Wednesday, 15 June 2005

TPj Melaka gesa Amid Nordin letak jawatan ADUN Telok Mas


Dipetik dari Harakahdaily.net......

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Dr Abdul Halim Ramli berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Dato' Wira Amid Nordin yang didapati bersalah terlibat dalam politik wang, sewajarnya meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.


Katanya, Amid sepatutnya meletakan jawatan berkenaan kerana rakyat tidak lagi mempunyai kepercayaan kepada beliau untuk menjalankan tugas.

Selain itu katanya, beliau juga perlu terlebih dahulu meletakkan jawatannya dalam kerajaan sebelum diarahkan berbuat demikan.

Dr Abdul Halim yang berada di Melaka ketika dihubungi, berkata mana-mana pemimpin yang dikenakan tindakan tatatertib kerana terlibat dalam politik wang, bertanggungjawab melepaskan jawatannya sebagai exco kerajaan bukannya jawatan dalam parti sahaja.

Amid yang didapati bersalah kerana terlibat politik wang, meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, berkuat kuasa awal bulan ini.

"Walaupun kesalahan Amid tidak melibatkan mahkamah, dari segi moralnya beliau patut meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat Dun Telok Mas," tegas Abdul Halim.

Selepas didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno, Amid telah menubuhkan Pasukan Briged Khas Kerja Amal, yang diwakili 100 orang sukarelawan untuk melicinkan perjalanan kegiatannya.

Mereka terdiri daripada pelatih Kolej Latihan Telekom, Sahabat Belia, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan lima pegawai Jabatan Kemajuan Msyarakat.

Ia antara lain bertujuan untuk memantau, mengesan penduduk miskin, anak yatim dan orang kurang upaya yang memerlukan bantuan di Dun berkenaan.

Menurut Amid, briged itu akan menumpukan perhatian dalam aspek menyalurkan bantuan yang diperlukan selain mengadakan aktiviti gotong royong.

Mengulas penubuhan briged tersebut, Dr Abdul Halim berkata, briged tersebut tidak dapat menggelabukan mata masyarakat berhubung kesalahannya.

"Adakah selama ini beliau tidak menjalankan tugas yang diamanahkan, setelah dipecat daripada kerajaan barulah merancang untuk menjalankan kerja- kerja kebajikan dan sebagainya," jelas beliau.


Media Amerika dedahkan madrasah bukan pembiak keganasan


Dipetik dari Harakahdaily.net

Oleh Zulkifli Sulong
KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - Bukan madrasah atau sekolah-sekolah pondok yang melahirkan pengganas yang menyerang kepentingan Amerika dan Barat, lapor sebuah akhbar di Amerika berdasarkan kajian yang dibuat oleh dua penyelidik.

Akhbar The New York Times semalam (14 Jun) melaporkan satu kajian yang dibuat oleh dua pengkaji dari New America Foundation menafikan madrasah melahirkan para pengganas sebagaimana yang didakwa sebelum ini.
Mengikut kajian yang dibuat dan ditulis oleh PETER BERGEN and SWATI PANDEY melalui yayasan itu, kesemua mereka yang terlibat dengan aktiviti keganasan terhadap kepentingan Amerika bukan dididik di madrasah atau pondok-pondok tetapi kolej serta universiti.

"Kami telah memeriksa latar belakang pendidikan 75 pengganas yang dilaporkan berada di belakang beberapa kejadian serangan utama terhadap orang Barat sejak akhir-akhir ini.

"Kami dapati, majoriti mereka adalah lepasan kolej dan kebanyakannya mengambil jurusan kejuruteraan," tulis kedua-duanya sebagaimana yang dilaporkan oleh New York Times.

Menurutnya, memang menjadi satu andaian umum, pelajar lepasan madrasah, yang biasanya menjadi pusat pengajian kepada mereka yang kebanyakannya miskin, menjadi pengganas.

"Tahun lalu, Setiausaha Negara, Colin L. Powell mengumumkan madrasah di Pakistan dan beberapa negara lagi sebagai pusat latihan dan pembiakan pengganas ini," lapor akhbar itu lagi.

Di Malaysia, beberapa pemimpin termasuk Najib Tun Razak juga membuat tuduhan yang sama iaitu madrasah dan pondok menjadi sarang pembiakan pengganas.

Di Thailand, pelajar dan guru pondok juga menjadi sasaran kerajaan negeri itu dan juga dituduh sebagai sarang kepada segala kegiatan keganasan di negara itu.

Ramai guru-guru pondok dan murid mereka ditangkap oleh pemerintah atau dibunuh.

Menurut kajian yang dilaporkan NY Times itu lagi, mungkin benar madrasah membiakkan fundementalis Islam yang belajar al Quran dalam bahasa Arab tetapi sekolah sebegini tidak mengajar pelajaran teknik atau kemahiran bahasa yang diperlukan untuk menjadi pengganas.

"Yang pasti, hanya sedikit atau tidak ada langsung bukti yang menunjukkan madrasah mampu melahirkan pengganas yang boleh menyerang Barat.

"Dan dalam hal keselamatan negara, Amerika Syarikat tidak perlu risau tentang fundementalis Islam, mungkin kita berbeza, tetapi (perlu risau) tentang pengganas yang mahu menyerang kita," tulis kedua-duanya lagi.

"Kita mempunyai maklumat yang lengkap tentang latar belakang penyerang untuk empat kes keganasan yang utama iaitu pengeboman the World Trade Center dalam tahun 1993, serangan ke atas American embassies di Kenya and Tanzania in 1998, peristiwa serangan 9/11 dan serangan di Bali 2002.

"53 peratus pengganas samada pelajar kolej atau mempunyai ijazah dari kolej," tulis kedua-duanya lagi.

Pada tahun 1993, serangan ke atas World Trade Center melibatkan 12 lelaki, kesemuanya berpendidikan kolej (universiti).

"Juruterbang kes 9/11, begitu juga perancang yang dikenalpasti oleh Suruhanjaya 9/11, semuanya belajar di universiti yang berprestij di negara-negara Barat yang menjadi kebanggaan kepada penduduk Timur Tengah.

"Bahkan, ketua juruterbang kajadian 9/11, Mohamed Atta, mempunyai ijazah dari sebuah universiti di Jerman dalam jurusan perancangan bandar, manakala perancang operasi 9/11, Khalid Sheikh Mohammed, belajar kejuruteraan di North Carolina.

"Kami juga dapati dua pertiga dari 25 perampas dan perancang yang terlibat dalam 9/11 telah belajar di kolej-kolej," tulis kedua-duanya lagi.

Menurut mereka berdua juga, daripada 75 orang pengganas yang disiasat oleh mereka, hanya sembilan yang belajar di madrasah, dan kesemuanya hanya terlibat dalam kes pengeboman di Bali.

"Bagaimanapun, dalam kes Bali, lima perancang utama (masterminds) adalah pelajar lepasan universiti termasuk dua pensyarah universiti yang menentukan arah tuju pengeboman di Bali itu," tulis kedua-duanya lagi.


DEWAN PEMUDA PAS BUKIT KATIL AKAN EDAR CD ROBOH MASJID DI TERENGGANU


Bukit Katil 15 Jun: DPP Kawasan Bukit Katil akan mengedarkan CD perobohan masjid di RTB Bujal, Terengganu secara percuma ke seluruh cawangan-cawangan dalam Kawasan Bukit Katil.

Projek Lajnah Penerangan ini antara bertujuan untuk mendedahkan kepada rakyat tentang betapa zalim dan ganasnya UMNO. Mereka tidak menghiraukan apa juga rayuan rakyat. Sehinggakan Masjid pun mereka sanggup roboh.

Insya Allah CD ini akan disebarkan sekitar dua minggu dari sekarang.

Lajnah Penerangan DPP Kawasan Bukit Katil


BERJAYA SPORTS TOTO CATAT KEUNTUNGAN BESAR DALAM NEGARA ISLAM HADHARI


Roslan SMS menulis........

Kerajaan Malaysia sejak dari Merdeka sehingga kehari ini memberikan keizinan berlesen kepada syarikat-syarikat judi untuk menjalankan kegiatannya dalam negara walaupun majoriti rakyat negara ini menganut agama Islam dan Islam merupakan agama resmi Persekutuan menurut perlembagaan Persekutuan.

Kini hampir kesemua syarikat yang terlibat dalam industri ini adalah terdiri dari syarikat-syarikat gergasi belaka yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Dalam akhbar hari ini salah sebuah syarikat tersebut iaitu Berjaya Sports Toto Berhad telah mengumumkan keuntungan lebih 143 peratus berbanding tahun lalu bagi tempuh kewangan berakhir April 2005. Dengan mengendalikan aktiviti perjudian syarikat ini telah mengaut hasil sebanyak RM2.67 billion bagi tempoh kewangan yang dimaksudkan dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM488.39 juta!

Dan syarikat ini menjangka prestasinya untuk tahun 2005-2006 ini akan bertambah baik memandangkan jangkaan kenaikan jumlah perbelanjaan para pengguna dalam negara keseluruhannya.

Allah swt mengharamkan judi dan aktiviti perjudian. Di dalam Al Quran surah al Maidah ayat 90:

Hai orang-orang yang beriman. Sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib itu adalah kotor dari amalan syaitan.

Dan dalam surah Al Baqarah ayat 219

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya (arak dan judi ) ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya

Bagi Kerajaan Malaysia, orang Islam tidak dibenarkan membeli atau menikam nombor di premis-premis perjudian yang dimaksudkan. Memang kalau kita mengunjungi premis-premis ini ada notis larangan, walaubagaimanapun sejauh mana ianya dikuatkasakan wallahualam kerana rata-rata penganut Islam samada warganegara Malaysia, pekerja asing yang beragama Islam, boleh dilihat berkeliaran di premis-premis judi ini apabila ada hari cabutan. Barangkali kalau mereka tak berani beli, mereka mengupah pula orang lain untuk beli, kan mudah begitu.

Orang Islam dilarang membeli, namun orang Islam tidak pernah dilarang samada membeli saham, menjadi ahli lembaga pengarah ataupun bekerja sebagai kakitangan syarikat-syarikat ini. Comtohnya kalau kita mengunjungi laman web Berjaya Sports Toto dari barisan ahli lembaga pengarahnya terdapat dua nama Melayu Islam iaitu Tan Sri Dato Jaffar Bin Abdul (bekas Timbalan Ketua Polis Negara) dan Mohamed Saleh Bin Gomu (bekas pegawai kanan PDRM).

Suka tak suka inilah realiti dalam negara kita pada hari ini. Kita ghairah mahu negara lain mengambil kita sebagai negara Islam contoh, tetapi amalan yang dilarang dan dilaknat oleh Allah swt kita izinkan dalam negara kita sendiri tanpa sedikit pun rasa bersalah. Sampai bila kita mahu berterusan sebegini?


EROPAH PUN MENENTANG PEMBERIAN JARUM PERCUMA


Roslan SMS menulis .......

Seorang pengunjung tetap BLOG ini telah memperkenalkan satu laman web yang sungguh menarik dan bermaklumat iaitu EUROPE AGAINST DRUGS di http://www.eurad.net/index.htm Ia menjadi menarik khususnya apabila kita membincangkan darihal isu pemberian jarum dan kondom percuma kepada para pengidap HIV AIDS.

EUROPE AGAINST DRUGS atau EAD ini adalah sebuah badan NGO yang ditubuhkan di Berlin pada tahun 1988 dengan matlamat memperkenalkan polisi dan program bagi tujuan pencegahan penyalahgunaan dadah dan usaha-usaha pemulihan. Ia memiliki status perunding diperingkat Majlis Eropah dan ahli Jawatankuasa Narkotik UN di Vienna.

Adakah pemberian jarum percuma ini berjaya di sana?

Menurut EAD:

We also advise communities to remember that needle/syringe programmes promote a dangerous behaviour and life style which might increase the risk of spreading HIV/AIDS.
Kami memberikan nasihat kepada pelbagai masyarakat bahawa program (memberikan percuma) jarum sebenarnya menggalakkan amalan hidup yang merbahaya dan malah akan mempertingkatkan lagi penyibaran HIV/AIDS.

It is possible for communities to reduce the grave practice of drug abuse. It has been done in many different countries at different times- and it can be done again.
Tidaklah mustahil bagi pelbagai masyarakat untuk mengurangkan amalan penyalahgunaan dadah ini. Ianya pernah dilakukan di banyak negara pada waktu-waktu tertentu – dan ianya masih boleh dilakukan.

EURAD wishes to state clearly that it is drug abuse which is the source of the drugs epidemic.
EURAD ingin menegaskan bahawa penyalahgunaan dadah itulah sebenarnya punca utama masalah dadah.



The main question is how we can force drug abuse into retreat-not how we can make it safer. Free syringes to addicts can increase drug abuse by giving the impression that under these conditions abuse is safe.What in the short-term appears to be harm reduction may in the long-term prove to be harm production
Persoalan utama bagaimana dapat kita memaksa pengunduran amalan penyalahgunaan dadah ini – bukannya bagaimana mahu kita jadikannya selamat. Pemberian jarum percuma kepada para penagih akan hanya mempertingkatkan penyalahgunaan dadah itu sendiri dengan memberikan gambaran seolah-olah amalan ini selamat. Apa yang pada waktu jangka pendek dilihat mengurangkan masalah sebenarnya pada waktu jangka panjang akan hanya melahirkan lebih banyak masalah.

Dalam laman web ini digariskan antaranya beberapa fakta dan masalah berhubung dengan pengaih yang mengunakan jarum antaranya:

1) Para penagih biasanya akan hilang sabar untuk mengenakan suntikan susulan dan tidak semestinya menunggu untuk menggunakan jarum baru
2) Ada kalangan penagih yang enggan menghentikaan amalan berkongsi jarum (semacam satu budaya)
3) Pengaih dadah jenis ini biasanya diancam maut bukan hanya melalui AIDS tetapi juga melalui ovredose, kemalangan, mengganas apabila khayal dan lain-lain

Soalnya berdasarkan pengalaman atau fakta manakah yang mendorong Kementerian Kesihatan untuk menjalankan program pemberian jarum dan kondom percuma ini. Takkanlah usaha yang gagal dan sia-sia di tempat lain mahu digunapakai pula di negara ini! Kemeterian Kesihatan perlu bertanggungjawab, dan menimbangkan hal ini dengan lebih mendalam jika tidak kita akan menjadi bahan gelak ketawa negara lain.





LAWATAN DPPK BUKIT KATIL KE CAWANGAN PAYA IKAN DISIFATKAN SANGAT BERJAYA


Bukit Katil 15 Jun : Lawatan Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil ke Cawangan PAS Paya Ikan malam tadi disifatkan amat berjaya kerana sambutan yang menggalakkan ditunjukkan oleh ahli DPP Cawangan tersebut.

Ketua DPPK Bukit Katil, Haji Salamat Aman berkata, ini adalah lawatan ketiga yang dilakukan oleh DPP Kawasan ke cawangan-cawangan. Sebelum cawangan yang dilawati adalah Cawangan Kandang dan Bukit Lintang.

Dalam lawatan ke Paya Ikan ini, DPP Kawasan telah memberikan taklimat tentang pelaksanaan projek Unit Kerja Jamaah (UKJ) yang dilancarkan oleh DPP Pusat tahun lepas. Selain Ketua Penerangan DPP Kawasan juga memberikan taklimat ringkas tentang program-progran penerangan DPP Kawasan yang telah, sedang dan akan dijalankan.

Tuan Haji Salamat juga mengucapkan tahniah kepada DPP Cawangan Paya Ikan kerana setakat ini mereka telah mempunyai keahlian pemuda melebihi 20 orang. Jumlah ini telahpun melepasi sasaran DPP Pusat yang mahukan setiap cawangan mempunyai sekurang-kurangnya 10 orang ahli pada tahun 2007 iaitu sebelum Pilihanraya umum akan datang.

Sementara itu semasa sessi soal jawab beberapa soalan telah diajukan kepada pimpinan DPP Kawasan. Antaranya tentang progran tarbiyah, masalah pelajar IPTA/IPTS dan masalah cawangan yang malap.

Turut hadir di dalam program ini ialah Ketua PAS Cawangan Paya Ikan Sdr Mat Dan Siron, AJK DPP Kawasan Sdr Ghazali Othman, Sdr Danial Malik, Sdr Zaidi Ahmad dan Setiausaha PAS Cawangan Sdr Hashim Mahat.


TARIAN BOGEL DI MELAKA BUKTI KERAJAAN TIDAK SERIUS CEGAH MAKSIAT


Dpetik dari Harakahdaily.

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman mendakwa kejadian pihak Polis membuat serbuan ke atas satu pesta tarian bogel di Pusat karaoke di Taman Melaka Raya Melaka, membuktikan Kerajaan Melaka tidak bersungguh-sungguh untuk mencegah maksiat.

Dalam kejadian tersebut , lebih 30 pengunjung yang asyik menonton persembahan tarian lucah oleh lima penari separuh bogel bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila diserbu polis pada awal pagi kelmarin.
Mengulas kejadian itu Ustaz Abdul Ghani, menyatakan rasa kesalnya dengan kejadian yang berlaku akibat kelalaian pihak berkuasa dalam memastikan elemen yang bertentangan dengan Islam tidak wujud di negeri yang didakwa sebagai tempat pertama di Tanah Melayu menerima Islam.

Selain itu Ustaz Abdul Ghani turut mendakwa kejadian yang memalukan itu berlaku akibat keterbatasan pihak berkuasa agama yang dilihat kurang menumpukan soal pencegaham maksiat.

Dalam masa yang sama katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) terus diberikan kuasa untuk meluluskan lesen pusat hiburan kepada pengusaha pusat hiburan untuk beroperasi.

"Pihak berkuasa seperti jabatan agama negeri sendiri terbatas dalam melaksana dan menguatkuasakan undang-undang serta pihak PBT pula berleluasa memberikan lesen pusat hiburan.

"Natijahnya kejadian yang amat memalukan terjadi walaupun Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka ialah Ketua Menteri Melaka sendiri, Dato'Sri Mohd Ali Rustam,"katanya apabila dihubungi oleh Harakahdaily pagi tadi.

Laporan akhbar tempatan hari ini melaporkan, lebih 30 pengunjung karaoke di Taman Melaka Raya di sini yang asyik menonton persembahan tarian lucah oleh lima penari separuh bogel bertempiaran menyelamatkan diri apabila diserbu polis awal pagi kelmarin.

Berikutan itu,lima penari yang hanya bercoli dan seluar dalam itu ditahan dalam serbuan yang diketuai Cif Inspektor Idris Rejab dari Bahagian Pencegahan, Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7)

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata dua pengunjung perempuan bawah umur turut ditahan kerana menyaksikan tarian memberahikan itu.

Katanya,kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.50 pagi apabila polis menerima maklumat mengenai adanya kegiatan tarian separuh bogel berkenaan di karaoke tersebut.

Beliau berkata,kegiatan tarian separuh bogel itu dipercayai sudah dijalankan sejak tiga malam berturut-turut sebelum polis bertindak menyerbunya.

Berikutan itu,lima penari wanita berumur antara 18 dan 22 tahun ditahan kerana melakukan tarian memberahikan kepada pengunjung karaoke berkenaan.

Sebelum ini DPPN Melaka pernah membuat kenyataan akhbar bahawa terdapat persembahan tarian bogel di sebuah Pusat Hiburan di Jalan Melaka Raya dan meminta JAIM menyiasat.



Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59