Thursday, 12 May 2005

TUTUP TEMPAT – TEMPAT MAKSIAT JIKA MAHU LIHAT MAKSIAT BERKURANGAN


MELAKA 11 Mei 2005: Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka menggesa Kerajaan Islam Hadhari Negeri Melaka menutup semua tempat-tempat maksiat dan perjudian serta-merta jika mahu melihat gejala sosial seperti keruntuhan moral, rogol, zina, bersekedudukan, sumbang mahram berkurangan di Negeri ini.

Semalam sebuah akhbar harian melaporkan bahawa bahawa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) menubuhkan pasukan Amar Makruf Nahi Mungkar bagi membantu penguat kuasanya memantau masalah sosial dan gejala maksiat yang semakin membimbangkan di negeri ini.

Penubuhan pasukan itu dipersetujui Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dengan pembabitan semua kariah masjid di negeri ini yang diketuai imam dengan dibantu pegawai syarak, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), belia dan polis.

Mereka akan ditugaskan mengawal kawasan kariah masing-masing bagi mendidik cara menangani masalah sosial, selain bertindak terhadap mereka terbabit jika perlu mengikut Enakmen Kesalahan Syariah (negeri Melaka).

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, pasukan ini akan dipantau bagi memastikan ahlinya menjalankan tanggung jawab dengan penuh disiplin dan mematuhi etika, bukan menyalah gunakan kuasa sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat.

Beliau berkata, selain program pendidikan, Jaim akan memperhebatkan program pencegahan.

“Kerajaan negeri bersetuju satu jawatan kuasa penyelaras penguat kuasaan (berkaitan hal ehwal Islam) ditubuhkan dengan dipengerusikan Pengarah Jaim dan dianggotai agensi lain,” kata Dato’ Wira Haji Mohd Ali Rustam semalam.

Sementara itu Mohd Ali berkata, kerajaan negeri bimbang dengan peningkatan gejala sosial di kalangan masyarakat seperti gejala najis dadah yang mencecah 275,000 orang, kelahiran anak luar nikah 140 orang pada tahun lalu berbanding 91 orang pada tahun sebelumnya, selain keruntuhan moral dan akhlak remaja.

“Keadaan harus diubah dan agensi berkaitan termasuk Jaim, pihak berkuasa tempatan, polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu memainkan peranan merancang program menjuruskan kepada pengukuhan institusi keluarga dan peningkatan akhlak remaja,” katanya.

DPPN Melaka merasa hairan bagaimana kerajaan Islam Hadhari yang dipimpin oleh UMNO masih lagi tidak memahami bahawa gejala sosial dan maksiat ini tidak akan dapat dihapuskan dengan langkah-langkah penguatkuasaan sahaja sedangkan punca-punca maksiat itu sendiri tidak dibasmi. Dalam tinjauan yang dibuat oleh DPPN Melaka baru-baru ini, terdapat begitu banyak pusat-pusat maksiat seperti Kelab Malam, Dangdut, Panggung Laser Disc, Karaoke dan sebagainya beroperasi di dalam Bandar Melaka terutama di Jalan Melaka Raya.

Apa yang menyedihkan sebahagian besar pekerja-pekerja pusat-pusat hiburan ini adalah wanita-wanita melayu Islam.

Salah satu pusat hiburan yang dikunjungi oleh DPPN Melaka ialah Kelab Dangdut Anita yang terletak di Jalan Melaka Raya. Tinjauan mendapati bahawa penari-penari dan pekerja-pekerjanya termasuk ‘bonzer’ semuanya melayu.

Diantara tempat-tempat hiburan popular di sini adalah Spazzo, Anita Dangdut, Jelita Dangdut, Mahligai Dangdut, Light City Karaoke, Casablance Karaoke, Aloha dan lain-lain lagi. Ada diantara tempat ini dikhaskan kepada generasi remaja sahaja iaitu.

Kita menerima aduan bahawa selepas pengunjung-pengunjung ini berhibur di sini ada di antara mereka yang menyewa hotel-hotel yang bercambah disekitar Bandar ini untuk melampias nafsu mereka.

Apa yang dikesalkan kerajaan Negeri Melaka seolah-olah tidak langsung melihat bahawa tempat-tempat inilah inilah menjadi punca berlakunya maksiat. Pusat-pusat sebegini tumbuh bagaikan cendawan di bandaraya ini.

DPPN Melaka juga menerima aduan bahawa ada diantara pusat-pusat hiburan ini menjalankan pertunjukan ‘Tiger Show’ iaitu tarian bogel. DPPN Melaka mendesak perkara ini disiasat dengan segera dan tindakan yang sewajarnya mesti diambil segera.

Selagi pusat-pusat ini dibenarkan beroperasi sedemikian rupa selagi itulah gejala maksiat ini tidak akan dapat dibendung malah ianya akan bertambah parah.

DPPN Melaka dengan ini menggesa Kerajaan Negeri Melaka memberhentikan operasi tempat-tempat hiburan ini yang jelas menjadi tempat meyuburkan gejala-gejala maksiat di negeri ini.

SOFI WAHAB
NAIB KETUA DPPN MELAKA
KETUA PENERANGAN PAS KAWASAN BUKIT KATIL



Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59