Tuesday, 10 May 2005

RAKYAT MALAYSIA KURANG SENSITIF


Setiap kali pengumuman tentang kenaikan sesuatu barang, tarif air, eletrik atau kenaikan minyak rakyat Malaysia akan menyahutnya dengan keluhan.

Namun kita tidak pernah melihat rakyat Malaysia bangkit untuk menentangnya samada dengan diplomasi atau sebaliknya. Kenaikan sebanyak 10 sen dan 20 sen seliter untuk minyak petrol dan diesel baru-baru ini juga disambut dengan selamba oleh rakyat Malaysia walaupun ianya sedikit-sebanyak menjejaskan ekonomi keluarga. Tetapi inilah stail rakyat Malaysia yang sentiasa senang dan sambil lewa tentang apa juga masalah yang mereka hadapi.

Mereka masih boleh makan, hidup senang, pakai kereta/motor, boleh ke sana ke mari dengan mudah tanpa gangguan, jadi apa lagi yang kita mahu. Itulah rakyat negara Islam Hadhari yang perut mereka dah kembung dengan sogokan janji manis kerajaan.


PARA MUFTI TERIMA ISLAM HADHARI - MEREKA MUDAH LUPA


Roslan SMS menulis :-

Akhirnya Pak Lah selaku pencetus Islam Hadhari menerima endorsement yang beliau tunggu-tunggu. Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sebagaimana dilaporkan dalam akhbar tempatan hari ini memutuskan bahawa pelaksanaan konsep Islam Hadhari di negara ini sama sekali tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan al-Quran.

Menteri di JPM Dr Abdullah Mohd Zain mengatakan:

Para mufti berpendapat perkara ini sangat jelas, justeru Islam Hadhari tidak boleh dianggap agama baru atau pendekatan yang sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam seperti didakwa oleh parti pembangkang.

Dakwaan pembangkang bahawa Islam Hadhari tidak mencerminkan ajaran Islam sebenarnya tidak berasas dan para mufti hari ini menolak sama sekali pandangan seperti itu.

Memang para mufti malah siapa sahaja berhak menyatakan pendirian masing-masing dalam isu ini. Malah dalam hal para mufti ini memang tidaklah diharapkan yang mereka akan membuat tentangan terbuka apabila yang memberi taklimat adalah PM sendiri!



Mufti Perak turut membuat kenyataan sebagaimana dimuatkan dalam UTUSAN:

Tafsiran sempit terhadap konsep Islam Hadhari merupakan punca utama parti pembangkang menolak pelaksanaannya.

Kita tengok Pas hanya mentafsir konsepnya sahaja tanpa cuba memahami isi, pelaksanaan dan sama sekali tidak cuba menghayati apa itu Islam Hadhari. Hasilnya, mereka memberi kesimpulan yang tidak benar.

Tak mengapalah kalau nak sokong pun. Namun para mufti yang terlibat juga perlu melihat keadaan masyarakat dari luar dewan taklimat yang mereka duduk. Hari ini di bawah negara yang mengamalkan konsep Islam Hadhari lihatlah keadaan dan nasib umat Islam. Lupakah para mufti yang alim itu darihal beberapa peristiwa dan kejadian yang berlaku sejak akhir-akhir ini:

Maksiat dan keruntuhan moral semakin menjadi-jadi. Lupakah mereka tentang Konsert Sure Heboh yang Mufti Perak sendiri haramkan itu? Lupakah mereka darihal peristiwa di The Zouk, dimana para pelaku maksiat terselamat dan para penguatkuasa agama duduk dikandang orang salah. Semuanya berlaku di zaman Islam Hadhari.

Inul Goyang Gerudi, Konsert Tsunami dan pelbagai program maksiat lain diberikan keizinan oleh kerajaan yang turut disertai dan diraikan oleh anak-anak Islam yang lalai dan leka di zaman Islam Hadhari.

Apakah sumbangan kerajaan Islam Hadhari terhadap industri maksiat, judi dan arak umpamanya yang kini semakin meraih keutungan dalam negara kita. Dahlah untung, keuntungan itu disalurkan pula sebahagiannya kepada badan-badan kebajikan termasuk rumah kebajikan dan rumah anak-anak yatim.

Para mufti jangan lupa badan-badan NGO dan individu pernah menyerahkan kepada kerajaan Islam Hadhari ini satu memorandum agar sebarang bentuk MORAL POLICING digugurkan dan tidak lagi diguna-pakai. Siapakah jika tidak Nori Abdullah, anak PM Islam Hadhari sendiri yang bertindak sebagai jurucakap kumpulan ini.

Sekiranya para mufti berpendapat yang segala yang di atas tidak mengapa, dan tidak mencacatkan Islam Hadhari maka saya kira tidaklah bersalah dalam hal ini umat Islam berlepas diri dari mereka. Tak tahulah jika para mufti pernah membaca buku HADHARAH ISLAMIYAH BUKAN ISLAM HADHARI karangan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang atau mungkin mereka merasakan Tuan Guru bukan otoriti seperti mereka.

Saya memetik seperenggan dari buku berkenaan:

Iman atau akidah Islamiyah menjadi asas penting kepada Hadharah Islamiyah. Maka Hadharah hendaklah dibina di atas iman dengan mengikut acuannya, dalam merealisasikan pembangunan manusia, yang berperanan penting dalam membentuk masyarakat dan negara. Disamping itu pembangunan dalam segala aspek yang dilakukan hendaklah mengikut panduan dan matlamat yang betul, seperti yang diperintah oleh Allah Pencipta alam.

Kalau sekadar berceramah berapi-api mahukan Islam, akhlak Islam, budaya Islam, pembangunan Islam tetapi perlaksanaannya bau Islam pun tak ada, maka dalam hal ini bukan hanya rakyat nampaknya mufti pun tertipu juga rupanya.


DEWAN PEMUDA PAS BERTAMBAH MANTAP


Muktamar Dewan Pemuda PAS peringkat negeri sedang rancak berlangsung sekarang. Setakat ini Pahang,Selangor, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Wilayah Persekutuan telahpun mengadakan Muktamar Dewan Pemuda masing-masing. Daripada keputusan-keputusan pemilihan kita melihat sebahagian besar jawatan tertinggi tidak dipertandingkan. Ini menunjukkan bahawa perpaduan dan 'wehdatul fikr' pemuda PAS sekarang ini berada di tahap terbaik.

Di Kedah Us. Musoddak Ahmad, Ibrahim Soffian dan Us. Ahmad Yahya dilantik sebagai Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua tanpa bertanding. Begitu juga di Pahang Us. Nasaruddin Tantawi memenangi jawatan Ketua tanpa bertanding. Di Selangor dan Pulau Pinang Us. Ramli Sidom dan Azizi Ayob mengekalkan jawatan tanpa bertanding.

Situasi merupakan suatu perkara yang amat positif kepada perjuangan pemuda demi untuk menghadapi PRU-12 yang mungkin diadakan pada 2007 atau 2008 nanti.

Sementara pencalonan di peringkat pusat juga menunjukkan bahawa setakat ini hanya Salahuddin dan Us. Idris Ahmad sahaja yang dicalonkan untuk jawatan Ketua dan Timbalan Ketua. Begitu juga jawatan Naib Ketua yang bakal menyaksikan muka baru akan mengisinya kerana penyandang sekarang Us. Misbahul Munir akan melepaskan jawatannya kerana fator umur. Setakat ini hanya Sdr. Mazlan Aliman sahaja yang dicalonkan untuk jawatan tersebut.

Kita melihat bahawa cubaan anasir-anasir tertentu untuk menggugat perpaduan Dewan Pemuda tidak akan berjaya. Pengalaman pahit pergeseran pimpinan pemuda di zaman Us. Halim dan Us. Bakar Chik dulu sudah cukup untuk mematangkan ahli-ahli pemuda

Syabas Dewan Pemuda


Lima barang kawalan dijual melebihi paras harga siling - Rakyat mula tanggung akibat


Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa harga beberapa jenis barang-barang kawalan seperti gula, beras, telur, susu pekat manis dan ayam - yang sepatutnya tidak naik kerana dikawal kerajaan - didapati naik atas alasan kos meningkat akibat kenaikan harga minyak.

Pihak peniaga didapati menggunakan pelbagai taktik bagi mengaburi pengguna termasuk memaparkan harga yang rendah pada rak sedangkan pengguna membayar pada harga yang tinggi apabila tiba di kaunter.

Terdapat juga negeri yang melaporkan kenaikan harga makanan di restoran dan gerai.

Di Selayang, Selangor, harga susu pekat manis jenama popular seberat 505 gram dijual pada harga RM2 berbanding RM1.80 sebelum ini.

Tepung gandum pula dijual pada harga RM1.70 sekilogram, 25 sen lebih tinggi daripada harga yang ditetapkan kerajaan.

Bagi ayam pula, sebelum ini harga bagi dua ekor ayam yang dijual setiap bungkusan adalah antara RM4.50 sekilogram ke RM9.90, tetapi kini mencecah antara RM6.90 sekilogram atau RM13.90 bagi barangan yang sama.

Telur gred B pula mengalami kenaikan sebanyak RM2 iaitu daripada RM5.50 kepada RM7.65 bagi setiap papan.

Harga siling untuk barang kawalan yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi tahun 2005 ialah RM1.20 sekilo bagi tepung gandum (tidak berbungkus), gula pasir bertapis (tidak berbungkus) RM1.40 dan RM1.50 bagi setiap peket.

Untuk susu pekat manis penuh krim harganya ialah RM1.75 (397 gram) dan RM2.20 (505 gram), manakala bagi susu pekat manis isian ialah RM1.60 (397 gram) dan RM2.05 (505 gram).

Di Pasar Dato' Keramat, Kuala Lumpur, harga runcit bagi beras naik 10 sen sekilo sama seperti susu pekat manis yang naik daripada RM1.90 kepada RM2.

Bagi telur pula, gred A dijual RM2.95 berbanding RM2.85 bagi 10 biji, manakala gred-gred lain meningkat sebanyak 5 sen setiap biji.

Kebanyakan peniaga kecil yang ditemui berkata, harga tersebut telah dinaikkan oleh pihak pengedar menyebabkan mereka tiada pilihan melainkan turut meninggikan harga jualan runcit.

Di Kuantan, Persatuan Pengguna Pahang mendapati makanan seperti roti canai dan mi goreng turut mengalami kenaikan harga.

Setiausahanya, Mohd. Saiful Abdullah berkata, harga roti canai meningkat 10 sen berbanding harga sebelum ini yang berada pada kadar 70 sen di Kuantan dan 60 sen di luar Kuantan, manakala harga nasi beriani pula meningkat sebanyak 40 sen sepinggan.

``Malah ada restoran biasa menjual mee goreng pada harga yang langsung tidak masuk akal iaitu RM10 sepinggan oleh restoran biasa,'' ujarnya lagi.

Sementara itu di Kuala Terengganu, terdapat beberapa peniaga menaikkan harga cili dan telur.

Tinjauan di Pasar Payang mendapati harga cili merah dijual RM5 sekilogram hari ini berbanding RM4 sekilogram pada minggu lalu manakala harga 10 biji telur gred A dan B, masing-masing dijual RM2.70 dan RM2.40 berbanding RM2.60 dan RM2.30.

Di Alor Star pula, terdapat perbezaan harga antara lima sen hingga RM1 di pasar raya dan kedai runcit bagi barangan yang sama seperti susu pekat, bawang, minyak masak, telur dan Milo.

Telur ayam dijual pada harga yang agak mahal berbanding sebelum ini iaitu antara 22 sen hingga 26 sen sebiji bergantung pada gred dan saiznya.

Tinjauan di Kangar pula mendapati sebahagian besar peniaga di bandar ini dikesan menaikkan harga barang runcit sebanyak 10 sen selepas pengumuman kenaikan harga minyak petrol diesel, Rabu lalu.

Antara barangan yang mengalami kenaikan harga itu ialah telur, bawang, gula, tepung, roti, susu lemak manis dan ubat nyamuk.

Namun begitu, tiada laporan kenaikan harga didapati di Melaka.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Abdul Mutalib Ibrahim berkata, sehingga kini pihaknya bagaimanapun belum menerima sebarang laporan.

Di Wilayah Persekutuan, Unit Kawal Seliaan Harga Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini mendapati tiada kenaikan harga barang yang ketara.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Sumber Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP Putrajaya, Mohd. Roslan Mahayudin meminta orang ramai supaya melaporkan sebarang kenaikan harga yang melampau kepada pihaknya secara terperinci.

Beliau juga meminta kerjasama para penjual supaya jangan menaikkan harga barang-barang keperluan dengan sewenang-wenangnya.

Roslan menambah, bermula hari ini, pihak kementerian mengadakan pertemuan dengan pembekal barangan dan meminta mereka agar tidak menaikkan harga sesuka hati.

``Perbincangan ini akan dijalankan dalam beberapa siri dan meliputi kesemua pembekal, pemborong dan pengedar bagi semua jenis barangan,'' ujarnya lagi.

BERMULALAH EPISOD MALANG RAKYAT MALAYSIA AKIBAT KENAIKAN HARGA MINYAK BARU-BARU. JAMINAN KERAJAAN UNTUK MENGAWAL HARGA BARANG NI HANYALAH UNTUK MENGAMBIL HATI RAKYAT SAHAJA.

INILAH KESILAPAN BESAR RAKYAT YANG MEMILIH BN DALAM PILIHANRAYA LALU.




Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59