Friday, 26 August 2005

Umno lain mahkamah lain: Pak Lah


Roslan SMS menulis..........

Isu Pak Lah tegur para pemimpin Gerakan yang sedang hangat berkempen menghadapi pemilihan parti itu hujung minggu ini menjadi tajuk utama hampir semua akhbar tempatan hari ini. Dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Umno Pak Lah dilaporkan menasihatkan para pemimpin Gerakan agar menyerahkan segala-galanya kepada para perwakilan mereka nanti.

Besar sungguh concern Pak Lah terhadap Gerakan itu sehingga ia menggerhanai satu lagi persoalan sensasi yang dikemukakan kepada beliau oleh para pemberita dalam sidang akhbar tersebut.



Pak Lah telah diminta memberi reaksi terhadap pandangan Rais Yatim (yang disiarkan dalam akhbar Siasah) bahawa kes pemecatan Anwar Ibrahim dari Umno perlu disemak semula lantaran keputusan mahkamah sivil yang menolak samasekali seluruh isi kandungan buku karangan Khalid Jafri 50 Dalil Menapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

Buku inilah merupakan bahan bukti utama dalam kes pemecatan Anwar dahulu semasa Dr Mahathir masih Presiden Umno.

Minggu lalu hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Hishamudin Mohamad Yunus telah memerintahkan agar Khalid Jafri membayar gantirugi sebanyak RM4.5 juta kepada Anwar Ibrahim kerana akibat dari tulisan buku beliau itu karier politik Anwar telah musnah sedangkan kandungannya fitnah semata-mata.

Malah dalam bulan Julai lalu hakim Mahkamah Sesyen Ampang Mohamad Saman Mohamed Ramli telah menjatuhkan hukuman 1 tahun penjara ke atas Khalid kerana bersalah di bawah seksyen 8A (1) Akta Mesin Cetak 1984. Kesalahnnya kerana mencetak malumat palsu di dalam buku beliau itu.

Ekoran perkembangan ini Rais secara jujur menyatakan perlunya kes pemecatan Anwar dari Umno pada tahun 1998 dahulu disemak semula.

Pak Lah jelas tidak bersedia memberikan sebarang reaksi melainkan berkata sebagaimana dilaporkan UTUSAN hari ini:

Kes-kes yang berkaitan dengan disiplin itu bukan perkara yang boleh dibawa ke mahkamah

Menurut laman web Malaysiakini Pak Lah turut berkata:

The sacking has happened and it cannot be changed. This was Umnos decision at that time and the court made its decision later.

Pemecatan itu telah pun berlaku dan ianya tidak boleh diubah lagi. Itu merupakan keputusan Umno ketika itu dan keputusan mahkamah ini hanya dibuat kemudian.

Sekaligus Pak Lah menafikan kesediaan untuk menyemak semula sesuatu keputusan berdasarkan bukti atau perjumpaan baru. Maka tertutup rapatlah pintu rayuan dan kemaafan dalam Umno walaupun terbukti keputusannya yang lepas itu juga palsu dan fitnah semata-mata!

Mana-mana sistem keadilan yang bertamaddun biasanya akan memberi peluang membuka kembali sesuatu kes jika terdapat penemuan baru yang mencabar bukti yang terdahulu. Hatta mayat yang telah ditanam atau disempurnakan pengkebumiannya pun boleh digali balik sekiranya terdapat bukti mengatakan ada perlakuan jenayah terhadap simati sebelum ia meninggal dunia.

Malang dalam Umno, parti yang pemimpinnya sedang ghairah mengejar kemajuan duniawi, rupa-rupanya sistem keadilannya sendiri tidak maju malah statik dan jumud. Sultan Melaka dahulu pun bersedia menyemak kembali keputusannya menghukum bunuh Hang Tuah inikan pula Presiden Umno, satu-satunya parti Melayu yang terbesar dalam dunia.

Lucunya apabila para pemberita terus menekan beliau, Pak Lah yang memang terserlah dalam bab menepis dan mencucui tangan itu berkata, sebagaimana dilaporkan oleh THE SUN:

You have to ask Rais about it. This is a court decision and has nothing to do with Umno matters.

Itu awak kena tanya Rais. Ini melibatkan keputusan mahkamah dan tidak ada kena mengena dengan masalah Umno.

Demikianlah al kisah parti Melayu terakhir dalam dunia, walaubagaimanapun saya yakin Datuk Seri Anwar sendiri pun tidak berminat langsung kembali ke riba Umno, cuma ini masalah prinsip, dan dari kenyataan Pak Lah di atas jelas beliau tidak memiliki prinsip langsung.


DPP Cawangan Taman Cempaka anjurkan Kejohanan Pingpong 3 Sept ini.



Bukit Katil 25 Ogos : Dewan Pemuda PAS Cawangan Taman Cempaka akan menganjurkan kejohanan Pingpong pada 3hb. September ini bertempat di Balai Islam Taman Cempaka. Kejohanan ini terbuka kepada semua pemuda-pemuda di sekitar Kawasan Bukit Katil. Hadiah-hadiah lumayan akan disediakan kepada para pemenang. Kepada sesiapa yang berminat sila hubungi Haji Rizal ditalian 019-682 1621.  Posted by Picasa


KEMERDEKAAN INI TIDAK MEMBAWA APA-APA ERTI BUAT AKU



Gambar Hiasan Posted by Picasa


Sambutan kemerdekaan pada tahun ini adalah perayaan kali ke-48. Kalau hendak diibarat umur 48 tahun kepada seorang manusia maka manusia itu adalah manusia yang telah matang dan mungkin telah mempunyai cucu.

Tetapi bagi aku, kemerdekaan ini tidak membawa apa-apa erti kerana terlampau banyak undang-undang, peraturan, perlakuan dan tindak-tanduk kerajaan Islam Hadhari ini yang tidak melambangkan Malaysia sebagai negara merdeka.

Kemerdekaan itu hanyalah pada nama yang gah sahaja. Pengisiannya jauh meleset dari erti kemerdekaan sebenar. Bila kita bercakap soal kemerdekaan, ianya sudah tentu merangkumi segenap aspek. Kemerdekaan dari segi undang-undang, kebebasan rakyat, kebebasan ekonomi, kebebasan politik, kebebasan pendidikan, kebebasan bersuara, kebebasan agama dan segala macam lagi.

Tetapi apabila dihalusi apa yang sedang berlaku di Malaysia sekarang kita dapat membuat kesimpulan bahawa kemerdekaan kita adalah 'separuh masak' dengan meminjam kata-kata YB Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Mana tidaknya sekarang ini negara kita masih mengamalkan undang-undang penjajah yang digubal oleh Lord Reid. Sedangkan sepatutnya Malaysia sebagai sebuah negara 'Islam'mestilah mengamalkan undang-undang Islam yang diturunkan oleh Allah.Jadi Malaysia belum merdeka kerana masih mengamalkan undang-undang penjajah. Cuma penjajah sahaja yang tidak lagi memerintah tetapi undang-undang mereka masih didaulatkan.

Rakyat masih belum mengecapi kemerdekaan sebenar. Mahasiswa masih dibelenggu dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang benar-benar mengongkong pelajar untuk menjadi kreatif, dinamis dan pro-aktif. Rakyat dikongkong dengan pelbagai akta-akta drakonian yang sudah lapuk malah bertentangan dengan Islam. Akta keselamatan dalam negeri (ISA) yang membolehkan seseorang ditahan tanpa bicara masih digunapakai untuk mempertahankan kuasa politik pemerintah.

Kebebasan bersuara boleh dikatakan berada ditahap yang teruk. Akhbar-akhbar alternatif masih di'gam' dengan hanya dibenarkan pengeluarannya seminggu sekali (HARAKAH dan SIASAH) itupun boleh dijual untuk ahli sahaja. TV dan Radio hanya digunakan oleh kerajaan untuk menghentam pembangkang. Pembangkang tidak diberi peluang untuk mendapat hak yang sama seperti kerajaan.

Pendidikan rakyat juga dikongkong. Sekolah-sekolah agama tidak mendapat hak bantuan perkapita. Tadika-tadika Islam yang dianjurkan oleh PAS atas nama program parti disaman dan ditekan. Pada masa yang sama ada tadika-tadika yang dikendalikan oleh orang perseorangan yang tidak didaftarkan dibiarkan bebas tanpa gangguan.

Rumah-rumah rakyat yang dibina diatas tanah TOL dirobohkan. Lesen Penempatan Sementara (TOL) tidak diperbaharui. Lebih parah lagi Masjid dan surau juga dirobohkan atas alasan menjalankan kegiatan politik. Sedangkan kalaupun ia Markaz Politik sekalipun ia masih beroperasi kerana parti politik itu berdaftar secara sah.

Kemerdekaan ekonomi juga menjadi tanda tanya kerana projek-projek dan kontrak-kontrak hanya dibolot oleh orang yang rapat dengan pemerintah. Peniaga-peniaga yang cenderung dengan pembangkang jangan harap untuk dapat projek-projek kerajaan. Itu sebabnya DEB bungkus.

Kegiatan-kegiatan politik seperti ceramah, makan malam, perjumpaan dan sebagainya yang dianjurkan oleh pembangkang dihalang dengan menggunakan alasan keselamatan. Polis dipaksa untuk menyuraikan program pembangkang dengan menyembur gas pemedih mata, air dan sebagainya. Program-program ini juga tidak diberikan permit walaupun dipohon oleh penganjur. Hak untuk menggunakan premis-premis seperti stadium, tempat-tempat awam juga dinafikan.

Ceramah-ceramah agama dimasjid juga dihalang atas alasan penceramah tidak ada tauliah. Sedangkan ada diantara penceramah yang berkelulusan Univerisiti Al-Azhar, Mesir. Masjid dibiarkan layu dan longlai tiada program.

Pegawai-pegawai kerajaan juga dikongkong dengan AKU JANJI yang menekan mereka supaya diam seribu bahasa dalam apa juga perkara samada penyelewengan, salah laku dan sebagainya.

Rakyat juga diugut supaya sentiasa menyokong kerajaan dalam setiap kali pilihanraya. Macam-macam ugutan yang dilakukan seperti dibuang kerja, anak tak dapat bantuan, ditukar tempat kerja, tiada kenaikan pangkat dan macam-macam lagi. Rakyat juga disogok dengan wang, barangan dan sebagainya supaya mengungi kerajaan.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) juga dikongkong dan tidak merdeka. Persempadanan kawasan pilihanraya bukanlah hak mutlak SPR. Undang-undang berkaitan pilihanraya juga dikawal dan dikongkong oleh kerajaan. Sedangkan kita tahu sepatutnya SPR bebas sebebasnya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa. Tetapi SPR masih diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri.

Rakyat juga dinafikan hak untuk berkumpul dalam jumlah tertentu. Ini bersalahan dengan Akta Polis.
Segala macam kesalahan dan penyelewengan kerajaan boleh ditutup dengan ujudnya Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Kalau kita cerita hal kebebasan ini satu hari satu malam pun tidak habis kerana terlampau perkara yang boleh diperkatakan. Secara ringkas aku langsung tidak bangga dengan kemerdekaan ini kerana aku sebenarnya tidak merdeka.

Suara, tindak tanduk, idea, pemikiran, kreativiti yang ada pada aku sebenarnya dipenjarakan. Pengalaman aku sejak kecil, bersekolah, menuntut di Universiti, bekerja, menjadi aktivis politik dan sebagai rakyat biasa mengajar aku bahawa aku tidak merdeka.

Bilakan aku dapat mengecapi kemerdekaan sepenuhnya masih belum aku ketahui. Takut rasanya aku nak meramalkan bilakah saat manis itu akan kunjung tiba kerana melihat kepada suasan sekarang ianya bukan lebih baik tetapi semakin parah.

Inilah malangnya nasib rakyat Malaysia yang berada dibawah pemerintahan Kerajaan Islam Hadhari yang mengamalkan pemerintahan ala kuku besi yang 'pepat diluar rencong di dalam'.

Catatan : Akif Fikri (Angkasa Nuri 2005)


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59