Monday, 11 July 2005

Roboh masjid: Munajat Perdana di Masjid Rusila pada 14 Julai


KUALA TERENGGANU, 11 Julai (Hrkh) – Seluruh umat Islam dipelawa menyertai majlis Solat Hajat dan Munajat Perdana yang akan diadakan di Masjid Rusila pada 14 dan 15 Julai ini.

Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Dato’ Husain Awang berkata, majlis itu bertujuan untuk memohon pertolongan Allah berhubung isu tanah, perobohan masjid dan rumah serta kezaliman kerajaan BN negeri terhadap rakyat.
Katanya, program anjuran bersama Dewan Ulamak PAS Pusat dan negeri itu juga bertujuan untuk menggembleng seluruh tenaga semua pihak, rakyat dan pemimpin ke arah menegakkan keadilan di samping menyemarakkan keinsafan rakyat bahawa mereka perlu bangkit menentang kezaliman.

“Para peserta terdiri daripada pemimpin PAS Pusat, dewan-dewan peringkat pusat, negeri dan kawasan, wakil-wakil rakyat BA seluruh negara, ahli-ahli dan penyokong PAS, peserta RTB dan seluruh umat Islam di samping jemputan khas yang terdiri daripada tok guru pondok di negeri ini dan Kelantan serta guru agama, imam dan bilal,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily pagi ini.

Tambahnya, pada sebelah malam 14 Julai, diadakan ceramah perdana di mana penceramah terdiri daripada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Harun Taib, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub dan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Mustafa Ali.

Beliau berkata, selepas itu, bermula jam 4 pagi hari Jumaat diadakan qiamulail yang diketuai oleh Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Muhamad Daud Iraqi dan seterusnya majlis munajat yang akan dipimpin oleh tuan guru pondok.

“Bersempena majlis ini, para peserta dan umat Islam diminta berpuasa selama tiga hari iaitu pada 12, 13 dan 14 Julai,” ujarnya.


Ahmad Shahrom dilantik sebagai Setiausaha Dewan Pemuda PAS Melaka yang baru


Melaka 11 Julai 2005 : Saudara Ahmad Shahrom Daud, telah dilantik menjadi Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka yang baru. Hal ini telah diumumkan oleh Ketua Pemuda PAS Melaka, Ust Kamaruddin Sedik di program Brainstorming Pemuda PAS Melaka di Jasin Sabtu lalu.

Saudara Ahmad Shahrom sebelum ini merupakan Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Negeri Melaka dan Setiausaha Dewan Pemuda Kawasan Jasin, Melaka. Beliau dilantik sebagai Setiausaha Dewan Pemuda PAS, berikutan perlantikan Setiausaha Pemuda yang terdahulu, Saudara Adly Zahari sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka.

Perlantikan Ahmad Shahron diharapkan dapat melicinkan lagi jentera DPPN Melaka dalam mendepani cabaran yang lebih mencabar pada masa akan datang.


Dewan Pemuda PAS Melaka mengorak langkah merancang pelan tindakan.


Jasin 11 Julai 2005 : Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka telah mengadakan sessi brainstorming sebagai langkah pertama untuk bergerak bagi sessi 2005/2007. Program yang dijalankan di Jasin itu membentangkan pelan tindakan dan strategi Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, dan menyelaras pergerakan Pemuda di seluruh negeri.

Ketua Pemuda PAS Negeri Melaka, Ust Kamaruddin Sedik, dalam ucapan pembukaannya berkata, pembentangan pelan strategik adalah selaras dengan ucaptema Ketua Pemuda PAS di Muktamar Pemuda di Putik barau-baru ini, agar setiap Pemuda bersedia untuk Mendepani Cabaran. Tambah beliau, antara fokus yang perlu diberi perhatian adalah gerakerja untuk menguatkan aqidah perjuangan, memperkasakan kepakaran, meningkatkan keupayaan minda dan pemikiran, memperkasakan perancangan strategik dan metodologi, serta kesediaan untuk menerima perubahan.

Menurut beliau lagi, pemuda perlu kepada method baru dalam mendekati masyarakat. Program seperti ekspedisi dakwah, yang dilancarkan oleh Dewan Pemuda Pusat merupakan satu contoh program kreatif yang perlu diperhebat dan diperbanyak. Kata beliau, pemuda juga perlu kepada lebih banyak perbincangan intelektual dengan mana-mana agensi, dalam membincangkan permasalahan masyarakat.

Program sehari tersebut telah dihadiri oleh seluruh jawatankuasa Pemuda Negeri dan Dewan Harian Pemuda Kawasan-Kawasan.


AHLI DEWAN HARIAN DPPN MELAKA AKAN ADAKAN LAWATAN KE BUKIT KATIL 13 JULAI


Bukit Katil 11 Julai : Ahli Dewan Harian DPP Negeri Melaka akan mengadakan lawatan untuk memantau 'performance' Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil pada 13 Julai ini bermula jam 9.00 malam di Markaz PAS Kawasan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sdr. Hj Salamat Aman dalam kenyataannya kepada Blog ini semalam menyatakan bahawa antara lain DPP Negeri ingin memantau program-program yang sedang, telah dan akan dijalankan oleh Pemuda Kawasan. Antara subjek utama yang dipantau oleh mereka ialah status Unit Kerja Jemaah, Program mendekati remaja, Tarbiah dan lain-lain.

Semua AJK Dewan Pemuda Kawasan diwajibkan hadir pada program ini.Sementara itu sebelum program lawatan ini dijalankan satu mesyuarat khas untuk membuat persediaan bagi lawatan ini akan diadakan pada Selasa ini bermula 9.00 malam Markaz PAS Kawasan. Adalah diharapkan semua AJK hadir untuk membentangkan laporan dan perancangan lajnah-lajnah masing-masing.


INGIN LIHAT RUNTUHAN MASJID BUJAL DI BUANG DIMANA? SILA LAWATI LAMAN WEB DI BAWAH


Http://ahmadhadeed.tripod.com anda akan melihat bagaimana runtuhan tersebut dicampak ke tempat buang sampah bercampur najis dan sampah sarap


KEPUTUSAN PERBICARAAN PASTI TANGGUH LAGI


Melaka 11 Julai : Keputusan perbicaraan 6 buah PASTI yang dijadualkan pada 12 Julai ini ditangguhkan kepada 3 Ogos. Perkara telah dimaklumkan oleh Peguam PASTI, Tuan Haji Mohamad Burok kepada pimpinan PAS Negeri minggu lalu.

Oleh Itu semua penyokong PAS dan para simpatisan di minta untuk beramai-ramai datang ke Mahkamah Tinggi Melaka pada hari tersebut.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59