Cawangan-Cawangan akan diadakan di Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil pada 24 September ini bermula pada jam 9.00 malam, tambah Haji Ali yang juga merupakan pengerusi jawatankuasa sambutan Ramadhan Kawasan.
 Posted by Picasa


CURI RM1 KENA PENJARA 5 BULAN, CURI RM2,627 KENA SEHARI - RENUNGKAN BETAPA TIDAK ADIL UNDANG-UNDANG MANUSIA


Ruangan surat anda dalam Harakahdaily menyiarkan tulisan yang dihantar oleh insan kerdil yang bertajuk di atas. Terbayang oleh saya betapa tidak adilnya undang-undang ciptaan manusia. Itu belum lagi kita merujuk kepada kes-kes 'songlap' wang rakyat yang melibatkan 'orang tertentu' yang berkedudukan serta bagaimana penyelewengan lain yang jauh lebih besar nilainya.

Orang-orang yang dituduh terlibat senang-lenang hingga ke hari ini. Inilah yang kita katakan undang-undang sarang labah-labah. 'Serangga atau binatang besar' boleh terlepas dari sarang labah-labah tetapi serangga kecil yang tidak berkuasa dan bertenaga terlekat. Renungkanlah........

Ikuti tulisan INSAN KERDIL dibawah ini.......

Saya merujuk dua berita mahkamah yang disiarkan akhbar 'Utusan Malaysia'(edisi internet) bertarikh 7 September 2005.

Berita pertama: Di Mahkamah Majistret PJ - Gara-gara mencuri RM1 - dihukum penjara 5 bulan.

Berita Kedua: Di Mahkamah Majistret KL - Gara-gara mencuri RM2,627 - dipenjara 1 hari.

Saya menggeleng-geleng kepala ketika membaca berita-berita ini. Betapa berbezanya hukuman dikenakan.

Sebagai insan bukan pakar undang-undang, saya hanya mengemukakan perkara ini tetapi tidak mahu mengulas. Cuma saya mendoakan agar hukum-hakam Islam tertegak di negara yang saya cintai ini.

Terserahlah kepada pembaca untuk membuat tafsiran. Hanya Allah yang mengetahui segala-galanya. Amin.


BERBEZA PENDAPAT JANGAN SAMPAI MEMBAWA REBAH


ROSLAN SMS MENULIS....................'


Saya menerima banyak email dan sms hari ini berkenaan satu kenyataan akhbar yang saya kira sedang hangat diperbincangkan oleh banyak pihak termasuklah kawan dan lawan.

Berita yang dimaksudkan adalah kenyataan akhbar Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Harun Taib yang dikatakan membantah tindakan kerajaan Pas Kelantan menjemput juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi mengadakan persembahan di negeri itu.

Ramai yang keliru, ramai juga yang tertanya-tanya, bagaimanakah PAS sebagai sebuah parti politik Islam sebenarnya beroperasi?

Menteri Besarnya yang bertaraf Mursyidul Am telah mengumumkan penganjuran majlis berkenaan dengan persetujuan ahli-ahli EXCO nya. Majlis tersebut kemudiannya menerima endorsement ataupun persetujuan Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam beberapa siri ceramah rasminya.

Tiba-tiba Ketua Dewan Ulamaknya berkata Dewan Ulamak tidak dapat menerima malah membantah usaha kerajaan negeri Kelantan itu.

Sebelum ini kita mendengar Dewan Muslimat PAS bersetuju dengan langkah kerajaan Kelantan dan sokongan turut diterima dari Ketua Penerangan Pusat dan kebanyakan pimpinan Pusat yang lain. Jadi apakah yang sebenarnya telah berlaku?

Orang ramai bertanya, apakah sebenarnya pendirian PAS sekarang?

Isunya di sini adalah perbezaan pandangan, namun apakah kesudahannya?

Mursyidul Am PAS yang juga MB Kelantan telah mengeluarkan kenyataan yang berbunyi:

Insya Allah selamat, selagi Islam ni dikawal oleh ulamak sama ada yang berpakaian jubah atau seluar biasa, selagi dia berjiwa ulama, Insya Allah aktiviti manusia itu akan selamat.

Sementara itu di Subang Jaya sebentar tadi ketika memberikan respon terhadap isu yang sama Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Naib Presiden PAS Dato Dr Hassan Ali telah berkata bahawa PAS Selangor menganggap bahawa perjuangan PAS ini adalah berpandukan dua dasar yang kukuh iaitu pertama dakwah dan kedua politik.

Oleh itu pada pandangan PAS negeri, rasional Tok Guru Mursyidul Am dalam isu ini sungguh bertepatan dan berpadanan sangat dengan kedua-dua dasar tersebut. Tok Guru menjemput Mawi ke Kelantan kerana ianya memiliki implikasi politik yang positif dan sebagai kaedah dakwah terhadap anak-anak muda di Kelantan. Kelantan telah dan sedang cuba menghidupkan budaya akhlak konsert yang berbeza dari amalan di negeri-negeri lain lalu usaha ini sewajarnya disokong oleh semua pihak.

Ditanya oleh pemberita berkenaan kenyataan Ustaz Harun dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini Dr Hassan mengatakan bahawa itu adalah bukti betapa kebebasan pandangan diraikan dalam PAS.

Dalam kenyataan yang berbeza Ketua Dewan Pemuda PAS pula dalam Malaysiakini berkata:

This is parallel to our stand on embracing the youth. We must love them and not isolate them. Involving alternative artistes would be useful to such attempts. I always look forward to pro-active approaches by PAS.

(Langkah Kelantan) ini adalah bertepatan dengan usaha kami medekati golongan remaja. Kita mesti kashi kepada mereka dan jangan sekali-kali mengasingkan diri dari mereka. Mendapatkan khidmat artis alternative dalam usaha ini dikira sangat penting. Saya sentiasa mengalu-alukan sebarang langkah pro aktif PAS dalam hal ini.

Dan terbaru Harakahdaily melaporkan bahawa:

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yakin Konsert Tautan Kasih yang bakal dipersembahkan di Kelantan nanti berlainan dengan konsert-konsert hiburan yang dianjurkan di tempat lain. Lagipun, ia dibuat berdasarkan undang-undang yang digubal dan dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri Kelantan yang ada iaitu Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Demikianlah concern nya semua pihak dalam hal ini. Namun jika pimpinan tertinggi telah membuat keputusannya maka adab berjemaah menuntut kita agar akur dan patuh.
Kita boleh berbeza pandangan tetapi akhirnya cuma satu keputusan sahaja yang patut kita ambil, patuhi dan zahirkan.

Dalam suasana genting ini teringat saya kepada ucapan dasar Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pada Muktamar PAS ke 47 tahun 2001 dahulu:

Kita juga harus jelas apakah perkara yang tetap dan prinsip yang tidak mengalami perubahan walau apa pun pergolakan dunia ini. Inilah perkara-perkara tetap atau at thawabit yang perlu dipelihara dengan segala sifat cemburunya. Secara dasarnya ia menyinggung persoalan aqidah, syariat dan moral. Adapun dari sudut perlara-perkara yang yang boleh berubah mengikut peredaran zaman dan tamaddun, maka ulamak harus menunjukkan bimbingan yang bijak atas perkara –perkara yang berubah ini (al muthaghayirat). Kita tidak perlu syadidi (keras) tetapi sempit dalam perkara yang tidak menuntut sikap yang sedemikian khasnya dalam suasana negara yang bermasyarakat majmuk dan dalam perhubungan praktik antara amalan budaya dan agama.

Ucapan dasar bertajuk Menyanggah Serangan Menjana Kemenangan ini untuk rekod telah dipersetujui dan diterima sebulat suara oleh para perwakilan muktamar tahun itu.

PAS perlu menangani isu ini dengan penuh hikmah dan jangan mudah gelabah. Kewibawaan dan kredibiliti Mursyidul Am, Presiden dan Timbalan Presiden yang ketiga-tiganya ulamak belaka perlulah dipelihara dan dihormati.

Masyarakat mengharapkan PAS menjadi penyelamat ummah, membawa formula penyelesaian kepada berbagai permasalahan ummah dan bukan sebaliknya. Pandangan yang berbeza perlulah disuarakan dalam forum dalaman namun akhirnya apabila pimpinan tertinggi telah membuat keputusan dan menetapkan sikap maka siapa sahaja samada yang setuju ataupun yang tidak perlulah akur dan taat.

Kita tidak mampu melihat bumi Islam Kelantan gugur dari genggaman setelah kita lalai di Terengganu. Fikirlah.
 Posted by Picasa


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59