Wednesday, 13 July 2005

SELAMAT DATANG KEPADA AHLI DEWAN HARIAN DPPNM KE KAWASAN BUKIT KATIL


Bukit Katil 13 Julai 2005 : DPP Kawasan Bukit Katil mengucapkan selamat datang kepada Ahli Dewan Harian DPPN Melaka yang akan mengadakan lawatan ke Kawasan Bukit Katil malam ini.

Program lawatan ini yang dianjurkan oleh DPPNM merupakan acara tradisi DPPN dalam rangka lawatan ke kawasan-kawasan. Sebelum DPPNM telahpun melawat Kawasan Jasin. Dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada weblog ini malam tadi, Ketua DPPK Bukit Katil, Tuan Haji Salamat Aman mengucapkan ahlan wasahlan kepada kepimpinan DPPNM dan berharap program akan dapat menyuntik semangat pemuda-pemuda dalam Kawasan Bukit Katil untuk berjuang dengan lebih komited lagi.

Adalah dijangkakan lawatan ini akan diketuai oleh Ketua DPPNM, Us. Kamaruddin Sedik serta ahli dewan harian lain iaitu Us. Ashrof Mukhlis, Sdr. Harun Mohamed, Sdr. Ahmad Shahrom Daud serta Sdr. Yuhaizad Abdullah. Tuan Haji Salamat juga merupakan ahli dewan harian DPPNM di mana beliau merupakan Bendahari DPPNM merangkap Ketua DPPK Bukit Katil.


DPP KAWASAN BUKIT KATIL HANTAR WAKIL KE MUNAJAT PERDANA DI RUSILA


Bukit Katil 13 Julai 2005 : DPP Kawasan akan menyahut seruan Ketua Dewan Ulama PAS Negeri, Us. Zulkifli Ismail dengan menghantar wakil ke program munajat perdana sempena perobohan Masjid Bujal. Rombongan DPP Kawasan akan diketuai oleh Naib Ketua DPP Kawasan Tuan Haji Mohd Rizal Idris.

Program yang akan bermula 14 Julai itu akan dijalankan di Masjid Rusila Terengganu. Dalam kenyataannya kepada laman web Melaka, Us. Zulkifli Ismail menggesa seluruh tenaga PAS Negeri Melaka supaya dapat menyertai majlis Munajat Perdana di Masjid Rusila pada 14 dan 15 Julai ini. Program anjuran bersama Dewan Ulamak PAS Pusat dan PAS negeri Terengganu itu bertujuan untuk memohon pertolongan Allah berhubung isu tanah, perobohan masjid dan rumah serta kezaliman kerajaan BN negeri Terengganu terhadap rakyat.

Para peserta terdiri daripada pemimpin PAS Pusat, dewan-dewan peringkat pusat, negeri dan kawasan, wakil-wakil rakyat BA seluruh negara, ahli-ahli dan penyokong PAS, peserta RTB dan seluruh umat Islam di samping jemputan khas yang terdiri daripada tok guru pondok di negeri ini dan Kelantan serta guru agama, imam dan bilal.

Menurut sumber yang dipetik daripada Harakahdaily, program bermula pada sebelah malam 14 Julai, dengan diadakan ceramah perdana di mana penceramah terdiri daripada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Harun Taib, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub dan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Mustafa Ali.

Sehubungan dengan itu Tuan Haji Rizal mempelawa mana-mana ahli pemuda untuk menyertai rombongan beliau. Beliau boleh dihubungi melalui talian 019-682 1621.


JUDI BUKAN KESALAHAN DALAM UMNO


KOTA KINABALU: Datuk Osu Sukam meletakkan jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Papar, berkuat kuasa serta-merta, berikutan kontroversi berhubung kes hutangnya dengan dua kasino di London sebanyak RM7.1 juta. Itulah tajuk berita yang disiarkan oleh sebuah akhbar arus perdana hari ini.

Surat peletakan jawatannya diserahkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah,semalam.

Musa yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, Osu mengambil keputusan itu kerana berasa bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku. “Osu kesal dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sejurus tiba dari ibu negara, lewat petang semalam.

Musa menjelaskan, beliau mengadakan pertemuan dengan Dato’ Osu Sukam atas nasihat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pemimpin Islam Hadhari ketika mengunjungi Perdana Menteri di Putrajaya, kira-kira setengah sejam sebelum itu.

Minggu lalu, Osu dilaporkan dicari dua kasino di England – Ritz Hotel Casino Ltd dan RHC Ltd – kerana berhutang ketika berjudi di sana. Perkara itu diketahui selepas kasino itu gagal mendaftar penghakiman yang diperoleh dari Mahkamah Tinggi England, di Sabah.

Musa berkata, Perdana Menteri menyerahkan kepadanya untuk menyelesaikan kes itu dan beliau tidak akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno lagi bagi menjelaskan isu berkenaan.

“Pak Lah serahkan pada saya untuk menyelesaikan kes ini. Hari ini kes sudah selesai. Jadi kita harap tidak ada lagi laporan mengenainya,” katanya.

Beliau berkata, Badan Perhubungan Umno Sabah tidak perlu mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkembangan terbaru itu.

Meneliti kepada kenyataan akhbar di atas sudah jelas kepada kita bahawa judi bukanlah suatu kesalahan dalam UMNO. Judi juga disifatkan suatu perkara kecil sebab itulah Dollah Badawi menyerahkan kepada Dato’ Musa Aman untuk menyelesaikannya. Walaupun jumlahnya sehingga lebih RM7 juta tetapi ia masih dikategorikan sebagai tidak penting oleh pemimpim Islam Hadhari itu.

Inilah UMNO dan Islam Hadhari. berjudi, membunuh, maksiat, dangdut, kelab Malam, konsert, rasuah, melarikan anak perempuan orang, songlap duit, bersekedudukan bukanlah suatu kesalahan yang besar. Cukup sekadar menyatakan KESAL dan MELETAKKAN JAWATAN sudah memadai. Keahlian dalam UMNO tetap terpelihara. Sepertimana Rahim Tamby Chik, Abu Hassan Omar, Mokhtar Hashim, Amid Nordin dan lain-lain mereka masih menjadi pemimpin UMNO. Status keahlian mereka tidak kekal.

INILAH ISLAM HADHARI. SEDARLAH WAHAI RAKYAT MALAYSIA AKAN TEMBELANG UMNO/BN.


DPPK BUKIT KATIL ADAKAN BEBERAPA POGRAM DALAM BULAN JULAI DAN OGOS


Bukit Katil 13 Julai : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil akan menjalankan beberapa program pemuda dalam bulan Julai ini, demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua DPPK Bukit Katil Tuan Haji Salamat Aman semalam. Antara program terdekat ialah seperti di bawah :-

16 & 17 Julai 2005 : Mukhayyam Pemuda anjuran bersama JPC Cawangan Taman Chempaka di
Pulau Besar. Maklumat lengkap sila hubungi Hj. Rizal 019-6821621

24 Julai 2005 : Kejohanan BadmintonTertutup anjuran bersama JPC Sg. Putat. Bermula jam
9.00 pagi. Maklumat lengkap sila hubungi Sdr. Zaidi Ahmad 019-6555910

31 Julai 2005 : Pengedaran Risalah Kenaikan Harga minyak & Gejala Sosial anjuran Pemuda Negeri
di Tapak Pasar Malam Melaka Baru bermula jam 6.00 petang

11 Ogos 2005 : Ceramah Dr. Hatta Ramli di Paya Dalam anjuran DPPK Bukit Katil

Sementara itu pada bulan Ogos DPPK Bukit Katil akan menjalankan satu program khas untuk remaja dan pelajar-pelajar sekolah iaitu Program 'SUMMER CAMP'. Menurut pengarah program Sdr. Khairuldin Ismail program ini dibuka kepada semua pelajar-pelajar sekolah seluruh Melaka khasnya Kawasan Bukit Katil. Tarikh tentatif untuk program itu ialah di antara 20 -28 Ogos ini. Tetapi tarikh yang sebenar belum ditentukan lagi. Khairuldin juga menegaskan bahawa program ini Insya Allah akan diteruskan dari masa ke semasa.

Selain itu, Tuan Haji Selamat Aman juga menggesa semua ahli-ahli pemuda kawasan supaya beramai-ramai menyertai program yang diaturkan demi untuk mengembalikan semula semangat pemuda untuk terus komited di dalam perjuangan Islam ini.






PROGRAM BERSAMA TIMBALAN PRESIDEN


Bukit Katil 13 Julai : Timbalan Presiden PAS, Us. Nasharuddin Mat Isa akan datang ke kawasan Bukit Katil untuk bersama-sama dengan DPP Negeri Melaka dan DPPK Bukit Katil menyampaikan risalah Kempen Kenaikan Harga Minyak dan Gejala Sosial pada 31 Julai ini.

Menurut kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan DPPN Sdr. Yuhaizad Abdullah, Us. Nasharuddin akan diiringi oleh ahli-ahli pemuda untuk menyampaikan risalah tersebut di kawasan Pasar Malam, Melaka Baru di dalam Kawasan Bukit Katil bermula jam 6.00 petang. Ini adalah program pertama beliau setelah di pilih pada muktamar PAS Pusat baru-baru ini.

Sdr. Yuhaizad menyeru semua ahli-ahli pemuda PAS Melaka untuk sama-sama turun menjayakan program yang bersejarah ini. Sementara itu Ketua DPPK Bukit Katil, Tuan Haji Selamat Aman mengharapkan semua ahli-ahli pemuda cawangan agar tampil menjayakan program tersebut yang julung kali diadakan di dalam Kawasan ini.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59