Monday, 16 May 2005

PAKAIAN RAFIDAH DI TEHRAN JANGAN SAMPAI DISKRIMINASI HUKUM


ROSLAN SMS MENULIS........


Saya berkesempatan menonton Buletin Utama TV3 semalam. Antara highlight nya adalah kunjungan rasmi PM dan rombongan ke Republik Islam Iran. Ditunjukkan pertemuan antara PM dan delegasi Malaysia bersama Presiden Khatami dan para menterinya.

Yang saya asyik perhatikan lalu terbit persoalan dalam dada, mengapa Ketua Wanita Umno, Rafidah Aziz perlu tutup kepala (walaupun jambul di depan terdedah) bila bertemu Presiden Iran Khatami di Tehran semalam?


Pak Lah, Rafidah dan rombongan mengunjungi Ayatollah Khamanaei

Rafidah yang saya tahu kalau menghadiri majlis-majlis persidangan, forum dan berbincang dengan para perwakilan Negara asing tidak pernah berpakaian demikian. Mengapa di Tehran beliau berubah?


RAFIDAH YANG KITA KENAL SEHAR-HARI

Adakah kerana menghormati Khatami selaku seorang ulamak dan Ketua Negara Republik Islam Iran? Atau kerana kerajaan Iran mengenakan syarat demikian?

Saya mengesyorkan jika Rafidah berpakian demikian kerana menghormati Khatami dan peraturan yang diguna pakai di Iran mudah-mudahan Rafidah selepas ini akan terus berpakaian demikian (dengan peningkatan dari masa ke semasa) kerana sesungguhnya ada yang lebih besar dari Khatami yang sentiasa melihat kita di mana sahaja kita berada. Dialah yang mencipta peraturan dan hukum sehingga diguna pakai oleh Khatami dan mereka-mereka yang taat dan betaqwa kepada Nya. (Saya bangkitkan perkara ini bukan kerana apa tetapi sebagai seorang Menteri wanita yang terkanan di Malaysia, Rafidah sudah pasti membawa bersamanya imej wanita Islam Melayu. Besar tanggungjawab beliau dalam hal ini.)

Tetapi kalau Rafidah berpakaian demikian semata-mata untuk menyesuaikan diri dengan majlis, maka selama itulah Rafidah dan mereka-mereka yang seumpama beliau sebenarnya telah mendiskriminasi hukum dan peraturan ciptaan Nya. Jangan kita hanya berjuang menentang diskriminasi terhadap wanita. Kita juga harus sedar dan jangan sampai mendiskriminasi Allah swt dan hukum serta peraturan Nya. Semoga Allah mengurniakan taufik dan hidayah kepada mereka-mereka yang dikehendakinya.


KES MENGHINA AL QURAN DI GUANTANAMO


ROSLAN SMS MENULIS .........

Majalah Newsweek di dalam liputannya telah memuatkan darihal layanan yang diterima oleh tahanan Islam Guantanamo Bay, Cuba. Menurut laporan tersebut terdapat saksi yang memberi maklumat melihat anggota tentera Amerika yang menyoal-siasat tahanan di sana telah melontarkan Al Quran ke dalam mangkuk tandas lalu dipam bagi menghina tahanan berkenaan.
Lanjutan dari pendedahan Newsweek itu beberapa Negara Islam telah mendesak agar kerajaan Amerika menyiasat kejadian tersebut dan memberikan penjelasan sebenar. Rakyat di Pakistan dan Afghanistan (kebanyakan tahanan di Guantanamo datang dari kedua-dua buah Negara tersebut) telah keluar beramai-ramai menunjuk perasaan membantah tindakan biadap Amerika itu.


DEMO DI PAKISTAN

Dalam kekalutan ini Setiausaha Negara Amerika Rice terpaksa membuat kenyataan bahawa Amerika tidak pernah sekali-kali bertindak menghina kitab suci Al Quran dan akan menyaisat kejadian tersebut jika benar.

Dan hari ini Newsweek telah membuat kenyataan memohon maaf, dan cuba mempertikaikan pula kesahihan laporannya itu sendiri.

Apa pun yang mahu saya utarakan di sini adalah sikap Pak Lah selaku Perdana Menteri Malaysia. Dalam akhbar tempatan semalam apabila diajukan soalan berkenaan isu ini (sebelum kenyataan Newsweek hari ini) Pak Lah sekadar berkata beliau kesal dengan kejadian tersebut akan tetapi menegaskan bahawa TIDAK ADA APA YANG BOLEH KITA LAKUKAN.

Sebagai sebuah Negara yang berdaulat, mewakili NAM dan OIC pula, saya kira banyak yang boleh kita lakukan. Sekurang-kurangnya kita mengirimkan nota bantahan kepada kedutaan Amerika di sini, dan minta supaya kejadian ini disiasat sebenar-benarnya. Kita juga boleh mengarahkan diadakan solat hajat di masjid dan surau-surau di seluruh Negara.

Takkanlah bila Al Quran, kitab suci pegangan kita, hukum tertinggi kita diperlakukan sedemikian rupa kita sekadar berlepas tangan mengatakan kita tidak boleh buat apa-apa!

Semasa zaman pemerintahan Khalifah Al Muktasim dari Bani Abasiyyah, kerajaan Islam ketika itu dikira terlalu lemah. Namun apabila berlku satu kejadian dimana seorang muslimah dihina dan diperlakukan oleh musuh-musuh Islam di sebuah Negara bukan Islam, Muktasim yang memiliki kerajaan yang lemah itu telah mengerahkan bala tentera Islam ke Negara tersebut demi menebus maruah Islam.

Dalam hal ini kita tidaklah mengharapkan Pak Lah melakukan sebagaimana Muktasim, tetapi sekurang-kurangnya keluarkanlah kenyataan yang tegas yang mencerminkan pendirian Malaysia, yang membela maruah dan nama baik Islam. Sampai bila kita nak berterusan bersikap tak boleh buat apa-apa ni?


Kepimpinan baru DPP Negeri ikrar untuk terus semarakkan gerakan kepemudaan


Melaka 16 Mei 2005. Kepimpinan baru DPPN Melaka berikrar untuk meneruskan perjuangan Islam yang ditinggalkan kepimpinan lama. Ketua DPPN yang baru Us. Kamaruddin menyatakannya demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan muktamar DPPN Melaka di sini semalam.

Dalam ucapan penuh semangat beliau, antara lain beliau menggariskan bahawa ketaqwaan, jihad, komitmen dan istiqamah menjadi tunggak perjuangan pemuda Islam. Beliau juga mengingatkan semua ahli pemuda agar sentiasa memberikan kerjasama dan nasihat kepada kepimpinan baru DPPN Melaka yang akan dibentuk sepenuhnya Khamis ini pada mesyuarat pertama DPPN Melaka.

Beberapa AJK tambahan akan dilantik di samping jawatan Setiausaha, Ketua Penerangan dan Bendahari. Beberapa nama disifatkan amat berpotensi untuk menjawat amanah penting ini. Antaranya Sdr. Adly Zahari yang disebut-sebut akan dilantik sebagai anggota Dewan Harian.

Sdr Adly yang sememangnya mempunyai pengalaman luas dalam pemuda negeri juga dicalonkan untuk AJK DPP Pusat. Beliau pernah bertugas sepenuh masa dengan PAS Melaka sebelum ini.


Ceramah Us. Kamal Shaari di Bukit Katil 20 Mei ini.


Ceramah Us. Kamal Shaari, Timbalan Ketua DPP Negeri Selangor akan diadakan pada 20 Mei ini bermula jam 9.00 malam di Markaz PAS Bukit Katil.

Ceramah ini dianjurkan oleh DPP Kawasan dan Lajnah Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil. Semua dijemput hadit.


TIGA USUL DILULUSKAN SEBULAT SUARA DALAM MUKTAMAR PEMUDA NEGERI


Melaka 16 Mei : Sebanyak tiga usul telah diluluskan sebulat suara dalam Muktamar DPPN Melaka di Pejabat Perhubungan PAS Negeri semalam.

Usul pertama yang dibahaskan ialah berkenaan gelaran Tuan Guru yang sepatutnya di berikan kepada beberapa orang lagi pemimpin PAS Pusat. Usul ini telah dibawa oleh DPP Kawasan Jasin telah mendapat sokongan sebulat suara para perwakilan. Dalam hujahnya DPP Jasin merasakan bahawa gelaran ini sepatutnya diinstitusikan oleh PAS kerana ianya sedikit sebanyak menggerunkan UMNO. Ini kerana ianya bukanlah suatu gelaran yang boleh dibuat-buat tetapi sebenarnya ianya mempunyai kriteria tertentu untuk diberikan kepada seseorang. ‘Tidak seorang pun pemimpin UMNO yang layak digelar Tuan Guru kerana sememangnya mereka tidak layak langsung, kalau mereka digelar sebagai Tuan Guru semua orang akan merasa geli , sindir Us. Faisol yang membawa usul tersebut. Us. Faisol menamakan Dato’ Prof. Haron Din dan Dato’ Harun Taib sebagai dua orang lagi pemimpin PAS yang mempunyai kriteria sebagai Tuan Guru.

Usul kedua yang diterima secara sebulat suara ialah DPPN Melaka mestilah mempunyai seorang Setiausaha Kerja sepenuh masa di Pejabatnya.

Manakala usul ketiga pula menggesa kerajaan Malaysia menjalankan ‘referendum’ atau pungutan suara bagi menilai sokongan rakyat Malaysia terhadap penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek Matematik dan Sains yang sekarang ini dilihat amat merugikan pelajar-pelajar melayu. Sdr. Adly Zahari ketika membahaskan usul ini menyatakan jika penggunaan bahasa Inggeris ini diteruskan sudah pasti pelajar-pelajar melayu akan terus merosot dan lemah dalam kedua-dua subjek yang susah ini.


DPP MELAKA CALONKAN SALAHUDDIN AYUB, IDRIS AHMAD KEKAL, MAZLAN NAIB KETUA DAN ADLY ZAHARI SEBAGAI AJK


Melaka 16 Mei : DPPN Melaka yang bermuktamar semalam mencalonkan semula YB Salahuddin Ayub dan Us.Idris Ahmad sebagai Ketua dan Timbalan Ketua DPP Pusat. Manakala bekas Ketua DPP Johor yang juga Ketua Penerangan DPP Pusat Sdr Mazlan Aliman dicalonkan sebagai Naib Ketua.

Sementara itu DPP Negeri Melaka akan mengetengah dua calon dari Melaka untuk dilantik sebagai AJK DPP Pusat. Mereka ialah bekas Ketua DPP Negeri sessi lalu Sdr Azrin Majid dan bekas AJK DPPN sessi lalu Sdr. Adly Zahari.

Sdr. Adly Zahari merupakan bekas Presiden PMIUTM dan PMUTM pada era awal-awal tahun 90-an. Selepas menamatkan pengajian beliau di UTM dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik beliau telah berkhidmat sepenuh masa selama beberapa tahun dengan Badan Perhubungan PAS Negeri dan DPP Negeri Melaka. Selepas itu beliau telah berkhidmat dengan Universiti Telekom Malaysia yang kini dikenali sebagai Universiti Multimedia Melaka dan seterusnya berkhidmat pula MISC sebelum meletakkan jawatan untuk menceburi bidang perniagaan.

Di dalam PAS beliau pernah memegang beberapa jawatan di dalam DPP Negeri antaranya Naib Ketua, AJK DPP dan sekarang ini di amanahkan sebagai Ketua Penerangan PAS Kawasan Alor Gajah. Dalam muktamar DPP Negeri Melaka baru-baru ini beliau telah dicalonkan sebagai Ketua DPPN Melaka tetapi telah menarik diri dengan memberi laluan kepada Us.Kamaruddin Sedik.

Dalam pembentukan kabinet baru DPP Negeri Melaka nanti beliau dijangka akan dilantik sebagai salah seorang ahli Dewan Harian DPP Negeri.

Manakala calon kedua iaitu Sdr. Azrin Majid merupakan AJK DPP Pusat sessi 2003/2005. Ketokohan beliau memimpin PASTI pusat memang tidak boleh dipertikaikan lagi sehingga berjaya mengangkat martabat PASTI sebagai salah sebuah Institusi Pra-Sekolah yang paling berjaya di negara kita.


US. KAMARUDDIN SEDIK DILANTIK SEBAGAI KETUA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI MELAKA YANG BARU


Melaka 15 Mei 2005 : Us. Kamaruddin Sedik telah dilantik sebagai Ketua DPPN Melaka yang baru. Beliau menggantikan Sdr. Azrin Majid yang mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya. Turut dilantik ialah Us. Ashrof Mukhlas sebagai Timbalan Ketua DPPN Melaka dan Sdr. Haron Mohamed sebagai Naib Ketua DPPN yang baru. Kesemua jawatan tersebut dimenangi tanpa bertanding.

Selain turut dilantik melalui pemilihan ialah seramai 10 orang AJK iaitu Sdr. Mohd Sofi Abdul Wahab, Hj. Salamat Aman, Sdr. Abdul Kadir Dewa, Us. Abdul Rashid Halim, Us. Sheikh Faisol, Us. Ismail Abdul, Sdr. Mohd Nazri Abdullah, Us. Nordin Mohd Dahan, Sdr. Zulkifli Shaari dan Haji Shaharuddin Yusof.

Muktamar kali ke-30 ini telah dirasmikan oleh Us. Ridzwan Mohd Nor, AJK DPP Pusat yang juga merupakan Ketua DPP Wilayah Persekutuan.

Ridzwan dalam ucapan perasmian tersebut mengingat perwakilan dan perwakilan tentang bahayanya golongan Islam Liberal yang sekarang bergerak aktif di Malaysia. Golongan ini sekarang telah memperhebatkan gerakan dengan mendapat kerjasama yang baik dari pihak pemerintah. ‘Mereka telah berjaya menghantar memo membantah program moral policing dengan sokongan kuat beberapa orang menteri kabinet, mereka dibenarkan mengadap ke bawah Duli Yang Dipertuan Agung’ tegasnya.

Beliau memberi amaran kepada semua kepimpinan pemuda negeri dan kawasan supaya melipatgandakan usaha mendekati pemuda supaya golongan tidak terpengaruh dengan Islam Liberal yang menggunakan program-program maksiat dan pergaulan bebas sebagai senjata mereka mempengaruhi anak muda, tambahnya lagi.

Sementara mesyuarat khas pertama DPPN Melaka yang diadakan sejurus selepas berakhirnya muktamar tersebut telah mencalonkan semula YB Salahudin Ayub dan Us. Idris Ahmad sebagai Ketua dan Timbalan Ketua DPP Pusat bagi sessi 2005/2007. Mazlan Aliman pula telah dicalonkan untuk jawatan Naib Ketua. Bagi jawatan AJK pula beberapa orang muka baru turut dicalonkan untuk AJK DPP Pusat antaranya ialah Sdr. Adly Zahari bekas AJK DPPN Melaka. Beliau yang dikenali ramai sebagai aktivis pelajar semasa di UTM dulu telah dicalonkan sebagai Ketua DPPN Melaka tetapi menarik diri untuk memberi laluan kepada Us. Kamaruddin Sidek.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59