Wednesday, 20 July 2005

ISTILAH GLOKAL : NAJIB CEMARKAN BAHASA MELAYU


Semasa merasmikan Perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Dato' Najib memperkenalkan satu istilah baru iaitu GLOKAL yang menurutnya bermakna berfikiran lokal dan berfikiran global/internasional. Ini satu lagi istilah baru yang diperkenalkan oleh pemimpin UMNO yang sengaja hendak mencari publisiti. Selepas ini apa pula istilah yang Pak Lah hendak cipta untuk menandingi Najib.

Nampaknya pemimpin-pemimpin UMNO ini langsung tidak menghormati bahasa melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dipertanggungjawab untuk mendaulatkan bahasa melayu. Mereka senang-senang sahaja mencipta istilah mengikut hawa nafsu mereka.

Suatu ketika dahulu negara pernah dihamburkan dengan istilah infotainmen, bajet dan macam-macam. Bahasa melayu sudah jadi bahasa rojak dan tidak mampu dikawal lagi. Pemimpin UMNO bebas hendak mencipta istilah-istilah masing-masing untuk mendapat publisiti murahan tanpa memikirkan betapa penting sesuatu istilah itu dikaji sebelum digunakan.

GLOKAL ini saya kira gabungan GLOBAL dan LOKAL agaknya. Kalau saya tidak silap LOKAL itu sendiri tiada dalam istilah bahasa melayu. Tetapi GLOBAL sudah biasa digunakan. Saya bukanlah ahli bahasa tetapi berasa terpanggil untuk menulis tentang isu ini kerana sekarang ini bahasa melayu telah tercemar oleh istilah-istilah ciptaan sendiri oleh 'penyangak-penyangak' bahasa seperti ini.

Apa yang malangnya DBP seolah-olah tiada kuasa untuk menghalang 'penciptaan' istilah-istilah murahan seperti ini. Sama seperti istilah bajet dan infotain. Tiada siapa yang berani 'berkokok' untuk menentang penggunaan istilah ini kerana ianya dicipta oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang berkuasa.

Sekarang ini bermacam-macam pencemaran berlaku di dalam negara kita ini. Tidak cukup dengan pencemaran budaya barat, perjudian, maksiat, rasuah dan sekarang bahasa pula menjadi mangsa.

Selepas ini kita hendak melihat apakah reaksi DBP dan ahli-ahli bahasa. Saya menjangkakan tiada siapa yang berani hendak menyentuh isu ini sebab ianya dicipta oleh orang no.2 dalam kerajaan.

Kalau Ketua Pengarah DBP hendak bersara awal saya syorkan kepada beliau supaya mengkritik istilah ini. Saya menyeru kepada Menteri yang bertanggungjawab kepada DBP supaya berusaha untuk menghalang penciptaan istilah-istilah baru ini supaya keaslian bahasa melayu tidak tercemar.

Kita takut 20 tahun lagi anak dan cucu cicit kita sudah tidak faham bahasa melayu asal sebab terlampau banyak bahasa rojak ini.

Kepada pencinta-pencinta bahasa berusahalah kamu untuk menjalankan kempen cintai bahasa melayu supaya ianya dapat dipertahankan.

Kita tidak mahu episod malang terus menghantui bahasa melayu setelah bahasa Inggeris digunakan untuk pengajaran Matematik dan Sains.


ISU RAFIDAH MENANGIS : AIR MATA BUAYA DAN PENGHINAAN KEPADA AL-QURAN


KUALA LUMPUR: Dalam sidang akhbarnya semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, semalam tidak dapat menahan kesedihan ketika menjelaskan hubungannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dianggap seperti bapa dengan anak.

Rafidah yang sebelum itu ceria dan bersemangat menjelaskan isu permit import (AP) kereta yang mencetuskan kontroversi selepas dibangkitkan bekas Perdana Menteri, sebak dan menangis ketika membaca perenggan terakhir surat yang diserahkan kepada Dr Mahathir baru-baru ini.

“Saya mengakhiri surat saya dengan menyatakan... sekianlah dari saya dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut hari jadi ke-80 kepada Yang Berbahagia Tun, semoga Tun dan Tun Dr Siti Hasmah... (terhenti kerana sebak dan menangis....air mata buaya) berada dalam keadaan sihat dan sejahtera,” katanya dalam keadaan teresak-esak.

Berikutan itu, suasana sidang akhbarnya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Wanita Umno di tingkat 38, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, menjadi sayu dengan Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang duduk di sebelah kanan Rafidah, kelihatan turut sebak dan sedih.

Beberapa Exco Wanita termasuk Penolong Setiausaha pergerakan itu, Datuk Faridah Abu Hassan, turut sebak dan sedih.

Ditanya mengapa beliau menangis, Rafidah dalam keadaan tersedu mengatakan beliau terlalu sedih kerana dituduh biadap, sedangkan beliaulah orang pertama menghalang Dr Mahathir daripada meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dalam perhimpunan agung UMNO 2003.

Rafidah sebelum itu ditanya wartawan berhubung desakan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin (ZAM), supaya beliau meminta maaf daripada Tun Dr Mahathir kerana isu berkenaan dikatakan amat menyinggung perasaan bekas Perdana Menteri keempat itu.

“Saya tak tahu kenapa Zam cakap macam tu, sebenarnya saya tidak bersalah dengan sesiapa bahkan Tun pun bukan mengata saya. Tun hanya menyatakan beberapa perkara yang saya telah pun beri jawapan secara terhormat dalam surat kepada beliau.

“Hubungan saya dengan Tun tidak pernah berubah, isu ini bukan mengenai hubungan saya tetapi menjelaskan kedudukan sebenar. Saya fikir penting untuk Tun mengetahui fakta dan angka sebenar kerana saya bimbang beliau mengetahuinya daripada orang lain.

“Sekiranya Tun mendapat maklumat atau ada orang lain yang memberitahu beliau tetapi ia tidak tepat dan menganggapnya sebagai betul, maka saya akan sedih kerana saya perlu memberitahu perkara sebenar supaya beliau tidak menyatakan perkara tidak betul kepada mana-mana pihak,” katanya.

Rafidah berkata, beliau bersedia bersemuka dengan Dr Mahathir jika diminta berbuat demikian selepas bekas Perdana Menteri itu pulang daripada bercuti di luar negara.

“Ada salah faham di sini yang mengatakan saya bersikap biadab dengan Tun sebaliknya jauh daripada itu, hubungan saya dengan Tun diibarat seperti saya tidak boleh bersikap seperti itu dengan beliau yang dianggap sebagai bapa.

“Jangan sesiapa sesekali beranggapan bahawa saya biadap dengan Tun kerana orang berkenaan sememangnya tidak memahami perasaan saya,” katanya.

Beliau turut menceritakan satu kisah ketika perjumpaan Kabinet yang mana Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana memakai tali leher yang dihadiahkan sempena hari lahirnya.

“Saya bertanya kepada Samy Vellu, apa yang beliau maksudkan dengan tie saya dan beliau menjelaskan tie itu dihadiahkan kepada Tun sempena hari lahirnya.

“Saya terperanjat kerana Samy Vellu memberi Tun hadiah dan Tun terus mengatakan ‘Rafidah anda adalah satu-satunya menteri yang tidak pernah memberi saya hadiah hari lahir’. Saya terkejut dan meminta maaf kepada Tun melalui surat.

“Saya katakan, saya memang tidak pernah beri Tun hadiah hari lahir tetapi hadiah saya ialah selalu mendoakan Tun terus sihat dan sejahtera,” katanya.

Ditanya sama ada perasaan beliau kini lega, Rafidah berkata: “Anda lihat al-Quran di depan saya dan saya sedar apa yang saya lakukan. Saya berharap media tidak memainkan perkara ini dengan sewenang-wenangnya kerana anda seperti menjirus minyak ke dalam api dan mencetuskan banyak salah faham.”

Demikianlah cerita seorang menteri UMNO yang begitu lama memegang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang merupakan antara jawatan yang mempunyai banyak peluang untuk menimba kekayaan. Dalam kenyataan semalam kita dapat melihat bagaimana beliau cuba menarik simpati dengan menangis. Sedangkan kita tahu pembahagian AP jelas menunjukkan bahawa terdapat individu-individu tertentu yang memperolehinya dalam jumlah yang besar.

Satu lagi perkara yang mencuit hati kita ialah apakah motif Rafidah meletakkan Al-Quran dihadapannya ketika sidang akhbar itu. Adakah hendak menunjukkan kepada kita yang beliau bercakap benar. Bila perkara-perkara begini barulah hendak gunakan Al-Quran. Adakah Al-Quran digunakan sekadar untuk 'bersumpah'. Sedangkan diri sendiri pun belum tentu mengikut ajaran Al-Quran. Aurat pun tidak ditutup.

Inilah perangai Islam Hadhari yang menjadikan Al-Quran sekadar simbol sedangkan isi kandungan Al-Quran tidak dijalankan. Rafidah ini samalah dengan Faria Alam bekas Setiausaha Persatuan Bolasepak England (FA England) dulu yang pernah bersumpah dengan Al-Quran untuk menyatakan bahawa beliau cuba dicabulkan oleh pimpinan FA England.

Kita juga berasa hairan dengan Tun Dr. Mahathir mengapa baru sekarang hendak mempersoalkan berkenaan AP sedangkan cara pemberian AP itu telahpun diamalkan sekian lama semasa beliau memerintah lagi. Ketika beliau dan 'pencen' barulah hendak mempersalahkan orang lain sedangkan beliau juga turut terlibat dengannya.

Bagi rakyat Malaysia janganlah kita terpedaya dengan perangai pemimpin-pemimpin UMNO seperti ini yang memang pandai berlakon untuk melepaskan diri.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59