Friday, 27 May 2005

USTAZ NASHARUDIN UNTUK TIMBALAN PRESIDEN: RESPONS DARI UK


Dipetik dari Weblog Roslan SMS

Memantap Iltizam Menyemarakkan Kebangkitan

Tajuk di atas merupakan tema Muktamar ke-48 PAS yang telah diadakan di Putik buat julung-julung kalinya. Muktamar penuh bersejarah dan kenangan itu membangkitkan satu nostalgia yang tidak mudah dilupakan oleh oleh para perwakilan dan pendokong Agama Allah yang cintakan kebenaran, yang menghayati jerih sebuah perjuangan sebagaimana yang dirintis oleh Junjungan Besar SAW dan para sahabat baginda.

Dari pembinaan Putik hinggalah kepada perbahasan-perbahasan penuh kematangan yang diutarakan oleh perwakilan (termasuklah lawak bermakna dengan panggilan Bapak Presiden, panggilan kepada Presiden Indonesia) oleh perwakilan Kedah kepada Almarhum Dato Fadzil Noor. Betapa ia menggambarkan iltizam yang cukup mantap dari tukang pembuat rumah batu hinggalah kepada mood perwakilan yang seakan melihat Parti PAS dan Barisan Alternatif yang diterajuinya boleh maju ke hadapan untuk menjadi pilihan kepada rakyat Malaysia yang muak dan mual dengan gelagat angkuh dan sombong pemimpin-pemimpin kerajaan Malaysia/UMNO pada masa itu.

Semangat kemenangan besar yang dikurniakan Allah dari pilihanraya ke-11 tahun 1999 telah mewarnai kemeriahan dan keceriaan semua peserta dari segenap lapisan.
Bekalan Allah untuk perjuangan Islam dengan kemenangan itu memberi seribu harapan dan pengertian terutamanya kepada mereka yang tidak pernah mengenal penat dan lelah perjuangan. Namun takdir Allah jua, pemergian pemimpin agung PAS di kala kilauan cahaya yang terpancar dari peribadinya, tuturkata dan keilmuan beliau yang seakan bakal memenuhi ruang udara Malaysia itu telah hilang secara tiba-tiba.

Kegelapan sementara yang terasa dengan pemergian Negarawan ulung itu sememangnya satu ujian Allah untuk menggerakkan dan menyedarkan pendokong Jamaah Islam; bukan sekadar untuk melahirkan satu atau dua pemimpin seperti Almarhum, malah puluhan dan ratusan tenaga-tenaga dan peribadi yang akan menjadi galang ganti kepada rentetan perjuangan tanpa henti ini.

Justeru, hanya masa yang memisahkan kita dengan kedatangan seorang lagi tokoh yang merupakan anak didik Almarhum. Beliau tidak lain adalah Ustaz Nasharudin Mat Isa, permata yang ditemui oleh Almarhum untuk digilap dalam mendepani cabaran dan menyemarakkan kebangkitan Islam di Nusantara.

Sememangnya Almarhum merupakan seorang yang berpandangan jauh dan ahli politik Islam yang penuh daya kepimpinan dan wawasan. Bukan cuma pemimpin yang melihat perjuangan dari kacamata presiden sebuah parti politik, malah usaha-usaha beliau yang berterusan dalam cuba memahamkan segenap masyarakat dengan konsep dan kepimpinan Islam yang tulen telah menjadi perintis kepada Memorandum Negara Islam yang cuba dibawa oleh PAS. Sayangnya beliau pergi sebelum kerja-kerja penyiapan memorandum disempurnakan, yang pada asasnya untuk menghapuskan kebimbangan rakyat terutamanya bukan/belum Islam terhadap konsep pemerintahan Islam. Final touch beliau yang dinanti-nanti tidak kesampaian.

Sebagai ingatan bersama, antara tujuh konsep yang digariskan adalah:

1. Negara masyarakat awam (madani) dan bertamadun (hadhari).
2 . Negara yang mengamal prinsip kesaksamaan (al-musaawaah).
3 . Negara yang mendukung kedaulatan undang-undang berdasarkan perundangan dan syariah Islam.
4 . Negara yang berteras dan bermatlamat keadilan (al-adaalah).
5 . Negara yang mendukung prinsip kelayakan (as-salihiah).
6 . Negara berkebajikan.
7 . Dan negara yang dinamik dan inovatif.

Sebenarnya ini bukan kali pertama istilah hadhari disebut dalam muktamar PAS. Muktamar PAS ke-33 juga menyaksikan istilah ini telah digunakan oleh kepimpinan kita. Namun, istilah hadhari yang disebut oleh beliau menjadi permainan pemimpin UMNO yang mengatakan Almarhum juga menyokong Islam Hadhari. Hakikatnya ia menunjukkan betapa beliau diterima sebagai pemikir Islam dan Negarawan yang ulung.

Sejak kebelakangan ini, terdapat pelbagai persepsi masyarakat tentang Islam akibat acuan ini yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan Barian Nasional dalam meneruskan agenda pemerintahan mereka. (melihatkan acuan-acuan sebelum ini mendapat tempat di hati penyokong melayu Islam)

Islam Hadhari, yang maklumat mutaakhir mengatakan menjadi perbincangan antara cikgu dengan murid-murid seawal darjah satu merupakan sesuatu yang cukup membimbangkan! Tentu sekali kerajaan Barisan Nasional seperti desperate untuk memastikan muntahan awal idea Islam Hadhari itu menjadi satu gagasan pemikiran yang bakal melahirkan masyarakat melayu Islam yang progresif mengikut acuan yang bakal didefinasikan mereka. Hakikatnya mengekalkan penguasaan mereka.

Maka sudah tentu cabaran yang dihadapi oleh PAS cukup besar. Ketokohan Tuan Guru Dato Presiden sekarang terutama keilmuannya amatlah disegani. Hinggalah buku terakhir beliau telah cuba diharamkan dan telah pun dirampas oleh pihak berkuasa yang kurang kesedaran dan bertanggungjawab. Gandingan beliau dan Ustaz Nasharudin cukup serasi. (Beliau sendiri diminta bertanding di Besut dalam pilihanraya lepas dengan harapan memudahkan perhubungan antara Presiden dan Setiausaha Agong.)

Saya merasakan gandingan ini akan menjanjikan kebangkitan dan menyegarkan kembali pejuang-pejuang dan pencinta agama Allah yang tidak sanggup lagi dan rimas dalam politik dan demokrasi sempit yang diamalkan di Negara kita sekarang ini. Adalah menjadi harapan saya, perwakilan tahun ini menggunakan mandat yang diberi untuk membawa perubahan, demi meneruskan kelangsungan perjuangan ini dengan membawa PAS ke era kemenangan Islam.

DR ROSLI - MANCHESTER


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59