Thursday, 7 July 2005

INSAFLAH PAK LAH DAN AHLI UMNO SEKELIAN


UMNO semakin parah dari sehari ke sehari. Satu demi satu kes melibatkan pemimpin UMNO dibongkar atau terbongkar dengan sendiri. Kes yang melibatkan Tan Sri Isa Samad masih belum selesai semalam terbongkar lagi satu rahsia di mana bekas Ketua Menteri Sabah dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Dato' Osu Sukam berhutang dengan syarikat judi sebanyak lebih dari RM7 juta.

Di mana lagi Pak Lah hendak sorok muka. Dato' Osu Sukam masih memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Papar. Pak Lah dan ahli-ahli UMNO harus sedar bahawa pemimpin UMNO semua pandai berlakon. Kalau ada program keagamaan mereka dengan segak memakai baju melayu dan duduk dihadapan. Kalau masuk masjid duduk di saf yang pertama. Semua ini hanya lakonan sahaja. Tak kan Pak Lah tidak tahu perangai anak buahnya.

Dalam Bulletin 1.30 TV3 tengahari tadi Pak Lah melahirkan rasa kesal di atas kejadian ini. Beliau menegaskan bahawa sebagai pemimpin, mereka mestilah bersih dari segala kejahatan dan skandal. Pak Lah sepatutnya tidak perlu mengeluarkan kenyataan ini kerana Malaysia yang diperintah olehnya mengharuskan semua kegiatan maksiat ini iaitu judi, hiburan, pelacuran dan sebagainya. Jadi tidaklah menjadi suatu yang mustahil pemimpin-pemimpin di bawahnya akan turut terlibat.

Di dalam UMNO sendiripun cuba lihat program-program UMNO. Bila ada 'function' mesti ada tari menari, konsert, percampuran lelaki perempuan. Macamana Pak Lah hendak mendidik anak buahnya sedangkan beliau sendiri pun ikut serta dalam program-program sebegini.

Pak Lah harus sedar bahawa dari dulu UMNO sendiri tidak akan mengambil tindakan terhadap ahli-ahli yang terlibat dengan salah laku ini. Contohnya Rahim Tamby Chik, Abu Hassan Omar, Mat Taib, Mokhtar Hashim dan lain-lain. Walapun mereka terlibat tetapi mereka hanya disuruh letak jawatan tetapi keahlian mereka tidak disentuh. Rahim Tamby Chik masih MT UMNO, Mat Taib Ketua Penerangan, Mokhtar Hashim khabarnya juga masih aktif dalam UMNO.

Kalau Pak Lah mahukan pemimpin-pemimpin UMNO semuanya bersih beliau mestilah membuat perubahan dalam UMNO. Jangan hanya kesal dan susah hati. Program-program UMNO mestilah tidak melanggar perintah agama. Pemimpin-pemimpin UMNO mesti menunjukkan teladan yang baik umpama bagi yang wanita kena tutup aurat. Konsert, tempat perjudian, kilang arak, program TV yang melalaikan mesti diberhentikan serta merta. Kalau tidak jangan harap ahli dan pemimpin UMNO akan bersih dan baik.

Sebenarnya kita percaya terlalu ramai pemimpin UMNO yang terlibat dengan salah laku dan jenayah sebegini. Cuma mereka ini tidak disabitkan kesalahan di mahkamah dan ramai juga yang dilindungi. Kalau pemimpin seperti Naib Presiden, Ketua Menteri perangainya macam ni apalagi anak buah diperingkat bahagian dan cawangan. Setakat ini yang kena hanya Kasitah Gadam, Isa Samad dan Osu yang lain masih bebas berlakon. Sementelah lagi selepas Isa dihukum, pintu aduan pun ditutup rapat. Inilah UMNO imej lebih penting dari akhlaq pemimpin.

Seperkara lagi yang menarik minat saya terhadap kenyataan Pak Lah tadi ialah beliau berkata kedudukan Osu Sukam dalam UMNO diserahkan kepada Musa Aman Ketua Menteri Sabah. Sepatutnya beliau sebagai Presiden mengarahkan kepada Jawatan Kuasa tatatertib parti supaya mengambil tindakan terhadap Osu yang memalukan parti. Bukan serah kepada Pengerusi UMNO negeri. Saya yakin UMNO tidak akan mengambil keputusan memecat Osu sebab berjudi bukan kesalahan dalam UMNO sama seperti bawa lari anak raja, menjalin hubungan dengan gadis bawah umur atau bersekedudukan dengan isteri orang. Perkara yang menjadi kesalahan dalam UMNO hanyalah apabila mengkritik pemimpin atau menentang pemimpin. Maka serta merta seseorang itu akan dicantas dan di'peti sejukkan'.

Saya berharap ahli-ahli UMNO segera insaf dengan segala kejadian yang dilakukan oleh pemimpin UMNO ini. Jangan ahli-ahli bersekongkol dengan pemimpin yang tidak bermaruah dan beraklhaq ini. Kepada Pak Lah berfikirlah secara waras. Mulakan langkah untuk membuat perubahan dalam UMNO. Sebab mahu tidak mahu kita kena terima hanya ISLAM dapat menyelamatkan manusia dan negara. Kita tidak mahu pemimpin yang memerintah Malaysia sekarang ini ialah pemimpin yang hanya 'berlakon' baik. Sudah sampai masanya Pak Lah menilai dan mengkaji satu demi satu pemimpin UMNO dan kerajaan yang ada sekarang. Kalau mereka terlibat dengan salah laku dan jenayah (termasuk rasuah) mereka ini mesti dipecat dan diganti dengan yang lebih bersih (takut nanti semua tak bersih).

Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil
sofi@miosh.net


BEKAS AHLI MT UMNO HUTANG KASINO RM7.1 JUTA


Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam menolak permohonan oleh sebuah kasino The Ritz Hotel Casino untuk menuntut RM7.1 juta dalam bentuk hutang perjudian dari bekas Ketua Menteri Sabah Osu Sukam.

Ritz Hotel telah memperolehi perintah dari Mahkamah Tinggi England untuk mengarahkan Osu agar membayar hutang tersebut yang diperolehinya dalam bentuk kredit bagi tujuan untuk berjudi di kasino tersebut. Ritz Hotel melalui wakilnya membuat permohonan di mahkamah tinggi bagi menguatkuasakan perintah mahkamah England itu malangnya ia ditolak oleh Hakim Ian Chin.



Kita tidak mempertikaikan keputusan penghakiman hakim tersebut.

Isunya di sini mahkamah tinggi tidak sekali-kali menafikan yang RM7,142,859.98 telah diberikan kepada Osu dalam bentuk kredit untuk tujuan berjudi. Bermakna Osu telah menerima kredit tersebut, berjudi dan akhirnya hangus sebanyak jumlah tuntutan itu atas meja judi!

RM7 juta ini kalau digunakan untuk membeli rumah kos rendah di Selangor, pembeli dapat membeli rumah untuk 200 orang keluarga! Osu, bekas ahli majlis tertinggi Umno (2000-2003) dan bekas Ketua Menteri Sabah (1999- 2001) dapat menghanguskannya sekelip mata atas meja judi.

Osu mungkin diselamatkan oleh keputusan mahkamah tinggi Kota Kinabalu ini, namun mahkamah Allah di Padang Mahsyar sudah pasti menunggu beliau. Judi ini samada di England ataupun Malaysia adalah haram disisi Islam.


PROGRAM TERKINI DPP NEGERI


7hb. Julai 2005 ( 5.30 ptg - Semabok) - Mesyuarat Lajnah Penerangan DPP Negeri
9hb. Julai 2005 ( 9.00 pagi Devon, Merlimau) - Brainstorming Pelan Tindakan tahunan DPP Negeri.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59