Monday, 8 August 2005

ULAMA TIADA RUANG UNTUK JELASKAN PERKARA SEBENAR & ULAMA SEPAKAT TIDAK SETUJU PEMBERIAN KONDOM PERCUMA - ABU HASSAN DIN


Kuala Lumpur : Pegawai Agama Istana Negara Us. Abu Hassan Din Al-Hafiz berkata, dalam al-Quran jelas adanya larangan supaya menjauhi zina kerana ia perkara buruk, keji dan menjijikkan, terutama bagi yang bersuami atau beristeri. Ianya jelas haram walau apapun alasan yang diberi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta pada Seminar mengenai Pelacuran Dari Kacamata Islam dan Pelacuran Sebagai Satu Jenayah Terancang anjuran Unit Kajian Wanita Untuk Pembangunan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, semalam.

Ditanya mengapa ulama berdiam diri apabila isu itu ditimbulkan, Abu Hassan berkata, ulama tiada ruang dan ramai orang yang tiada kepakaran mempunyai saluran untuk menyuarakan pendapat individu.

“Inilah yang berlaku hingga ada individu berpendapat azab neraka tidak wujud, sedangkan perkara itu dijelaskan dalam al-Quran,” katanya.

Mengulas cadangan memberi kondom, jarum suntikan dan methadone untuk penagih dadah dan penghidap HIV/Aids sebagai langkah mengurangkan kadar jangkitan virus HIV menjelang 2015 yang dijangka dilaksanakan Kementerian Kesihatan mulai Oktober ini, Abu Hassan berkata, isu itu menimbulkan perdebatan hangat di kalangan ulama yang diminta memberi pendapat selepas ia diputuskan.

“Dalam mesyuarat untuk membincangkan cadangan itu, ulama bersepakat tidak bersetuju kerana tindakan itu seolah-olah menggalakkan mereka terbabit dalam kegiatan itu secara meluas.

“Mungkinkah penagih boleh mengikut arahan, menggunakan jarum suntikan untuk dirinya seorang saja. Malah, jika diberi kondom, mungkin mereka yang terbabit juga tidak menggunakannya, silap-silap ia dijual,” katanya.

Panel lain ialah Asisten Superintendan (ASP) Noraini Sa’at dari Bahagian Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dan Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang UIAM, Prof Madya Dr Najibah Mohd Zin.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59