Thursday, 16 June 2005

APABILA SI JAHIL TURUT BERBICARA TENTANG ISLAM


ROSLAN SMS MENULIS .........

Sebaik sahaja Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan menjatuhkan hukuman sebat 6 kali dan denda RM5000 tiap-tiap seorang ke atas 2 orang peminum arak yang didapati bersalah, seluruh akhbar media perdana sebagaimana biasa mensasikan keputusan tersebut.

Ada yang mempertikaikannya dan tidak kurang juga yang menyokong. Blog Jeff Ooi umpamanya secara berseloroh mengulas dengan tajuk:

No it neednt be in Kelantan/ Ia tidak semestinya berlaku di Kelantan

Menurut Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Dr Ismail Ibrahim pihak akhbar tidak sepatutnya mensasikan hukuman ini kerana ianya seolah-olah memberikan gambaran bahawa perundangan Islam itu zalim.

Yang paling menarik adalah ulasan Sisters in Islam. Menurut pengurus programnya Masjaliza Hamzah sebagaimana yang dilaporkan di dalam THE STAR:

The Quran did not spell out a punishment for the consumption of intoxicants either in private or in public. By making public consumption of alcohol an offence under the Syariah Criminal Offences Act, the government has criminalized what is deemed a personal sin.

Quran tidak menjelaskan darihal hukuman ke atas peminum arak samada dalam majlis tertutup ataupun terbuka. Dengan meletakkan perbuatan meminum arak di khalayak sebagai satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah kerajaan sebenarnya telah meletakkan sebagai jenayah satu yang sebenarnya sekadar kesalahan (dosa) peribadi.

Apabila mereka yang jahil darihal Islam turut mahu berbahas dan memperkatakan darihal Islam, ketika itulah sebenarnya Islam akan dihina dan dipandang rendah Islam tidak pernah melarang kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat namun apabila yang mahu kita ulas itu adalah soal hukum dan perundangan kita seharusnya memiliki atapun menguasai ilmu berkenaannya.

Dalam ilmu dan bidang apa sekalipun demikianlah baisanya disiplinnya.

Sumber hukum di dalam Islam adalah berpandukan al Quran, Hadis, Qias dan Ijmak. Memahami hukum dan perundangan Islam menuntut penguasaan terhadap kempat-empat sumber ini, itullah disiplinnya.

Apabila Masjaliza berhujah yang Quran tidak menjelaskan darihal hukuman yang sepatutnya dikenakan terhadap peminum arak, beliau seolah-olah menolak sumber hukum Islam yang lain. Disinilah bukti kurangnya penguasaan ilmu Masjaliza sedangkan beliau mewakili NGO yang acapkali mahu sahaja mengeluarkan ulasan berkenaan Islam.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah berkata:

Barangsiapa melakukan suatu pekerjaan tanpa ilmu pengetahuan tentang itu maka apa yang dia rusak lebih banyak daripada apa yang dia perbaiki.

Manakala Khalifah Abu Bakar ra pula pernah berkata:

Langit mana yang melindungi diriku dan bumi mana yang akan menjadi tempat pijakkanku, kalau aku mengatakan sesuatu yang tidak kuketahui.

Saya sendiri bukanlah pakar tentang hukum dan perundangan Islam namun tahu bahawa ayat-ayat yang mengharamkan arak memang jelas samada dalam al Quran maupun Hadis. Hukuman ke atas pesalah arak ini walaubagaimanapun tidak dihuraikan dalam al Quran kecuali dalam amalan Rasulullah saw sendiri.

Diriwayatkan daripada Husain bin al-Munzir bahawa ketika Saidina Ali ditugaskan oleh Saidina Uthman untuk menghukum sebat ke atas al-Walid bin Uqbah, beliau berkata yang maksudnya :
Rasulullah s.a.w. telah menghukum sebanyak 40 kali sebatan begitu juga Saidina Abu Bakar tetapi Saidina Umar menghukum sebanyak lapan puluh kali semuanya aalah sunnah yang ini aku lebih sukai.

Janganlah kita menyalahgunakan platform yang ada untuk memperlekeh dan menghina Islam yang dianuti oleh jutaan insan dalam dunia ini. Rujuklah pada yang pakar dan berhujahlah berdasarkan fakta, kalau perundangan dan hukum Islam yang mahu diulas maka kembalilah kepada sumbernya, jangan ikut akal dan emosi sendiri.

Kesimpulannya eloklah direnungi tulisan Dr Yusuf Qardawi yang berbunyi:

Sesungguhnya ilmu pengetahuan mesti didahulukan atas amal perbuatan, karena ilmu pengetahuanlah yang mampu membedakan antara yang haq dan yang bathil dalam keyakinan umat manusia, antara yang benar dan yang salah di dalam perkataan mereka, antara perbuatan-perbuatan yang disunatkan dan yang bid ah dalam ibadah, antara yang benar dan yang tidak benar di dalam melakukan muamalah, antara tindakan yang halal dan tindakan yang haram, antara yang terpuji dan yang hina di dalam akhlak
manusia; antara ukuran yang diterima dan ukuran yang ditolak; antara perbuatan dan perkataan yang bisa diterima dan yang tidak dapat diterima.


DEMONSTRASI DI WISMA DARUL IMAN BANTAH PEROBOHAN MASJID DAN RUMAH RAKYAT


Untuk menyatakan bantahan terhadap perobohan Masjid Desa Makmur RTB Kg. Bujal Payoh, Kijal, Kemaman dan rumah rakyat dibeberapa RTB di Terengganu, semua ahli-ahli PAS dan penyokong PAS di jemput untuk mengadakan bantahan dan demonstrasi di hadapan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada Ahad jam 8.30 pagi 19 Jun 2005.

Semua warga Malaysia di jemput hadir. Tempah Bas datanglah beramai-ramai. Jumpa di sana.

Untuk pertanyaan lanjut bagi ahli-ahli dan penyokong dari Melaka sila hubungi Tuan Haji Selamat Aman 019-397 8488 atau Harun 019-667 5521.


Media Massa Indonesia lebih demokratik dan bertamadun


Kesempatan melawat Bandung, Indonesia baru-baru ini saya pergunakan untuk menilai suasana politik Indonesia yang terkini. Sebaik sahaja saya menjejakkan kaki ke Lapangan Terbang Hussain Sastranegara saya merasakan tidak banyak kelainannya berbanding dengan tahun lalu di bawah pemerintahan Ibu Mega. (Saya pernah ke sana tahun lalu).

Keadaan ekonomi Indonesia saya kira tidak banyak berubah kerana nilai matawang masih rendah lebih kurang Rp2500 untuk RM1. Semasa saya bersolat Jumaat di sebuah Masjid di Bandung saya melihat bilangan peminta sedekah masih ramai. Begitu juga di jalanan, penjaja-penjaja Kuran (surat khabar) masih berkeliaran.

Tetapi yang pasti saya amat kagum dengan media massa Indonesia yang sentiasa memelihara amalan keterbukaan mereka. Seperti yang kita sedia maklum sekarang ini Indonesia sedang mengadakan Pilihanraya untuk memilih Kepala Daerah, Walikota dan Bupati. Di TV, surat khabar dan majalah-majalah politik semasa dipaparkan gambar-gambar calon yang bertanding. Semua calon-calon yang bertanding diberikan ruang secukupnya untuk menyatakan pendapat, visi dan misi masing-masing tanpa mengira mereka mewakili parti mana samada pemerintah atau pembangkang.

Ini berlainan sekali dengan Malaysia yang sentiasa mengamalkan diskriminasi kepada calon-calon pembangkang. Berita-berita yang disiarkan untuk pembangkang biasa adalah yang bersifat negatif sahaja. Jarang sekali berita-berita yang adil disiarkan untuk pembangkang. Nampaknya Media Massa kenalah belajar dengan Media Indonesia.

Kerajaan Malaysia juga perlu bersikap terbuka seperti kerajaan Indonesia. Janganlah kita mendabik dada menyatakan kita lebih maju dari Indonesia sedangkan pada hakikatnya mereka jauh mendahului kita dari segi demokrasi dan keadilan media.

ANAS FIKRI
Bukit Katil


Islam Hadhari: Sepatutnya tidak kenakan bunga pinjaman kerajaan negeri


Petikan dari Harakahdaily.net......

KOTA BHARU, 15 Jun (Hrkh) - Kerajaan diminta tidak lagi mengenakan bunga ke atas pinjaman yang dibuat kerajaan-kerajaan negeri iaitu selaras dengan konsep Islam Hadhari seperti dilaung-laungkan Perdana Menteri.

Naib Presiden PAS, Haji Husam Musa berkata, “kalau Islam Hadhari tidak boleh ikut Majlis Fatwa, Islam mana lagi yang boleh diikut,”.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Exco hari ini beliau berkata, kerajaan-kerajaan negeri dikenakan bunga antara empat, enam dan lapan peratus iaitu mengikut perjanjian yang dibuat sebelum ini.

Sepatutnya kata beliau, bunga yang dikenakan terhadap pinjaman yang dibuat kerajaan negeri dihapuskan bagi menjimatkan kos kewangan negeri-negeri. "Lebih-lebih lagi di bawah Islam Hadhari macam mana boleh kutip bunga,” katanya.

Begitu juga menurutnya, kadar bunga yang ditetapkan terhadap pinjaman pelajar daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) sebanyak empat peratus tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata, bunga yang dikenakan itu benar-benar membebankan pelajar.

“Sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini sudah mengeluarkan kenyataan tidak boleh dikenakan bunga empat peratus seperti yang diamalkan sekarang. Sepatutnya Islam Hadhari menyelaras dengan Majlis Fatwa,” katanya yang juga Exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun dalam konteks Kelantan, Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan kerajaan negeri membuat keputusan di mana hutang yang dikendalikan di bawah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) kepada anak syarikat tidak lagi dikenakan bunga.

Misalnya kata beliau, Perdana Resort sebelum ini dikenakan kadar bunga terhadap pinjaman yang dibuat sebanyak dua peratus, namun mulai semalam ia tidak dikenakan lagi.

“Kalau boleh kerajaan Persekutuan juga membuang kadar bunga yang dikenakan kepada negeri-negeri termasuk Kelantan, memandangkan mereka sering menyebut Kelantan sebuah negeri yang miskin. Sedangkan negara di Eropah memotong hutang yang dipinjam negara-negara Afrika.

"Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang kaya sepatutnya lebih awal lagi potong hutang yang dibuat negeri-negeri,” katanya di sini.

Hutang kerajaan Kelantan kepada kerajaan Pusat sekarang lebih kurang RM700 juta. Jumlah tersebut ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional kepada kerajaan PAS selepas mengambil alih teraju pentadbiran negeri pada 1990.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Husam berkata, sebelum ini kerajaan negeri meluluskan 75 permohonan pecah sempadan tanah yang dimohon penduduk dan syarikat pemaju.

“Dan hari ini dilulus 68 permohonan lagi. Ini suatu perkembangan yang cukup baik sekali untuk proses pecah sempadan dan ubah syarat tanah. Sekarang sudah begitu pantas.

“Ini membolehkan pembangunan rumah dan hartanah berlaku dengan lebih cepat di Kelantan. Dan dalam masa yang sama boleh menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat berkata, ia secara tidak langsung akan mengembangkan ekonomi negeri dan meningkatkan pendapatan.

Menurutnya, sebelum ini kelulusan pecah sempadan begitu lama, namun sekarang misalnya di Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu hanya mengambil tempoh enam bulan sahaja.

“Namun apa yang berlaku sekarang lebih cepat lagi daripada apa yang dijangkakan,” tambahnya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59