Thursday, 28 July 2005

MBMB LEMAH : TIADA TINDAKAN KEATAS PEMILIK BANGLO WALAU GAGAL BAYAR CUKAI 10 TAHUN


MELAKA: Harian Metro hari ini melaporkan bahawa terdapat sebanyak 15 banglo di beberapa kawasan elit bandar ini bakal disita Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berikutan keengganan pemiliknya menjelaskan cukai taksiran sejak beberapa tahun lalu.

Menurut laporan itu rumah berkenaan terletak di Melaka Perdana, Bukit Beruang Height, Jalan Datuk Palembang, Jalan Paya Ikan, Tiara Golf Resort dan Jalan Penghulu Abas. Seorang pemilik rumah berkenaan didakwa gagal menjelaskan cukai taksiran kediamannya itu sejak 10 tahun lalu dan kini tunggakannya sudah berjumlah RM15,000. Datuk Bandar, Datuk Zaini Md Nor, berkata tinjauan MBMB terhadap kediaman berkenaan mendapati ia masih diduduki. Katanya, sebahagian besar rumah berkenaan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah kereta mewah.

“Apa yang menghairankan, mengapa mereka gagal menjelaskan cukai taksiran, sedangkan mereka mampu memiliki rumah serta kehidupan yang mewah?

“Terdapat beberapa rumah berkenaan hanya terletak 500 meter sahaja daripada Graha Makmur, itupun pemilik atau penghuni masih gagal menjelaskan cukai taksiran dalam tempoh dua kali setahun,” katanya kepada Harian Metro, di sini semalam.

Zaini berkata, beliau masih belum mengetahui punca mereka tidak menjelaskan cukai taksiran itu sama ada sengaja berbuat demikian atau terlalu sibuk.

“Semua cukai taksiran tertunggak itu berjumlah RM55,000 dan secara purata kebanyakan mereka tertunggak sebanyak RM2,000 untuk tempoh beberapa tahun.

Ketua Penerangan DPPN Melaka, Sdr. Yuhaizad Abdullah ketika diminta mengulas perkara ini berkata, perkara jelas menunjukkan bahawa pentadbiran MBMB amat lemah sehingga gagal bertindak terhadap mereka ini.

"Kita hairan bagaimana perkara ini terjadi sedangkan MBMB yang sering dikatakan mempunyai kakitangan yang cekap dan dedikasi" tambah beliau.

Seperkara lagi jelas beliau ialah bagaimana MBMB tidak sedar akan hal ini sedangkan MBMB dilengkapi dengan peralatan canggih seperti ICT, pasukan penguatkuasa dan sebagainya. Banglo-banglo yang terlibat juga sebenarnya terletak tidak jauh dari Pejabat MBMB sendiri, jelas beliau yang juga merupakan Naib YDP PAS Jasin.

Yuhaizad juga melahirkan kekesalannya dengan kelemahan ini kerana sebelum ini MBMB juga gagal mengutip hutang tertunggak dari peniaga-peniaga di kawasan Hang Tuah Mall sehingga ada yang berhutang berjumlah berpuluh-puluh ribu. Jika kelemahan-kelemahan dibongkar bersabit dengan MBMB bagaimana mungkin Melaka boleh menjadi negeri maju menjelang 2010, soal Yuhaizad lagi.


HASSAN SHUKRI DITAWAR MENYERTAI BN:AKAN SELESAIKAH PERMASALAHAN UMMAH?


LanH menulis........

HARIAN METRO hari ini melaporkan ramainya Senator ahli-ahli Dewan Negara mempelawa bekas Timbalan Presiden PAS Ustaz Hassan Shukri untuk menyerati Barisan Nasional.

Pelawaan ini dibuat ketika dewan sedang membahaskan Rang Undang-undang Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan 2005) Bacaan Kali Yang Kedua. Ketika Ustaz Hassan bangun untuk menyambung perbahasannya beberapa Senator dari BN telah bangun mencelah dengan memujuk agar beliau sertai sahaja BN. Antara mereka termasuklah Senator Datuk Yaakob Mohammad yang juga selaku Setiausaha Kerja BN dan Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir

Ustaz Hassan yang merupakan tokoh veteran PAS yang banyak pengalaman dan sangat disegani itu dengan bersahaja menjawab:

Umur saya dah tua, 68 tahun dan alami macam-macam, peristiwa 13 Mei (1969). Kalau orang lain terima terus. Alhamdulillah, waktu saya sama-sama dokong kerajaan BN, Pas dan BN, ketika itu saya Setiausaha Agung Pas, 16 tahun, saya tahu sangat apa ada dalam BN, saya ditawarkan macam-macam pada waktu itu, tetapi Tuhan tak buka hati untuk dapat kemudahan.

Syukur, saya tiada satu AP (permit import) pun, cuma hak sebagai ahli Parlimen, seinci tanah pun tak dapat masa BN, secebis permit pun tak ada, saya nak sebut ini, kerana saya bimbang ahli Dewan apabila kita tidak duduk dalam kerajaan jadi papa kedana, tak boleh hidup, saya ada pengalaman, saya boleh hidup dan ronda satu dunia.

Jawapan sinis tapi yang lebih penting jujur dan penuh nasihat itu pasti memukau ahli-ahli dewan yang hadir. Sesungguhnya tindakan ahli-ahli BN khususnya dari Umno itu menawarkan tokoh PAS itu untuk menyertai parti mereka dikira sangat nakal, tidak beretika dan tidak mencerminkan profesionalisma mereka sebagai seorang senator. Lebih-lebih lagi tawaran itu pula dibuat kepada seorang tokoh yang memang dihormati dan disegani oleh pihak kawan dan lawan.

Malah minggu sebelumnya ketika memulakan perbahasan rang undang-undang berkenaan, Ustaz Hassan seolah-olah menjadi pensyarah dan pendakwah, mengambil kesempatan menjelas dan menerangkan tentang Islam bukan hanya kepada wakil-wakil Umno malah termasuklah ahli-ahli dewan yang bukan Islam yang telah mengajukan pelbagai persoalan berkenaan hukum dan Islam yang telah Ustaz Hassan berjaya jawab dengan begitu baik dan meyakinkan, sekaligus membuktikan kewibawaan dan ilmu beliau sememangnya diberikan pengiktirafan.

Sebagaimana terkandung dalam hansard dewan penjelasan turut dipohon oleh Yang Dipertua Dewan dan Timbalannya.

Kesimpulannya sudah tiba masanya rakan-rakan dari Umno dan BN mengiktiraf peranan dan kemampuan PAS dalam memimpin dan memberi sumbangan dalam pembinaan negara. Zaman tawar-menawar dan beli-membeli umpama ayam-itik sudah lama berlalu. Sebagaimana seruan Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam Harakahdaily hari ini:

Jelaslah bahawa permasalahan ummah sebegini besar tidak mampu ditangani oleh satu pihak sahaja tanpa satu pendekatan yang mengembelingkan seluruh tenaga kepimpinan Melayu. Dalam ucapan dasar saya semasa Muktamar PAS kali ke 51 baru-baru ini di Kota Bharu, Kelantan, PAS telah menawarkan kepada UMNO untuk mengadakan Muzakarah membincangkan agenda ummah termasuk permasalahan orang-orang Melayu sendiri.

PAS ingin menegaskan sekali lagi bahawa pintu untuk muzakarah sentiasa terbuka demi kepentingan agama, bangsa dan negara

Kita menginsafi betapa umat Islam khasnya bangsa Melayu masih berdepan dengan pelbagai masalah yang tidak kunjung selesai. Tibalah masanya kita untuk berdepan dengan masalah ini secara matang dan penuh kedewasaan.

Sekiranya kejujuran dapat dipancarkan oleh kedua-dua pihak, tidak mustahil permasalahan ummah dapat ditangani dengan sebaik mungkin demi manfaat bersama.


PROGRAM BERSAMA TIMBALAN PRESIDEN DI MELAKA 31 JULAI - AHLI DIHARAP BERI KERJASAMA


Ahli-ahli PAS Melaka diseru untuk sama-sama mengambil bahagian di dalam program bersama Timbalan Presiden PAS, Us Nasaruddin Mat Isa pada 31 Julai ini.

Antara program yang diaturkan oleh DPPN Melaka ialah Pengedaran Risalah Gejala Sosial dan kempen kenaikan harga minyak.

Program tersebut akan bermula pada jam 6.15 petang di Perkarangan Pasar Malam, Batu Berendam iaitu berhampiran Petronas Batu Berendam.

Menurut Ketua Penerangan DPPN Melaka, Sdr Yuhaizad Abdullah program seumpama ini adalah program ketiga yang dianjurkan oleh DPPN Melaka setelah ianya dijalankan di Durian Tunggal dan Masjid Tanah. " Di dalam program sebelum ini orang ramai telah memberikan sambutan yang amat baik kepada kita di mana mereka telah menerima risalah kita dengan senyuman" tambah beliau yang juga merupakan Naib YDP PAS Kawasan Jasin.

Beliau berharap seluruh ahli-ahli PAS Melaka dapat meluangkan masa untuk bersama-sama timbalan presiden pada hari tersebut.

Pada sebelah malam pula, Us Nasa akan berceramah di Markaz PAS Durian Tunggal bermula jam 9.00 malam."


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59